Category: Semasa

  • Roger Ng mesti lucut hak ASD35.1 juta berkait kes rasuah 1MDB, kata hakim

    Roger Ng mesti lucut hak ASD35.1 juta berkait kes rasuah 1MDB, kata hakim

    SEORANG hakim di Amerika Syarikat semalam memerintahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng melucut hak ASD35.1 juta, selepas menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya kerana membantu menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB.

    Hakim daerah Amerika Syarikat, Margo Brodie menolak hujah Ng bahawa dia tidak lagi memiliki wang selepas kehilangan berpuluh juta dolar hasil daripada jenayahnya terhadap Malaysia.

    Peguam Ng, Marc Agnifilo berkata, anak guamnya, bekas ketua pelaburan perbankan Goldman di Malaysia, telah kehabisan sebahagian besar asetnya.

    Bagaimanapun Brodie berkata, rampasan ASD35.1 juta itu tidak berlebihan mengikut perlembagaan.

    Beliau juga berkata walaupun Ng kurang bersalah berbanding orang lain, “dia memainkan peranan dalam salah satu jenayah kewangan terbesar sepanjang masa”, satu skim yang menyebabkan “kemudaratan tidak ketara kepada keyakinan orang ramai terhadap demokrasi dan kerajaan”.

    Agnifilo tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk ulasan, lapor FMT.

    Brodie menjatuhkan hukuman penjara Ng pada 9 Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas ketuanya Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, ‘mencuci’ hasil, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

    Low Taek Jho, atau Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia dan disyaki dalang skim itu, turut didakwa tetapi masih bebas.

    Leissner berdepan hukuman pada 6 September. Goldman membuat keputusan dengan pihak berkuasa pada Oktober 2020, bersetuju membayar ASD2.9 bilion dan meminta unit di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan di mahkamah Malaysia kerana menerima RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International. Najib secara konsisten menafikan salah laku.

  • Ilmu Hadi diakui dunia, kuliah di masjid tak patut jadi isu- Tuan Ibrahim

    Ilmu Hadi diakui dunia, kuliah di masjid tak patut jadi isu- Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu Tan Sri Abdul Hadi Awang menyampaikan kuliah di masjid tidak patut timbul kerana ilmu dan kepakarannya diakui ulama antarabangsa.

    Beliau juga mendakwa, larangan berceramah atau menyampaikan kuliah di masjid dan surau adalah kabur.

    “Hadi mengajar seluruh dunia, tiba-tiba balik kampung (Rusila) tak boleh mengajar. Jadi kita kena jelas yang tidak dibenarkan ceramah parti politik atau ceramah politik?” katanya memetik laporan FMT.

    Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu pada 3 Mac lepas melarang ahli politik termasuk wakil rakyat memberikan kuliah atau ceramah agama dan khutbah Jumaat di semua masjid dan surau tanpa tauliah mengajar atau kebenaran.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin kerajaan perikatan gabungan politik besar tanah air berkata, pihaknya akur dengan ketetapan itu.

    Hadi bertegas bahawa menjadi kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai ‘politik Islam’ dan dilapor terus menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat tujuh hari selepas larangan berkuatkuasa.

    Menjawab pertikaian terhadap aktiviti Hadi di masjid, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa beliau sudah lama bergiat di Masjid Rusila, Marang yang dibina oleh keluarganya.

    “Tok guru dunia iktiraf ilmu dia dan kepakarannya dan rakyat Terengganu sendiri tidak ada isu dengan aktiviti Hadi. Lebih 40 tahun dia mengajar situ.

    “Bayangkan arwah Nik Aziz tiba-tiba tak boleh mengajar, kan pelik,” kata Tuan Ibrahim, merujuk kepada bekas Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Tuan Ibrahim berkata, Presiden Pas itu merupakan seorang ahli politik dan guru agama yang memimpin masyarakat.

    “Kalau kita kata orang politik tak boleh beri kuliah di masjid, sedangkan orang politik ini pemimpin.”

    Mengulas perbandingan Hadi dengan pemimpin Pas terdahulu seperti Nik Aziz, bekas Presidennya, Datuk Fadzil Mohd. Noor, dan bekas Mursyidul Amnya, Datuk Dr. Haron Din, Tuan Ibrahim mengingatkan tokoh-tokoh tersebut diserang dengan hebat ketika hayat mereka.

    “Bila meninggal dunia baru semua nampak baik, kalau hidup nampak tak okay … kena mati dahulu baru orang lihat okay,” katanya, sinis.

    Tuan Ibrahim berkata, Hadi menonjol berbanding presiden terdahulu kerana berjaya mengemudi parti itu sehingga membentuk kerajaan Persekutuan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Barisan Nasional pada 2020.

  • Bayi mati selepas lahir, hospital swasta diarah bayar RM700,000

    Bayi mati selepas lahir, hospital swasta diarah bayar RM700,000

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan sebuah hospital swasta membayar ganti rugi RM700,000 kepada sepasang suami isteri yang kematian bayi mereka selepas dilahirkan di pusat perubatan itu tujuh tahun lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Akhtar Tahir memerintahkan bayaran ganti rugi teladan RM500,000, selain RM200,000 untuk penderitaan kepada Nur Amalina Ismail dan suaminya, Syed Afi Said Merah.

    Pasangan itu yang diwakili peguam Farhana Abdul Halim, turut menerima bayaran kos RM30,000.

    Menurut Akhtar, terdapat kelewatan melampau di pihak doktor yang merawat Nur Amalina, menyebabkan komplikasi pada bayi dalam kandungan sehingga membawa kepada kematian.

    “Tiada penjelasan munasabah mengenai kelewatan ini, selain sikap tidak endah doktor terhadap tugasnya,” katanya dalam alasan bertulis yang dikeluarkan semalam.

    Akhtar berkata, beliau mempertimbangkan sikap doktor itu cenderung kepada “kesemberonoan dan kecuaian jenayah”.

    “Ia sebagai pengajaran kepada profesional perubatan dalam menjalankan tugas mereka. Satu mesej jelas perlu disampaikan bahawa sikap sedemikian tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan kematian,” katanya.

    Keputusan lisan itu disampaikan pada 17 Jan lalu terhadap doktor itu dan Hospital Pusrawi Sdn Bhd sebagai defenden kedua.

    Kedua-dua defendan yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan P Tishondra, merayu kuantum itu ke Mahkamah Rayuan.

    Hakim berkata, Nur Amalina mengalami kecemasan selepas air ketubannya pecah pada 6 Nov 2016 ketika berada di hospital itu untuk melahirkan anaknya.

    Katanya, doktor menyerahkan kepada jururawat dan hanya melawat Nur Amalina keesokannya.

    Ketika memeriksa Nur Amalina, doktor itu segera mengarahkan pembedahan kecemasan dilakukan.

    Ketika dilahirkan, leher bayi itu didapati terbelit tali pusat menyebabkan bayi itu meninggal dunia sehari kemudian.

  • Penyewa kejam, jadikan kondominium ‘rumah sembelihan’ kucing

    Penyewa kejam, jadikan kondominium ‘rumah sembelihan’ kucing

    KEJAM….Itu ungkapan sesuai menggambarkan perbuatan tidak berperi kemanusiaan seorang lelaki yang disyaki membunuh dan mengerat anggota badan kucing di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

    Perbuatan rakyat tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu terbongkar selepas pemilik menemui puluhan rangka, organ dan daging kisar haiwan disyaki kucing.

    Penemuan pada 11 Mac itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) di Facebook hari ini yang memaklumkan laporan polis sudah dibuat.

    Menurut kenyataan, kegiatan individu yang membunuh dan mengerat anggota badan haiwan terbabit terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.

    “Pemilik premis pada mulanya menerima aduan daripada jiran yang tidak tahan bau busuk dari dalam rumah dihuni lelaki tempatan.

    “Hasil pemantauan mendapati keadaan rumah teruk, tragis dan mengerikan dengan banyak keratan anggota badan haiwan ditemui dalam rumah sewa itu.

    “Terdapat sebuah bilik turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang sudah reput,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    MAA berkata, pemilik rumah kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu pada 13 Mac lalu.

    Bagaimanapun, katanya, laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa polis.

    “Aduan akhirnya sampai kepada MAA sebelum dipanjangkan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu tindakan siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh,” katanya.

    MAA menuntut supaya pelaku diheret ke mahkamah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika benar berlaku aktiviti kezaliman itu.

  • Puteri Sarah enggan berdamai, tekad bercerai

    Puteri Sarah enggan berdamai, tekad bercerai

    SESI Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini gagal menemui jalan penyelesaian.

    Puteri Sarah mengakui penat dengan kemelut melanda rumah tangganya dan tetap dengan keputusan untuk bercerai serta enggan berdamai.

    “Saya masih dengan keputusan untuk bercerai dan tidak mahu berdamai. Cukup-cukuplah saya sudah penat, lepaskan saja saya,” katanya.

    Aktres berumur 38 tahun itu kekal dengan keputusan untuk bercerai dengan Syamsul dan menyerahkan perkara tersebut pada sesi sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 10 April depan.

    Puteri Sarah yang diwakili adiknya, Dr. Puteri Sofea turut memohon agar sesi JKP yang berlangsung selama hampir dua jam itu dijalankan secara berasingan kerana enggan bersemuka dengan Syamsul.

    “Saya memilih untuk tidak berjumpa dan sebilik dengan Syamsul hari ini. Jadi, saya dan adik hanya berjumpa dengan pegawai yang dilantik dan menceritakan segala-galanya mengenai konflik rumah tangga kami serta bukti.

    “Bagi saya, pegawai Jawi perlu tahu apa yang berlaku supaya ada jalan penyelesaian atau sebaliknya.

    “Saya tegaskan kepada pegawai berkenaan saya memang tidak mahu bersama kerana sudah penat dengan masalah yang ditanggung selama beberapa tahun ini,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, media tempatan melaporkan, Syamsul sedia mempertimbangkan permintaan Puteri Sarah untuk dilepaskan jika isteri pertamanya itu mahu bersemuka.

    “Insya-Allah, saya tidak tahu… Insya-Allah. Apa yang penting, ayuh kita berjumpa.

    “Saya akur dan mengharapkan masalah rumah tangga kami dapat diselesaikan secara baik,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya sesi JKP.

    Pengarah kontroversi itu juga menyatakan kekecewaannya apabila harapan untuk bertentang mata dengan Puteri Sarah pada sesi perdamaian tidak kesampaian.

    “Saya harap hari ini dapatlah berjumpa Sarah, tetapi, malangnya, proses itu dijalankan berasingan,” luah beliau.

    Syamsul tiba di Jawi sekitar pukul 9.35 pagi tadi bagi sesi perbincangan dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah menerusi JKP.

    Pada 7 Mac lalu, pasangan berkenaan diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

  • Peniaga mengaku tidak salah tipu jual beli kereta

    Peniaga mengaku tidak salah tipu jual beli kereta

    SEORANG peniaga dalam talian didakwa di tiga Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memperdayakan tiga peniaga lain dalam urusan jual beli kereta berjumlah RM30,200, tahun lalu.

    Chuan Kian Voon, 46, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Nadia Othman dan Noorelynna Hanim Abd Halim.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 55 tahun dengan memperdayakan mereka dalam urusan jual beli kenderaan jenis Mercedes GLA 250, Porche Macan dan Honda Civic dengan deposit berjumlah RM30,200.

    Tertuduh dengan curangnya mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang itu ke beberapa akaun bank milik pihak lain, termasuk secara tunai yang mana mereka tidak akan menyerahkan jumlah tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Cheras, pada bulan Jun dan 12 Disember 2022.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan Kian Voon diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kesemua pertuduhan, dengan seorang penjamin.

    Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 dan 16 Mei depan.

  • Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    POLIS menahan seorang guru sambilan di sebuat pusat tuisyen di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, selepas dipercayai mencuri lima mesin projektor bernilai RM13,000 milik majikannya selepas berang gajinya tidak dibayar.

    Tindakan lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

    Kecurian projektor itu dilaporkan pekerja pusat tuisyen itu kepada pengetua mereka pada pukul 10 pagi kelmarin dan mengesyaki suspek yang melakukannya.

    Malah perbuatan suspek mencuri barangan terbabit turut disedari beberapa pelajar yang ketika itu berada di dalam kelas.

    Memetik laporan Harian Metro, suspek yang baru sebulan mengajar di pusat tuisyen itu mendakwa tidak menerima bayaran gaji hampir RM3,000 menyebabkan dia bertindak melakukan perbuatan itu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat kes curi projektor di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, di sini sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek semalam.

    Menurutnya, turut dirampas barang-barang kes yang dicuri suspek.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Khutbah Jumaat di Selangor kutuk LGBT, beri amaran umat Islam supaya tidak menyokongnya

    Khutbah Jumaat di Selangor kutuk LGBT, beri amaran umat Islam supaya tidak menyokongnya

    KHUTBAH Jumaat di masjid-masjid di Selangor hari ini memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak menyokong perjuangan LGBT, menyifatkan mereka yang mengamalkan homoseksualiti ini terlibat dalam ‘tabiat sesat’ yang akan mengundang kemurkaan Allah.

    “Orang Islam yang beriman dan bertakwa wajib menolak LGBT dan menolak kumpulan liberal yang mendukung tabiat songsang ini,”menurut teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), merujuk kepada gerakan lesbian, gay, biseksual, dan transgender.

    “Pengamal-pengamal LGBT dan yang mempertahankannya hendaklah kembali bertaubat, menyesal dan tidak mengulangi perbuatan haramnya. Kecenderungan seks songsang adalah tabiat yang boleh diubah melalui mujahadah nafsu yang berterusan.”

    Memetik laporan MalaysiaNow, amaran itu hadir berikutan pembatalan acara hiburan yang dirancang di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur yang mana penganjur berkata akan menampilkan persembahan lelaki sasa berpakaian dalam wanita atau lebih dikenali sebagai ‘Thai Hot Guy’.

    Susulan bantahan keras daripada Pas dan pemimpin Islam yang mengecam rancangan sedemikian kerana bertentangan dengan budaya dan sensitiviti tempatan, penganjur bertindak membatalkan acara tersebut.

    Awal bulan ini, perarakan Hari Wanita di Kuala Lumpur menyaksikan sekumpulan aktivis LGBT menyeru hak sama rata, mencetuskan kritikan daripada Pas serta siasatan polis.

    Perarakan ini antara lain dianjurkan oleh Sisters In Islam (SIS), selepas gagal dalam rayuan untuk menolak fatwa di Selangor pada 14 Mac lalu yang melabelkan kumpulan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

    Khutbah hari ini turut menyerang SIS dan menyeru umat Islam supaya mengikut ajaran Islam yang betul iaitu ‘suci dan tidak tercemar’.

    “Orang Islam wajib menjauhi fahaman dan pemikiran liberalisme selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menyatakan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

    “Mana-mana individu atau kumpulan yang menyatakan sokongan terhadap hak asasi LGBT adalah haram kerana perbuatan yang menyokong kepada kemungkaran boleh merosakkan akidah.”

  • Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan rasuah berkaitan permit kerja

    Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan rasuah berkaitan permit kerja

    SEORANG bekas penolong juruteknik Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Labuan hari ini atas tujuh tuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,500 berhubung dokumentasi permit kerja.

    Mazeran Mohamad Zain, 38, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui transaksi dalam talian antara 31 Okt 2019 dan 20 Dis 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin tempatan serta perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 22 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Joe Randy Juster, manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh.

  • 5 pegawai Imigresen, 4 ejen direman bantu seludup warga asing

    5 pegawai Imigresen, 4 ejen direman bantu seludup warga asing

    SEMBILAN individu, termasuk lima pegawai Jabatan Imigresen (JIM) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui lapangan terbang.

    Majistret Leona Dominic Mojiliu, mengeluarkan perintah reman itu bermula 24 sehingga 29 Mac ini selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tawau, hari ini.

    Lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara pukul 2 petang hingga 9 malam tadi menerusi Ops Lancar oleh SPRM.

    Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar daerah Tawau antara pukul 3 hingga 5 petang hari yang sama, lapor Berita Harian.

    Semua mereka disyaki menerima wang suapan berjumlah RM100 hingga RM3,000 bagi setiap PATI daripada ejen sebagai dorongan untuk melepaskan PATI yang menggunakan kad pengenalan individu lain daripada pemeriksaan di LTT.

    Pegawai Penyiasat SPRM, Wan Muhammad Iqmal Wan Ishak, dalam permohonannya memohon tempoh reman selama tujuh hari bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

    Katanya, berdasarkan siasatan dan risikan yang dijalankan, kegiatan sindiket terbabit bermula sejak tahun 2021 membabitkan penyeludupan keluar PATI dari Sabah ke Semenanjung melalui lapangan terbang.