Category: Semasa

  • Pulau Pinang milik Kedah: ‘Jumpa di mahkamah, saya bersedia’

    Pulau Pinang milik Kedah: ‘Jumpa di mahkamah, saya bersedia’

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedia menyahut cabaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kow Yeow untuk ke mahkamah berhubung kenyataan tentang negeri itu yang masih milik Kedah.

    Muhammad Sanusi menegaskan, beliau bersedia untuk mempertahan kenyataannya itu bersandarkan bukti dimilikinya sekiranya perlu ke mahkamah kelak.

    “Jumpa di mahkamah, saya bersedia sampai ke situ (atau) di mana sahaja,” katanya selepas merasmikan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2023 di Alor Setar, hari ini.

    Semalam, Kon Yeow berkata, pihaknya sedia untuk ke mahkamah berhubung kenyataan Muhammad Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah seperti dinyatakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu ketika majlis perjanjian sempadan antara Kedah dan Perlis.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menyatakan kesediaan untuk disiasat polis berhubung kenyataan berkenaan setelah DAP yang diketuai Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan terhadapnya, hari ini.

    “Biar polis siasat kalau depa report (mereka lapor) polis. Orang ini takut pasal dia tak ada sandaran (bukti) apa. Saya ada sandaran banyak. Sila (siasat),” katanya.

    Dalam perkembangan lain, beliau meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran khas melibatkan beberapa tuntutan yang dibuat sebelum ini antaranya pampasan RM200 juta sebagai menghargai pengorbanan Kedah membangunkan kawasan pertanian demi menyumbang keterjaminan makanan negara.

    “Pampasan ini sebagai bayaran khas kerana kita simpan sawah padi. Dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (RFN Ke-2) kata nak bagi (pampasan) tetapi sekarang sudah RFN Ke-4, masih tiada apa-apa. Tak dapat-dapat. Tak ada formula? Raja formula kan ada. Tanya dia,” katanya.

    Tambah Muhammad Sanusi, pampasan lain yang dituntut untuk disegerakan itu melibatkan tuntutan memulihara hutan simpan di Kedah sebagai kawasan tadahan air di utara tanah air.

    “Bukan banyak sangat pun berbanding belanja di Kerajaan Pusat, celah gigi sahaja. Bagilah (pampasan), kita bolehlah simpan. Semangat sikit orang kita, kerajaan negeri pun semangat lah juga. Kita minta Kerajaan Persekutuan tengok baliklah permohonan bayaran itu,” katanya.

    Beliau juga menegaskan bahawa tuntutan tersebut dibuat demi kebajikan rakyat Kedah dan melangkaui batas politik walaupun kerajaan negeri tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan.

    “Segerakan bayaran dengan formula yang munasabah, pasal bila ringgit kita jatuh barang import jadi mahal. Apa yang dikeluarkan ini sebagai ganti kepada import makanan dan beri sumbangan besar kepada negara.

    “Pandanglah wajah kita. Dengan hati yang jernih, fikiran yang bersih. Jangan kerja nak cari kesalahan kita, nak tindas saja. Lupakan politik sementara waktu, yang saya dok cakap itu bukan pasal politik (tetapi) pasal perjuangan Kedah untuk rakyatnya,” katanya.

  • PN kekalkan formula PRU15 hadapi PRN enam negeri

    PN kekalkan formula PRU15 hadapi PRN enam negeri

    PROSES pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan mengguna pakai formula sepertimana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PN kekalkan formula PRU15 hadapi PRN enam negeri

    “Itulah asas perbincangan kita sepertimana PRU sebelum ini. Mana-mana kerusi yang dimenangi UMNO kita bagi kepada Bersatu bertanding manakala yang di kawasan Pas menang kita kekalkan calon Pas bertanding,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sayyidina Khadijah di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di Kota Bharu hari ini, lapor BERNAMA.

    Mohd Amar, bagaimanapun, berkata beberapa pengubahsuaian peringkat akhir mungkin dilakukan bagi kawasan-kawasan di peringkat negeri Kelantan.

    Dalam perkembangan sama, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata semua senarai akhir calon yang akan bertanding bagi PRN negeri itu sudah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan, untuk dimuktamadkan.

    “Kita ada tiga calon bagi setiap kerusi. Jadi terpulang kepada Menteri Besar untuk memilih calon mana yang terbaik daripada senarai tersebut.

    “Kita juga akan meneruskan amalan biasa dengan mengetengahkan 30 peratus muka baharu yang diyakini boleh mewakili parti. Muka baharu tu tidak semestinya orang muda tetapi orang yang sebelum ini tidak pernah bertanding,” katanya.

    Mengulas berhubung permohonan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa, menyertai Pas, Mohd Amar berkata permohonan tersebut akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuaratnya bulan hadapan.

  • Kartel padi lintah, penghisap darah petani – Sanusi

    Kartel padi lintah, penghisap darah petani – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEKTOR pertanian terutamanya penanaman padi di Kedah tidak akan dapat ditingkatkan selagi kartel yang menguasai industri terbabit tidak dihapuskan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa mutlak dalam hal itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sehingga kini tidak ada pihak-pihak terlibat yang sanggup untuk memerangi habis-habisan kartel padi yang mengawal input pertanian, timbangan padi di kilang serta jentera dan mesin pembajak yang digunakan.

    Katanya, walaupun terdapat usaha untuk menambah keluasan tanah sawah dan menggesa petani berubah sikap, kehidupan para petani tetap tidak akan berubah selagi terdapat kartel yang mengawal tanaman itu.

    “Ghimbok (belasah) semua kartel ini kasi hancur, musnahkan semua tali barut ini semua. Mereka ini lintah dan penghisap darah para petani. Kita kena ubati perkara ini kerana mari lah menteri cap apa pun kalau benda ini tak berani dihadapi maka sektor pertanian dan kehidupan petani tak akan berubah.

    “Tak payah cakap pasal (petani) umur 63 tahun, sikap malas (petani) kerana kalau rajin tara mana pun bila (padi) dibawa ke kilang timbangan banyak itu juga, macam mana pendapatan nak meningkat. Lepas itu salahkan kerajaan negeri dan kata padi ada di Kedah, maka Kedah la kena tengok (pantau).

    Kuasa tak ada kat kita, kuasa ada kat orang lain. Kalau tak larat buat (bertindak) bagi kuasa itu kat kita (kerajaan negeri),” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Menurut beliau, perkara mengenai alat timbangan padi terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), manakala baja pula diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sementara pihak swasta ditugaskan menghasilkan benih padi.

    “Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ada bendang untuk hasilkan benih padi tak diberi tanggungjawab itu (sebelum ini) sekarang baru bagi sikit kerana mereka beri kepada kilang yang bendang pun tak ada. Maka pihak itu pi cari orang lain pula untuk hasilkan benih,” katanya.

    Muhammad Sanusi mendakwa, jumlah pengeluaran hasil padi di negeri Kedah seolah-olah sudah ditetapkan setiap tahun iaitu enam tan metrik bagi setiap hektar walaupun para petani mampu menghasilkan padi sehingga lapan tan metrik sehektar.

    “Padi bagi kawasan negeri Kedah sehektar akan keluar tak lebih enam tan walaupun sebenarnya boleh capai tujuh ke lapan tan. Tapi berat kita hanya enam tan, sudah dikunci (jumlah itu) yang dipegang kartel.

    “Saya dapat laporan timbangan padi di kilang keluar resit tahun lepas. Ini bermakna berat mana pun padi dihasilkan tahun ini yang sebenarnya boleh tingkat pendapatan petani tapi sudah diset padi di lot sekian-sekian untuk selori akan keluar (jumlah) tan yang telah ditentukan,” katanya.

  • Lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun, 25 sebatan rogol ana sendiri

    Lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun, 25 sebatan rogol ana sendiri

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dengan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas tujuh kesalahan jenayah seksual, termasuk sumbang mahram terhadap anak kandungnya.

    Tertuduh berusia 39 tahun turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak dan video lucah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Tertuduh bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun apabila mahkamah membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dituduh hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan sumbang mahram atau merogol anak kandungnya yang berusia 19 tahun di sebuah rumah dekat Sering di sini di antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari pada akhir Mac, 10 Mei dan 11 Mei tahun ini.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga minimum lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan.

    Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara dan lapan sebatan, 15 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua serta 16 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan ketiga.

    Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh mengaku melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.

    Kesalahan itu dilakukan dua lokasi berasingan iaitu Sering dan Panji, di sini antara jam 11.05 pagi dan 4 petang pada 11 Mei lalu dan 7 Disember tahun lalu.

    Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 377D.

    Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan penjara satu tahun bagi pertuduhan kelima.

    Sementara itu, bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dan memiliki video lucah dalam telefon bimbit.

    Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama iaitu Sering, di sini, pada 19 Mei lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Bagi kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun bagi pertuduhan ketujuh.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah bapa kandung dan anak.

    “Sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan tidak melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya.

    “Perbuatan yang dilakukan tertuduh meninggalkan kesan trauma seumur hidup kepada mangsa,” katanya.

    Tertuduh dalam rayuannya pula memohon hukuman ringan dikenakan.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan sebanyak 54 tahun dan 25 sebatan, namun hukuman berjalan serentak iaitu 16 tahun dari tarikh dituduh dan 25 sebatan.

  • Bekas Eksekutif Akan firma guaman didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

    Bekas Eksekutif Akan firma guaman didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

    SEORANG bekas Eksekutif Akaun firma guaman didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan, di Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian hampir RM1 juta, tiga tahun lepas.

    Abu Zarin Haron, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, Kamarudin Kamsun dan Sabariah Othman.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, Abu Zarin didakwa sebagai eksekutif akaun yang diamanahkan penguasaan ke atas akaun pelanggan firma, melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan sembilan cek bernilai keseluruhan RM935,630.40 tanpa pengetahuan firma bagi kegunaan sendiri, lapor BERNAMA.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tetuan Zainal Abidin & Co di Plaza Permata, Sentul, , antara 4 Sept 2020 dan 14 Okt 2021 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kesemua kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif dan Akmalzatul Mohamed Nawi manakala tertuduh diwakili peguam Kassim Ludin dan Ahmad Fadhli Salleh.

  • Mahkamah benar 32 penggiat seni saman PRISM Berhad

    Mahkamah benar 32 penggiat seni saman PRISM Berhad

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan seramai 32 orang penggiat seni untuk memfailkan saman ke atas Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM) Berhad bagi menuntut pembayaran royalti.

    Keputusan itu dibuat oleh hakim Ahmad Murad Abdul Aziz mengikut mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

    Antara penggiat seni selaku pemohon bagi kes itu adalah Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk J Sham, S Atan, Aris Ariwatan, Ibnor Riza, Azharina Azhar, Ezlynn dan Julian Blues Gang.

    Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu selesai, peguam yang mewakili kesemua pemohon Datuk Kamaruzaman Arif keputusan itu merupakan perkembangan positif bukan sahaja buat ahli PRISM, malah kepada penggiat seni yang lain.

    “Hari ini adalah keputusan yang sangat positif oleh Mahkamah Tinggi, bukan sahaja kepada ahli PRISM Berhad tetapi juga membuka lembaran baharu kepada dunia pelaku dibawah Akta Hak Cipta 1987 yang juga akan mendapat manfaat secara tidak langsung,” kata peguam itu.

    Katanya lagi, pihaknya bakal memfailkan tindakan undang-undang secepat yang mungkin ke atas PRISM Berhad bagi mengenal pasti bagaimana pengiraan pembayaran royalti itu dibuat sekiranya ada.

    “Kita mahu persoalkan dan mendapatkan ketelusan maklumat. Jadi, penjelasan akan diberikan pastinya di mahkamah berkenaan berapa jumlah wang yang telah dikutip, bagaimana kira-kira dibuat dan kenapa artis tidak mendapat bayaran?

    “Kita tahu bahawa wang itu telah dikutip pada tahun 2017 dan 2018 namun pada tahun seterusnya, kita tidak tahu samada wang royalti itu dikutip ataupun tidak,” jelasnya lagi lapo UtusanTV

    Sebelum ini pada 13 September tahun lalu, UtusanTV melaporkan 32 orang penggiat seni itu telah memfaikan satu notis usul berserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran Mahamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memfailkan saman bagi menuntut pembayaran royalti daripada Prism Berhad. 

    Notis usul dan affidavit yang difailkan pada 9 September 2022 itu merupakan tindakan mahkamah yang julung-julung kali dibuat penggiat seni tanah air. 

    Kamaruzaman ketika itu berkata, menurut perlembagaan PRISM Berhad, bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan sekali dalam setahun.

  • Ahli Parlimen DAP buat laporan polis, anggap kenyataan Sanusi melampau

    Ahli Parlimen DAP buat laporan polis, anggap kenyataan Sanusi melampau

    AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

    Malaysiakini melaporkan, Rayer berkata Sanusi membuat kenyataan melampau apabila mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang, yang ditubuhkan dan diiktiraf sebagai negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Tambahnya, Sanusi bukan sahaja mempersoalkan kesahihan perlembagaan tetapi juga kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

    “Saya membuat laporan polis ini bukan sahaja kerana hendak mempertahankan hak dan kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang, tetapi lebih daripada itu membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika membuat laporan di Balai Polis Timur Laut di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

    Rayer ditemani Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan beberapa pemimpin DAP lain.

    Dalam laporan tersebut, Rayer mendakwa kenyataan Sanusi bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga melampau dan boleh ditafsirkan sebagai satu hasutan untuk menyebabkan huru-hara dan rusuhan di kalangan rakyat Pulau Pinang.

    “Sebagai seorang menteri besar, beliau harus bersikap bertanggungjawab dan mendapat pandangan dan nasihat daripada pakar perundangan dan bukanlah menghentam secara semberono dengan membuat ucapan secara liar dan sesuka hati sehingga boleh menyebabkan keresahan kepada rakyat Pulau Pinang, juga mengganggu gugat ketenteraman awam serta membangkitkan perasaan marah di kalangan rakyat Puau Pinang,” katanya.

    Ini adalah kali kedua Rayer membuat laporan terhadap Sanusi berhubung dakwaan bahawa “Pulau Pinang milik Kedah”. Laporan polis pertama dibuat Rayer ialah pada Februari lalu.

    Sanusi sebelum ini mengulangi dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyokong dakwaan itu.

    Pemimpin Pas itu dilaporkan memberitahu FMT bahawa kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaan itu dan menyeru generasi sekarang memperbetulkan “penyelewengan sejarah” dan meminda perlembagaan dengan sewajarnya.

    Bercakap kepada pemberita di luar balai polis, Lim berkata laporan itu dibuat bagi melindungi dan mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang.

    “Rayer telah membuat laporan polis, dan sebagai seorang peguam, dia tahu kenyataan Sanusi itu adalah satu hasutan yang sangat berbahaya, yang juga bercanggah dengan perlembagaan.

    “Kita semua tahu bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat, yang mempunyai ketua menteri dan ADUN sendiri, dengan sistem pentadbiran yang diperkasakan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim.

    Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Jata Negara dan jalur pada bendera menunjukkan Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri di Malaysia.

    Dia juga bertanya mengapa persoalan mengenai kedaulatan Pulau Pinang dibangkitkan sekarang.

    “Ini adalah tahun ketiga Sanusi menjadi menteri besar Kedah. Dalam tempoh dua tahun pertama, semasa beliau menerajui negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional, tidak ada isu sebegitu.

    “Sekarang, apabila pilihan raya negeri semakin hampir, beliau sengaja membangkitkan isu sensitif ini yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat, khususnya rakyat Pulau Pinang,” kata Lim.

    Pengerusi DAP itu juga berkata Sanusi mengulangi dakwaan itu sebagai batu loncatan menjelang pilihan raya negeri.

    “Orang seperti ini berbahaya. Saya harap tindakan tegas boleh diambil terhadap beliau (Sanusi). Jika tidak ditangani, ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya sambil menggesa semua pihak menghormati perlembagaan dan raja-raja Melayu. .

  • Cameron Highlands bergelap

    Cameron Highlands bergelap

    SEBAHAGIAN  besar Cameron Highlands dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik sejak tengah hari tadi.

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan ringkas berkata, ia berpunca daripada masalah di pencawang masuk utama Bintang.

    “Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik,” menurut TNB, rapor FMT.

    Pengguna Twitter Abu Atah yang baru tiba di pusat peranginan itu turut berkongsi keadaan sama.

    “Baru sampai Cameron Highlands, tiada elektrik satu Cameron, YB Datuk Timbalan Speaker?” tulisnya merujuk Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat.

    “Hampir semua Cameron Highlands tiada elektrik,” menurut August Li.

  • Lelaki didakwa bunuh kekasih hamil di Sungai Besar

    Lelaki didakwa bunuh kekasih hamil di Sungai Besar

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret  Sungai Besar hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita hamil minggu lepas.

    Tertuduh yang berusia 20 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau, Sungai Besar  pada kira-kira 8.30 malam, 22 Mei, sehingga 8 pagi 23 Mei lepas. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.  

    Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin.

    Khairul Anuar memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin namun Majistret Siti Hajar berkata beberapa dokumen perlu diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah terlebih dahulu.

    Siti Hajar menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T kuning tiba di pekarangan mahkamah diiringi beberapa anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) pada 8.55 pagi.

    Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini, 22 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum mangsa dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.

  • Skuad Lipan Bara bantu jemaah haji Malaysia

    Skuad Lipan Bara bantu jemaah haji Malaysia

    SUDAH menjadi lumrah di Mekah, jemaah haji terutama warga emas yang tersasar dan lupa arah jalan pulang ke penginapan masing-masing selepas melakukan ibadat di Masjidil Haram.

    Penulis sendiri pernah terserempak dengan enam jemaah haji wanita warga emas yang dilihat mundar-mandir kerana keliru jalan pulang apabila laluan kebiasaan mereka ditutup oleh pengawal Masjidil Haram.

    Tidak mahu keresahan mereka berpanjangan, penulis bersama rakan petugas media agensi lain menawarkan diri untuk membantu mereka menunjukkan arah pulang ke penginapan masing-masing.

    “Alhamdulillah syukur dapat jumpa anak-anak (petugas media) semua kerana makcik dah cuba nak cari jalan pulang tapi tak jumpa, mungkin sebab jemaah lain pun ramai jadi tak nampak jalan,” katanya.

    Apabila sudah mengiringi makcik-makcik tersebut berjalan beberapa meter, kelihatan petugas haji yang ditugaskan khas untuk berada di ‘checkpoint’ tertentu bagi membantu jemaah yang berada dalam kesulitan.

    Petugas ini berbaju merah dengan lencana petugas haji, berseluar hitam dan membawa beg sandang memudahkan jemaah mengenali bahawa mereka adalah petugas yang akan membantu jemaah.

    Di sini mereka popular dengan nama Skuad Lipan Bara kerana penampilan berbaju merah dan bergerak dalam kumpulan.

    Mereka merupakan Unit Peronda yang terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji (TH) yang telah dibentuk khas untuk membantu jemaah bermula 26 Mei lalu hinggalah operasi haji berakhir.

    Buat masa ini sebelum operasi Masyair, seramai 18 anggota Skuad Lipan Bara akan bertugas selama 24 jam mengikut giliran tiga syif di lapan lokasi ditetapkan di sekitar Masjidil Haram.

    Ketua Unit Peronda, Wan Shamsol Husin berkata, lokasi itu ialah di kawasan tandas di Marwah kerana kebiasaannya jemaah apabila keluar tandas hilang arah untuk kembali ke dalam masjid semula.

    Katanya, lokasi kedua kawasan sekitar pintu Marwah, pintu Assalam (Pos 3), kawasan dataran Safwah ke Ajyad (Pos 4), kawasan dataran laluan Zamzam Tower (Pos 5), kawasan dataran laluan ke Misfalah (Pos 6).

    Ujarnya, di kawasan dataran luaran ke Hafaer terdapat dua pos menempatkan dua petugas kerana kawasan itu luas.

    Menurut Wan Shamsol, Skuad Lipan Bara juga mempunyai hubungan baik dengan pengawal Masjidil Haram yang memudahkan urusan untuk membantu jemaah.

    “Kita juga bantu jemaah yang ada masalah kesihatan seperti menghantar mereka menaiki kenderaan disediakan TH untuk ke lokasi ditetapkan.

    “Anggota kita juga turut dilengkapi gunting bagi membantu jemaah yang kadangkala tidak dapat melengkapkan tahalul selepas melakukan tawaf dan saie,” katanya.