AHLI Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Noraini Ahmad dikatakan dilantik sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang baharu.

Ini susulan tular ucapan tahniah kepada ketua Wanita UMNO itu, disiarkan dalam Facebook agensi berkenaan yang kemudiannya dipadam.

FMT menghubungi Noraini namun belum mendapat maklum balas.

Bagaimanapun, sumber mengesahkan beliau dilantik ke jawatan itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai timbalan pengerusi Tekun Nasional.

Tekun Nasional adalah agensi bertangungjawab menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Perkara itu didedahkan dalam surat tular daripada Pejabat Perdana Menteri, dengan bekas Ahli Parlimen Kapar, Sani Abdul Hamid dinamakan sebagai pengerusi Tekun Nasional.

Ketika dihubungi FMT, Sany berkata, belum dimaklumkan mengenai pelantikan itu.

“Saya pun tak tahu lagi. Saya pun belum dapat lagi surat. Saya tak berani komen,” katanya.

Dalam surat sama, bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dilantik sebagai pengerusi SME Corp.

Sebelum ini, bekas ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pengerusi Felcra.

Pelantikan semula Jazlan pada mulanya diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Disember lalu, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian berkata ia ditangguhkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here