Category: Semasa

  • Datuk Fisol Salleh Ketua Polis Kedah baharu

    Datuk Fisol Salleh Ketua Polis Kedah baharu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh hari ini memulakan tugas selaku Ketua Polis Kedah yang baharu.

    Individu berusia 56 tahun dan berasal dari Jitra itu mengambil alih tugas Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang dilantik sebagai Komisioner Polis Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

    Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar.

    Terdahulu, berlangsung upacara pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Fisol yang disempurnakan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad.

    Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kedah antara Datin Sarihah Jusoh kepada isteri Fisol, Datin Norli Ahmad.

    Fisol menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1986 dan sepanjang 37 tahun berkhidmat, beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) dari 2019 hingga 2020 dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dari 2020 hingga 2021.

    Pada majlis itu Azri berharap Fisol dapat menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk menerajui Kontinjen Kedah bagi mengekalkan legasi sedia ada selain memastikan keselamatan rakyat di negeri ini sentiasa terjaga.

    “Fisol merupakan anak jati Kedah, jadi dia pulang untuk menabur bakti dan dengan pengalaman luasnya, saya yakin dia mampu memastikan keselamatan dan keamanan Kedah lebih terjamin. Saya berharap semua warga Kontinjen Kedah dapat memberi sokongan padu kepada ketua polis yang baharu,” katanya.

  • Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah

    Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah

    SEORANG wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah-Balingian, kira-kira 146 kilometer dari Sibu, tengah malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata warga emas berusia dalam lingkungan 80-an dan belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai di bawah runtuhan rumah berstruktur tidak kekal itu yang musnah dalam kebakaran yang dilaporkan pada pukul 12.04 tengah malam.

    “Rumah itu didiami enam sekeluarga dengan penghuni lain terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya.

    Beliau berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya kira-kira pukul 1.57 pagi.

    Punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam siasatan, katanya.

  • ‘P Pinang milik Kedah’, terserah pada AG ambil tindakan pada Sanusi, kata Anwar

    ‘P Pinang milik Kedah’, terserah pada AG ambil tindakan pada Sanusi, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan DatuK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

    Anwar menyifatkan dakwaan menteri besar Kedah itu sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ dan mengesahkan beberapa laporan polis telah dibuat, termasuk di bawah Akta Hasutan.

    “Saya serah sepenuhnya pada AGC untuk ambil tindakan sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung dakwaan itu di Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.

    Pada mulanya beberapa ahli parlimen pembangkang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menghalang Lim daripada bertanyakan soalan itu, yang didakwa mereka mengandungi tanggapan negatif.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun membenarkan Lim meneruskan pertanyaannya, dengan berkata dia tidak mendapati ada unsur tersebut.

    Hari ini, Warta Rakyat melaporkan, Pas berpendirian tiada sebab untuk Muhammad Sanusi dikenakan tindakan berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak menjadi kesalahan.

    Sebaliknya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

    “Ini bukan perkara baharu. Jika tengok rekod, pada 2017 seorang Exco kerajaan negeri Kedah (bawah BN) mengeluarkan kenyataan sama. Perkara ini sudah jadi perbahasan akademik di pelbagai peringkat.

    “Bagi Pas, kita sokong apa yang MB Kedah sebut untuk dibuat kajian dan penyelesaian agar menokhtahkan perkara ini,” katanya, malam tadi.

    Takiyuddin berkata, Pas akan mempertahankan isu tersebut pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

  • ‘Tubuh parti baharu merugikan, baik sertai platform politik sedia ada’, kata Tuan Ibrahim

    ‘Tubuh parti baharu merugikan, baik sertai platform politik sedia ada’, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati rakannya yang disisihkan UMNO supaya tidak menubuhkan parti baharu, sebaliknya memanfaatkan platform politik sedia ada dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).

    “Penubuhan parti baharu berpaksikan Melayu-Islam cuma mendatangkan kerugian buat orang Melayu sendiri sehingga langkah itu cenderung menguntungkan musuh politik,” ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, hari ini.

    Saranan itu merujuk kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang memberi gambaran mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada, sebaliknya mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas melihat tiada keperluan untuk wujudkan parti baharu kerana ia hanya akan memecahkan sokongan.

    “Adalah lebih baik, rakan-rakan bekas UMNO menyertai PN sama ada menjadi terus ahli PN atau menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.

    “Ini kerana, kewujudan banyak parti Melayu hanya akan merugikan kita dan menggembirakan musuh politik,” katanya kepada BH hari ini.

    Semalam Khairy Jamaluddin mencetuskan persoalan berhubung hala tuju politik apabila menegaskan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada mulanya beliau tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

    “Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut. Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya.

  • Remaja 13, 15 tahun pandu lori RORO ditahan

    Remaja 13, 15 tahun pandu lori RORO ditahan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang lelaki berusia 13 tahun ketika memandu lori Roll On Roll Off (RORO) di Persiaran Mokhtar Dahari pukul 12.30 tengah hari Sabtu.

    Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, remaja berkenaan ditahan ketika pihak anggota JPJ sedang melakukan rondaan
    selepas mengesan kenderaan berat tanpa muatan itu dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan dipandu remaja lelaki bersama abangnya berusia 15 tahun sebagai kelindan.

    “Selain memandu bawah umur, kita turut mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, memasang lampu mata arah (strobe light) serta tiada tanda had laju,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja yang masih bersekolah itu melakukan kerja secara sambilan memandu lori RORO milik syarikat keluarganya.

    Katanya, JPJ bertindak menyita lori terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Kenderaan itu ujar beliau, dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok untuk tindakan lanjut.

    Khairul Khar menegaskan memandu di bawah umur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 APJ 1987.

    Tambahnya, bagi sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

  • OKU maut terbabas langgar tiang elektrik

    OKU maut terbabas langgar tiang elektrik

    SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dalam kejadian dekat sebuah resort di Port Dickson, pagi semalam.

    Mayat Fandi Aziz, 43, yang kudung kaki kanan itu ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit, kira-kira 10 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Port Dickson, Muhamad Mustafah Hussin berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penjaga pantai di Teluk Kemang menunggang motosikal SYM Bonus berwarna merah sebelum terbabas sendiri dan maut di tempat kejadian.

    Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari pantai menghala resort berkenaan.

    “Sebaik sampai di Jalan Kemang 13, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di kiri bahu jalan, dan tercampak ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

    Mustafah berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Port Dickson.

    “Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

  • Mahkamah tolak permohonan Zuraida untuk diiktiraf sebagai presiden PBM

    Mahkamah tolak permohonan Zuraida untuk diiktiraf sebagai presiden PBM

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Zuraida Kamaruddin agar beliau diiktiraf secara rasmi sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu ketika prosiding pagi ini.

    Menurut Amarjeet, kehakiman tiada kuasa untuk melihat isu melibatkan hal ehwal parti, selaras dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

    “Mahkamah juga terikat dengan duluan yang ditetapkan Mahkamah Rayuan,” katanya lapor Malaysiakini.

    Zuraida sebelum ini memfailkan permohonan itu bagi mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tahun lalu yang mengiktiraf Ahli Parlimen, Julau Larry Sng sebagai Presiden PBM.

    Beliau mengambil tindakan itu susulan kemelut dalaman parti itu yang menyaksikan beliau dan 10 lagi ahli PBM dipecat.

    Dengan keputusan hari ini, mahkamah tidak akan mendengar merit semakan kehakiman yang dimohon Zuraida.

    Menurut kertas kausa, Zuraida menuntut beberapa pengisytiharan, antaranya keputusan responden iaitu ROS yang mengekalkan Sng sebagai Presiden PBM sebagai tidak sah dan tidak munasabah.

    Zuraida juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Oktober tahun lepas.

    Antara hujah Zuraida adalah ROS bertindak cuai apabila tidak membuat penegasan bahawa dia adalah Presiden parti, ekoran dakwaan gagal mempertimbang surat parti bertarikh 15 Oktober 2022 yang didakwa mengesahkannya sebagai pemegang jawatan itu.

    Peguam Mohamed Ashmeer Ashrof mewakili Zuraida manakala Peguam Persekutuan M. Kogilambigai mewakili Pejabat Peguam Negara dalam prosiding hari ini.

  • 10 ‘warlord’ UMNO akan sertai PN – Razali

    10 ‘warlord’ UMNO akan sertai PN – Razali

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mengumumkan sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada UMNO bakal menyertai gabungan itu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, mereka yang terlibat adalah nama besar yang telah disisihkan UMNO.

    “Ada…kira orang yang ada nama, yang disisih oleh UMNO. Secara sukarela (mereka) sertai salah satu parti (dalam PN) sama ada Pas atau Bersatu.

    “Kita akan umum sebelum PRN,” katanya ditemui media di pekarangan Ibu Pejabat PN, di Kuala Lumpur, semalam, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pemimpin UMNO selain daripada bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bakal ditarik menyertai PN.

    Dua minggu lalu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan terdapat lapan bekas pimpinan UMNO menyertai gabungan tersebut.

    Pada Isnin, beliau sekali lagi memberi bayangan lebih jelas, bahawa Noh bakal menyertai gabungan berkenaan.

    Mohamed Azmin berkata, pada masa ini Noh sering berada di pentas PN untuk memberi sokongan dan menarik sokongan rakyat pada PRN Selangor.

  • Pas tiada masalah kerjasama dengan Tun Mahathir – kata Takiyuddin

    Pas tiada masalah kerjasama dengan Tun Mahathir – kata Takiyuddin

    PAS tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan, kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan itu mewakili PN secara keseluruhannya.

    “Kita (Pas) sebahagian daripada PN… bila pengerusi PN kata (sedia kerjasama), kita (Pas) siap kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat sama untuk kestabilan negara, kestabilan ekonomi… tak ada masalah.

    “Termasuk Tun (Dr Mahathir)…dia adalah negarawan,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Ahli Parlimen PN di sini pada Isnin.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebelum itu menyifatkan keterbukaan Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk bekerjasama semula disifatkan sebagai langkah baik yang mampu memberi kekuatan kepada PN bagi menghadapi PRN.

    “Termasuk Tun (Dr Mahathir)…dia adalah negarawan,” katanya.

  • Pulau Pinang milik Kedah: ’’Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan’’ – Takiyuddin

    Pulau Pinang milik Kedah: ’’Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan’’ – Takiyuddin

    PAS berpendirian tiada sebab untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikenakan tindakan berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak menjadi kesalahan.

    Sebaliknya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

     “Ini bukan perkara baharu. Jika tengok rekod, pada 2017 seorang exco kerajaan negeri Kedah (bawah BN) mengeluarkan kenyataan sama. Perkara ini sudah jadi perbahasan akademik di pelbagai peringkat.

    ‘’Bagi Pas, kita sokong apa yang MB Kedah sebut untuk dibuat kajian dan penyelesaian agar menokhtahkan perkara ini,” katanya malam tadi di Kuala Lumpur lapor Sinar Harian.

    Takiyuddin berkata, Pas akan mempertahankan isu tersebut pada Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Tengok soalan esok,” katanya.

    Menurut kertas Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada Selasa, isu kenyataan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah akan bangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

    Dalan soalan pertama PMQT, Guan Eng bertanyakan apakah tindakan kerajaan ke atas Sanusi bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.

    Guan Eng dalam soalan itu berkata, kenyataan tersebut telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan di kalangan penduduk Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

    Kenyataan dikeluarkan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah telah menimbulkan pertikaian ramai khususnya pemimpin-pemimpin kerajaan Pulau Pinang.

    Pada Khamis, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut membuat laporan terhadap Sanusi berhubung dakwaan berkenaan.