Category: Semasa

  • Guan Eng tak perlu ugut saya – Wan Fayhsal

    Guan Eng tak perlu ugut saya – Wan Fayhsal

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengingatkan Lim Guan Eng supaya tidak menggunakan ugutan terhadap dirinya susulan laporan polis yang dibuat terhadap pengerusi DAP itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, Guan Eng juga perlu patuh kepada peruntukan undang-undang apabila menuduh orang lain dan bukannya melakukan ‘drama’ dan propaganda.

    “Tidak perlulah Lim Guan Eng nak mengugut saya. Saya yakin apa yang saya cakapkan dan akan mempertahankan pemimpin saya yang dianiayai.

    “Laporan polis Armada adalah jelas. Ia mudah dibaca dalam bahasa yang tidak rumit atau mengelirukan. Tidak seperti pembohongan yang dilakukan DAP dan PM Anwar Ibrahim. Itukah sebabnya YB Lim meloncat, menyerang dan mengugut saya?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Guan Eng sebelum ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa bekas Menteri Kewangan itu membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Armada kemudian memfailkan laporan balas terhadap Guan Eng serta Anwar kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

    Ini menyebabkan Guan Eng memberi amaran kepada Wan Fayhsal bahawa tindakan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

    Wan Fayhsal dalam pada itu mendakwa fitnah yang dilakukan Anwar terhadap Muhyiddin lebih ‘dasyat’ dan berniat jahat.

    “Lupakah Guan Eng fitnah dasyat yang lebih besar yang dilontarkan oleh Anwar bahawa Muhyiddin selewengkan RM600 bilion, kemudian turun RM530 bilion, kemudian bertukar kepada RM92.5 bilion, kemudian jatuh merudum kepada RM4.5 bilion.

    “Yang terkini dan yang cuba dipalitkan kepada Muhyiddin bukan lagi seleweng duit tapi salah guna kuasa. Jumlahnya bukan yang dituduh awal-awal dulu. Itu bukan fitnah jahat,” soalnya.

    Tambahnya, orang ramai kini dapat melihat bahawak erajaan menggunakan kuasa untuk menindas pembangkang, dengan pemimpin daripada parti kerajaan galak membuat laporan polis terhadap musuh politik mereka.

    “DAP dah tidur sekatil dengan UMNO jadi biarlah ‘strange bed fellows’ ini dengan asmara politik mereka.

    “UMNO dan DAP akan dihukum dalam 6 pilihan raya negeri nanti. Kita tunggu dan lihat. Sementara itu janganlah main kotor,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Anwar gagal bertemu putera mahkota dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi

    Anwar gagal bertemu putera mahkota dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi

    PERSOALAN timbul terhadap sambutan yang diberikan kepada Perdana Menter, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasminya ke Arab Saudi baru-baru ini, selepas Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga merangkap Perdana Menteri enteri, tidak memperuntukkan masa untuk bertemu dengannya.

    Diplomat yang biasa dengan hubungan Arab Saudi-Malaysia selama beberapa dekad juga membuat perbandingan dengan lawatan rasmi pada Mac 2021 oleh perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Mohammed serta pemimpin kanan in kerajaan.

    “Pertemuan dengan Mohammed akan menjadi acara kemuncak dalam mana-mana lawatan Perdana Menteri Malaysia, terutamanya jika ia dianggap sebagai lawatan rasmi,” kata bekas diplomat Malaysia yang berkhidmat di pelbagai ibu negara di Timur Tengah, merujuk kepada putera mahkota Arab Saudi.

    Laporan Bernama berkata pertemuan yang dijadualkan dengan Mohammed tidak berlaku kerana putera mahkota mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan.

    Anwar sendiri berkata, beliau kecewa kerana tidak dapat bertemu, tetapi terus mendakwa bahawa pemimpin Arab Saudi meminta beliau melanjutkan tempoh lawatan selama dua hari lagi untuk bertemu dengan pemimpin kerajaan.

    Anwar juga mendakwa beliau tidak boleh tinggal lebih lama kerana terpaksa menghadiri majlis iftar (berbuka puasa) bersama Yang di-Pertuan Agong, serta membuat lawatan rasmi sehari ke Kemboja.

    “Tetapi hakikat bahawa Anwar sudah melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi, dan itu juga untuk memenuhi jemputan oleh Mohammed, hanya untuk diberitahu bahawa baginda tidak dapat bertemu kerana telah mengubah rancangannya, ia sungguh memalukan,” kata diplomat yang sama.

    Semakan dengan laporan media Arab Saudi juga menunjukkan mereka kurang kesungguhan untuk membuat liputan mengenai lawatan Anwar.

    Antara yang ditemui Anwar dalam lawatannya termasuk gabenor Jeddah, presiden Bank Pembangunan Islam, dan seorang pegawai Liga Dunia Islam, kumpulan propaganda Saudi yang lama dikaitkan dengan Anwar.

    “Tiada seorang pun daripada pemimpin ini mewakili kemuncak kuasa Saudi yang harus ditemui oleh mana-mana pemimpin kerajaan berpangkat tinggi untuk menjadikan lawatan mereka berbaloi,” kata diplomat yang sama.

    “Wisma Putra dan kedutaan Malaysia perlu menjawab banyak persoalan sukar tentang bagaimana lawatan rasmi seorang perdana menteri memalukan dengan cara ini,” lapor MalaysiaNow.

    Sebaliknya beliau berkata, lawatan Muhyiddin ke Arab Saudi pada Mac 2021 menyaksikan beliau berbincang dengan putera mahkota Mohammed, serta menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman.

    Setibanya di Riyadh, Muhyiddin disambut oleh Mohammed sendiri di lapangan terbang.

    Sebelum itu di Mekah ketika beliau menunaikan Umrah, Muhyiddin diberikan akses ke Kaabah, penghormatan yang jarang diberikan, hanya kepada ketua kerajaan dan tokoh Islam terkemuka.

    Sementara itu, Anwar memulakan perjalanan ke Arab Saudi dengan tiba di Jeddah untuk menunaikan Umrah.

    Laporan Bernama berkata, beliau disambut oleh gabenor setibanya di bandar itu.

    ‘Ke mana layanan Arab Saudi?’

    Bercakap kepada MalaysiaNow, sumber diplomatik yang biasa dengan hubungan Malaysia dengan negara-negara Teluk mempersoalkan alasan perubahan jadual putera mahkota yang menyebabkan Anwar “tidak dapat bertemu rakan sejawatannya dari negara yang merupakan salah satu rakan kongsi terpenting Arab Saudi” .

    “Keramahan Saudi yang dikenali hilang di sini. Ini jarang berlaku walaupun pemimpin yang kurang mesra,” tambahnya.

    Beliau berkata Anwar tidak perlu menunjukkan beliau lebih mesra kepada Arab Saudi berbanding pemimpin Malaysia terdahulu dengan membangkitkan isu penutupan pusat yang disokong Saudi pada 2018.

    “Sekiranya beliau dijemput untuk lawatan rasmi, beliau berhak mendapat protokol yang sepatutnya,” katanya.

    Pada sidang media sejurus sebelum pulang, Anwar berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk menghentikan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

    KSCIP pertama kali dicadangkan oleh Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz semasa lawatannya ke Malaysia pada 2017, dan diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak.

    Pada 2018, kerajaan PH yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarahkan penutupan pusat itu, mencerminkan langkah Putrajaya ketika itu menjauhkan diri daripada dasar pro-Barat Saudi.

    Kegagalan Anwar untuk bertemu putera mahkota Mohammed bukanlah kegagalan diplomatik pertama yang dialami oleh seorang pemimpin Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Pada April tahun lalu, MalaysiaNow melaporkan bahawa kesilapan komunikasi oleh diplomat tertinggi di kedutaan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu mengakibatkan sambutan hambar sewaktu lawatan rasmi Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan menghadiri ekspo perdagangan besar.

    Kerajaan kemudian menyalahkan Duta Besar Malaysia ke UAE, Tarid Sufian, dan Konsul Jeneralnya di Dubai, Hasril Abdul Hamid, yang mana kedua-duanya dipanggil balik ke Wisma Putra.

  • Ketua Wanita UMNO dilantik pengerusi Risda?

    Ketua Wanita UMNO dilantik pengerusi Risda?

    AHLI Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Noraini Ahmad dikatakan dilantik sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang baharu.

    Ini susulan tular ucapan tahniah kepada ketua Wanita UMNO itu, disiarkan dalam Facebook agensi berkenaan yang kemudiannya dipadam.

    FMT menghubungi Noraini namun belum mendapat maklum balas.

    Bagaimanapun, sumber mengesahkan beliau dilantik ke jawatan itu.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai timbalan pengerusi Tekun Nasional.

    Tekun Nasional adalah agensi bertangungjawab menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

    Perkara itu didedahkan dalam surat tular daripada Pejabat Perdana Menteri, dengan bekas Ahli Parlimen Kapar, Sani Abdul Hamid dinamakan sebagai pengerusi Tekun Nasional.

    Ketika dihubungi FMT, Sany berkata, belum dimaklumkan mengenai pelantikan itu.

    “Saya pun tak tahu lagi. Saya pun belum dapat lagi surat. Saya tak berani komen,” katanya.

    Dalam surat sama, bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dilantik sebagai pengerusi SME Corp.

    Sebelum ini, bekas ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pengerusi Felcra.

    Pelantikan semula Jazlan pada mulanya diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Disember lalu, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian berkata ia ditangguhkan.

  • Indonesia masih urus isu kos pembantu rumah

    Indonesia masih urus isu kos pembantu rumah

    KERAJAAN Indonesia masih menguruskan isu berkaitan kos pengambilan pembantu rumah yang lebih rendah dari republik itu ke Malaysia.

    Menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, pihaknya belum mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

    “Kerajaan Indonesia tidak mahu menghantar pekerja domestik dalam bilangan besar kerana bimbang kemungkinan timbul pelbagai masalah,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Hermono sebelum ini dilaporkan berkata, kos mengambil pembantu rumah warga Indonesia boleh turun serendah RM8,000 seorang, bergantung kepada perundingan antara agensi pengambilan pekerja kedua-dua negara.

    Katanya, jumlah RM15,000 adalah bayaran maksimum boleh dikenakan agensi kepada majikan tetapi boleh merundingkan harga lebih baik dengan agensi di Indonesia selagi mengikut saluran undang-undang.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata pihaknya mengharapkan usaha mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

    “Kos sedia ada agak tinggi, maka sememangnya kita mengharapkan ia dikurangkan ke tahap yang munasabah dan masih memberi ruang ejen pengambilan pekerja menjana pendapatan,” katanya.

    Beliau berkata, kos pengambilan pembantu rumah agak tinggi di Indonesia kerana perlu membayar kos tinggi bagi khidmat orang tengah atau ‘calo’ di sana.

    “Caj dikenakan calo sudah sedia ada tinggi dan disarankan tidak menggunakan khidmat mereka bagi mengelak pertambahan kos.

    “Sesiapa yang mahu bekerja di Malaysia boleh terus ke agensi dan tidak perlu menggunakan calo berkenaan,” katanya.

  • Warga emas maut susulan rumah dirempuh MPV

    Warga emas maut susulan rumah dirempuh MPV

    SEORANG warga emas berusia 82 tahun yang mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri selepas rumahnya dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) tengah hari semalam, meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa, Rahimah Abdul Majid meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar ( HTJ ) Seremban ketika menerima rawatan.

    Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, media melaporkan, warga emas patah tulang pinggul selepas kediamannya di rempuh MPV dalam kejadian pada pukul 12.58 tengah hari semalam.

    Memetik laporan BH Online, pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina, wanita berusia 43 tahun lebam pada dada kiri dan paha kiri.

    Siasatan awal polis mendapati, MPV dipandu wanita dari arah Serting Ulu menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusaj, terbabas masuk ke bahu jalan dan melanggar sebuah rumah ketika melalui jalan di Kilometer 40 Jalan Peradong.

    Akibat kejadian itu, mangsa yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri.

    Rumah mangsa pecah di bahagian dinding hadapan, manakala MPV remuk bahagian hadapan dan cermin depan pecah.

  • Pakej Rahmah Haji tawar harga bawah RM50,000

    Pakej Rahmah Haji tawar harga bawah RM50,000

    BAKAL jemaah haji tahun ini berpeluang mendapatkan Pakej Rahmah Haji ditawarkan pada harga bawah RM50,000 seorang oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberikan lesen oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu disambut baik oleh 23 PJH, malah ada yang menawarkan pakej pada harga antara RM43,000 dan RM45,000.

    “Alhamdulillah dengan tawaran kurang daripada RM50,000 ini kita harap akan lebih ramai (jemaah haji) mengambil tawaran disediakan, Insya-Allah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Karnival PJH 1444H/2023M bertema ‘Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’ yang julung kali dianjurkan TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia).

    Turut dilancarkan Direktori PJH sebagai rujukan untuk bakal jemaah haji.

    Na’im berkata, 23 PJH yang diberi lesen oleh TH memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman serta berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan bertanggungjawab menjaga kebajikan jemaah haji yang pergi sama ada secara muassasah atau pakej.

    “Sejak beberapa tahun ini, banyak berita berkaitan penipuan pakej haji dan umrah dilaporkan pihak media. Kerajaan memandang serius dan bertekad menangani penipuan membabitkan jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji ini,” katanya.

    Beliau berkata, TH bekerjasama erat dengan polis serta syarikat berdaftar bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menangani masalah itu.

    Na’im juga menegaskan TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkait tawaran dan pakej haji, justeru individu atau syarikat menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Akta Tabung Haji 1995.

  • Enam lembu jadi mangsa serangan harimau tiga beranak

    Enam lembu jadi mangsa serangan harimau tiga beranak

    SEORANG penternak kerugian kira-kira RM15,000 apabila enam lembu peliharaannya mati diserang harimau belang dalam kebun getah di Kampung Perala di Tanah Merah, semalam.

    Kejadian itu disedari Wan Md. Seri Wan Ismail, 60, apabila mendapati dua lembunya mati akibat serangan terbabit, manakala empat lagi terpaksa disembelih.

    “Ketika ke kebun getah tempat 13 ekor lembu peliharaan saya ditambat pada pukul 9.30 pagi semalam, saya mendapati pagar kandang pecah namun tidak mengesyaki apa-apa.

    “Sebaik masuk ke dalam kandang, saya dapati seekor lembu kelihatan dalam keadaan diam bagaikan trauma. Keadaan itu agak pelik kerana selama ini semua lembu saya tidak jinak sedemikian rupa, malah ada ketikanya sukar dikawal.

    “Hasil pemerhatian lanjut, saya dapati dua lagi lembu terbaring dengan kesan serangan haiwan dan saya pasti ia adalah harimau belang.

    “Saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum mereka tiba untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Wan Md. Seri berkata, empat lembu yang turut diserang masih hidup tapi terpaksa disembelih dan dagingnya diberikan secara percuma kepada jiran, manakala separuhnya dijual dengan harga yang murah.

    Dia terpaksa memindahkan baki tujuh ekor lagi lembunya ke kandang lain sementara perangkap selesai dipasang pada hari ini.

    Di kandang sementara itu katanya, dipasangkan lampu dan buat unggun api serta memasang radio dengan kuat bagi mengelakkan harimau mendekati kawasan berkenaan.

    “Saya dimaklumkan oleh Perhilitan bahawa serangan itu membabitkan sekumpulan harimau belang yang dipercayai tiga beranak yang merayau mencari makanan.

    “Kehadiran harimau belang itu juga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung untuk keluar bekerja terutama penoreh getah yang risau jika terserempak dengan tiga beranak itu,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tiga beradik termasuk 2 OKU ditemui dengan kaki berantai disyaki didera

    Tiga beradik termasuk 2 OKU ditemui dengan kaki berantai disyaki didera

    TIGA beradik dipercayai mangsa dera ditemui dalam keadaan kaki masih berantai di tepi titi, Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di Kangar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa berusia 13 hingga 16 tahun ditemui oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.

    Menurutnya, semasa ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.

    “Mereka dipercayai dikurung dan dirantai dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka sebelum bertindak melarikan diri kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian.

    “Bagaimanapun pihak polis masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat lain memandangkan mangsa enggan bercakap,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Yusharifuddin memaklumkan, semakan polis mendapati dua daripada mangsa memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran dan pembelajaran.

    Tambahnya, ketiga-tiga mangsa kini sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta dilaporkan stabil.

    “Saya dimaklumkan seorang mangsa yang berusia 16 tahun didapati mempunyai kesan luka lama pada kedua belah tangannya, namun masih menantikan laporan dua beradik itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan seorang wanita dipercayai ibu mereka berusia 46 tahun dan seorang lelaki berusia 31 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Menurut Yusharifuddin, kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

  • Penyelia kilang rugi lebih RM160k diperdaya Love Scam

    Penyelia kilang rugi lebih RM160k diperdaya Love Scam

    SEORANG lelaki kerugian RM164,601 apabila terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki bujang berusia 56 tahun itu mendakwa berkenalan dengan wanita tempatan di laman sosial terbabit pada awal Disember lalu.

    “Mangsa yang merupakan penyelia kilang ditawarkan satu skim pekerjaan sambilan melalui pautan yang dihantar ke aplikasi WhatsApp.

    “Mangsa kemudian mendaftar sebagai dropship dalam aplikasi Amazon Europe yang menjual barangan dalam page Amazon dengan bayaran sebanyak RM100,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semua urusan perkenalan serta perniagaan antara mangsa dan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp tanpa bersemuka.

    Selepas tiga bulan kata beliau, akaunnya disekat atas alasan dua pelanggan mendakwa tidak menerima barangan yang ditempah.

    “Mangsa dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM4,000 tetapi aplikasi terbabit masih menunjukkan tiada pelanggan berminat berurus niaga dengan akaunnya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ramli berkata, berikutan itu, mangsa berhasrat untuk menutup akaun Amazon berkenaan kerana mahu mengeluarkan wang keuntungan yang dicatatkan iaitu berjumlah RM700,000.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa diminta membuat bayaran pemprosesan, cukai kerajaan dan pengurusan wang kastam untuk menebus keuntungan itu sehingga mangsa membuat 14 kali pindahan wang kepada tiga akaun bank berbeza berjumlah RM164,601.

    “Mangsa kemudian gagal menghubungi wanita yang memperkenalkannya dengan platform perniagaan itu dan hanya dimaklumkan berada di luar negara atas urusan perubatan ibu,” katanya.

    Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Sindiket guna MyKad tulen tumpas, 8 PATI Filipina ditahan

    Sindiket guna MyKad tulen tumpas, 8 PATI Filipina ditahan

    LAPAN pendatang haram Filipina disambut dengan gari sejurus tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat komersial dari Tawau, Sabah.

    Semua mereka cuba menyusup ke Semenanjung Malaysia menggunakan khidmat sindiket menyewakan MyKad tulen.

    Namun tindakan pantas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibantu sepasukan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pukul 12 tengah hari semalam, berjaya melumpuhkan sepenuhnya sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina terbabit.

    Difahamkan kejayaan itu hasil usaha keras Bahagian Perisikan SPRM yang mengesan pembabitan ‘orang dalam’ di Lapangan Terbang Tawau, Sabah, hingga menyebabkan PATI mudah bolos melalui pintu keselamatan untuk menaiki pesawat.

    Dalam operasi dilakukan semalam, semua penumpang pesawat yang baru tiba dari Sabah di Terminal 2 diarah menjalani pemeriksaan ketat dengan menunjukkan MyKad masing-masing.

    Pegawai JPN kemudian menggunakan alat pembaca MyKad dan MyKid bertujuan mengesan ketulenan MyKad milik semua penumpang.

    Pengesahan cap jari turut dilakukan menggunakan alat berkenaan bertujuan bagi pengesahan pemilik sebenar MyKad itu.

    Hasilnya tiga lelaki dan empat wanita penumpang pesawat yang menyamar sebagai rakyat Malaysia dikesan menggunakan MyKad tulen milik individu lain.

    Turut ditahan seorang bayi lelaki berusia setahun yang dibekalkan sijil kelahiran tulen oleh sindiket sama.

    Jurucakap SPRM berkata, pihaknya turut berjaya memberkas tiga ‘dalang’ utama sindiket membabitkan wanita tempatan berusia 40-an hingga 50-an yang dipercayai mengiringi semua PATI terbabit menaiki pesawat.

    “Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah MyKad lain disimpan suspek utama yang dipercayai disewa dari individu lain untuk tujuan jenayah itu.

    “Susulan itu kesemua 11 individu terbabit ditahan pihak JPN dan SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Selain itu, pihak SPRM dan JPN dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberkas dua PATI di Johor dan dua PATI di Kunak, Sabah yang ada kaitan dengan sindiket itu.

    Sementara itu, sumber memaklumkan, seramai lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Tawau, turut ditahan sepasukan pegawai SPRM pagi semalam, bagi tujuan siasatan.

    Penahanan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita yang disyaki menerima suapan dari sindiket penyeludupan PATI terbabit.

    Media semalam menyiarkan kewujudan sindiket membawa PATI untuk keluar dan masuk di Lapangan Terbang Tawau yang didalangi beberapa warga tempatan.

    Modus operandi sindiket adalah setiap PATI atau pemastautin sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada orang tengah jika ingin keluar daripada Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

    Orang tengah ini kemudian membuat bayaran wang rasuah kepada pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Tawau.

    Wang rasuah itu adalah dorongan supaya mereka tidak membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri terhadap PATI yang menaiki pesawat menuju ke KLIA2.

    Kebiasaannya PATI akan membuat bayaran deposit sebanyak RM1,500 kepada orang tengah yang kemudian membuat pembelian tiket kapal terbang, menyediakan MyKad tulen yang bakal digunakan PATI.

    Sindiket turut akan berurusan dengan pegawai Imigresen Lapangan Terbang Tawau untuk tidak membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri Pati semasa hari perjalanan.

    Sebelum berlepas ke Semenanjung Malaysia, PATI ini akan dikumpulkan di rumah transit di sekitar Sabah sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Tawau.

    Suspek akan membawa PATI ke Lapangan Terbang Tawau dan akan menyerahkan tiket penerbangan dan MyKad yang akan digunakan bagi penerbangan ke KLIA2.

    Selepas PATI tiba di Terminal 2 KLIA, mereka akan membayar baki bayaran berjumlah RM1,000 secara tunai kepada orang tengah di sekitar kawasan KLIA2.

    Kebiasaannya dalang atau orang tengah berusia 55 tahun akan membawa di antara lima sehingga 20 Pati bagi setiap penerbangan.

    Jumlah wang rasuah diberikan kepada pegawai Imigresen mencecah RM500 untuk setiap PATI.

    Sementara itu Pengarah Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman yang dihubungi mengesahkan operasi dan tangkapan dilakukan pihaknya.