TABUNG Haji (TH) berharap tiada lagi umat Islam di Malaysia menjadi mangsa tawaran visa haji furada seperti mana kes berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, visa furada bukanlah dalam kuota rasmi Malaysia iaitu 31,600 jemaah haji, sebaiknya ia budi bicara dan hak mutlak kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan visa kepada pihak yang memohon atau mana-mana pihak difikirkan sesuai.
Katanya, apabila mana-mana individu menerima atau mendapat visa furada, mereka diharapkan menggunakan perkhidmatan 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH.

“Apabila melalui syarikat PJH ini mereka akan mendapat keyakinan dengan pakej yang dibeli berbanding syarikat tidak dilesenkan yang tidak tahu sejauh manakah kesahihan visa dan pengendalian keseluruhan haji sama ada meyakinkan atau tidak.
“Kita sedia maklum bahawa kes tahun lepas apabila jemaah yang terkandas ini membayar hampir RM40,000 hingga RM80,000 – begitu juga pada tahun ini sudah tentu harganya makin naik oleh kerana kos yang makin tinggi,” katanya, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.
Pada tahun lalu, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan membabitkan kerugian lebih RM5.67 juta.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan, laporan yang diterima setakat 31 Julai membabitkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan oleh tiga syarikat pelancongan swasta.
Mengulas isu itu Syed Saleh berkata, setiap agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji tanpa kebenaran dan lesen TH boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995.