KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang mengadakan sesi dialog bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan peruntukan undang-undang mengenai perkongsian kandungan berunsur lucah di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata langkah itu bagi memastikan pihak penyedia platform termasuk Telegram, WhatsApp dan Facebook faham serta jelas bahawa perbuatan itu dilarang dan jika sabit kesalahan pengguna aplikasi boleh dikenakan tindakan.

“KKD akan adakan dialog dengan semua penyedia platform untuk menasihatkan dan mengingatkan mereka bahawa undang-undang di Malaysia terhadap unsur-unsur seperti ini tidak boleh ditoleransi… dan satu perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Sesiapa yang menghantar kandungan bersifat lucah, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kita mahu semua penyedia platform memahami isu ini kerana aduan sebegini (sebar kandungan berunsur lucah) adalah yang paling kerap diterima,” katanya kepada pemberita selepas menonton filem Anwar: The Untold Story di TGV AEON Mall Kulaijaya di Kulai malam tadi.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah kendalian seorang wanita.

Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan akaun Telegram terbabit.

Berhubung dakwaan terdapat pihak mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan, Teo berkata KKD akan menjalankan siasatan lanjut sama ada tuduhan tersebut benar atau sebaliknya.

“Setakat ini saya tidak dapat apa-apa maklum balas daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), kita akan siasat namun saya percaya jika ramai penonton berminat dengan filem ini, semakin banyak panggung akan tayangkan filem ini,” katanya.

Ahad lepas, dilaporkan produksi filem berkenaan mendakwa sesetengah pawagam melakukan sabotaj terhadap tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Susulan itu, semalam Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) yang dianggotai operator pawagam di seluruh negara menafikan dakwaan itu dan menyatakan pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan, malah sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan industri perfileman negara.

Mengulas mengenai Anwar: The Untold Story, Teo berkata filem tersebut boleh memberi inspirasi kepada golongan muda kerana mengisahkan perjuangan dan falsafah Perdana Menteri ke-10 yang tidak berputus asa sepanjang dalam tempoh karier politiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here