Oleh RIZQI ZABIDI

BEKAS Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh hari ini memulakan tugas selaku Ketua Polis Kedah yang baharu.

Individu berusia 56 tahun dan berasal dari Jitra itu mengambil alih tugas Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang dilantik sebagai Komisioner Polis Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar.

Terdahulu, berlangsung upacara pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Fisol yang disempurnakan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad.

Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kedah antara Datin Sarihah Jusoh kepada isteri Fisol, Datin Norli Ahmad.

Fisol menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1986 dan sepanjang 37 tahun berkhidmat, beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) dari 2019 hingga 2020 dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dari 2020 hingga 2021.

Pada majlis itu Azri berharap Fisol dapat menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk menerajui Kontinjen Kedah bagi mengekalkan legasi sedia ada selain memastikan keselamatan rakyat di negeri ini sentiasa terjaga.

“Fisol merupakan anak jati Kedah, jadi dia pulang untuk menabur bakti dan dengan pengalaman luasnya, saya yakin dia mampu memastikan keselamatan dan keamanan Kedah lebih terjamin. Saya berharap semua warga Kontinjen Kedah dapat memberi sokongan padu kepada ketua polis yang baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here