Category: Semasa

  • Kerjasama SPRM bantu usaha Kuwait sabitkan Jho Low, kata Azam

    Kerjasama SPRM bantu usaha Kuwait sabitkan Jho Low, kata Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tidak bekerjasama dengan usaha Kuwait untuk membuat pendakwaan terhadap jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di negara itu.

    Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Kuwait sejak 2020 dan terbuka untuk terus berbuat demikian.

    Jelasnya, kerjasama itu penting dalam membantu Kuwait membuat sabitan terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho dan empat individu lagi untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

    “Siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM untuk mendapatkan semula hasil haram tersebut,” ujarnya.

    Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal oleh Low.

    Ia digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion untuk aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang-hutang 1MDB.

    Sebagai sebahagian daripada siasatannya, Azam memberitahu bahawa pada September 2021, SPRM melalui Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk mendapat maklumat lanjut dan dokumen berkaitan daripada kerajaan Kuwait.

    “Dokumen MLA mengandungi maklumat penting dalam siasatan SPRM ke atas jejak wang kes ini,” katanya.

    Katanya lagi, pihak berkuasa Kuwait ketika itu juga menggunakan maklumat yang diberikan Malaysia menerusi MLA untuk membantu siasatannya sendiri dalam kes tersebut.

    “Ini membawa kepada sabitan terhadap Jho Low, Bachar Kiwan dan tiga lagi baru-baru ini,” katanya lagi.

    Pada Rabu lalu, akhbar Kuwait Al-Qabas melaporkan seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun manakala seorang peguam dijatuhkan hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Malaysia itu.

    Menurut laporan itu, lima individu itu didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

    Akhbar itu mengenal pasti dua warga asing itu sebagai Low dan Bachar, seorang ahli perniagaan Syiria-Perancis, namun tidak menamakan tiga individu lagi.

    Laman Sarawak Report bagaimanapun mengenal pasti sheik tersebut dengan nama Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, anak kepada bekas perdana menteri Kuwait.

    Rakan kongsinya dikenal pasti sebagai sekutu Low, Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

    Al-Qabas melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

    Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

    Bercakap dengan Malaysiakini selepas sabitan terbaru ini, Bachar turut menggesa Malaysia untuk menyiasat dakwaan penglibatan pegawai kerajaan Kuwait dalam skandal 1MDB.

  • Suami isteri maut, anak cedera kemalangan

    Suami isteri maut, anak cedera kemalangan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEPASANG suami isteri maut selepas van dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik di Baling, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu menyebabkan, Saiful Azmi Mohd. Razali, 35, yang memandu van tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

    Isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kulim.

    Anak pasangan terbabit, Amar Rizqi, 2, pula hanya mengalami kecederaan kulit tangan sebelah kiri yang terbakar dan cedera di bahagian kepala.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van jenis Nissan dinaiki tiga beranak dari arah Baling menghala ke Kulim dipercayai hilang kawalan.

    “Kenderaan tersebut kemudian terlanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan dan menyebabkannya berpusing.

    “Pada masa sama sebuah pikap jenis Isuzu dipandu seorang guru yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri van berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Saiful Azmi bekerja sebagai pembantu bengkel, manakala isterinya merupakan suri rumah.

  • Remaja maut tertimbus telaga: Bapa didakwa abai anak

    Remaja maut tertimbus telaga: Bapa didakwa abai anak

    SEORANG bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya hingga menyebabkan kematian pada 23 Disember lalu.

    Tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pengabaian ke atas kanak-kanak hingga menyebabkan kematian.

    Pada 23 Disember lalu, seorang remaja berusia 15 tahun meninggal dunia dipercayai tertimbus dalam telaga bersebelahan rumah di Lanchang, Termerloh selepas diarahkan bapanya masuk ke dalam telaga yang baru digali sedalam 10 kaki untuk membaiki alat di dalam telaga berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pertuduhan itu dilakukan selepas mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Pahang pada Khamis di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 selepas kertas siasatan dibuka pada 23 Disember tahun lalu.

    “Tertuduh dibebaskan dengan jamin mahkamah sebanyak RM5,000.

    “Ibu bapa atau penjaga yang mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang cara yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh didakwa mengikut Akta Kanak-kanak 2001,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

  • Rauf tepis jawab alasan pertukaran Ketua Menteri Melaka

    Rauf tepis jawab alasan pertukaran Ketua Menteri Melaka

    KETUA Menteri Melaka yang baru dilantik, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini mengelak daripada menjelaskan mengapa beliau mengambil alih pentadbiran negeri daripada Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Ketika ditanya semasa sidang akhbarnya petang ini sama pertukaran ketua menteri ada kaitan dengan keputusan pemilihan UMNO baru-baru ini, Rauf berkata isu itu telah ‘overtaken by event’ (diambil alih oleh peristiwa semasa).

    “Saya fikir kita tidak perlu bertanya soalan ini lagi, ia telah overtaken by event.

    “Kenapa nak berpatah balik? Saya rasa semua orang dah dapat jawapan tentang faktor apa.

    “Saya rasa persoalan ini tidak perlu dijawab, kerana peristiwa hari ini telah mengambil alih isu itu,” katanya.

    Rauf, yang merupakan Pengerusi UMNO Melaka, bercakap pada sidang media pertamanya sebagai ketua menteri.

    Sidang media itu diadakan sejurus selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam kira-kira 3.30 petang hari ini.

    Rauf mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman, yang meletak jawatan awal minggu ini, dikatakan kerana masalah kesihatan.

    Pertukaran kepimpinan Melaka diselubungi kontroversi dan mencetuskan spekulasi bahawa Sulaiman mungkin terpaksa berundur untuk memberi laluan kepada Rauf.

    Spekulasi berleluasa sejak pilihan raya negeri (PRN) Melaka 2021 bahawa Rauf mahu menuntut jawatan tertinggi kerajaan negeri, memandangkan kedudukannya sebagai Pengerusi UMNO negeri dan BN.

    Sudah menjadi tradisi UMNO dan BN untuk ketua parti negeri menjadi ketua menteri atau menteri besar negeri di bawah kawalan mereka.

    Bagaimanapun, di sebalik kemenangan besar BN dalam PRN yang menyaksikan gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, pucuk pimpinan tertinggi parti telah memilih Sulaiman sebagai ketua menteri.

    Rauf dan Sulaiman sebelum ini menafikan khabar angin mendakwa berlaku perebutan kuasa dalaman.

    Terdahulu semasa sidang akhbar itu, Rauf turut memberitahu pemberita bahawa Melaka adalah negeri yang paling stabil daripada segi politik di negara ini.

    “Tetapi kerana pergaduhan kami telah dibawa ke media sosial, ia tidak kelihatan baik pada kami.

    “Namun selepas pemilihan UMNO, saya lihat keadaan sudah bertambah baik,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Walaupun Rauf tidak mengulas lanjut, beliau dipercayai merujuk kepada keputusan pemilihan parti yang menyaksikan kekalahan ramai ketua bahagian UMNO yang tidak sehaluan dengannya.

    Sementara itu, Rauf juga diminta mengulas mengenai bekas Anggota exco kerajaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mengkritik pertukaran kuasa sebagai ‘kerajaan tebuk atap’.

    Menjawab perkara ini, Rauf membalas dengan berkata: “biar kami cari rumah yang atap bocor”.

    Ditanya sama ada UMNO negeri akan merujuk Jailani, yang juga ahli UMNO, untuk tindakan tatatertib, Rauf berkata, ‘kita tunggu dan lihat’.

  • Gangguan seksual: Jurulatih digantung tugas selepas pelumba basikal lapor polis

    Gangguan seksual: Jurulatih digantung tugas selepas pelumba basikal lapor polis

    SEORANG pelumba basikal wanita negara membuat laporan polis terhadap jurulatihnya atas dakwaan gangguan seksual.

    Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya memulakan siasatan selepas dimaklumkan mengenai laporan polis itu.

    Tegasnya, Jawatankuasa Disiplin PKBM akan menyiasat dakwaan tersebut dengan teliti.

    “Pada masa sama, jurulatih itu digantung tugas serta-merta sementara menunggu siasatan bagi memastikan tiada campur tangan semasa siasatan.

    “PKBM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan agensi kerajaan lain dalam siasatan bebas mereka,” katanya menerusi ciapan menerusi Twitter, lapor FMT.

    PKBM katanya, tidak akan berkompromi dengan keselamatan serta kebajikan pelumbanya dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual atau perbuatan lain yang termaktub dalam Kod Sukan Selamat.

    Awal bulan ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, KBS akan memperkenalkan kod itu bagi menangani gangguan seksual, buli dan keganasan.

    Kod itu yang termasuk garis panduan mengenai persekitaran sukan selamat, akan digunakan untuk menangani aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan Akta Sukan Selamat kelak.

  • Hilang 14 hari di Mekah, jemaah ditemui meninggal dunia

    Hilang 14 hari di Mekah, jemaah ditemui meninggal dunia

    JEMAAH Malaysia, Rosli Salleh, 62, yang dilaporkan hilang di Mekah ketika mengerjakan umrah pada 10 Mac lalu, ditemui meninggal dunia.

    Anaknya, Muhammad Farid Rosli menerusi hantaran dalam kumpulan Facebook, Group Umrah semalam memaklumkan berita duka itu.

    “Assalamualaikum. Update (laporan) terbaharu, kami sekeluarga telah menjumpai ayah (Rosli) kami. Beliau telah meninggal dunia di sana (Mekah).

    “Kami mohon tolong doakan untuk kesejahteraan ayah kami di sana, mohon kebaikan untuknya di akhirat dan semoga kami semua akan disatukan di syurga kelak. Amin insya Allah,” katanya.

    Farid turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu misi pencarian bapanya.

    Dia berkata, keluarganya mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah bapanya.

    “Kami juga ingin berterima kasih atas segala pertolongan dan doa yang diberikan sepanjang pencarian ini. Terima kasih. Mohon jangan tanya tentang detail (butiran), cukup di sini saja,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, Farid meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lokasi bapanya apabila gagal dihubungi sejak 17 Mac lalu ketika mengerjakan umrah bersendirian tanpa ejen.

  • Tukar Sulaiman atas alasan kesihatan meragukan

    Tukar Sulaiman atas alasan kesihatan meragukan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Aleef Yusof menyifatkan keputusan menukar Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka atas alasan kesihatan meragukan.

    Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ketika bertemu dan mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Sulaiman kelihatan sihat dan tidak menunjukkan tanda sakit yang membimbangkan.

    “Ini jelas satu penipuan besar daripada Ahmad Zahid Hamidi. Jika Zahid fikir dia boleh menipu rakyat Melaka sebagaimana kebiasaannya dia menipu ahli-ahli UMNO sebelum ini, maka dia membuat kesilapan besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menggesa Sulaiman membuat penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

    “Pada PRN akan datang, sudah pasti perubahan besar bakal berlaku dek kerana kemarahan dan kekecewaan rakyat Melaka atas apa yang berlaku ini.

    “Saya mengingatkan mereka agar telus kepada rakyat yang ternyata begitu kecewa dan marah. Respons rakyat tidak baik ketika ini,” katanya memetik laporan FMT.

    Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam petang tadi.

    Rauf dilantik menerajui Melaka susulan peletakan jawatan Sulaiman.

    Sulaiman kali pertama mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka pada Mac 2020, selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan dan kerajaan Melaka.

    Beliau sekali lagi dilantik ke jawatan itu selepas BN menang besar dalam PRM Melaka pada November 2021.

  • Tiga hari tak hadir kerja rungkai penemuan mayat

    Tiga hari tak hadir kerja rungkai penemuan mayat

    MISTERI seorang pengawal keselamatan tidak hadir ke tempat kerja terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam bilik air sebuah rumah di Dataran Otomobil, Seksyen 15 di Shah Alam semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat tersebut ditemukan majikannya sebelum membuat satu laporan polis pada pukul 12.30 tengah hari.

    “Siasatan mendapati mangsa yang merupakan lelaki berumur 48 tahun itu dipercayai tiga hari tidak hadir bekerja serta gagal dihubungi majikannya.

    “Majikan kemudian datang ke rumah mangsa sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan bersandar di dinding bilik air selain keadaan fizikal yang sudah mereput dan berbau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Saya tak sokong Rauf sebagai ketua menteri-ADUN UMNO

    Saya tak sokong Rauf sebagai ketua menteri-ADUN UMNO

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak menyokong Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    Bekas Exco daripada UMNO itu berkata, dengan pelantikan Rauf, Barisan Nasional (BN) dan UMNO memungkiri satu manifesto penting ketika pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 2021.

    Beliau mendakwa BN berjanji calon ketua menterinya untuk PRN Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan kekal sehingga habis penggal.

    “Manifesto itu adalah janji pada rakyat, khususnya rakyat Melaka.

    “Dengan upacara angkat sumpah ketua menteri sebentar tadi, secara rasminya Umno dan BN memungkiri satu manifesto penting ketika PRN 2021.

    “Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Melaka, saya tidak menyokong, terlibat, malah menentang perkara ini. Sebagai seorang Muslim, janji tetap janji dan ianya harus dilaksanakan,” katanya, lapor FMT.

    Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam di pejabatnya petang tadi.

    Beliau menggantikan Sulaiman yang meletak jawatan semalam selepas berkhidmat buat kali kedua sebagai ketua menteri dari November 2021.

    Rauf adalah pengerusi BN dan Pengerusi UMNO Melaka, beliau beberapa kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri selepas BN memenangi PRN pada November 2021.

    Rabu lalu, Jailani dilaporkan berkata, Melaka akan mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’.

  • Musa Hassan fail tuntutan nusyuz terhadap isteri

    Musa Hassan fail tuntutan nusyuz terhadap isteri

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini, sehari selepas wanita itu memfailkan permohonan cerai di mahkamah sama di Shah Alam.

    Bagaimanapun, Musa, 72, yang hadir di mahkamah pada pukul 2.45 petang dengan diwakili peguam syarienya, Mohd. Rifahmi Abdul Musikin tidak mendedahkan butiran tuntutan terhadap Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, secara terperinci.

    “Permohonan nusyuz dibuat atas alasan ingkar dan tidak taat, saya tidak boleh cerita panjang, biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bagi prosiding berkenaan, mahkamah menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

    Ditanya mengenai penafian isterinya, sebagai individu yang menyebarkan video berkenaan sehingga tular dalam media sosial, Musa berkata, perkara itu perlu dirujuk dengan pihak polis.

    Krisis rumah tangga Musa kembali diperkatakan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam.

    Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, isteri kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika hadir menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).

    Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.

    Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.

    Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

    Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Polis mengesahkan, telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal bulan ini.