TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati rakannya yang disisihkan UMNO supaya tidak menubuhkan parti baharu, sebaliknya memanfaatkan platform politik sedia ada dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Penubuhan parti baharu berpaksikan Melayu-Islam cuma mendatangkan kerugian buat orang Melayu sendiri sehingga langkah itu cenderung menguntungkan musuh politik,” ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, hari ini.
Saranan itu merujuk kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang memberi gambaran mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada, sebaliknya mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas melihat tiada keperluan untuk wujudkan parti baharu kerana ia hanya akan memecahkan sokongan.
“Adalah lebih baik, rakan-rakan bekas UMNO menyertai PN sama ada menjadi terus ahli PN atau menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.
“Ini kerana, kewujudan banyak parti Melayu hanya akan merugikan kita dan menggembirakan musuh politik,” katanya kepada BH hari ini.
Semalam Khairy Jamaluddin mencetuskan persoalan berhubung hala tuju politik apabila menegaskan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada mulanya beliau tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.
“Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut. Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya.