Category: Semasa

  • Dr.Anhar dilantik Mufti Selangor yang baharu

    Dr.Anhar dilantik Mufti Selangor yang baharu

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mengurniakan watikah pelantikan Mufti Selangor dan Timbalan Mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

    Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Dato’ Dr.  Anhar  Ophir kini secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuatkuasa 21 Mei.

    Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Mufti Selangor sejak tahun 2016.

    Anak kelahiran Kapar, Klang itu memiliki kelulusan tertinggi Ijazah Doktor Falsafah (Feqh Wa Usuluh), Mumtaz dari The World Islamic Sciences And Education University (WISE), Jordan. Beliau juga memperoleh Ijazah Sarjana (Falsafah Islamiah), Mumtaz dari Universiti Kaherah, Mesir.

    Sejak tahun 2007, beliau juga bertindak selaku Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Antara kertas kerja yang pernah dihasilkan beliau bertajuk Kepentingan Bermazhab Di Sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Jawatan Timbalan Mufti Selangor pula kini diambil alih oleh Prof. Madya Dr. Miszairi Sitiris. Beliau yang lahir di Banting berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah IRKH (Fiqh dan Usul Al-Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa (IIUM).

    Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IIUM) dan Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IIUM).

    Antara artikel beliau yang pernah diterbitkan bertajuk Tuntutan Harta Sepencarian Dalam Kes Kematian di bawah Jurnal Undang-undang Malaysia.

    Dalam pada itu Sultan Selangor bertitah menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor supaya mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 kepada para Imam, Bilal dan Siak di masjid-masjid dan surau-surau serta Jurunikah di seluruh Negeri Selangor.

    Ia sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya bagi menunaikan solat Jumaat, bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Baginda berpandangan adalah penting untuk imam, bilal dan siak serta jurunikah ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.

  • Dos ketiga vaksin Pfizer berkesan beri perlindungan terhadap varian Delta

    Dos ketiga vaksin Pfizer berkesan beri perlindungan terhadap varian Delta

    PENGELUAR vaksin Covid-19 Pfizer menyatakan dos ketiga vaksin itu lebih berkesan meningkatkan tahap perlindungan antibodi terhadap varian Delta jika dibandingkan dengan hanya dua dos.

    Agensi berita Xinhua melaporkan, tahap antibodi terhadap varian Delta pada individu berusia 18 hingga 55 tahun yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech lima kali ganda lebih tinggi berbanding suntikan dos kedua.

    Data Pfizer menunjukkan bahawa, tahap antibodi terhadap varian Delta dalam kalangan individu berusia 65 hingga 85 tahun selepas menerima dos ketiga adalah 11 kali ganda lebih tinggi berbanding dos kedua.

    “Pfizer menjangkakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan untuk dos ketiga vaksinnya dibuat seawal bulan depan,” kata ketua penyelidikan, pembangunan dan perubatan Pfizer global, Mikael Dolsten, memetik CNN. –

    Pfizer pada awal bulan ini bertemu dengan pegawai kesihatan persekutuan untuk membincangkan keperluan penambahan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk mendapatkan kebenaran bagi membekalkannya.

    Ketua penasihat perubatan White House, Dr Anthony Fauci sebelum ini memaklumkan kemungkinan rakyat Amerika Syarikat (AS) memerlukan suntikan penggalak (booster) walaupun lebih banyak data diperlukan sebelum pegawai kesihatan mengesyorkannya.

    Katanya, terdapat kajian yang sedang dilakukan ketika ini membincangkan kemungkinan apakah dan bila suntikan penggalak harus diberikan kerana ada banyak kerja sedang dilakukan untuk memeriksa perkara itu.

    “Sebelum kamu mendapatkan data itu, akan selalu ada individu dan syarikat berkata, ‘Kamu tahu, cara kita melihat keadaan, nampaknya kamu mungkin memerlukan penggalak, jadi mari kita teruskan (beri penggalak).

    “Namun, itu bukan cadangan rasmi, ” tambahnya.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan varian Delta yang pertama kali muncul di India pada bulan Disember kini menyumbang 82 peratus kes baharu Covid-19 di AS.

  • Pakej bantuan, rangsangan ekonomi bantu rakyat,ekonomi bertahan ketika COVID-19

    Pakej bantuan, rangsangan ekonomi bantu rakyat,ekonomi bertahan ketika COVID-19

    LAPAN pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 melanda negara membuktikan kerajaan mendengar dan bertindak supaya rakyat dan ekonomi terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kesemua pakej itu dilaksana bagi melindungi nyawa melalui tiga fokus utama iaitu pengukuhan sistem kesihatan awam dan vaksinasi kebangsaan, melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan.

    “Paling utama sekarang, kita perlu giatkan usaha memvaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di seluruh negara. Saya pasti rakyat tidak mahu lagi menoleh ke belakang setelah terkurung untuk tempoh sekian lama.

    “InsyaAllah, tahun ini, once and for all (buat kali terakhir), kita tamatkan segala duka durjana,” katanya ketika memberikan penerangan berkenaan pakej-pakej bantuan ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata program vaksinasi kebangsaan merupakan kunci utama kejayaan negara melawan COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Menjelas lanjut, Tengku Zafrul berkata bagi mengoptimum keupayaan sistem kesihatan awam,  Kementerian Kesihatan (KKM) dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 bilion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

    Beliau berkata antaranya peruntukan menerusi pakej PRIHATIN berjumlah RM1.6 bilion, RM1.4 bilion melalui Belanjawan 2021 dan peruntukan tambahan lebih RM500 juta di bawah pakej PEMERKASA Tambahan.

    Katanya kerajaan juga mengumumkan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM18 bilion yang telah memanfaatkan 11 juta penerima.

    “Bantuan BPN telah banyak memberi kelegaan kepada rakyat malah ada juga yang menggunakannya sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan,” katanya sambil menambah inisiatif itu diteruskan di bawah pakej PEMULIH melalui tiga lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

    Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah lebih RM200 juta untuk program bantuan Bakul Makanan yang menerima banyak permintaan supaya program seumpama itu dapat diteruskan.

    Beliau berkata kerajaan turut membantu golongan sasar seperti belia, pelajar, wanita dan ibu tunggal serta pencari kerja dan pelatih.

    Menurutnya, di bawah inisiatif PenjanaKerjaya 2.0, lebih 141,000 orang berjaya diambil bekerja manakala lebih 39,300 orang mendapat pekerjaan melalui Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) yang menawarkan gaji antara RM1,400 dan RM2,000 sebulan, setakat 30 Jun lepas.

  • Kemungkinan jangkitan VOC di kilang elektronik Tanjung Agas

    Kemungkinan jangkitan VOC di kilang elektronik Tanjung Agas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesyaki berkemungkinan berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan ‘variant of concern’ (VOC) yang dilaporkan di sebuah kilang elektronik di Tanjung Agas, Muar.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, ini berdasarkan bilangan kes kematian yang dilaporkan adalah tinggi yang melibatkan 13 pekerja setakat ini.

    Walaubagaimanapun katanya, masih belum ada pengesahan melalui ujian makmal yang dibuat setakat ini menengenai varian baharu itu.

    Jelasnya, JKNJ mengesahkan insiden yang berlaku di kilang elektronik itu seperti yang tular membabitkan Kluster Persiaran Agas.

    “Kluster Persiaran Agas diisytiharkan pada 9 Julai lalu membabitkan pekerja daripada sebuah kilang elektronik pembuatan semikonduktor di Tanjung Agas.

    “Sehingga semalam, jumlah kes yang dilaporkan dalam kluster ini adalah sebanyak 462 kes dengan sejumlah 13 kematian dilaporkan membabitkan kluster berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 207 individu atau 44.8 peratus membabitkan pekerja kilang itu yang terdiri daripada 155 warga tempatan, manakala 52 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

    Tambahnya, sebanyak 255 kes lain adalah kes yang dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja-pekerja kilang itu.

  • Agong dukacita, kerajaan batalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Seri Paduka

    Agong dukacita, kerajaan batalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Seri Paduka

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah

    diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin  Hassan  dan Peguam Negara Tan Sri Idrus  Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

    Berikut kenyataan penuh Istana Negara:

    Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan penghargaan kepada pihak Kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada hari Isnin lalu (26 Julai, 2021).

    Ianya adalah sejajar dengan saranan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat.

    Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

    Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

    Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

    Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

    Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

    Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

    Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

  • 250 keluarga terima sumbangan Sultan Ibrahim

    250 keluarga terima sumbangan Sultan Ibrahim

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 250 keluarga yang terjejas dengan pandemik Covid-19 di Taman Universiti, Skudai di sini hari ini menerima sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

    Sumbangan disampaikan Mejar Cina, Datuk David Wong kepada Paderi Pusat Katolik Skudai, Christopher Lee untuk diagihkan kepada penerima.

    Seorang penerima yang juga ibu tunggal, Esah Manap, 45, terputus punca pendapatan selepas majikannya tidak dapat meneruskan operasi perniagaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Saya amat bersyukur mempunyai seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan memahami kesusahan rakyatnya.

    “Bantuan ini amat besar nilainya kepada kami sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Seorang lagi penerima bantuan, P. Malliga, 47, juga amat berterima kasih kerana bantuan disampaikan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi YSIJ yang diberi secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

    “Selama ini saya hanya mengharapkan bantuan daripada saudara dan jiran-jiran untuk meneruskan kehidupan.

    “Junjung kasih Tuanku di atas bantuan ini, patik amat bersyukur Tuanku sentiasa membantu semua kaum di negeri Johor,” ujarnya.

    Sementara itu, David Wong berkata, Sultan Johor sentiasa mengingatkan pihaknya supaya memastikan bantuan disampaikan secara adil kepada setiap kaum tidak kira apa jua kepercayaan mereka.

    “Baginda amat memahami kesusahan rakyat yang berdepan cabaran ekonomi serta kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.

  • Lelaki maut jatuh bangunan

    Lelaki maut jatuh bangunan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki maut terjatuh dari bangunan di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.30 malam daripada orang awam.

    “Sepasukan anggota Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Balai Polis Sentral sampai di lokasi dan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun terbaring di koridor tingkat 8.

    “Dia didapati jatuh dari tingkat 15 bangunan tersebut. Pengesahan kematian telah dibuat oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultan Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat punca kejadian berlaku.

    Mayat katanya, dibawa ke HSA untuk bedah siasat mengetahui punca kematian.

    “Setakat ini tiada apa-apa unsur jenayah dikesan, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Warga emas seks luar tabii dengan kambing direman 7 hari

    Warga emas seks luar tabii dengan kambing direman 7 hari

    LELAKI warga emas yang dipercayai melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga menyebabkan haiwan itu mati di Serendah, Selangor, kelmarin direman selama tujuh hari.

    Perintah reman itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar Mohamad Azrul Muhd Sabri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

    Lelaki berusia 60 tahun itu yang memakai t-shirt dibawa dengan trak diiringi dua anggota polis dari Balai Polis Sentosa.

    Suspek dirakam memasuki perkarangan mahkmah pada pukul 9.20 pagi.

    Mohamad Azrul membenarkan suspek direman bermula hari ini hingga 4 Ogos bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 377/289 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes terbabit untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

    Tindakan jijik lelaki warga emas itu melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Serendah dekat Hulu Selangor, mendapat liputan meluas media semalam.

    Insiden itu hanya diketahui pemilik kambing terbabit setelah dia mendengar kambingnya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi pelik kira-kira pukul 1.30 tengah hari, kelmarin.

    Wanita yang juga pemilik kambing itu kemudiannya keluar memeriksa haiwan peliharaannya sebelum mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun daripada sebelah haiwan berkenaan dalam keadaan separuh bogel.

    Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dan hasil pemeriksaan wanita berusia 45 tahun tersebut mendapati haiwan peliharaannya sudah mati dan membuat laporan polis, tidak lama kemudian.

  • Tentera Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun Palestin

    Tentera Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun Palestin

    SEORANG kanak-kanak Palestin berusia 11 tahun yang cedera parah ditembak tentera pengganas Israel di pintu masuk pekan Beit Ummar, dekat bandar Hebron, Tebing Barat meninggal dunia akibat luka dialaminya, semalam.

    Agensi berita Palestin, WAFA yang mememtik kenyataan kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, kanak-kanak malang itu, Mohammad Mouayyad Allamy, cedera pada bahagian dada setelah askar Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan dipandu bapanya di lokasi kejadian.

    Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ahli di Hebron dan keadaannya dilaporkan kritikal.

    Mouayyad bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang dialaminya.

    Tentera Israel melancarkan serangan terhadap penduduk dan hartanah Palestin di Tebing Barat yang dijajah mereka pada setiap hari.

    Pihak Berkuasa Palestin sementara itu terus menuntut masyarakat antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin, yang menderita selama puluhan tahun di bawah ancaman askar pengganas Israel.

  • 552,701 dos harian vaksin Covid-19 semalam, 1.5 juta dalam tiga hari

    552,701 dos harian vaksin Covid-19 semalam, 1.5 juta dalam tiga hari

    PELAKSANAAN vaksinasi harian Covid-19 negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 552,701 dos suntikan vaksin dilaporkan diberikan di seluruh negara setakat semalam.

    Ini sekali gus menjadikan pelaksanaan vaksin di seluruh negara merekodkan pemberian vaksin harian melebihi 500,000 dos buat hari ketiga berturut-turut.

    Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin dalam laman Twitternya, daripada jumlah itu, seramai 353,771 individu menerima dos pertama dan 198,930 lagi melengkapkan dos kedua.

    Jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian tertinggi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Februari lalu adalah pada Selasa dengan 553,871 dos suntikan, manakala Isnin mencatatkan 521,923 dos.

    Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui laman Twitter memaklumkan secara kumulatifnya, sebanyak 18,946,048 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

    Ia meliputi 12,841,212 orang untuk dos pertama dan 6,104,836 bagi dos kedua.

    Operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang pula merekodkan 239,874 dos diberikan secara keseluruhan, pada Rabu.