Category: Semasa

  • Sultan Johor zahir penghargaan kepada kerajaan atas bekalan vaksin

    Sultan Johor zahir penghargaan kepada kerajaan atas bekalan vaksin

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan baginda kepada kerajaan atas tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 ke negeri ini bagi bulan Ogos.

    Sumbangan tersebut dibuat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

    Titah baginda, tambahan bekalan dos vaksin itu akan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti kelompok di negeri Johor.

    “Keadaan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat amat membimbangkan. Dengan penambahan dos vaksin ini, kita berupaya melindungi orang ramai serta mempercepat sasaran imuniti kelompok.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas tambahan dua juta dos vaksin kepada Johor,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 itu meliputi semua jenis vaksin yang telah pun mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).

    Vaksin berkenaan akan diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di negeri Johor.

    Dr. Adham dilaporkan berkata, sehingga semalam, seramai 1,362,398 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Johor, manakala 540,895 individu telah menerima suntikan dua dos vaksin.

    Secara keseluruhan, sejumlah 50.2 peratus populasi dewasa di Johor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

  • Kelonggaran kerajaan diharap kurangkan tekanan emosi rakyat

    Kelonggaran kerajaan diharap kurangkan tekanan emosi rakyat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KELONGGARAN yang diberikan kerajaan ke atas penerima lengkap dos vaksin Covid-19 diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada rakyat.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, namun penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat masih perlu menjadi keutamaan.

    Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, kerajaan sangat berhati-hati sebelum membuat keputusan tersebut.

    “Kelonggaran ini bertujuan mengurangkan tekanan emosi dan minda rakyat yang telah lama berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin Covid-19 dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, ekonomi dan sosial.

    Penerima lengkap vaksin juga boleh menunaikan solat jemaah di masjid serta aktiviti di rumah ibadat lain, selain mereka yang menetap di negeri fasa dua dan ke atas boleh makan di restoran serta melakukan perjalanan rentas daerah.

  • Krisis air:Terengganu beri air percuma dua bulan

    Krisis air:Terengganu beri air percuma dua bulan

    KERAJAAN negeri Terengganu bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada penduduk daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang mengalami gangguan bekalan air sejak Isnin lalu.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, pengecualian itu berkuat kuasa selepas kerja baik pulih paip yang pecah di dasar Sungai Terengganu selesai.

    “Sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua pemegang akaun terlibat selama dua bulan setelah kerja baik pulih selesai.

    “Sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri juga sedang menguruskan bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban ditanggung penduduk termasuk membekalkan mereka dengan air bersih.

    Katanya, ketika ini, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki paip di dasar sungai berkenaan.

    “Bersama kita doakan agar kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini,” tambahnya.

    Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna SATU di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir.

  • Warga emas ditahan bantu siasatan hina MB Kedah

    Warga emas ditahan bantu siasatan hina MB Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki warga emas ditahan polis berikutan penularan video memaparkan dirinya yang dikatakan menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, individu berusia 61 tahun itu ditahan di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan kira-kira pukul 3.57 pagi tadi.

    Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung tindakan lelaki itu yang dilakukan oleh seorang daripada Pegawai Khas Menteri Besar, semalam.

    “Hasil siasatan yang dilakukan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Lenggeng, Negeri Sembilan.

    “Sebuah telefon bimbit turut dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Sungai Petani, hari ini.

    Menerusi video berdurasi 9 minit dan 19 saat itu, individu berkenaan mengeluarkan kata-kata yang agak kesat terhadap Muhammad Sanusi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Besar itu berjenaka mengenai isu kontena penyimpanan mayat, baru-baru ini.

    Sambil beberapa kali mendedahkan nombor telefonnya, individu berkenaan yang berbaju Melayu dan berkopiah putih turut mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati untuk menghubungi dirinya.

    Adzli berkata, suspek didapatti memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang kini masih dalam siasatan.

    “Permohonan reman telah dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret SUngai Petani. Suspek akan diberi jaminan polis setelah keterangannya diambil,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia.

    “Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, individu berkenaan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala untuk Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

    “Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Menjelang akhir Oktober,  80 % penduduk lengkap dua dos – PM

    Menjelang akhir Oktober, 80 % penduduk lengkap dua dos – PM

    Menjelang akhir bulan Oktober 2021, dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus jumlah penduduk keseluruhan akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perdana Menteri berkata, beliau telah menerima taklimat daripada Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) yang memaklumkan proses vaksinasi berjalan mengikut jadual.

    ””Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

    Beliau berkata, menjelang 31 Ogos 2021 pula, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara ini akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin.

    ”Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata, menurut data terkini yang tersedia sama ada di negara kita atau negara luar, jumlah kes-kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

    ”Insya-Allah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera,” katanya.

  • Rakyat tak akan sokong parti yang cuba jatuhkan kerajaan – Wan Junaidi

    Rakyat tak akan sokong parti yang cuba jatuhkan kerajaan – Wan Junaidi

    PARTI politik yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan pada sidang Parlimen September ini, tidak akan mendapat sokongan rakyat yang mahu kerajaan menangani masalah COVID-19 yang kritikal sekarang.

    Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam keadaan negara sekarang rakyat menaruh keyakinan terhadap kerajaan untuk mengatasi kesan ekonomi berikutan pandemik itu.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani COVID-19, malah menjejaskan kestabilan politik negara serta ekonomi yang hanya merugikan rakyat.

    “Jika ada undi percaya pada September ini, sebaiknya adalah untuk pertahankan kerajaan sekarang (PN) sehingga habis penggal, kemudian barulah diadakan pilihan raya.

    “Sarawak satu contoh moral yang baik dari segi politik… tidak main politik banyak sangat. Kita tangani masalah COVID-19 ini dulu. Jika tidak, dengan sendirinya masalah ekonomi kita akan terjejas dan pembangunan akan jadi lembap,” katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baru Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat di sini, hari ini.

    PBB merupakan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang turut melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Terdahulu semasa berucap di majlis itu, beliau berkata kementeriannya akan memastikan rakyat di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan, yang dilihat mampu memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada peniaga dan penduduk di sekitar.

    Justeru itu katanya, dengan pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change ini, ia akan boleh di memanfaatkan 16,373 penduduk di daerah kecil itu.

    Di Sarawak, Bank Rakyat mempunyai 14 Cawangan iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Sri Aman selain mempunyai dua buah lagi cawangan Rakyat Xcess dan Ar- Rahnu X’Change di Betong dan Lundu.- BERNAMA

  • Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

    Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada jam 5.13 pagi ini.

    Istana Negara dalam kenyataan rasmi hari ini, memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

    Jenazah Siti Sarah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada jam 1.30 tengah hari tadi.

    Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad menghembus nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas lima hari bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

    Pada 27 Julai, mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun, Siti Sarah dilaporkan mengalami batuk dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke HCTM UKM pada Khamis.

    Paras kesihatan beliau semakin merosot dan pasukan doktor mengambil keputusan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan secara pembedahan pada Jumaat dan selamat dilahirkan.

    Namun, Siti Sarah terpaksa ditidurkan berikutan kandungan oksigen dalam badannya dilaporkan kurang stabil.

  • JKDM rampas rokok, arak seludup RM1.65 juta

    JKDM rampas rokok, arak seludup RM1.65 juta

    CUBAAN menyeludup rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.65 juta berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dalam tiga serbuan berasingan di Teluk Intan dan Ipoh.

    Dalam operasi pada 24 Julai hingga Jumaat lalu, kira-kira
    1.3 juta batang rokok putih dan 1,000 liter minuman keras berjaya dirampas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, serbuan pertama dibuat ke atas sebuah lori yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan Hentian Rehat Batuk Rabit, Batu Putih di Teluk Intan pada 24 Julai lalu.

    Katanya, operasi kira-kira pukul 5 pagi itu merampas 1.3 juta batang rokok putih dengan nilai rampasan sebanyak RM1.2 juta termasuk cukai.

    “Kami turut merampas sebanyak 407,200 rokok pelbagai jenama bernilai RM350,000 dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Impiana, Teluk Intan pada 12 tengah hari, 30 Julai lalu.

    “Terbaharu, dalam serbuan di sebuah premis di Menglembu, Ipoh pada 10 pagi Jumaat lalu kami merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai RM100,000.

    “Minuman keras itu yang berjumlah 1,033.24 liter ditemui di ruangan rahsia dalam premis berkenaan,” katanya, hari ini.

    Abdul Wahabi berkata, daripada ketiga-tiga serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.

  • PM ucapkan takziah kepada Shuib Sepahtu

    PM ucapkan takziah kepada Shuib Sepahtu

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada Shahmira Muhamad atau Shuib Sepahtu atas pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, yang meninggal dunia akibat Covid-19 awal pagi ini.

    Perdana Menteri berkata, khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat itu meninggalkan suami, empat anak dan seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.

    ”Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih,” katanya melalui Facebook hari ini.

    Muhyiddin juga berharap, ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan itu.

    ”Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah. Semoga Allah SWT terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-Allah.

    ”Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dan redailah mereka yang telah terkorban akibat virus berbahaya ini. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang,” katanya.

  • Pengumuman PM langkah tepat bantu pulih ekonomi

    Pengumuman PM langkah tepat bantu pulih ekonomi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    RAKYAT diingatkan supaya terus mematuhi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) walaupun kerajaan sudah memberi kelonggaran untuk individu yang sudah lengkap menerima dos vaksin.

    Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, kelonggaran itu diharap digunakan sebaik-baiknya dan peluang itu perlu diambil terutama apabila dibenarkan ke surau dan masjid bagi yang sudah divaksin.

    “Umat Islam hendaklah mengambil peluang untuk hadir ke masjid atau surau dan mendekatkan diri kepada Allah supaya dapat mengelakkan daripada tertekan dengan suasana mencabar pandemik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta ‘dine-in’ di restoran bermula esok.

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kepada negeri yang berada pada fasa dua dan seterusnya.

    Kamaruzaman berkata, pengumuman Perdana Menteri itu secara asasnya membabitkan beberapa aspek penting melibatkan institusi keluarga dan dapat merancakkan ekonomi domestik.

    “Aspek kekeluargaan bertepatan dengan naluri kemanusiaan terutamanya dalam menghadapi kelesuan pandemik (pandemic fatigue).

    “Selain itu, merancakkan ekonomi domestik sebagai langkah yang tepat bagi membantu kelangsungan ekonomi termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    “Penting bagi kerajaan untuk mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup,” katanya.