Category: Semasa

  • Waran tangkap: EXCO Terengganu ke mahkamah Ahad ini

    Waran tangkap: EXCO Terengganu ke mahkamah Ahad ini

    PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata beliau akan hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Ahad ini.

    Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata ketidakhadirannya pagi tadi adalah kerana terlibat dengan beberapa program kerajaan negeri selain telah mencadangkan kepada peguam Barisan Nasional (BN) pada Rabu agar sesi perbicaraan itu dilaksanakan pada sebelah petang.

    “Petang Rabu, PA (pembantu) saya memaklumkan peguam BN cadang supaya (saya) hadir pada 10 pagi Khamis (hari ini) tetapi saya mencadangkan petang sebab saya banyak komitmen program pada sebelah pagi,” katanya.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

    Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong itu.

    Perbicaraan bagi Petisyen Pilihan Raya Parlimen Marang bersambung Ahad ini (19 Mac).

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Feb lepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN. – BERNAMA

  • ‘Jangan ulang kesilapan made in Bangladesh’, MP PH beritahu kerajaan

    ‘Jangan ulang kesilapan made in Bangladesh’, MP PH beritahu kerajaan

    SEORANG Ahli Parlimen PH menggesa kerajaan membelanjakan wang perolehan dengan membeli barangan buatan Malaysia bagi merancakkan aliran tunai dalam negara.

    Menurut Cha Kee Chin (PH-Rasah), kerajaan perlu mengambil iktibar dengan tindakan kerajaan sebelum ini yang mencetak baju Keluarga Malaysia di Bangladesh.

    “Kempen beli barangan buatan Malaysia (diwujudkan) pertama kerana patriotik, kedua menghalang aliran tunai, supaya wang itu ada dalam negara kita.

    “Saya nak kerajaan Madani hari ini ambil iktibar di mana kerajaan Keluarga Malaysia sebelum itu, yang mana baju-T Keluarga Malaysia yang diberikan kepada Ahli Parlimen adalah ‘made in’ (buatan) Bangladesh.

    “Kita tak boleh ulangi kesilapan sebelum ini,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau menyatakannya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa, hari ini.

    Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi perdana menteri sebelum ini.

    Pada sidang Parlimen November 2021, Cha pernah membangkitkan kekecewaan apabila kerajaan membeli baju-T untuk mempromosikan konsep Keluarga Malaysia buatan Bangladesh.

    Beliau tidak menentang mana-mana negara termasuk Bangladesh, tetapi produk itu sepatutnya dihasilkan penduduk tempatan untuk meningkatkan ekonomi mereka pada masa sukar ini.

    Sementara itu, Cha turut mempersoalkan mengapa peruntukan bagi kempen beli barangan buatan Malaysia dikurangkan dari RM20 juta kepada RM10 juta.

  • Datuk Roy ditahan semula SPRM, dijangka dibawa untuk reman esok

    Datuk Roy ditahan semula SPRM, dijangka dibawa untuk reman esok

    DATUK Roy yang direman susulan kes membabitkan dana Jana Wibawa sebelum ini, ditahan semula selepas dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.

    Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.45 petang dan dijangka dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Putrajaya pagi esok.

    Terdahulu, Datuk Roy dilepaskan Majistret Kuala Lumpur Noorelynna Hanim Abd Halim, selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh reman ke atasnya yang tamat hari ini.

    Majistret sebelum ini memerintahkan lelaki itu direman tiga hari berakhir hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dana Projek Jana Wibawa atau nama penuhnya Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa.

    Sementara itu, peguam bela lelaki terbabit, Fahmi Abd. Moin ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya sudah dilepaskan dengan jaminan, namun ditahan semula SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan kes lain.

    “Lanjutan reman akan dimohon esok,” katanya, lapor Berita Harian.

    Datuk Roy ditahan kali pertama ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di Kuala Lumpur, pada pukul 3 petang Isnin lalu.

    Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

  • Jangan mudah batal projek pembangunan, MP PN beritahu kerajaan

    Jangan mudah batal projek pembangunan, MP PN beritahu kerajaan

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang mengingatkan kerajaan PH-BN agar tidak sewenang-wenang membatalkan projek pembangunan yang dicadangkan kerajaan sebelum ini.

    Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, pentadbiran kerajaan sekarang tidak sepatutnya mencadangkan satu atau dua projek baharu, tetapi pada masa sama memberhentikan projek lama yang dicadangkan oleh pentadbiran lalu.

    “Saya telah mencadangkan pembinaan balai bomba di Chenor dan Maran dengan pembinaan sebuah balai bomba dianggarkan menelan belanja RM4 juta.

    “Tanah yang dicadangkan untuk tapak balai bomba juga telah dikenal pasti,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr Ismail ingin tahu status pembinaan balai bomba berkenaan dan tindakan yang diambil oleh kementerian bagi merealisasikan cadangan pembinaan itu.

  • Bekas guru liwat remaja lelaki kekal dijel 14 tahun

    Bekas guru liwat remaja lelaki kekal dijel 14 tahun

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap seorang bekas guru sekolah rendah kerana kesalahan mencabul dan meliwat seorang remaja lelaki.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Lim Chong Fong, sebulat suara, menolak rayuan Mohamad Shafie Abdul Rani, 53, kerana sabitan atas kesalahan tersebut adalah selamat.

    Dalam menyampaikan keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata hakim perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan.

    Mohamad Shafie disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Julai 2021 atas tiga pertuduhan mencabul mangsa ketika berusia 11 tahun di dalam bilik sebuah sekolah dan di pusat latihan guru di kawasan itu, daerah Hilir Perak, pada tahun 2012 dan 2013.

    Dia juga didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan meliwat mangsa yang sama pada ketika itu berumur 17 tahun di sebuah rumah di Langkap, daerah Hilir Perak, pada Disember 2018.

    Mohamed Shafie diperintah menjalani hukuman penjara secara berasingan dari tarikh ditangkap pada 8 Feb 2021 dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas itu.

    Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara pada 26 Mei tahun lepas.

    Perayu diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz.

  • Ahli Parlimen gesa kerajaan kaji lokasi sebelum bina rumah ibadat

    Ahli Parlimen gesa kerajaan kaji lokasi sebelum bina rumah ibadat

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menggesa kerajaan PH-BN mengkaji kesesuaian lokasi sebelum meluluskan pembinaan rumah ibadat terutama berdekatan kawasan perumahan bagi mengelakkan isu sensitif.

    Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengakui maklum mengenai piawaian ditetapkan bagi pembinaan rumah ibadat itu tetapi mencadangkan lot tanah rumah ibadat Islam diletakkan di kawasan berbeza dengan rumah ibadat bukan Islam.

    “Saya cadangkan kepada kementerian, sebaiknya rumah ibadat ini dapat diletakkan pada tapak berbeza. Contohnya rumah ibadat Islam berbeza dengan tapak rumah ibadat bukan Islam kerana ada beberapa sensitivitinya.

    “Kita nak hidupkan keharmonian, tapi tak mahu ada ‘ketajaman’ apabila rumah ibadat ini berada dalam satu lot yang sama kerana mungkin akan berlaku bunyi-bunyi, pembesar suara yang akan timbul sedikit ketidaktenteraman atau sedikit konflik di kawasan tertentu,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Yunus turut memberikan contoh rancangan pembinaan kuil di kawasan Canary Garden, Klang, yang berdekatan perkampungan Melayu, sehingga menimbulkan kerisauan dan bantahan masyarakat setempat.

    “Saya tak menafikan pembinaan itu keperluan penganut Hindu di Kampung Air Hitam, tetapi jaraknya agak jauh (dari masyarakat Hindu).

    “Baru-baru ini ada seolah-olah pecah tanah, timbul kerisauan masyarakat Islam di situ, saya mengharapkan menteri, kerajaan negeri dan PBT dapat menangani isu ini dengan terbaik,” katanya.

  • Isu ziarah gereja: Jangan cabar umat Islam, kata Ridhuan Tee

    Isu ziarah gereja: Jangan cabar umat Islam, kata Ridhuan Tee

    PENDAKWAH terkenal Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan beberapa pihak supaya menghentikan perancangan halus memujuk anak muda Islam untuk berpindah kepada agama lain.

    Memetik laporan Agenda Daily, beliau yang juga penganalisis politik turut mengingatkan bahawa kesabaran umat Islam ada hadnya kerana Islam dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

    “Saya nak bagi tahu kepada pihak berkenaan ni. Kesabaran umat Islam ni dia ada had dia. Jangan terlalu dicabar.

    “Saya bimbang apabila sengaja mencabar agama Islam yang dilindungi dalam Perlembagaan secara sengaja, bukan tak sengaja, secara sengaja dan dirancang secara halus dan secara strategik untuk memurtadkan orang Islam ini, saya fikir ini merupakan satu perkara yang sangat durjana, licik dan jahat dan perlu di dihentikan sebelum umat Islam ni hilang sabarnya,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Penaja Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard, di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara.

    Terdahulu beliau mengiringi Badrul Hisham yang membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan daripada DAP, Hannah Yeoh, berhubung program ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran sebuah badan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Berhubung program ziarah gereja itu, Ridhuan Tee berkata dalam konteks Semenanjung Malaysia, jarang dijumpai iklan gereja ini dalam bahasa Melayu.

    “Tapi sejak kebelakangan ni kita nampak dia bertambah rancak. Saya melihat bahawa ini merupakan satu perancangan halus untuk merosakkan anak-anak muda ini walaupun mereka tahu ianya bercanggah dengan undang-undang dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

    “Perbuatan ini mesti dihentikan dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang menjalankan kegiatan sebegini. Dalam konteks negara kita, saya tidak bercakap soal negara lain… perkara ini sangat serius.

    “Kita tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal orang bukan Islam di negara kita ini orang Islam sangat jarang campur tangan dalam hal ehwal orang bukan Islam.

    “Tetapi mereka ini begitu berani hari ini untuk campur tangan menghasut dan dan juga memujuk anak-anak muda kita untuk untuk pergi kepadaagama mereka. Saya fikir perkara ini perlu dihentikan. Mereka kata kita rasis tapi saya rasa rasis dalam agama ni lebih bahaya daripada rasis bangsa,” katanya.

  • PN akan terus desak caruman KWSP bersasar dibenarkan

    PN akan terus desak caruman KWSP bersasar dibenarkan

    PERIKATAN Nasional (PN) akan terus memperjuangkan supaya pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dapat mengeluarkan simpanan mereka bagi menampung kos sara hidup yang dihadapi sekarang.

    Menurut Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, beliau telah menerima memorandum daripada pencarum berhubung pengeluaran KWSP bersasar.

    Malah katanya, beliau turut memberi jaminan akan terus membawa perkara itu sehingga kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membenarkan pengeluaran berkenaan.

    Pada masa sama beliau berkata, adalah tidak masuk akal apabila kerajaan merancang mencagarkan wang KWSP kepada bank bagi membolehkan pencarum meminjam daripada bank.

    “Dia nak bawa keluar duit dia… tapi kerajaan suruh pinjam daripada bank yang hanya akan menguntungkan bank. Jadi saya terima memorandum daripada pencarum dan insya-Allah kita akan terus perjuangkan supaya dana KWSP boleh dikeluarkan secara bersasar.

    “Dan juga kita harap kerajaan akan dengarlah rintihan daripada rakyat. Hari ni saya jumpa satu kumpulan pencarum KWSP yang hantar kat saya ni memorandum bantahan rakyat terhadap cadangan kerajaan untuk mencagarkan wang simpanan KWSP pencarum kepada pihak bank.

    “Saya sebenarnya memang rasa tak logik untuk guna akaun KWSP… dana dalam KWSP untuk dicagarkan kepada bank,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Pada 9 Mac lalu, Perdana Menteri kerajaan PH-BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

    Menurut Anwar kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

    Bagaimanapun, pelbagai pihak terutama pertubuhan yang mewakili pencarum mengecam rancangan itu yang mereka sifatkan sebagai ‘gali lubang tutup lubang’ dan tidak mampu menyelesaikan masalah.

  • Sumbangan kepada parti bukan pemerintah tak dianggap rasuah, kata Azam

    Sumbangan kepada parti bukan pemerintah tak dianggap rasuah, kata Azam

    SUMBANGAN kepada individu atau parti politik yang bukan sebahagian daripada mana-mana gabungan pemerintah tidak akan dianggap rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Menjawab dakwaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap siasatan rasuah terhadap partinya sebagai berat sebelah, Azam berkata SPRM menjalankan siasatan secara telus.

    “Apabila individu atau parti politik yang tidak berkuasa, atau tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan pengaruh untuk kepentingan diri, menerima sumbangan, ia tidak diklasifikasikan sebagai rasuah,” kata Azam menurut laporan NST.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Latihan Asas Pegawai SPRM di Johor Bahru, hari ini.

    Muhyiddin sebelum ini mencabar SPRM untuk menyiasat dana yang disalurkan kepada parti politik lain, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Barisan Nasional/UMNO).

    Sebelum pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kerajaan ketika itu dipimpin Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di mana BN dan UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan.

    Mengulas lanjut, Azam mendakwa SPRM akan menyiasat semua laporan secara telus dan tanpa berat sebelah.

    Beliau berkata, SPRM perlu menentukan unsur rasuah sebelum membuka kertas siasatan ke atas parti politik.

    “Kami menjalankan siasatan berdasarkan unsur rasuah dan salah guna kuasa apabila laporan dibuat. Tiada individu atau parti politik berada di atas undang-undang.

    “Terutamanya dalam kes rasuah, apabila pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan orang lain, SPRM akan menjalankan siasatan apabila memastikan unsur rasuah ada dalam aduan atau laporan.“

  • Saifuddin sudah ‘move on’ berhubung isu surat RoS

    Saifuddin sudah ‘move on’ berhubung isu surat RoS

    “Saya dah ‘move on’ daripada episod itu.”

    Demikian reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditanya mengenai isu tular surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membabitkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu.

    BH Online melaporkan Saifuddin berkata, UMNO juga akan menjalani pemilihan seperti yang ditetapkan parti pada Sabtu ini.

    Terdahulu tular dokumen didakwa surat daripada RoS yang menjawab berhubung isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu kali ini.

    Isi kandungan surat terbabit mendakwa usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan pada PAU 2022 lalu, adalah tidak sah.

    Bagaimanapun, Saifuddin dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan terbabit.

    Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan pihaknya sudah menerima surat daripada KDN, yang mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.