Oleh MOHD LAZIM ENDUT

TINDAKAN seorang lelaki warga asing mencuri sejumlah pakaian dalam wanita membawa padah, apabila dia diberkas polis dalam satu kejadian di Bentong, Pahang semalam.

Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan di rumah sewanya di Kampung Kemasur, Bentong, semalam

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.

“Ketika lelaki berkenaan berada di rumahnya, dia dimaklumkan jiran bahawa ada melihat seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya pukul 3 petang.

“Tidak lama kemudian, anak perempuan kepada lelaki tersebut berusia 20-an memberitahu, beberapa pakaian dalam miliknya didapati hilang dari ampaian di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Zaiham memberitahu, susulan laporan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki warga asing yang juga penganggur berusia 36 tahun di rumahnya di Kampung Kemasur, di sini, pada pukul 11.30 malam.

“Lelaki itu berjaya dikesan hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa,”ujarnya.

Menurut Zaiham, hasil serbuan yang dilakukan di rumah suspek, polis telah menemui sejumlah besar pakaian dalam wanita yang dikumpul dan disimpan di beberapa bahagian di dalam biliknya.

Bagaimanapun katanya, pihak polis hanya menerima satu laporan berhubung kejadian seumpama itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek juga melakukan perkara tersebut di kawasan lain dalam daerah ini,” katanya.

Menurut beliau, suspek kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here