Category: Semasa

  • Najib sudah dapat kembali wang tunai RM114 juta

    Najib sudah dapat kembali wang tunai RM114 juta

    SEJUMLAH  aset bernilai RM114 juta, yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences pada 17 Mei 2018, telah dipulangkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

    Timbalan Pendakwaraya Faten Hadni Khairuddin memberitahu, berdasarkan semakan dengan pegawai penyiasat, aset terbabit telah diserahkan pada 17 Jun lepas.

    Tambahnya lagi, pemulangan itu dilakukan kerana pihak pendakwaan tidak memohon untuk memfailkan rayuan, selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman pada 20 Mei lepas, menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak aset terbabit.

    “(Aset) telah diserahkan kepada DSN melalui wakil kerana pihak pemohon (pendakwaan) tidak memfailkan rayuan,” katanya lagi kepada Astro Awani.

    Pada Mei, Muhammad Jamil menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences yang terletak di ibu negara pada 17 Mei 2018.

    Ketika menyampaikan keputusannya, Muhammad Jamil berkata, pendakwa raya gagal membuktikan wang RM114,164,393.44 yang disita itu terbabit dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Selain itu, hakim juga memutuskan pendakwa raya gagal membuktikan wang berkenaan wujud hasil aktiviti pengubahan wang haram.

    Untuk rekod, pendakwaan pada 2019 telah memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap OBYU Holdings untuk melucut hak barangan.

    Ia merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

    Sementara itu, portal Malaysia Now melaporkan, sumber dalaman UMNO berkata Najib mungkin sudah memulangkan semula wang tersebut kepada parti, namun tidak dapat mengesahkannya.

    Setakat ini bekas Perdana Menteri itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

    Pada Julai 2018, Mahkamah Tinggi menyabitkan kesalahan dan memutuskan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana 1MDB dan SRC International.

  • PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

    PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PAS Kelantan akan meneruskan program penerangan secara atas talian bagi menjelaskan isu-isu dan perkembangan semasa dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, walaupun tidak dapat menyampaikan ceramah secara fizikal, kemudahan media sosial akan dimanfaatkan bagi tujuan itu.

    Katanya, sekarang ceramah, konvesyen dan seminar diadakan menggunakan platform Facebook yang diikuti ramai peserta dan penonton.

    “Sesiapa yang ada Facebook semua boleh tengok ceramah tersebut. Alhamdulilah sambutannya amat menggalakkan. Lagipun apa yang kita bincangkan mengikut perkembangan semasa.

    “Program ceramah secara atas talian diadakan setiap dua minggu sekali bagi mengupas isu-isu semasa manakala program lain turut membabitkan kerjasama dengan Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

    Mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, jentera Pas Kelantan sudah lama menyusun gerak kerja.

    Begitu juga katanya, kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus berlangsung.

    “Secara umumnya 80 hingga 90 peratus penyokong Pas sudah boleh menerima UMNO. Ada pun yang tak suka pun hanya ada segelintir sahaja mungkin mereka masih terasa dengan ‘luka’ lama terutama golongan veteran,” ujarnya.

  • Pembangkang benar-benar terdesak sekarang

    Pembangkang benar-benar terdesak sekarang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMBANGKANG kini dilihat semakin terdesak sehingga terpaksa memberi gambaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti.

    Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Malik Abdul Karim berkata, dakwaan itu bukan baharu malah sudah diulang-ulang sehingga rakyat menjadi mual terhadap politik murahan pembangkang itu.

    Beliau berkata, pembangkang juga berlindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mengadakan himpunan di Kuala Lumpur.

    Katanya, himpunan anak muda yang berpakaian serba hitam di Kuala Lumpur, Sabtu lepas tidak mampu menyembunyikan dalang di sebaliknya.

    “Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berhimpun semata-mata mahu melaungkan slogan hidup rakyat, bangkit rakyat dan kerajaan gagal.

    “Perhimpunan seumpama itu biarpun dibenarkan atas nama demokrasi, namun situasi sekarang dengan penularan wabak perlu diberi perhatian serius kerana boleh meragut nyawa.

    “Jika tiada pandemik Covid-19 mereka hendak berhimpun tiga hari tiga malam dengan kebenaran pihak berkuasa pun tiada masalah,” katanya kepada pemberita.

    Abdul Malik berkata, perhimpunan serupa diadakan di laluan masuk ke Parlimen Isnin lalu yang membabitkan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

    “Siri himpunan itu tidak boleh dinafikan ada dalangnya di mana akhirnya pembangkang menampilkan wajah mereka.

    “Malangnya mereka tidak memanfaatkan sidang khas Dewan Rakyat minggu lepas bagi menyelesaikan rakyat yang kini hidup dalam tekanan ekoran penularan Covid-19,” katanya.

    Menurutnya, sidang khas Parlimen itu mendukacitakan kerana pembangkang tidak sabar merebut kuasa ketika wabak menular di Parlimen.

  • Saya buat keputusan sokong PM- Idris

    Saya buat keputusan sokong PM- Idris

    Oleh DATUK SERI IDRIS JUSOH

    Pada masa rakyat sengsara dengan isu Covid-19 ini, seboleh-bolehnya kita jangan sangat berpolitik. Kita wajib tumpu masa bantu rakyat. Tingkatkan vaksinasi dan pulihkan ekonomi.

    Untuk kebaikan rakyat dan tidak banyak berpolitik, saya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

    Jangan kita nafikan Tan Sri Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Dahulu di bawah PH, kita UMNO adalah pembangkang. Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan. Pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik Menteri-menteri kanan kerajaan. Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan.

    Tan Sri Muhyiddin juga telah banyak berjasa membantu warga FELDA. Bermula dengan bantuan sukuk bernilai RM9.9 billion, diikuti baru-baru ini telah meluluskan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 billion. Tidak akan jumpa lagi pemimpin sebegini yang berjiwa besar membantu warga FELDA sebegini rupa.

    Berkaitan situasi UMNO sekarang, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di parlimen. Sekarang beliau mengarahkan pula kita perlu tarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Keputusan beliau sentiasa berubah..

    Sayangnya saya tidak nampak ‘game plan’ di mana YAB Presiden UMNO hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam. Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Selepas itu kemana kita? Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir agama Islam? Atau adakah kita hendak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya?

    PAU UMNO tolak Datuk Seri Anwar, tapi Presiden berkata DS Anwar adalah cikgu dia. Presiden juga secara diam-diam telah tandatangani SD menyokong DS Anwar. Oleh itulah maka kita perlu lebih berhati-hati di dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

    Saya berpendapat, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama dgn kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudharat yang lebih besar, ia adalah pilihan yang lebih baik.

    Saya menyeru agar kita dapat tingkatkan solidariti di kalangan ahli UMNO. Saya sayangkan UMNO; dulu, kini dan selamanya.

    Insha-Allah, moga kita akan diberi petunjuk dan diberkati Allah SWT.
    Insha-Allah kita akan berjaya.

    • * DATUK SERI IDRIS JUSOH adalah Ahli Parlimen Besut.

  • Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Oleh: Bernama

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

    Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

    “Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

    “Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

    JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

    Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA

  • Pengarah sempat urus 19 jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia

    Pengarah sempat urus 19 jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENGARAH Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Kuzaini Hamidon, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, hari ini kerana kegagalan fungsi organ.

    Allahyarham yang juga pegawai khas mengendalikan pengurusan jenazah Covid-19 berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya 10, dimasukkan ke hospital selepas rebah di kediamannya di Puchong Perdana semalam.

    Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 2.45 pagi tadi ketika menerima rawatan.

    Allahyarham yang berusia 47 tahun semas meninggal dunia meninggalkan isteri, Nor Azean Ahmad, 44, dan tiga anak.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, Allahyarham seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya sejak mula bertugas di MPSepang sejak tahun 2012.

    Menurutnya, Allahyarham diberikan tugas khas untuk mengendalikan pengurusan Jenazah Covid-19 berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ membabitkan jenazah pesakit Covid-19 daripada Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

    “Sejak diberikan tugas khas itu, Allahyarham sempat menguruskan 19 jenazah bermula Sabtu lalu.

    “Pemergian Kuzaini adalah satu kehilangan besar kepada MPSepang dan seluruh warga pihak berkuasa tempatan (PBT) ini,” katanya.

  • Ahli Parlimen UMNO diberi tempoh 48 jam tarik diri atau dipecat?

    Ahli Parlimen UMNO diberi tempoh 48 jam tarik diri atau dipecat?

    KHABARNYA, kepemimpinan tertinggi UMNO mula memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen parti itu yang berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Mereka dikatakan diberikan tempoh 48 jam sama ada menarik sokongan kepada Kerajaan PN dan perlu meletakkan jawatan dalam Kabinet atau GLC jika tidak mahu dipecat.

    Lapor UtusanTV, sumber mendakwa, seorang pemimpin tertinggi parti dikatakan menghubungi sendiri ahli-ahli Parlimen terlibat.

    Walaupun tidak dipastikan sejauh manakah kebenaran berita tersebut namun sudah ada cakap-cakap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan tertekan selepas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan PN seolah-olah tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen berkenaan.

    Hanya beberapa orang sahaja ahli Parlimen yang menyokong keputusan MT, walaupun ia turut disokong oleh dua pemimpin berpengaruh dalam UMNO iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Pada masa sama tiga lagi anggota Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC masih kekal dalam Kerajaan PN, adakah UMNO akan menyingkirkan mereka daripada gabungan itu?

    Persoalannya, adakah UMNO akan benar-benar memecat ahli-ahli Parlimen berkenaan memandangkan ia akan menyebabkan jumlah kerusi parti itu akan berkurangan secara drastik?

    Selain itu adakah tindakan tersebut akan mengubah perkenan Yang di-Pertuan Agong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya satu undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini? Ia memandangkan sama ada seorang  Perdana Menteri kehilangan majoriti atau tidak, ia perlu dibuktikan di Parlimen.

    Jika benar ahli-ahli Parlimen mahu dipecat apakah kesalahan mereka? Kalau mereka dianggap mengingkari arahan parti atau melanggar dasar parti, bagaimana pula dengan tindakan Ahmad Zahid yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang beliau tidak nafikan sehingga kini?

    Bagaimana pula dengan rakaman audi mirip suara beliau berbual dengan Anwar. Walaupun Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya dan menganggap ia politik jijik serta berjanji membuat laporan polis namun sampai hari ini tiada laporan polis dibuat.

    Lagi pula Perhimpunan Agung UMNO sudah memutuskan bahawa parti itu akan berada dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan? Sedangkan alasan tindakan UMNO menarik diri daripada Kerajaan PN seperti mana diumumkan Ahmad Zahid mula dipersoalkan memandangkan semalam Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan Muhyiddin berhubung soal undi percaya yang sekaligus membuktikan hubungan antara Kerajaan dan Istana adalah baik – tidak timbul soal penderhakaan.

  • Katil ICU rawat Covid-19 di Pulau Pinang hampir 100 peratus

    Katil ICU rawat Covid-19 di Pulau Pinang hampir 100 peratus

    PENGGUNAAN katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital di Pulau Pinang bagi merawat pesakit Covid-19 ketika ini hampir mencecah 100 peratus.

    Lebih membimbangkan, penambahan pesakit yang memerlukan rawatan di ICU itu dijangka bertambah dalam minggu-minggu mendatang disebabkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Pulau Pinang ketika ini.

    Semalam, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 867 kes positif Covid-19 iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan di negeri ini.

    Setakat ini juga, terdapat lebih 40 kluster aktif Covid-19 dicatatkan di Pulau Pinang dengan majoritinya melibatkan kluster tempat kerja selain peningkatan kes-kes sporadik atau jangkitan di dalam komuniti.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berikutan tekanan terhadap penggunaan kemudahan di ICU hospital itu, kerajaan negeri memohon tindakan segera diambil Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri.

    Ujar beliau, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan KKM untuk menyusun serta mengubah suai ruang sedia ada di hospital untuk dijadikan ruang rawatan pesakit Covid-19.

    Dalam masa sama, beliau berharap Kerajaan Pusat dapat menyelesaikan isu pengagihan bekalan vaksin untuk negeri-negeri supaya program imunisasi yang sedang berjalan tidak terbantut.

    “Pada bulan lalu Pulau Pinang menerima bekalan vaksin yang baik sekali gus membolehkan kita memberi suntikan sebanyak 700,000 dos kepada rakyat.

    “Tetapi bulan ini, kita dapat maklumat daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang mana mereka telah meminta masa untuk meneliti bekalan vaksin untuk negeri ini,” katanya.

  • Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Oleh: Bernama

    KAPASITI katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit COVID-19 di kawasan Greater Klang Valley (GKV) dipertingkatkan, termasuk menukarkan fungsi repurposed area dalam hospital sebagai wad pesakit.

    Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit COVID-19.

    “Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

    “Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

    Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan COVID-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

  • JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    Oleh: Bernama

    JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan seekor beruk di Gua Musang, positif Covid-19.

    Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya tidak melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas haiwan.

    “Tidak munasabah, kita tidak buat ujian calitan kepada beruk,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran tular dalam Facebook yang memaparkan gambar seekor beruk memakai gelang merah jambu didakwa positif Covid-19. – BERNAMA