Category: Semasa

  • Agong isytihar darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022

    Agong isytihar darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Feb tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

    Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

    Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

    Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

    “Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak COVID-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

    Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

  • Polis rungkai identiti lelaki misteri bertongkat

    Polis rungkai identiti lelaki misteri bertongkat

    MISTERI seorang lelaki yang memasuki perkarangan sebuah rumah di Taman Cengal, Sungai Petani terungkai apabila polis mengesahkan individu yang tular di media sosial sejak semalam itu didapati kurang waras.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dalam satu kenyataan berkata, lelaki itu juga tidak tahu apa yang dibuatnya di situ selain turut berbogel di hadapan anggota polis.

    Isteri lelaki berkenaan katanya turut bersamanya ketika kejadian.

    Beliau berkata, lelaki itu juga mengalami masalah buah pinggang dan ada tiub di perutnya.

    “Namun tiada tindakan diambil berhubung kejadian itu,” katanya, hari ini.

    Tular di media sosial sejak semalam akan seorang penduduk taman perumahan yang memaklumkan jirannya hampir dipukau selepas menyedari lelaki tua bertongkat masuk ke kawasan kediamannya.

    Jirannya menyedari sebuah Proton Iswara berwarna merah berlegar di kawasan itu pada pukul 5.20 pagi sebelum kehadiran lelaki itu.

    Timbul persoalan apabila pagar rumah itu yang dikunci automatik telah dimasuki lelaki terbabit sehingga perkarangan kediaman tanpa ada kesan kopak pada pagar.

    Oleh itu, penduduk meluahkan kebimbangan dan memaklumkan kejadian kepada polis.

    Penduduk turut mendakwa kawasan kediaman mereka kerap terputus bekalan elektrik serta alat penggera tiba-tiba berbunyi pada antara pukul 4 atau 5 pagi hampir setiap hari.

  • PM zahir ucapan tahniah ulang tahun keputeraan Agong

    PM zahir ucapan tahniah ulang tahun keputeraan Agong

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERDANA Menteri merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-62 pada hari ini.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan itu menerusi satu poster dalam hantaran dalam Facebook dan Twitter miliknya dengan kapsyen Daulat Tuanku.

    Menerusi poster itu, Muhyiddin merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah ke atas Al-Sultan Abdullah, Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya.

    “Semoga Allah memberkati pemerintahan berjiwa rakyat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya dalam poster itu.

  • 23 lokaliti dikenakan PKPD, 67 premis diarah tutup

    23 lokaliti dikenakan PKPD, 67 premis diarah tutup

    SEBANYAK  22 lokaliti di Sabah dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 14 Ogos.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata di Sabah ia melibatkan enam lokaliti di Tawau iaitu Bandar Sabindo, Kampung Rancangan Sungai Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman Jalan Apas, PPR Sri Semarak dan Taman Berjaya.

    “Lima lokaliti di Keningau turut dikenakan PKPD melibatkan Kampung Bariawa Laut, Kampung Baitah, Kampung Panagatan Ulu, Kampung Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

    Selain itu, PKPD melibatkan tiga lokaliti di Kudat iaitu Kampung Seri Aman, Taman Orkid dan Kampung Damaran Banggi serta tiga lagi di Sandakan iaitu Kampung Lupak Meluas Darat, Kampung Sundang Laut serta Flat Taman Sejati.

    Dua lokaliti di Kota Kinabalu pula ialah Taman Sempelang serta Kampung Sembulan Tengah dan Lama, selain Kampung Tempasuk 1 di Kota Belud, Kampung Tengah Padang di Putatan dan Kampung Babagon di Penampang juga dilaksanakan PKPD untuk tempoh sama.

    Hishammuddin berkata satu lokaliti di Pahang pula ialah Kampung Tanjung Kerayong di Mentakab.

    Sementara itu, beliau berkata 67 premis diarahkan tutup serta-merta semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

    Menurut kenyataan itu, pada masa sama 228 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 222 daripadanya dikompaun manakala enam lagi direman.

  • PPM Wilayah 2rampas rokok, arak seludup

    PPM Wilayah 2rampas rokok, arak seludup

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor merampas 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM141,768.00 di Jalan 3/1, Taman Kempas, Johor Bahru semalam.

    Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota membuat pemantauan di lorong belakang jalan itu sebelum menahan seorang lelaki pada jam 5.30 petang.

    “Pemeriksaan dalam dalam premis tersebut menemukan 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras.

    “Rokok dan minuman keras itu mempunyai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM141,768. Kita didapati bahawa semua rokok terbabit disyaki tidak bercukai kastam dan ingin diseludup ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kenderaan berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM181,766.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967.

    Dalam pada itu, pihaknya akan mempertingkatkan operasi bersepadu bersama-sama pihak Tugas Am dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Johor di laluan dan jalan yang dikenal pasti digunakan penyeludup.

    Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan yang menyalahi undang-undang negara menerusi talian 07-2372221.

  • UMNO, BN tetap sokong kerajaan PN

    UMNO, BN tetap sokong kerajaan PN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BARISAN Nasional (BN) dan UMNO tetap menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sebalik kemelut politik ketika ini.

    Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendirian itu sudah dinyatakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

    “Dalam BN dan UMNO, sudah membuat pendirian dan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.

    “Saya sendiri dan rakan dalam Dewan Rakyat yang rapat dengan saya, bukan sahaja sokong tetapi senada dengan pendirian yang diumumkan iaitu tetap sokong kerajaan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan Covid-19 dari Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Kuala Lumpur hari ini.

  • Bantuan perubatan dari Arab Saudi tiba di Malaysia

    Bantuan perubatan dari Arab Saudi tiba di Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TIGA pesawat berisi bantuan peralatan perubatan dihantar kerajaan Arab Saudi ke Malaysia pada hari ini dan semalam.

    Bantuan perubatan itu bagi membantu negara ini menangani jangkitan Covid-19.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau akan menerima sumbangan bantuan itu secara simbolik dan perincian jumlahnya daripada Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan nanti.

    “Baru lima hari lalu, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman (Abdulaziz Al Saud) menitahkan supaya bantuan COVID-19 dihantar ke Malaysia.
    Semalam tiba di tanah air menerusi dua pesawat manakala sebuah lagi akan tiba hari ini.

    “Tiga pesawat Saudia Airlines dihantar kerajaan Arab Saudi untuk sampaikan sumbangan ini. Alhamdulillah, nanti saya kongsi perincian sumbangan kepada semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ahad lalu, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan bersetuju menyalurkan sumbangan kepada Malaysia, bagi membantu negara ini memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.

    Bantuan daripada Arab Saudi itu antara lain, termasuk sumbangan dalam bentuk satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia.

  • Penjara seumur hidup dicadangkan untuk jenayah pemerdagangan manusia

    Penjara seumur hidup dicadangkan untuk jenayah pemerdagangan manusia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbang untuk meningkatkan hukuman kepada mereka yang melakukan jenayah pemerdagangan manusia.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuk cadangan hukuman pemenjaraan seumur hidup.

    Jelasnya, usaha itu adalah bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam membanteras kegiatan ini.

    Katanya, kegiatan pemerdagangan orang adalah sama seperti amalan perhambaan moden, yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta-juta orang mangsa di seluruh dunia.

    “Bagi memastikan jenayah ini dapat ditangani secara serius, kerajaan akan terus menjayakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0) yang dilancarkan Mac lalu.

    “Berdasarkan statistik, sebanyak 1,854 kes yang melibatkan 10,463 mangsa direkodkan dalam negara dengan 70 peratus mangsa adalah terdiri dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, sejak 2015. Bagaimanapun, semua mangsa diselamatkan dan diberikan perlindungan mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2021 secara maya, hari ini.

    Hamzah berkata, kerajaan juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Project Liber8 membangunkan satu platform yang dikenali sebagai Chatbot MAPO.

    Katanya, platform yang beroperasi setiap hari membolehkan mangsa menjadikan ia satu saluran untuk membuat aduan dengan mudah.

    “Ia juga mempunyai enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Indonesia, Burma, Nepal dan Bengali yang membolehkan lebih ramai mangsa tampil untuk membantu kerajaan,” katanya.

  • 16,840 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    16,840 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 16,840 kes penularan wabak Covid-19 di seluruh negara pada hari ini, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Selangor terus mencatatkan jumlah kes yang tinggi iaitu sebanyak 6,092 kes dan Kuala Lumpur pula, jumlah kes yang direkodkan sebanyak 2,114.

    Kedah pula mencatatkan sebanyak 1,281 kes, Negeri Sembilan (1,079), Johor (1,104), Sabah (1,066), Perak (810), Pulau Pinang (689), Kelantan (656), Melaka (581), Pahang (540), Terengganu (258), Putrajaya (100), Perlis (13) dan Labuan (tujuh).

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif 1,095,486.

  • JAS rampas barang buangan terjadual dari luar negara

    JAS rampas barang buangan terjadual dari luar negara

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 19 kontena mengandungi barangan buangan terjadual dari luar negara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.

    Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kesalahan itu dikesan semasa pihaknya menjalankan pemeriksaan kontena dengan kerjasama pihak berkuasa PTP dari 19 Julai lalu hingga semalam.

    “Pemeriksaan yang dijalankan mendapati setiap kontena itu menggunakan borang deklarasi palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Berdasarkan borang deklarasi, barang dagangan yang dibawa adalah sekerap logam namun hasil pemeriksaan dijalankan mendapatinya barang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    “Pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu membawa buangan yang yang mengandungi bateri plumbum (SW 102), bateri lithium (SW 103), buangan elektrik dan elektronik (SW 110), dan kabel wayar berpenebat (SW 422),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya, semua kontena itu akan diarahkan untuk dihantar balik ke negara asal selaras dengan prosedur Konvensyen Basel.

    Piha JAS katanya, sudah mengenal pasti kesemua 10 syarikat pengimport yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

    Tegas beliau, tiada tindakan kompaun ditawarkan terhadap syarikat pengimport yang terlibat melainkan mengarahkan kontena mengandungi barangan buangan terjadual untuk dihantar balik ke negara asal.

    “Mana-mana pihak diingatkan bahawa pengimportan sekerap logam dan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.