Category: Semasa

  • Penolong jurutera MPKS didakwa terima suapan bagi projek kecil kampung

    SEORANG penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan berkaitan projek pihak berkuasa tempatan (PBT), tahun lalu.

    Nurul Azmunir Ahmad, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Menurut pertuduhan, Nurul Azmunir yang ketika itu berkhidmat di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sebagai penolong jurutera, didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya di Jabatan Kejuruteraan MDKS, dengan memberikan nilai anggaran jabatan untuk sebut harga bagi Projek-Projek Kecil Kampung Baru/Bagan/Tersusun Negeri Selangor.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor dekat sini antara pukul 5 petang dan 7 malam pada 15 Jan 2020, yang mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Hamdan Hamzah, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 13 Sept sebagai sebutan semula kes.

    Sementara itu, di mahkamah sama tiga anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Ketiga-tiga tertuduh, Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, dan dua lagi Konstabel iaitu Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Shahrul Norhan Sirhan, 26, didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu aktiviti tidak dibenarkan semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30, dekat sini, pada 25 Jun lepas.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu atas dakwaan kesalahan sama yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi sebagai anggota polis mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Sept.

    Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tham Weng Kin, Faizah Khalilah Zaberi dan ‘Azi ‘Azlin Zulkifli. Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fadhli Ab Wahab.- BERNAMA

  • Anak-anak tak tahu ibunya sudah tiada-Shuib

    Anak-anak tak tahu ibunya sudah tiada-Shuib

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PELAWAK popular, Shuib Sepahtu belum sempat memberitahu pemergian arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhir pagi ini kepada anak-anaknya.

    “Buat masa ini, anak-anak belum tahu lagi. Saya baru hendak balik rumah dan memberitahu mereka.

    “Doakan urusan saya dipermudahkan. Bapa mentua, Raissuddin Hamzah, insya-Allah okay,” kata Shuib ditemui sejurus selesai majlis pengebumian Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak pukul 1.20 tengah hari tadi.

    Menerusi perkahwinan selama 10 tahun, Shuib dan arwah Siti Sarah dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.

    Terdahulu, Shuib sempat membuat panggilan video buat terakhir ketika arwah Siti Sarah sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), semalam.

    “Saya dan anak-anak dapat melihat air mata berjuraian di pipi arwah ketika membuat panggilan video, seolah-olah memahami anak-anak sedang memanggil dan berbual dengannya,” katanya.

    Sementara itu, Shuib berulang kali mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan dan peminat yang bersusah payah meluangkan masa dan berusaha berdoa untuk arwah isterinya ketika sedang bertarung nyawa akibat CovidD-19.

    “Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik anda semua. Ini atas asbab kebaikan dan kasih sayang, Alhamdulillah.

    “Saya mendoakan semoga dipermudahkan kepada sesiapa sahaja dalam kesusahan berjuang dan bertarung nyawa akibat Covid-19,” katanya.

  • Tidak galak golongan berisiko makan di kedai

    Tidak galak golongan berisiko makan di kedai

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menggalakkan golongan warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung makan di kedai meskipun kerajaan membenarkan aktiviti ‘dine-in’ di restoran bermula esok.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ini bagi tujuan keselamatan dan kesihatan dengan mengambil kira risiko penularan wabak Covid-19 daripada varian Delta yang semakin ganas.

    “Kebimbangan KKM daripada aktiviti berkumpul seumpama itu apabila ada segelintir masyarakat yang tidak berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hingga mengakibatkan berlakunya penularan wabak.

    “Apabila kerajaan umum, semua orang suka, tetapi bagi kita (KKM) suka dan risau kerana kita tak mahu ia menyebabkan pertambahan lagi kes.

    “Jadi kalau boleh bila makan di kedai, orang-orang tua dan kanak-kanak janganlah dibawa. Ibu mengandung pun janganlah pergi makan kerana mereka yang berisiko ini badannya lebih lemah berbanding orang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong, Lenggong hari ini.

    Semalam kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta ‘dine-in’ di restoran bermula esok.

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kepada negeri yang berada pada fasa dua dan seterusnya.

    Dr. Noor Azmi berkata, varian Delta sangat ganas dan cepat merebak, semua pihak perlu lebih berhati-hati dan serius menjaga diri.

    Katanya, orang ramai juga boleh meminta pengusaha dan pekerja restoran mengemukakan pengesahan lengkap dua dos vaksin Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera.

    Jelas beliau, langkah itu bagi menjawab keraguan pelanggan yang bimbang dengan status pemilik premis dan pekerja sama ada telah menerima suntikan imunisasi atau tidak.

    “Jika kita ragu-ragu, kita boleh bertanya kepada mereka. Pelanggan berhak untuk tanya dan minta untuk lihat MySejahtera (sijil digital vaksinasi).

    “Lagi pula, kita memang boleh periksa sesama kita (sama ada telah divaksin atau tidak),” katanya.

  • Pengamal perubatan baharu dibenar perbaharui sijil perakuan amalan tahunan

    Pengamal perubatan yang baharu didaftarkan penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) adalah dibenarkan untuk memperbaharui Sijil Perakuan Amalan Tahunan dengan mata pembangunan profesional berterusan (CPD) minimum, kosong mata.

    Presiden MPM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat majlis itu pada 27 Julai adalah terpakai kepada Pegawai Perubatan Siswazah yang memiliki Sijil Pendaftaran Sementara dengan MPM dan menamatkan latihan siswazah.

    “Pemberian kosong mata CPD minimum ini akan diberikan bagi dua tahun pertama permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan mereka setelah didaftarkan penuh.

    “Keputusan ini dibuat memandangkan pengumpulan mata CPD bukan suatu perkara yang diwajibkan dalam tempoh latihan siswazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata MPM prihatin terhadap rintihan golongan itu yang belum terdedah dengan kriteria bagi permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan dan tempoh kitaran mata CPD, selain ada antaranya yang tidak dapat memenuhi kriteria itu kerana didaftarkan penuh setelah tamat tempoh kitaran tahun CPD.

    Dr Noor Hisham yang juga Ketua Pengarah Kesihatan menyeru agar pengamal perubatan yang baharu didaftarkan sentiasa memastikan penjagaan pesakit berada di tahap yang terbaik dengan menghadiri aktiviti CPD berterusan bagi memastikan pengetahuan, kemahiran dan etika profesional sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.

    Satu daripada kriteria permohonan bagi Sijil Perakuan Amalan Tahunan adalah keperluan mata CPD minimum sebanyak 20 mata dan perlu dikumpul dalam tempoh kitaran tahun CPD yang ditetapkan iaitu bermula 1 Julai sehingga 30 Jun tahun hadapan, selaras dengan Peraturan 28(2)(b) Peraturan-Peraturan Perubatan 2017.

    “Sebagai contoh, permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi tahun 2022, mata CPD perlu dikumpul dalam tempoh bermula daripada 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2021,” katanya. – BERNAMA

  • Empat nelayan, bot pukat tunda ceroboh zon laut ditahan

    Empat nelayan, bot pukat tunda ceroboh zon laut ditahan

    JABATAN Perikanan Pulau Pinang menahan sebuah bot pukat tunda zon C serta empat nelayan pada kedudukan 4.7 batu nautika dari Pulau Rimau dekat sini semalam.

    Bot nelayan itu ditahan Pasukan Cawangan Perlindungan Sumber jabatan itu menerusi Ops Harimau bermula pukul 2.30 petang.

    Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti haram yang dijalankan bot berkenaan di kawasan laut berkenaan.

    Menurut beliau, kesemua nelayan yang ditahan itu merupakan warga tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun.

    Tambahnya, pemeriksaan juga mendapati nelayan-nelayan itu melekat kod palsu iaitu Zon B1 sedangkan kelas bot tersebut adalah kelas C.

    “Turut dirampas dalam operasi itu adalah sebanyak 500 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM650,000,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.

    Noraisyah berkata, kesemua nelayan itu ditahan bagi membantu siasatan di bawab Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut.

    Jika sabit kesalahan, jelasnya, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000, peralatan menangkap ikan dirampas dan lesen vesel digantung selama setahun.

    Dalam pada itu, tambah beliau, sebanyak 27 bot pukat tunda berjaya ditahan pihaknya sepanjang tahun ini setakat semalam iaitu peningkatan berbanding hanya 26 buah bot sepanjang tahun lalu.

    Malah jelasnya, kes pencerobohan bot pukat tunda itu juga menunjukkan trend peningkatan berbanding beberapa tahun kebelakangan ini iaitu hanya 17 tangkapan pada 2018 dan 28 (2019).

    “Dengan trend peningkatan tangkapan ini, kita akan mempergiatkan lagi operasi untuk menahan mereka yang terlibat.

    “Kita juga memohon semua pihak yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti haram di laut ini segera menyalurkannya kepada kami disebabkan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang salah boleh menyebabkan ekosistem hidupan laut terjejas,” katanya.

  • 17,236 kes positif Covid-19 hari ini

    17,236 kes positif Covid-19 hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    STATISTIK kes baharu positif Covid-19 di Malaysia menurun dengan 17,236 kes dilaporkan hari ini berbanding 18,688 semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini ialah sebanyak 1,279, 776 kes.

    Selangor kekal catat kes tertinggi iaitu 5,740 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,567), Kedah (1,328), Johor (1,232), Sabah (1,247), diikuti Negeri Sembilan (1,215).

  • Dua pemungut telur penyu dihukum gantung sampai mati

    Dua pemungut telur penyu dihukum gantung sampai mati

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukumam sampai mati ke atas dua pemungut telur penyu setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam kejadian pada 3 Jun 2016.

    Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, setelah mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Mengikut pertuduhan kes, kedua-dua lelaki terbabit bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh Razak Abdullah, 50, yang juga merupakan pemungut telur penyu di tepi Pantai Geliga, berhadapan Sekolah Kebangsaan Geliga Cukai, Kemaman, sekitar pukul 7 pagi pada 3 Jun 2016.

    Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama.

    Bagi kesalahan tersebut, mereka boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala kedua- dua tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail dan Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

  • Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar 2 tan ketum

    Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar 2 tan ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah merampas sebanyak dua tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran di Perairan Kuala Sanglang, Jerlun, Jumaat lepas.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan itu dilakukan di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglah kira-kira pukul 1.50 pagi.

    “Hasil risikan dilakukan, dua bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi berkenaan yang berjaya menemukan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran, bergerak dalam keadaan mencurigakan keluar dari Kuala Sanglang.

    “Kedua-dua tekong bot berkenaan bagaimanapun menukar arah serta-merta sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Mereka menuju ke arah berbeza dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot itu menemukan 190 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat dua tan.

    “Daun ketum ini dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dengan menggunakan laluan laut. Nilainya dianggarkan RM360,000,” katanya.

    Mohd. Zawawi menambah, daun ketum kini mendapat permintaan tinggi di Thailand dengan harga pasaran di negara jiran itu dipercayai mencecah RM180 sekilogram berbanding RM70 untuk pasaran tempatan.

    “Aktiviti penyeludupan melalui laluan laut dilihat kian rancak berikutan penutupan pintu sempadan negara. Difahamkan ada individu yang diupah antara RM350 hingga RM800 untuk menghantar barangan tersebut ke negara jiran, bergantung kepada berat timbangannya,” katanya.

    Kesemua hasil rampsan berserta bot fiber dan enjin yang bernilai kira-kira RM390,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikjut Seksyen Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Siti Sarah selamat dikebumikan

    Siti Sarah selamat dikebumikan

    JENAZAH penyanyi Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini hari ini. 

    Proses pengebumian Allahyarham dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah pesakit COVID-19 oleh petugas hospital, dibantu oleh suaminya Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu. 

    Terdahulu, jenazah Allahyarham ditayammum dan disolatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, kira-kira jam 11 pagi. 

    Penyanyi berusia 37 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di hospital itu pada jam 5.13 pagi dan berita pemergian Siti Sarah dimaklumkan oleh Shuib di Instagramnya awal pagi tadi.

    Suasana pilu menyelubungi pintu masuk ke tanah perkuburan, apabila van yang membawa jenazah tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari.

    Ia  disambut oleh ahli keluarga, kenalan dan peminat yang hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir walaupun terpaksa melihat proses pengebumian dari luar kawasan tanah perkuburan berikutan SOP yang ditetapkan. 

    Jenazah penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti COVID-19 sejak 25 Julai, selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif wabak berkenaan. 

    Allahyarham yang hamil tujuh bulan dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu lepas apabila mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan. 

    Pelantun lagu ‘Kesetiaan’ dan ‘Semakin’ itu kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang diberi nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

    Pasangan selebriti itu berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6. 

    Siti Sarah memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian selepas menyertai program Bintang RTM 2001 dan pernah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003. 

    Anak kepada penyanyi veteran Raisuddin Hamzah itu, pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa  World Championship of Performance Arts (WCOPA)  di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009 dan membawa pulang tiga pingat emas.- BERNAMA 

    Suami penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin, Shuib meninggalkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Anak nafi bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

    Anak nafi bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

    ANAK kepada bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menafikan laporan kematian bapanya yang tular di medial sosial.

    Ariff Tuah Ahmad Sarji memaklumkan bapanya yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras berada dalam keadaan stabil.

    “Bagi pihak keluarga Tun Ahmad Sarji, saya sedar perkhabaran yang tular sekarang ini dan ingin mengatakan yang ia tidak benar.

    “Dengan rendah hati, saya sekeluarga mohon orang ramai terus doakan Allah SWT menganugerahkan kesembuhan dan mempermudahkan segala urusan untuk ayah saya,” katanya yang turut memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos lepas.

    Terdahulu, Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) dalam hantaran di Facebook pada Jumaat memaklumkan Ahmad Sarji yang juga pengerusi persatuan itu dimasukkan ke wad ICU COVID-19 kerana komplikasi COVID-19.

    Ahmad Sarji, 82, merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.- BERNAMA