Category: Semasa

  • Pendapatan purata isi rumah merosot akibat Covid-19

    Pendapatan purata isi rumah merosot akibat Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    LAPORAN Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendapati pendapatan isi rumah sepanjang tahun lalu mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, laporan itu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3 peratus untuk merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

    Menurutnya, penurunan tersebut disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.

    “Bukan sahaja akibat kehilangan pekerjaan, malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

    “Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding pada tahun 2019 dan nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada tahun 2020 ialah RM5,209 (2019: RM5,873),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Uzir berkata, semua negeri mencatatkan penurunan pendapat isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

    Menurutnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan penurunan paling rendah serta kekal merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743.

    Berdasarkan kajian tersebut katanya, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 isi rumah pada 2020 berbanding 405,400 isi rumah kepada 8.4 peratus.

  • Polis berkas lelaki warga asing curi pakaian dalam wanita

    Polis berkas lelaki warga asing curi pakaian dalam wanita

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN seorang lelaki warga asing mencuri sejumlah pakaian dalam wanita membawa padah, apabila dia diberkas polis dalam satu kejadian di Bentong, Pahang semalam.

    Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan di rumah sewanya di Kampung Kemasur, Bentong, semalam

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.

    “Ketika lelaki berkenaan berada di rumahnya, dia dimaklumkan jiran bahawa ada melihat seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya pukul 3 petang.

    “Tidak lama kemudian, anak perempuan kepada lelaki tersebut berusia 20-an memberitahu, beberapa pakaian dalam miliknya didapati hilang dari ampaian di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

    Zaiham memberitahu, susulan laporan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki warga asing yang juga penganggur berusia 36 tahun di rumahnya di Kampung Kemasur, di sini, pada pukul 11.30 malam.

    “Lelaki itu berjaya dikesan hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa,”ujarnya.

    Menurut Zaiham, hasil serbuan yang dilakukan di rumah suspek, polis telah menemui sejumlah besar pakaian dalam wanita yang dikumpul dan disimpan di beberapa bahagian di dalam biliknya.

    Bagaimanapun katanya, pihak polis hanya menerima satu laporan berhubung kejadian seumpama itu.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek juga melakukan perkara tersebut di kawasan lain dalam daerah ini,” katanya.

    Menurut beliau, suspek kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Tidak wajar melabel Ismail Sabri sebagai pengkhianat

    Tidak wajar melabel Ismail Sabri sebagai pengkhianat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh melabel Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengkhianat hanya kerana menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tampil berdiri bersama Perdana Menteri dalam sidang akhbar baru-baru ini.

    Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, Presiden UMNO itu juga tidak wajar mahu mengenakan tindakan ke atas Ismail Sabri atas tuduhan melanggar mana-mana peraturan yang terdapat dalam UMNO.

    “Tindakan Ismail Sabri adalah kerana kepatuhan kepada tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan dan adalah tepat sebagai Timbalan Perdana. Ahmad Zahid harus membezakan antara keperluan tugas-tugas Jemaah Menteri berbanding parti.

    “Jika beliau sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, itu petanda Ahmad Zahid harus meletakkan jawatan kerana tidak lagi peka dan tidak sihat dalam membuat keputusan kerana dipengaruhi emosi.

    “Dalam hal ini, isunya bukan Ismail Sabri khianati parti, sebaliknya Ahmad Zahid yang jelas mengkhianati parti dan membelakangkan ahli UMNO apabila bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Kartini berkata, Ahmad Zahid kini seolah-olah menjadi diktator yang cuba mengarah apa yang perlu ahli buat dan turuti.

    Justeru katanya, taat setia dan rasa hormat ahli UMNO kepada Presiden tidak perlu membuta-tuli.

    Jelasnya, ini kerana dalam situasi politik ketika ini, kepimpinan Presiden dipertikai daripada segi dedikasi dan kewibawaan setelah beberapa siri kesalahan melibatkan integriti terhadap UMNO dan ahli-ahli UMNO.

  • Kontrak rapat punca kes Covid-19 di Kedah

    Kontrak rapat punca kes Covid-19 di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jangkitan Covid-19 di Kedah dikesan telah berlegar dalam kalangan masyarakat sehingga menyukarkan petugas kesihatan untuk mengenal pasti hubungan antara kes-kes baharu dengan kluster mahu pun kes dikesan lebih awal sebelum ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo, keadaan itu seharusnya menjadi amaran kepada semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan selain tidak berada di luar rumah melainkan jika mempunyai hal-hal mustahak.

    “Berdasarkan peningkatan kes di Kedah kebelakangan ini, majoritinya adalah disebabkan kontak rapat, diikuti saringan bergejala. Daripada situ, kita mendapat gambaran bahawa jangkitan Covid-19 telah berada dalam masyarakat dan itu bermakna, kita tak dapat mengenal pasti sama ada kes baharu itu ada hubungan dengan kluster mahu pun kes lain.

    “Maknanya jangkitan itu ada di mana-mana dan yang membezakannya hanyalah, sama ada kita dapat kesan atau tidak kewujudannya. Jadi, itu memang amat membimbangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat serta Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim.

    Othman menambah, ketika ini katil-katil hospital yang disediakan untuk pesakit Covid-19 termasuk di ICU dalam negeri ini didapati penuh iaitu melebihi 90 peratus daripada keseluruhan kapasiti.

    “Namun keadaannya masih boleh diuruskan. Di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) misalnya, jika ada mana-mana kes yang tak dapat ditampung, kita akan bawa ke hospital berdekatan seperti Hospital Yan.

    “Kita juga ada perancangan untuk mengubah beberapa wad menjadi wad Covid seperti di HSAH, Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Kulim yang memang ramai pesakit Covid sekarang ini,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, setakat ini terdapat tiga kontena sejuk beku untuk menempatkan jenazah Covid-19 digunakan di Kedah yang ditempatkan di HSB, HSAH di Sungai Petani.

    “Selepas ini ada beberapa pihak lagi yang setuju untuk menyumbangkan kontena tersebut antaranya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    “Kontena yang sampai selepas ini akan diagihkan mengikut keperluan antaranya di Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi,” katanya.

  • Pendirian ahli Parlimen BN mampu hentikan politik politik – PM

    Pendirian ahli Parlimen BN mampu hentikan politik politik – PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini berharap pendirian ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini.

    Perdana Menteri berkata, langkah itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani Covid-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.

    ‘’Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,’’ katanya kenyataan hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa jam sebelum itu bahawa 31 ahli Parlimen BN termasuk 21 daripada UMNO kekal menyokong Kerajaan PN.

    Muhyiddin turut mengucapkan terimakasih kepada Ismail Sabri dan ahli-ahli Parlimen atas sokongan yang diberikan dan pendirian mereka bahawa keabsahan sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada September melalui usul undi percaya, bukannya kaedah lain.

    ‘’Ini selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa menghadap di Istana Negara pada Rabu lalu,’’ katanya.

  • Malaysia catat 20,889 kes positif Covid-19, tertinggi setakat ini

    Malaysia catat 20,889 kes positif Covid-19, tertinggi setakat ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    STATISTIK kes Covid-19 terus merekodkan angka tertinggi selepas 20,889 individu dilapor positif pada hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan negara mencatatkan peningkatan tertinggi selama tiga hari berturut-turut sejak kelmarin.

    “Lebih 11,000 dikesan di Lembah Klang dengan Selangor merekodkan 8,792 dan Kuala Lumpur, 2,483 kes.

    “Kedah (1,371), Sabah (1,291), Johor (1,275), Negeri Sembilan (986), Kelantan (938), Pulau Pinang (776), Sarawak (652), Perak (624), Pahang (610), Melaka (491), Terengganu (460), Putrajaya (122), Labuan (sembilan) dan Perlis (sembilan).

    “Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 1,224,595
    ,” katanya dan memberitahu kelmarin, kes harian dilaporkan adalah 19,819 kes manakala semalam, 20,558 kes.

  • Kertas siasatan kes amang seksual artis veteran sedang dilengkapkan

    Kertas siasatan kes amang seksual artis veteran sedang dilengkapkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya masih menyiasat kes amang seksual membabitkan artis lelaki yang popular pada era 80-an.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes terhadap artis veteran itu yang juga bapa kepada seorang penyanyi wanita.

    “Apabila kertas siasatan sudah lengkap akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan artis veteran berkenaan ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak Ogos tahun lalu.

    Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 petang, 21 Julai lalu.

    Kejadian pertama berlaku terhadap mangsa berusia 14 tahun itu pada Ogos tahun lalu di rumah rakan ibunya di sebuah kondominium di Puchong Prima.

    Dua lagi kejadian amang seksual fizikal dilakukan suspek terhadap mangsa yang masih bersekolah di Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Puchong itu berlaku pada Oktober dan November lalu.

    Suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia menghidap penyakit jantung.

  • KWSP tidak terjejas dengan pelaksanaan i-Sinar, i-Citra

    KWSP tidak terjejas dengan pelaksanaan i-Sinar, i-Citra

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak terjejas dengan pelaksanaan i-Sinar dan i-Citra.

    Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, pihaknya mempunyai perancangan dalam menguruskan kecairan aset serta aliran tunai kumpulan wang berkenaan.

    “Berkait impak kepada aliran tunai dan pelaburan, kami sedang menguruskannya. Kami mempunyai tunai yang mencukupi untuk program (i-Sinar dan i-Citra) ini.

    “Ia tidak memberi kesan besar kepada pelaburan ketika ini,” katanya dalam taklimat media berkenaan pelaksanaan i-Citra secara maya hari ini.

    Mengulas berkenaan kesan ke atas kadar dividen kepada pencarum, beliau berkata, perkara itu masih awal untuk diperkatakan ekoran dividen bergantung kepada prestasi pasaran dalam tempoh lima bulan ini.

    Ditanya berkenaan sama ada KWSP akan mempelbagaikan portfolio pelaburan susulan ketidaktentuan ekonomi ketika ini, Nurhisham berkata pihaknya telah mempunyai perancangan dalam menguruskan semua portfolio berkenaan.

    “Kami mempunyai peruntukan aset yang strategik. Namun, ia mengambil kira krisis kewangan dan kemerosotan pasaran.

    “Kami melihat pasaran tempatan tidak begitu bagus, namun pasaran antarabangsa amat memberangsangkan. Ini yang akan menstabilkan beberapa isu melibatkan prestasi,” katanya.

    Ujarnya, KWSP telah mempelbagaikan portfolio pelaburan sejak pertengahan 2013 dan ia telah memberi impak positif kepada prestasinya.

  • AiVAC untuk industri agromakanan tidak lama lagi

    AiVAC untuk industri agromakanan tidak lama lagi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) tidak lama lagi.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, AiVAC akan turut melibatkan golongan peladang, penternak dan nelayan.

    “AiVAC bertujuan meningkatkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan pekerja dan individu yang terbabit dalam sektor agromakanan sekali gus membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19.

    “Inisiatif ini juga adalah untuk melindungi kesejahteraan pekerja serta membantu pemulihan ekonomi dan rantaian nilai makanan
    ,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2021 yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini.

    Katanya, AiVAC melibatkan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

    Mengenai usaha membantu peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Ronald berkata, program bakul makanan MAFI Prihatin telah digerakkan ke seluruh negara dan sehingga kini, telah memanfaatkan 63,000 penerima di 300 lokasi.

    “Saya menyedari bahawa penularan Covid-19 memberi kesan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan sehingga ada antara mereka terjejas pendapatan dan terputus bekalan makanan. Justeru, MAFI melalui jabatan dan agensi sedang giat menggerakkan program MAFI Prihatin ini,” katanya.

    Ronald berkata, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan Prihatin Dana Khas sebanyak RM62 juta kepada Pertubuhan Peladang di seluruh negara untuk membantu kumpulan sasar yang terjejas.

    Beliau berkata, golongan B40 mendapat perhatian kerajaan menerusi projek tanaman kontan yang melibatkan peruntukan RM13.21 juta untuk membantu golongan tersebut menjana pendapatan dalam tempoh yang cepat.

  • Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

    Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

    MENAMPUNG perbelanjaan harian dan bulanan menjadi pilihan utama kira-kira 62 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menyatakan tujuan permohonan i-Citra yang dibuka Julai lalu.

    Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein berkata, pilihan kedua terbanyak ialah menyelesaikan hutang pencarum dengan 16 peratus permohonan

    Selain itu katanya, sebanyak lapan peratus permohonan i-Citra memilih tujuan membantu ahli keluarga terjejas akibat pandemik dan tujuan lain (perbelanjaan bekerja dari rumah, keusahawanan, pendidikan, bukan keperluan penting, pelaburan)

    “Baki enam peratus lagi menyatakan mereka mengeluarkan i-Citra untuk tujuan menambah simpanan kecemasan,” katanya hari ini.

    Permohonan i-Citra dibuka pada 15 Julai lalu selepas diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) 28 Jun lalu.

    Bayaran pengeluaran telah dibuat secara berperingkat bermula 2 Ogos lalu.

    Ia membolehkan ahli yang layak membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

    Dalam pada itu, Nurhisham berkata, sejumlah RM2.3 bilion pembayaran i-Citra disalurkan kepada 4.57 juta pemohon setakat 4 Ogos lalu.

    Ujar beliau, pihaknya menerima 4.62 juta permohonan membabitkan jumlah RM19.3 bilion dengan RM19.1 bilion diluluskan manakala baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

    “Sebanyak 551 permohonan bernilai RM2.16 juta pula ditolak disebabkan oleh simpanan tidak mencukupi, melebihi had usia 55 tahun dan pemohon membatalkan permohonan,” tambahnya.