Category: Semasa

  • 13 suspek sindiket ahlong di Pulau Pinang ditahan

    13 suspek sindiket ahlong di Pulau Pinang ditahan

    SERAMAI 13 suspek dipercayai terbabit dalam sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong ditahan polis Pulau Pinang di sekitar negeri itu dan Perak semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan hasil operasi oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan pihaknya bagi menangani dan membanteras kegiatan ahlong secara berterusan di negeri itu.

    “Sebanyak 28 pasukan terdiri daripada 112 pegawai dan anggota polis telah ditubuhkan bagi membanteras sindiket ahlong terbabit melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sebelum ini, Kok Chin menegaskan, beliau dan seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang.

    Ia susulan surat ugutan yang diterima beliau baru-baru ini yang memberi amaran supaya beliau tidak mengganggu urusan kumpulan ahlong di Pulau Pinang.

    Susulan itu juga, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani semalam menegaskan, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes menghantar surat amaran serta melakukan ugutan jenayah terhadap Kok Chin terbabit.

    Menurut Kok Chin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

    Tegas beliau, operasi besar-besaran bagi memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram itu akan dilakukan secara berterusan.

    “Pihak polis juga tidak akan berkompromi terhadap kumpulan ahlong yang terlibat,” katanya.

  • Penganggur didakwa amang seksual anak tiri 13 tahun, cederakan isteri

    Penganggur didakwa amang seksual anak tiri 13 tahun, cederakan isteri

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuannya berusia 13 tahun, bulan lalu.

    Lelaki berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

    Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di sebuah rumah di Bandar Kamunting di Taping sekitar pukul 1.30 pagi pada 24 Mei lalu.

    Tertuduh juga turut didakwa atas kesalahan sama yang dilakukan di hadapan sebuah pasar raya di Taiping sekitar pukul 9 malam pada 27 Mei lalu.

    Kedua-dua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor keselamatan mangsa.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh tidak boleh diikat jamin dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 37 tahun dengan menggunakan sebilah pisau berhulu kayu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Bandar Kamunting di Taiping sekitar pukul 9.30 malam pada 23 Mei lalu, lapor Sinar Harian.

    Pertuduhan dilakukan mengikut 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

    Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A Kanun Keseksaan, hukumannya penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan kesalahan mengikut seksyen yang relevan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya diberikan jaminan kerana dia tidak mahu kembali memasuki penjara.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

    Kes disebut semula pada 8 Ogos depan.

  • ‘Tidak pernah Laporan Ketua Audit Negara dibahaskan di Dewan Rakyat’

    ‘Tidak pernah Laporan Ketua Audit Negara dibahaskan di Dewan Rakyat’

    BLOK pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan yang membawa usul agar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan kerana LKAN perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

    Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan berkenaan dibuat bagi ‘menghalang’ usul persendirian yang dibawa oleh pembangkang dibahaskan di Dewan Rakyat.

    “Itulah kita tak nampak rasional kenapa kerajaan sebelum ini tidak pernah membentangkan untuk dibahaskan (LKAN), hanya letak atas meja… berkemungkinan kami membayangkan kerana tak ada Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan.

    “Jadi bila dah tiada, tak akan nak tangguhkan (persidangan) dewan pukul 1?

    “Kita ada satu RUU persendirian. Kita mengesahkan (halang usul persendirian pembangkang) mungkin begitu. Kita ada satu RUU persendirian di bawah ‘standing order’ 49 tetapi sehingga hari ini tidak disahkan ia akan diangkat,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

    Katanya, amalan dalam Parlimen Malaysia, LKAN tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat sebaliknya jika terdapat teguran-teguran oleh ketua audit, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertanggungjawab memanggil saksi-saksi termasuk menteri untuk memberikan keterangan.

    “Pada hari ini (pembangkang) agak kecewa kerana timbalan speaker membuat ‘ruling’ membenarkan usul dibawa untuk dibahaskan.

    “Lalu kami di pihak pembangkang, oleh kerana kami melihat di dalam usul ini, (tertera) di para akhir supaya dewan yang mulia ini, semua pihak menyokong (laporan) audit.

    “(Maka) kami memang menyokong dan menghormati laporan audit yang dibuat secara telus dan mengatakan tak perlu dibahaskan serta menyokong (segala cadangan) yang dikemukakan dalam laporan berkenaan,” tambah Takiyuddin, lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang membantah agar LPAN 2021 dibahaskan.

    Antara yang bangkit mempertikaikan tindakan itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan Peraturan 77(1)(c)
    Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan fungsi dan tugas PAC.

    Usul berkenaan tersenarai sebagai usul pertama dalam aturan mesyuarat hari ini.

  • Bukit Aman siasat dakwaan Sanusi Pulau Pinang milik Kedah

    Bukit Aman siasat dakwaan Sanusi Pulau Pinang milik Kedah

    SIASATAN berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa Pulau Pinang milik negeri itu kini dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menerima sebanyak empat laporan berkaitan dakwaan Muhammad Sanusi berkenaan setakat ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan negeri itu mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

    Beliau mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.

    Malah, beliau sedia bersemuka di mahkamah bagi mempertahankan hujahnya itu dan menegaskan pendiriannya tidak berubah dan kenyataan yang dibuat berlandaskan fakta, bukan secara semberono.

    Ekoran kenyataan Muhammad Sanusi itu, beberapa pemimpin DAP termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan polis minggu lalu.

  • Kecoh, ahli parlimen PN bantah usul bahas laporan audit negara

    Kecoh, ahli parlimen PN bantah usul bahas laporan audit negara

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membantah usul kerajaan untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021.

    Ahli Parlimen kerajaan kedengaran berkata ‘takut takut!’ apabila ahli Parlimen PN berdiri menyokong ketua whip mereka, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang pertama kali membangkitkan bantahan tersebut.

    Takiyuddin menyoal usul berkenaan dan mendakwa bertentangan dengan Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah dilakukan di Parlimen.

    “Kami (pembangkang) hujahkan bahawa… (laporan audit negara itu) hanya perlu dibentangkan saja di atas meja ahli-ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dan ianya telah dilakukan 16 Februari 2023,” kata ahli parlimen Kota Bharu itu.

    Usul laporan Ketua Audit Negara 2021 itu disenaraikan sebagai perbahasan pertama selepas waktu soalan tamat tengah hari ini.

    Diusulkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyeru semua ahli Parlimen bersatu menyokong kerajaan supaya penemuan dan cadangan dalam Laporan Ketua Audit negara 2021 akan diambil tindakan secara serius bagi mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti.

    Dalam pada itu, Takiyuddin (Kota Bharu-PN) berkata, belum pernah menjadi amalan di parlimen untuk membahaskan laporan audit negara.

    “Saya nak ingatkan, kalau tidak ada undang-undang bertulis, ia satu konvensyen. Ada amalan-amalan sepanjang ini di Parlimen.

    “Laporan Ketua Audit Negara tak pernah dibahaskan dan ia jadi satu peraturan dan undang-undang

    “Kami usulkan supaya usul ini tidak dibahaskan,” kata Takiyuddin lagi, lapor Malaysiakini.

    Beberapa ahli Parlimen pembangkang lain termasuk Ronald Kiandee (Beluran-PN) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut bangun menyokong hujah Takiyuddin menentang usul itu.

    Ronald memetik Peraturan Tetap 77, yang menetapkan bahawa laporan audit negara harus diperiksa dan diambil tindakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Beliau mendakwa dengan mencadangkan Parlimen membahaskan laporan itu maka kerajaan telah menjejaskan peranan PAC.

    Mas Ermieyati, yang juga pengerusi PAC, turut menyoal kerelevanan usul tersebut, berkata jawatankuasa itu telah diberi kuasa penuh untuk meneliti laporan audit berkenaan.

    Ahli parlimen Masjid Tanah itu juga menyoal siapa yang akan bertanggungjawab menjawab semua soalan berhubung laporan itu sekiranya ia dibenarkan dibahaskan di Parlimen, kerana jawatan Ketua Audit Negara belum diisi sejak bekas pemegang jawatannya bersara kira-kira empat bulan lalu.

  • Soalan kontroversi Lim Guan Eng, soalan PRN

    Soalan kontroversi Lim Guan Eng, soalan PRN

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) membantah keras soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang menyasarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana melanggar Peraturan Mesyuarat.

    Ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 23(1)(C), iaitu sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati atau mengenai apa-apa perkara meminta penerangan mengenai perkara remeh.

    Bagaimanapun, katanya soalan Guan Eng jelas mempunyai elemen yang dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat itu seperti ayat `yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat’ dan ternyata satu andaian dan sangkaan.

    Begitu juga katanya ayat ‘Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah’ adalah berasaskan fakta yang tidak tepat.

    Mengikut teks soalan, Guan Eng bertanya: “Minta Perdana Menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.”

    “Soalan saya, adakah Yang Berhormat Tan Sri (Johari Abdul) sebagai Speaker Dewan Rakyat telah mengambil kira Perkara 23(1)(C) Peraturan Dewan Rakyat sebelum soalan ini dibenarkan dikemukakan kerana soalan ini bercanggah dengan Perkara 23 (1) (C),” katanya, lapor Harakah Daily.

    Bagaimanapun, Johari berkata: “Saya telah melihat soalan ini dan tidak bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Beluran.”

    Ahli Parlimen Beluran yang tidak bersetuju berkata: “Yang Berhormat (YB), nampak soalan ini soalan PRN (Pilihan Raya Negeri), YB dan tidak sepatutnya dikeluarkan dalam Dewan Rakyat.”

    Johari pula berkata: “Biarlah menteri jawab dan (soalan ini) tidak bercanggah seperti apa yang saya fahami.”

    Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) juga mempersoalkan soalan Guan Eng, namun Johari tetap bertegas dengan menyatakan bahawa soalan itu boleh ditanya dan meminta Guan Eng meneruskan pertanyaan.

  • Dua ditahan menyamar polis termasuk penjawat awam

    Dua ditahan menyamar polis termasuk penjawat awam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden menahan kenderaan orang awam dengan menyamar sebagai polis yang videonya tular semalam.

    Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memberkas dua suspek berkenaan iaitu dua lelaki tempatan berusia 43 dan 48 tahun pukul 6 petang semalam.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, tangkapan dibuat di sebuah kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian.

    Jelas beliau, eorang suspek adalah penjawat awam manakala seorang lagi iaitu suspek ketiga masih bebas dan sedang dikesan.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati penjawat awam berkenaan tiada rekod, namun suspek kedua mempunyai rekod bersabit kes dadah.

    “Polis turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, satu ‘beacon light’ mudah alih, lampu suluh, ‘headlight’ dan sebuah Honda City serta anak kunci.

    “Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi dan seorang suspek direman dua hari.

    “Permohonan reman ke atas suspek yang juga penjawat awam pula ditolak,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan barang.

    Pada pukul 1.52 tengah hari semalam, polis menerima laporan berhubung satu video tular di Facebook memaparkan sekumpulan lelaki menyamar sebagai polis dalam cubaan menahan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara.

    Dalam video berkenaan, tiga lelaki yang menyamar sebagai polis itu menggunakan lampu ‘beacon’ seakan polis dan cuba mengarahkan mangsa untuk menghentikan kenderaannya.

    Pemilik akaun bernama Freeman Gan memaklumkan dia dikejar kereta seperti pasukan polis ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya itu.

    Sementara itu, Kamarul Zaman menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan yang berlaku di kawasan sekitar.

    Pihaknya juga memohon bantuan orang ramai mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

    “Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah,” tegas beliau.

  • ’Harap jangan lagi ada mangsa visa haji furada’’ – Syed Saleh

    ’Harap jangan lagi ada mangsa visa haji furada’’ – Syed Saleh

    TABUNG Haji (TH) berharap tiada lagi umat Islam di Malaysia menjadi mangsa tawaran visa haji furada seperti mana kes  berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, visa furada bukanlah dalam kuota rasmi Malaysia iaitu 31,600 jemaah haji, sebaiknya ia budi bicara dan hak mutlak kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan visa kepada pihak yang memohon atau mana-mana pihak difikirkan sesuai.

    Katanya, apabila mana-mana individu menerima atau mendapat visa furada, mereka diharapkan menggunakan perkhidmatan 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH.

    “Apabila melalui syarikat PJH ini mereka akan mendapat keyakinan dengan pakej yang dibeli berbanding syarikat tidak dilesenkan yang tidak tahu sejauh manakah kesahihan visa dan pengendalian keseluruhan haji sama ada meyakinkan atau tidak.

    “Kita sedia maklum bahawa kes tahun lepas apabila jemaah yang terkandas ini membayar hampir RM40,000 hingga RM80,000 – begitu juga pada tahun ini sudah tentu harganya makin naik oleh kerana kos yang makin tinggi,” katanya, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Pada tahun lalu, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan membabitkan kerugian lebih RM5.67 juta.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan, laporan yang diterima setakat 31 Julai membabitkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan oleh tiga syarikat pelancongan swasta.

    Mengulas isu itu Syed Saleh berkata, setiap agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji tanpa kebenaran dan lesen TH boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995.

  • Penoreh getah didakwa cuai hingga anak termakan biskut ganja

    Penoreh getah didakwa cuai hingga anak termakan biskut ganja

    SEORANG penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini, atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan anak perempuannya termakan biskut dicampur ganja, minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Firdaus Hassim, 39, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun 7 bulan didapati cuai membiarkan kanak-kanak itu memakan biskut buatan tertuduh yang mengandungi dadah jenis kanabis (ganja) dan mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan kesihatan.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Bagan Lawin di Gerik, daerah Hulu Perak pukul 7.30 malam, 29 Mei lalu.

    Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mohd. Waffy tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa yang kini berada di bawah jagaan ibunya dan sudah dibenarkan keluar dari hospital adalah anak tertuduh dan tinggal serumah.

    Hakim menetapkan tarikh 6 Julai untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sementara menunggu lantikan peguam dan laporan perubatan kanak-kanak itu.

    Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dikejarkan ke hospital selepas mengalami simptom sesak nafas akibat termakan biskut dibuat bapanya yang disyaki dicampur dengan ganja.

  • Tabung Haji lakukan pencegahan awal urus psikologi, kesihatan mental jemaah Malaysia

    Tabung Haji lakukan pencegahan awal urus psikologi, kesihatan mental jemaah Malaysia

    MASALAH gangguan fikiran seperti depresi dan Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) antara masalah yang diadukan jemaah haji pada tahun ini kepada Unit Perkhidmatan Kaunseling Tabung Haji (TH).

    Walaupun peratusan kes itu amat kecil, ia tidak dipandang ringan kerana unit berkenaan amat menitikberatkan psikologi jemaah haji bagi membolehkan mereka fokus dalam menjalankan ibadah.

    Pengurus Kaunseling, Mohamad Hanif Napi berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong berlakunya gangguan minda jemaah antaranya berjauhan dengan keluarga dan tidak bersedia untuk ke Tanah Suci.

    Oleh itu katanya, unit perkhidmatan kaunseling berperanan sebagai pasukan yang menyokong kesejahteraan psikologi dan juga kesihatan mental dalam kalangan jemaah haji serta petugas.

    “Kami lakukan pencegahan awal untuk menguruskan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental dalam kalangan jemaah haji melalui beberapa kaedah yang telah disusun. Kita lakukan lawatan silaturrahim bilik ke bilik yang, melalui aktiviti itu kami dapat kesan beberapa isu, konflik yang boleh kita bantu dari awal lagi,” katanya pada sidang media di Mekah, lapor wartawan SINAR HARIAN.

    Kata Mohamad Hanif, pihaknya turut melakukan penambahbaikan terbaharu pada tahun ini dengan mengetengahkan info berkaitan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental dalam aplikasi THhujjaj.

    “Di situ kita telah paparkan beberapa info atau infografik berkaitan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental seperti kaedah mengawal kemarahan, mengekalkan perhubungan positif antara rakan sebilik dan dalam keluarga serta pengurusan kewangan berhemah.

    “Kita juga salurkan tips untuk mengekalkan perhubungan komunikasi yang baik antara suami dan isteri, semua khidmat nasihat itu kita paparkan melalui saluran televisyen di bilik penginapan masing-masing,” katanya.

    Mohamad Hanif berkata, pihaknya turut menyediakan sudut ekspresi diri di unit berkenaan yang membolehkan jemaah menghilangkan stress masing-masing melalui beberapa kaedah terapi ringkas.

    Selain ditunjangi lapan anggota untuk memberikan khidmat kepada jemaah, unit kaunseling turut menyediakan talian Peka untuk membantu jemaah yang memerlukan bantuan secara langsung.

    “Untuk Masyair nanti, kita akan ada Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman atau peneman – iaitu program membantu jemaah haji yang memerlukan bantuan seperti iringan contohnya untuk tolak ke tandas dan sebagainya.

    “Sebelum ini dikenali sebagai program jemaah haji warga emas – bermula tahun lepas kita dah jenamakan semula dan kategori itu ialah mereka berumur 70 tahun ke atas, tiada pengiring, dan kalau berkaitan kesihatan, mereka ini bukan sakit terlantar atau sakit kronik.

    “Mereka ini yang perlu diberi bimbingan, mungkin ada kekurangan dari segi ingatan untuk beribadah jadi kita kena ingatkan mereka..dari segi urus diri pun sama, kalau kita tengok pengalaman sebelum-sebelum ini, ada yang kita kena uruskan mandi.. nak bawa ke bilik air, jadi mereka ini istimewa,” katanya.