Category: Semasa

  • Lima lelaki ditahan kes simbah asid premis jual kenderaan terpakai

    Lima lelaki ditahan kes simbah asid premis jual kenderaan terpakai

    POLIS Pulau Pinang menahan lima lelaki termasuk seorang warga emas bagi membantu siasatan berhubung kejadian beberapa premis menjual kenderaan terpakai disimbah cat dan asid serta pemerasan, dalam serbuan berasingan di sekitar negeri itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata semua lelaki berusia 26 hingga 63 tahun itu ditahan secara berasingan di empat lokasi sekitar George Town dan Bayan Baru, dekat George Town hasil maklumat serta risikan yang dijalankan sejak tiga hari lepas.

    “Susulan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek yang terlibat dan kami melancarkan operasi sebelum berjaya menahan lima lelaki tersebut bermula 5.15 petang semalam hingga 3.20 pagi tadi.

    “Berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek yang ditahan, berusia 36 tahun, berperanan melakukan kerja-kerja menyimbah asid dan cat merah di premis-premis menjual kenderaan terpakai manakala mereka yang lain mempunyai kaitan dengan dia untuk menjalankan jenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

    Katanya polis percaya dengan penahanan lima lelaki itu pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes simbah asid dan cat merah serta pemerasan iaitu 12 kes di daerah Timur Laut dan tiga kes di daerah Barat Daya.

    Khaw berkata modus operandi mereka ialah menyimbah cat atau asid di premis menjual kenderaan terpakai sebelum menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada pemiliknya untuk meminta RM10,000 bagi memeras ugut mangsa.

    Katanya susulan penahanan mereka polis turut merampas empat telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memeras ugut pemilik premis menjual kenderaan terpakai tersebut.

    “Berdasarkan siasatan polis juga mendapati suspek yang menyimbah asid dan cat itu berhutang dengan along dan dia bekerja dengan along tersebut untuk melakukan jenayah tersebut (simbah asid dan cat) bagi membayar hutangnya,” katanya.

    Beliau berkata polis juga sedang mengesan beberapa lagi suspek dipercayai turut mempunyai kaitan dengan jenayah tersebut dan siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan.

    “Dua daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat Seksyen 427 serta 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam, media melaporkan beberapa premis menjual kenderaan terpakai yang disimbah asid bukan sahaja mengalami kerugian akibat kejadian itu malah mereka turut diperas ugut oleh suspek agar membayar sehingga RM10,000 jika tidak mahu kejadian sama berulang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu sejak 2 Mei lepas hingga dua hari lalu membabitkan kerosakan 43 kereta dan 18 motosikal bernilai RM60,000.

  • Budak lelaki terima lapan jahitan, diserang buaya Batu Putih

    Budak lelaki terima lapan jahitan, diserang buaya Batu Putih

    SEORANG berhadapan detik cemas apabila diserang buaya dalam satu kejadian di Kampung Batu Putih, Sandakan, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari, mangsa berusia 9 tahun berkenaan cedera di tangan, bahu, kepala dan terpaksa menerima lapan jahitan

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata kejadian berlaku ketika air laut pasang sehingga ke kawasan jalan perkampungan terbabit.

    Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sebaya berenang keluar daripada rumah jiran untuk balik ke rumah.

    “Secara tiba-tiba, mangsa diserang dan dibaham bahagian tangan, namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan bapanya.

    “Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke sebuah klinik swasta lalu diberikan rawatan sebelum pulang ke rumah.

    “Kakitangan JHL kemudiannya memeriksa mangsa di rumah sebelum mendapati mangsa sudah menerima 8 jahitan di lengan kanan, cedera di bahu kanan dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Hussein berkata, susulan kejadian itu anggota JHL Sandakan mendapatkan maklumat daripada bapa mangsa seterusnya membuat tinjauan di sekitar lokasi kejadian.

    “Namun ketika tinjauan dijalankan, tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan kerana ketika air sudah surut sepenuhnya.

    “Justeru itu, penduduk setempat dinasihati agar sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air laut pasang.

    “Penduduk juga diminta sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya, lapor BH Online.

  • Jenazah pendaki Everest, Awang Askandar tiba di Kem Tiga pagi tadi

    Jenazah pendaki Everest, Awang Askandar tiba di Kem Tiga pagi tadi

    JENAZAH pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat tiba di Kem Tiga kira-kira pukul 7 pagi waktu Nepal (sekitar 9 pagi waktu Malaysia) hari ini.

    Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, jenazah dibawa turun dari Kem Empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

    Beliau berkata, ketika ini pasukan penyelamat berehat sebentar selepas berhempas pulas selama sembilan jam bergilir-gilir mengusung jenazah sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Dua.

    “Cuaca ketika ini berada dalam keadaan kurang baik, berangin dan mendung dan serta suhu sekitar 23 darjah celcius.

    “Perjalanan dari Kem Tiga ke Kem Dua dijangka mengambil masa selama dua jam dan ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini, lapor Kosmo!.

    Katanya, setiba di Kem Dua, jenazah akan terus diterbangkan dengan helikopter ke Everest Base Camp (EBC) dan seterusnya dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.

    “Sekiranya keadaan cuaca mengizinkan jenazah dijangka diterbangkan ke Khatmandu pada pukul 1 tengahari waktu Nepal (sekitar 3 petang waktu Malaysia),” jelasnya.

  • Mayat lelaki ditemui terapung di sungai berdekatan Kelab Golf

    Mayat lelaki ditemui terapung di sungai berdekatan Kelab Golf

    POLIS masih mengenal pasti identiti mayat lelaki ditemui terapung oleh seorang pemancing di sebatang sungai berhampiran Kelab Golf Seri Selangor, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Muhamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 1.25 pagi.

    “Menurut saksi, ketika sedang memancing di jambatan tepi kelab golf terbabit, terlihat satu objek seperti tubuh manusia terapung.

    “Butiran penuh mangsa lelaki berkenaan termasuk bangsa dan umur belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

    Fakhrudin berkata saksi kemudiannya menghubungi Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan berhubung penemuan mayat berkenaan.

    “Sepasukan polis dan bomba telah membawa keluar mayat terbabit untuk tindakan selanjutnya.

    “Kita meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi Balai Kota Damansara di 03-61421222,” katanya.

  • JAINJ diarah siasat segera penganjuran pesta seks

    JAINJ diarah siasat segera penganjuran pesta seks

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan mengambil tindakan segera ke atas satu penganjuran pesta seks ‘Gang Bang JB Party’ yang sedang tular dijadualkan berlangsung bulan depan.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kerajaan negeri mengecam penganjuran acara yang secara terang-terangan mengajak orang ramai melakukan maksiat.

    Beliau memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak melakukan perkara yang buruk di negeri ini.

    “Mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral. Saya sudah arahkan JAINJ siasat dan ambil tindakan segera.

    “Saya bagi amaran! Demi Allah, saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.

    Mohd Fared membuat kenyataan itu susulan penyebaran kad jemputan penganjuran acara diberi nama ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan berlangsung antara jam 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun depan.

    Turut dikongsi ciapan di Twitter apabila ada yang bertanya adakah golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT) boleh turut serta dalam acara itu.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared memohon kerjasama orang ramai untuk mencegah kegiatan tidak bermoral itu.

    “Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini. Sebarkan!,” ujarnya.

  • Menghampiri 6 PRN, persefahaman di peringkat akar umbi UMNO, DAP masih kabur

    Menghampiri 6 PRN, persefahaman di peringkat akar umbi UMNO, DAP masih kabur

    PIMPINAN UMNO dan DAP menggunakan sebaik mungkin peluang untuk menjernihkan hubungan antara satu sama lain sejak pembentukan kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lepas.

    Terbaru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru ahli dan pengundi partinya di enam negeri yang bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengundi calon DAP di kawasan masing-masing.

    “Perkahwinan” antara UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) dengan musuh politik tradisinya, DAP kini memasuki tempoh enam bulan.

    Bagaimanapun, apa yang diucap pucuk pimpinan tidak semestinya bergema di peringkat akar umbi kedua-dua parti.

    Pemerhati politik Azizi Safar berkata, sehingga kini persahabatan dengan DAP belum diterjemahkan di peringkat akar umbi.

    “Belum ada program-program penerangan secara khusus kepada akar umbi UMNO menjelaskan mengapa UMNO perlu bersahabat dengan DAP, menyokong calon-calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN),” katanya kepada MalaysiaNow yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang.

    Enam negeri bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada pertengahan tahun ini.

    Negeri yang terlibat ialah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

    Sebelum ini semasa Perhimpunan Agung UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu memilih bekerjasama dengan DAP kerana parti itu dilihat tidak bermuka-muka dan berpura-pura, dalam satu sindiran kepada Pas.

    Kenyataan Ahmad turut dibidas oleh seorang pemimpin UMNO Johor yang menyatakan beliau tidak boleh memaksa ahli mengundi calon DAP.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dalam satu kenyataan lain mengakui sukar untuk memujuk ahli menerima DAP, walaupun tidak mustahil.

    Gabungan parti kerajaan campuran baru-baru ini mengadakan konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mengukuhkan hubungan antara satu sama lain selain membuktikan kekukuhan kerajaan.

    Kerajaan campuran sekarang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti kecil lain.

    Azizi berkata, respons akar umbi terhadap gesaan Ahmad juga masih dingin.

    “Ramai juga tidak setuju menyokong DAP,” katanya.

    Pemimpin UMNO dan DAP juga tidak terlepas daripada bertikam lidah antara satu sama lain terutama berhubung isu pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.

    Dalam satu kenyataan, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching turut meminta ahli parti itu mengundi calon UMNO yang di kawasan mereka.

    Masih belum jelas bagaimana akar umbi kedua-dua parti itu akan bekerjasama antara satu sama lain semasa tempoh berkempen kelak.

    Namun menurut Azizi, jika perkara itu gagal diatasi, ia bakal mendatangkan implikasi bruuk kepada Umno.

    “Jika ahli-ahli UMNO tidak menyokong calon-calon DAP pada PRN nanti, ia bukan satu masalah besar yang boleh menyebabkan calon-calon DAP kalah bertanding dalam pilihan raya,” katanya merujuk kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP.

    “Sebaliknya pula jika pendukung-pendukung DAP tidak mahu mengundi atau menyokong calon-calon UMNO di kerusi majoriti Melayu, calon-calon Umno boleh kalah.”

    Azizi berkata, penyokong DAP boleh menjadi faktor penentu kemenangan UMNO dalam keadaan pengundi Melayu berpecah kepada dua blok.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pengundi Melayu memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang menerima peratusan undi terbanyak daripada masyarakat itu, diikuti BN dan PH.

  • Kandungan lucah: KKD cadang sesi dialog bersama penyedia platform media sosial

    Kandungan lucah: KKD cadang sesi dialog bersama penyedia platform media sosial

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang mengadakan sesi dialog bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan peruntukan undang-undang mengenai perkongsian kandungan berunsur lucah di negara ini.

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata langkah itu bagi memastikan pihak penyedia platform termasuk Telegram, WhatsApp dan Facebook faham serta jelas bahawa perbuatan itu dilarang dan jika sabit kesalahan pengguna aplikasi boleh dikenakan tindakan.

    “KKD akan adakan dialog dengan semua penyedia platform untuk menasihatkan dan mengingatkan mereka bahawa undang-undang di Malaysia terhadap unsur-unsur seperti ini tidak boleh ditoleransi… dan satu perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Sesiapa yang menghantar kandungan bersifat lucah, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kita mahu semua penyedia platform memahami isu ini kerana aduan sebegini (sebar kandungan berunsur lucah) adalah yang paling kerap diterima,” katanya kepada pemberita selepas menonton filem Anwar: The Untold Story di TGV AEON Mall Kulaijaya di Kulai malam tadi.

    Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah kendalian seorang wanita.

    Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan akaun Telegram terbabit.

    Berhubung dakwaan terdapat pihak mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan, Teo berkata KKD akan menjalankan siasatan lanjut sama ada tuduhan tersebut benar atau sebaliknya.

    “Setakat ini saya tidak dapat apa-apa maklum balas daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), kita akan siasat namun saya percaya jika ramai penonton berminat dengan filem ini, semakin banyak panggung akan tayangkan filem ini,” katanya.

    Ahad lepas, dilaporkan produksi filem berkenaan mendakwa sesetengah pawagam melakukan sabotaj terhadap tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

    Susulan itu, semalam Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) yang dianggotai operator pawagam di seluruh negara menafikan dakwaan itu dan menyatakan pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan, malah sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan industri perfileman negara.

    Mengulas mengenai Anwar: The Untold Story, Teo berkata filem tersebut boleh memberi inspirasi kepada golongan muda kerana mengisahkan perjuangan dan falsafah Perdana Menteri ke-10 yang tidak berputus asa sepanjang dalam tempoh karier politiknya.

  • Ketua sindiket dadah Indonesia ditahan di Johor

    Ketua sindiket dadah Indonesia ditahan di Johor

    SEORANG lelaki dikenali sebagai Marno yang melarikan diri daripada polis Riau atas tuduhan mengedar dadah telah ditahan di Johor, lapor media Indonesia, hari ini.

    Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 411kg yang dirampas polis Riau.

    “Sejumlah 62kg methamphetamine ditemukan bersama suspek ketika ditahan oleh polis Johor,” kata Pengarah Markotik polis Riau, Yos Guntur.

    Beliau menegaskan bahawa penahanan itu adalah bukti kerjasama erat antara polis Malaysia dan polis Riau dalam menangani sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.

    Polis Riau merampas 290kg methamphetamine semasa operasi awal tahun ini, termasuk 121kg methamphetamine pada 2022 yang dikaitkan dengan kumpulan pengedaran dadah Marno.

  • Lelaki maut tergelincir sebelum jatuh ke dalam gang

    Lelaki maut tergelincir sebelum jatuh ke dalam gang

    SEORANG Seorang lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM 1 jalan naik ke Genting Highlands, Bentong hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Mohd Saufi Zakaria berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja-kerja pemasangan paip sebelum tergelincir.

    Beliau berkata lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 2.53 petang.

    “Bomba menjumpai lelaki itu sekitar 3.30 petang sebelum menjalankan operasi menaikan mayat itu  menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam,” katanya ketika dihubungi di sini. 

    Katanya mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 5 petang. 

  • Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

    Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

    TIGA lelaki ditahan polis selepas terbabit kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju dalam serbuan Op Rentap pada 10 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di Kuala Lumpur, pada pukul 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

    “Berdasarkan risikan, kita menjalankan beberapa siri serbuan dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 29 tahun.

    “Pihak polis turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing.

    “Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata, mereka melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

    Katanya, kegiatan jenayah itu dilakukan secara berkumpulan dengan hasil ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka.

    “Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

    Tambahnya, semua direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

    “Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya, lapor Sinar Harian.