SERAMAI 13 suspek dipercayai terbabit dalam sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong ditahan polis Pulau Pinang di sekitar negeri itu dan Perak semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan hasil operasi oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan pihaknya bagi menangani dan membanteras kegiatan ahlong secara berterusan di negeri itu.
“Sebanyak 28 pasukan terdiri daripada 112 pegawai dan anggota polis telah ditubuhkan bagi membanteras sindiket ahlong terbabit melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Kok Chin menegaskan, beliau dan seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang.
Ia susulan surat ugutan yang diterima beliau baru-baru ini yang memberi amaran supaya beliau tidak mengganggu urusan kumpulan ahlong di Pulau Pinang.
Susulan itu juga, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani semalam menegaskan, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes menghantar surat amaran serta melakukan ugutan jenayah terhadap Kok Chin terbabit.
Menurut Kok Chin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Tegas beliau, operasi besar-besaran bagi memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram itu akan dilakukan secara berterusan.
“Pihak polis juga tidak akan berkompromi terhadap kumpulan ahlong yang terlibat,” katanya.