CUBAAN menyeludup rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.65 juta berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dalam tiga serbuan berasingan di Teluk Intan dan Ipoh.

Dalam operasi pada 24 Julai hingga Jumaat lalu, kira-kira
1.3 juta batang rokok putih dan 1,000 liter minuman keras berjaya dirampas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, serbuan pertama dibuat ke atas sebuah lori yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan Hentian Rehat Batuk Rabit, Batu Putih di Teluk Intan pada 24 Julai lalu.

Katanya, operasi kira-kira pukul 5 pagi itu merampas 1.3 juta batang rokok putih dengan nilai rampasan sebanyak RM1.2 juta termasuk cukai.

“Kami turut merampas sebanyak 407,200 rokok pelbagai jenama bernilai RM350,000 dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Impiana, Teluk Intan pada 12 tengah hari, 30 Julai lalu.

“Terbaharu, dalam serbuan di sebuah premis di Menglembu, Ipoh pada 10 pagi Jumaat lalu kami merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai RM100,000.

“Minuman keras itu yang berjumlah 1,033.24 liter ditemui di ruangan rahsia dalam premis berkenaan,” katanya, hari ini.

Abdul Wahabi berkata, daripada ketiga-tiga serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here