TIGA lelaki ditahan polis selepas terbabit kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju dalam serbuan Op Rentap pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di Kuala Lumpur, pada pukul 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

“Berdasarkan risikan, kita menjalankan beberapa siri serbuan dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 29 tahun.

“Pihak polis turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, mereka melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Katanya, kegiatan jenayah itu dilakukan secara berkumpulan dengan hasil ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka.

“Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

Tambahnya, semua direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here