PENGELUAR vaksin Covid-19 Pfizer menyatakan dos ketiga vaksin itu lebih berkesan meningkatkan tahap perlindungan antibodi terhadap varian Delta jika dibandingkan dengan hanya dua dos.

Agensi berita Xinhua melaporkan, tahap antibodi terhadap varian Delta pada individu berusia 18 hingga 55 tahun yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech lima kali ganda lebih tinggi berbanding suntikan dos kedua.

Data Pfizer menunjukkan bahawa, tahap antibodi terhadap varian Delta dalam kalangan individu berusia 65 hingga 85 tahun selepas menerima dos ketiga adalah 11 kali ganda lebih tinggi berbanding dos kedua.

“Pfizer menjangkakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan untuk dos ketiga vaksinnya dibuat seawal bulan depan,” kata ketua penyelidikan, pembangunan dan perubatan Pfizer global, Mikael Dolsten, memetik CNN. –

Pfizer pada awal bulan ini bertemu dengan pegawai kesihatan persekutuan untuk membincangkan keperluan penambahan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk mendapatkan kebenaran bagi membekalkannya.

Ketua penasihat perubatan White House, Dr Anthony Fauci sebelum ini memaklumkan kemungkinan rakyat Amerika Syarikat (AS) memerlukan suntikan penggalak (booster) walaupun lebih banyak data diperlukan sebelum pegawai kesihatan mengesyorkannya.

Katanya, terdapat kajian yang sedang dilakukan ketika ini membincangkan kemungkinan apakah dan bila suntikan penggalak harus diberikan kerana ada banyak kerja sedang dilakukan untuk memeriksa perkara itu.

“Sebelum kamu mendapatkan data itu, akan selalu ada individu dan syarikat berkata, ‘Kamu tahu, cara kita melihat keadaan, nampaknya kamu mungkin memerlukan penggalak, jadi mari kita teruskan (beri penggalak).

“Namun, itu bukan cadangan rasmi, ” tambahnya.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan varian Delta yang pertama kali muncul di India pada bulan Disember kini menyumbang 82 peratus kes baharu Covid-19 di AS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here