Oleh Abu Ubaidillah Rahman

Prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak terjejas dengan pelaksanaan i-Sinar dan i-Citra.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, pihaknya mempunyai perancangan dalam menguruskan kecairan aset serta aliran tunai kumpulan wang berkenaan.

“Berkait impak kepada aliran tunai dan pelaburan, kami sedang menguruskannya. Kami mempunyai tunai yang mencukupi untuk program (i-Sinar dan i-Citra) ini.

“Ia tidak memberi kesan besar kepada pelaburan ketika ini,” katanya dalam taklimat media berkenaan pelaksanaan i-Citra secara maya hari ini.

Mengulas berkenaan kesan ke atas kadar dividen kepada pencarum, beliau berkata, perkara itu masih awal untuk diperkatakan ekoran dividen bergantung kepada prestasi pasaran dalam tempoh lima bulan ini.

Ditanya berkenaan sama ada KWSP akan mempelbagaikan portfolio pelaburan susulan ketidaktentuan ekonomi ketika ini, Nurhisham berkata pihaknya telah mempunyai perancangan dalam menguruskan semua portfolio berkenaan.

“Kami mempunyai peruntukan aset yang strategik. Namun, ia mengambil kira krisis kewangan dan kemerosotan pasaran.

“Kami melihat pasaran tempatan tidak begitu bagus, namun pasaran antarabangsa amat memberangsangkan. Ini yang akan menstabilkan beberapa isu melibatkan prestasi,” katanya.

Ujarnya, KWSP telah mempelbagaikan portfolio pelaburan sejak pertengahan 2013 dan ia telah memberi impak positif kepada prestasinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here