Category: Semasa

  • Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diteruskan

    Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diteruskan

    MESKIPUN negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, Sambutan Hari Kebangsaan tetap akan diteruskan.

    Sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang akan disambut pada hujung bulan ini akan menggunakan teknologi tinggi yang bersesuaian dengan norma baharu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan pandemik Covid-19.

    Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd. Sukari Ab Hamid berkata, sambutan itu berkonsepkan ‘Mix Reality’ iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) yang berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

    Beliau berkata, dengan teknologi yang digunakan, penonton akan mendapat gambaran seperti menonton persembahan di tempat kejadian.

    “Kami galakkan orang ramai untuk duduk di rumah dan menonton sambutan Hari Kebangsaan secara maya yang akan disiarkan di semua stesen televisyen tempatan serta Facebook Live melalui Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM hari ini.

    Mohd Sukari juga berkata bahawa sambutan Hari Kebangsaan tetap akan diteruskan meskipun negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 kerana hari tersebut merupakan tarikh keramat buat rakyat Malaysia.

    Walau bagaimanapun, Mohd Sukari turut menegaskan bahawa faktor keselamatan tetap dititikberatkan.

    “Kita pastikan mereka yang terlibat sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan patuh kepada SOP, selain sentiasa mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

    Selain itu, Mohd. Sukari berkata tema ‘Malaysia Prihatin’, dipilih sekali lagi pada tahun ini  adalah untuk menunjukkan Malaysia yang masih dalam perjuangan memerdekakan diri dari pandemik Covid-19.

    “Malaysia Prihatin membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia turut bersama-sama dengan kerajaan memerangi Covid-19,” katanya.

    Sambutan Hari Kebangsaan 2021 dijadual berlangsung pada 31 Ogos ini di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

    Mohd Sukari turut menyeru orang ramai untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing, selain menyertai program dan pertandingan yang dianjurkan.

    Maklumat lanjut mengenai program dan pertandingan yang dianjurkan boleh dilayari di Portal Merdeka360 iaitu www.merdeka360.my.

  • Mayat keempat mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Mayat keempat mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Oleh Rizqi Zabidi

    MAYAT keempat fenomena kepala air di Kuala Muda dan Yan ditemukan di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Udang hari ini.

    Penemuan mayat Mohamad Faizal Zohir, 28, pada jam 3.10 petang itu selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9).

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, usaha mengesan dua lagi mangsa sedang dilakukan.

    “Dua lagi mayat mangsa yang dilaporkan hilang ialah Ridwan Poniman dan Ku Shuib Ku Abdullah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Kawasan Peranginan Titi Hayun, Jerai hari ini.

    Mayat pertama mangsa fenomena tersebut, Ahmad Din, 64, ditemukan tersangkut di pokok pisang di Kampung Setoi, malam tadi.

    Sementara mayat kedua adalah pekerja Jerai Hill Resort ditemukan di sebalik timbunan ranting kayu, daun dan lumpur kira-kira 200 meter dari pusat peranginan tersebut pukul 10.35 malam tadi.

    Mayat ketiga pula, Zahinor Murad, 65, ditemukan maut pukul 12.10 pagi tadi di lokasi berhampiran.

    Abdul Wahab berkata, selain menggunakan kepakaran unit K9, pihaknya menggunakan dron untuk mengesan mangsa.

    Jelasnya, 70 pegawai dan anggota bomba terdiri daripada pelbagai kepakaran, bergandingan bersama-sama polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta malim gunung bagi mencari mangsa.

    Pencarian dipecahkan kepada dua sektor merangkumi jarak sejauh antara enam hingga tujuh kilometer,” katanya.

    “Bagaimanapun kita berdepan beberapa cabaran antaranya sisa kau dan batu besar yang dihanyutkan arus.

    “Malah kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertindih atau tertimbus yang memerlukan misi menyelamat dilakukan dengan amat teliti,” katanya.

  • Taburan hujan ekstrem punca kepala air Gunung Jerai

    Taburan hujan ekstrem punca kepala air Gunung Jerai

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    FENOMENA kepala air di kawasan Gunung Jerai sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur di Kuala Muda dan Yan, Kedah berpunca daripada taburan hujan ekstrem semalam.

    Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 milimeter (mm) dan 172mm dicatatkan di Stesen Hujan Kampung Singkir Genting dalam kejadian jam 2.30 petang.

    Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm.

    “Berdasarkan rekod pada jam 6 petang, hujan melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI).

    “Kemuncaknya ialah pada jam 8 malam iaitu melebihi 70 tahun ARI bagi jumlah hujan 278 mm,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Zaini berkata, kejadian itu telah menyebabkan berlakunya banjir lumpur dengan kedalaman 0.1 hingga 1.5 meter di daerah berkenaan.

    “Hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan pokok yang tersangkut pada lintasan,” katanya.

    Katanya, kementerian bersama agensi terlibat termasuk kerajaan negeri telah mengambil tindakan termasuk kerja-kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera.

  • 11,000 botol air zam-zam tanpa permit dirampas

    11,000 botol air zam-zam tanpa permit dirampas

    Oleh Rahimi Mohamad

    CUBAAN pihak tidak bertanggungjawab mengimport 11,000 botol air zam-zam tanpa permit berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor yang membuat pemeriksaan di sebuah gudang simpanan di Pelabuhan Pasir Gudang, Padir Gudang pada 5 Ogos lalu.

    Pemeriksaan terhadap dua buah kontena berukuran 40 kaki di lokasi tersebut menemukan air zam-zam tersebut yang bersamaan 55,000 liter dengan nilai RM412,500, manakala cukai terlibat sebanyak RM107,250.

    Pengarah JKDM negeri, Sazali Mohamad berkata, seorang lelaki berusia 56 tahun yang merupakan pekerja gudang tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

    “Hasil semakan ke atas dokumen sokongan iaitu Bill of Lading dan daftar masuk mendapati dagangan tersebut telah diikrar sebagai ‘Artificial Flower’.

    “Air zam-zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

    “Modus operandi kes ini adalah membuat pengikraran tidak benar dengan tujuan mengelakkan daripada permit import bagi mengelak daripada dikenakan cukai yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Sehubungan itu, Sazali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang-barang larangan tanpa permit yang sah dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 kerana mengimport barang-barang larangan di mana-mana zon bebas tanpa permit yang sah.

    Dalam pada itu, kastam turut mematahkan kegiatan mengimport alat ganti kenderaan bernilai lebih RM1.3 juta termasuk cukai dengan melakukan ikrar yang tidak benar dan mengelirukan menerusi tiga serbuan berasingan di daerah ini dan Machap pada bulan lalu.

    Menurut Sazali, tiga pemandu lori treler yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 hingga 61 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) akta sama.

    “Serbuan pertama dijalankan terhadap sebuah lori treler 40 kaki yang mencurigakan di Kilometer 75.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara.

    Pemeriksaan mendapati 8,194 alat ganti kenderaan yang diimport dari negara jiran dengan nilai anggaran RM569,865 termasuk cukai,” katanya.

    Sementara itu, serbuan kedua dijalankan pihaknya terhadap sebuah lori treler di Taman Ekoperniagaan, Johor Bahru menemukan 2,898 unit alat ganti kenderaan yang diimport.

    “Selain alat ganti kenderaan, pegawai penguatkuasa juga menemukan 4,530 bungkus makanan dan 1,282 unit peralatan komputer peribadi terpakai yang dipercayai tidak mempunyai permit import yang sah dengan nilai keseluruhan RM605,956 termasuk cukai.

    “Dalam serbuan ketiga dijalankan terhadap sebuah lori treler di Danga Bay menemukan pula 650 unit alat ganti kenderaan dengan nilai keseluruhan RM175,469 termasuk cukai,” ujarnya.

  • Sokongan PN terhadap Ismail Sabri bersyarat

    Sokongan PN terhadap Ismail Sabri bersyarat

    SOKONGAN yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang baharu adalah bersyarat.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan bersyarat itu adalah selaras dengan prinsip gabungan politik tersebut untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti.

    “Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

    “Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau yang juga Perdana Menteri sementara mengesahkan bahawa PN telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu.

    Muhyiddin berkata, semua 50 Ahli Parlimen dari parti-parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 18 Ahli Parlimen PAS dan 1 Ahli Parlimen STAR telah menyerahkan akuan bersumpah menyokong pencalonan Ismail Sabri ke Istana Negara semalam.

    Menurut beliau, seramai empat Ahli Parlimen bebas yang menyokong PN juga telah berbuat demikian.

    “Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

    “Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat rakyat.

    “Keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

    “Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.

    Muhyiddin berharap agar proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

    “Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila tiba masanya,” katanya.

  • Nelayan maut disambar petir, SAR giat dijalankan

    Nelayan maut disambar petir, SAR giat dijalankan

    SEORANG lelaki maut manakala bapanya dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai disambar petir ketika keluar menangkap ikan di perairan Pulau Dinawan, Kinarut, Sabah, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mangsa, Abdullah Mohd Nasir, 20, keluar pada 5.30 pagi dengan menaiki bot pam berasingan dengan bapanya bagi menangkap ikan di perairan pulau itu.

    Sementara bapanya, Mohd. Nasir Abdul Nasir 62, belum ditemui dan usaha mencari sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat.

    Menurut Rosli Abdullah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan sejak jam 8 malam tadi.

    Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama dengan menaiki bot pam berasingan.

    “Kedua-dua mangsa disyaki disambar petir ketika melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira jam 4 petang.

    “Bagaimanapun, nelayan tempatan yang berada di lokasi hanya menemui mayat Abdullah dan terus dibawa ke Hospital Papar,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar pada jam 7 petang semalam.

    Sementara itu, beliau juga berkata operasi SAR untuk mangsa kedua sedang giat dijalankan dengan dibantu pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Beliau turut menasihatkan orang awam khususnya komuniti maritim agar sentiasa berwaspada semasa melakukan aktiviti di laut termasuk peka dengan keadaan cuaca, memakai jaket keselamatan, membawa alat pengesan lokasi serta memaklumkan kepada keluarga atau sahabat berkaitan destinasi dituju.

  • Lantang bersuara bukan sebab kemaruk jawatan

    Lantang bersuara bukan sebab kemaruk jawatan

    KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, beliau tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan baharu yang bakal dibentuk nanti.

    Asyraf Wajdi menyatakan pendirian itu bagi menepis tuduhan para netizen kononnya beliau lantang bersuara kerana kemaruk jawatan.

    Menurut beliau, jika dakwaan itu benar, sudah tentu tawaran mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diterimanya ketika zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    “Apakah saya akan menerima jika ditawarkan apa-apa jawatan dalam kerajaan yang baharu nanti?

    “Jawapan saya tidak. Biarlah saya terus mengepalai Pergerakan Pemuda UMNO untuk menjadi suara semak dan imbang, juga jurubicara rakyat tanpa terikat dengan apa-apa yang boleh membataskan suara kami Pemuda.

    “Lagipun kerajaan baharu kelak hanya untuk beberapa bulan yang berbaki sebelum tamat tempohnya bagi diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

    Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri era Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian dalam ruangan komen hantaran Facebook miliknya.

    Persoalan itu dibangkitkan oleh netizen selepas Asyraf Wajdi menyiarkan infografik bertajuk ’10 permintaan rakyat untuk tambah baik bantuan rakyat’.

    Permintaan-permintaan yang dikemukakan adalah seperti berikut:

    1. Segerakan Bantuan Khas COVID (BKC), jangan tungggu bulan Ogos.
    2. Luluskan kedua-dua kategori penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) / BKC dan penerima Geran Khas Prihatin (GKP).
    3. Permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.
    4. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini. Ramai dalam kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini.
    5. Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40.
    6. Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara keseluruhan berbanding berkala setiap bulan.
    7. Benarkan akses kepada Akaun 1 KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra.
    8. Benarkan akses kepada golongan T20 dan M40 mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang.
    9. Selaraskan kaedah penawaran moratorium seperti yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru. Perluaskan kepada LPPSA dan agensi lain bawah seliaan kerajaan.
    10. Bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar.
  • Rampasan kuasa Myanmar: Lebih 1,000 terkorban

    Rampasan kuasa Myanmar: Lebih 1,000 terkorban

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    PERSATUAN Bantuan Tahanan Politik (AAPP) mendakwa Junta Myanmar membunuh lebih 1,000 orang awam sejak rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan Aung San Suu Kyi dari tampuk pemerintahannya enam bulan lalu.

    Setiausaha Bersama AAPP, Ko Bo Gyi berkata, jumlah kematian akibat keganasan pasukan keselamatan Myanmar kini sudah mencecah seramai 1,006 orang.

    Selagi tentera berkuasa katanya, mereka akan berterusan membunuh golongan remaja, profesional seperti doktor dan guru, lelaki, wanita serta kanak-kanak.

    “Mereka bukan sahaja membunuh kehidupan kita, malah harapan demokrasi dan masa depan negara,” katanya.

    Bo Gyi yang mana kumpulannya dinamakan sebagai pertubuhan haram oleh junta dan kini sedang bersembunyi turut mendakwa pihak berkuasa menggunakan Covid-19 sebagai senjata ketika negara itu merekodkan lonjakan angka kematian.

    Setakat ini, Myanmar mencatatkan lebih 360,000 kes positif dan 13,786 kematian akibat COVID-19.

    Krisis kesihatan itu bertambah buruk disebabkan sistem perubatan formal yang lemah apabila banyak hospital kekurangan tenaga kerja selepas menyertai tunjuk perasaan serta protes terhadap junta di seluruh negara.

    Pesakit juga dikatakan enggan ke hospital yang dikendalikan oleh tentera, menyebabkan berlakunya permintaan tinggi terhadap bekalan oksigen dan perubatan di farmasi dekat Yangon.

    Junta pula berulang kali menjelaskan rampasan kuasa itu dibuat selepas mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya tahun lalu.

    Pihak berkuasa turut memaklumkan seramai 90 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran pada Jun lalu.

    Suu Kyi pula berdepan pertuduhan jenayah membabitkan pemilikan ‘walkie-talkie’ secara tidak sah dan melanggar akta rahsia negara.

    Ketua tentera, Min Aung Hlaing dilantik sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan ‘caretaker’ yang mana junta menggelarkan sebagai Majlis Pentadbiran Negara. – AFP

  • Sidang DUN Sabah ke-16 ditangguh ke September

    Sidang DUN Sabah ke-16 ditangguh ke September

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MESYUARAT Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, yang dijadualkan bersidang tiga hari mulai 24 Ogos ini, ditangguhkan ke 21 hingga 23 Sept depan.

    Penangguhan itu dimaklumkan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, satu warta kerajaan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong hari ini memaklumkan penangguhan sidang DUN Sabah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

    Menerusi warta tersebut, pindaan tarikh persidangan DUN Sabah itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa kini yang tidak mengizinkan untuk persidangan tersebut diadakan.

    Sebelum ini, Kadzim mengumumkan sidang DUN Sabah akan diadakan pada 24 hingga 26 Ogos, dengan pelbagai prosedur operasi standard.

    Antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri perlu mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum bersidang bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Kali terakhir persidangan DUN Sabah diadakan adalah pada 18 hingga 23 Dis tahun lepas bagi membentang dan membahaskan Belanjawan Negeri 2021.

  • Tuduhan fitnah semata-mata, Ebit Lew maafkan

    Tuduhan fitnah semata-mata, Ebit Lew maafkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Ebit Lew menyifatkan tuduhan yang mengaitkannya dengan kes yang sedang disiasat polis sebagai fitnah melampau semata-mata.

    Ditemui selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman sebentar tadi, beliau bagaimanapun berkata, sudah memaafkan mereka yang melempar tuduhan fitnah berkenaan.

    Ebit Lew berkata, kehadirannya ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini pagi tadi, adalah sebagai saksi kes yang sedang disiasat polis.

    “Saya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap pertuduhan gosip di luar sana.

    “Bagaimanapun saya serahkan segala-galanya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

    Terdahulu Ebit Lew tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi ditemani peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican.

    Ebit Lew berkata, pihak polis mengambil masa lebih satu jam untuk merakam kenyataannya dan dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya.

    Pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual di Bukit Aman, hari ini.
    GAMBAR: Warta Rakyat

    Apa yang terjadi ujarnya, akan membuatkan beliau berasa lebih bersemangat untuk membuat kebaikan sampai bila-bila.

    Sementara Hasnal berkata, setakat ini polis ada menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes berkenaan, namun belum memberikan seksyen sewajarnya untuk siasatan kes ini.

    “Setakat ini polis juga memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil semula anak guam saya,” katanya.

    Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam kenyataan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes tersebut dapat disiasat dengan telus.

    Katanya, Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut,” ujarnya.