Category: Semasa

  • Muhyiddin minta rakyat proaktif pastikan keselamatan,kesihatan

    Muhyiddin minta rakyat proaktif pastikan keselamatan,kesihatan

    TAN SRI Muhyiddin Yassin hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur bersama jemaah lain di bawah pematuhan SOP ketat.

    Melalui catatan dalam Facebook, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.

    ”Berdoalah agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT daripada virus Covid-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini. Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, insya-Allah,” katanya.

    Oleh itu beliau berkata, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.

    ”Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, al-Quran dan sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna. Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. Kepada Allah SWT jualah kita berserah,” katanya.

  • Peniaga kosmetik maut, isteri dan dua anak cedera

    Peniaga kosmetik maut, isteri dan dua anak cedera

    Oleh Mohd Lazim Endut

    SEORANG peniaga kosmetik maut, manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 11, Jalan Gaung-Kuala Ping dekat Kampung Matang, Kuala Berang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, mangsa, Muhammad Marhafizan Muhammad, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara isterinya yang berusia 29 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia dua dan 10 tahun yang turut berada dalam kenderaan itu mengalami cedera.

    Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Jabi, Besut tiba-tiba hilang kawalan sewaktu melalui satu selekoh lalu berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

    Pada sama, sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang pesara berusia 57 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kenderaan mangsa, lalu kenderaan mereka bertembung, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun, pesara tersebut bersama anak perempuan berumur 18 tahun hanya mengalami cedera ringan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang mengalami cedera pula dirawat di hospital sama,” katanya.

    Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Duluan bahaya jika minta Agong tubuh kerajaan perpaduan, kata pakar perlembagaan

    Duluan bahaya jika minta Agong tubuh kerajaan perpaduan, kata pakar perlembagaan

    GESAAN kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada melantik perdana menteri berdasarkan sokongan majoriti akan menetapkan duluan yang bahaya kepada proses demokrasi, kata pakar perlembagaan.

    Mereka berkata bagi menyelesaikan krisis politik semasa, Malaysia perlu mencari penyelesaian undang-undang dan bukan penyelesaian mudah untuk kesenangan jangka pendek.

    Sementara pakar yang lain mengatakan bahawa mengulangi kesalahan melantik kerajaan dengan majoriti tipis adalah ancaman yang lebih besar terhadap kestabilan negara.

    Pengarah Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) Fahri Azzat berkata rakyat Malaysia tidak mencari penyelesaian jangka panjang dengan menggesa Agong membuat keputusan demikian.

    “Saya berpendapat kita dalam kedudukan bahaya kerana kita semua bergantung kepada Agong untuk cuba dan menyelesaikan perkara ini. Apa yang mereka minta Agong lakukan, ada harga yang harus dibayar di masa hadapan yang tidak dibincangkan.

    “Sebagaimana yang kita lihat sebagai penyelesaian sekarang, saya berpendapat kita tidak melihat lebih jauh lagi, dalam erti kata menyeru pihak Istana untuk menyelesaikan apa yang sebenarnya merupakan masalah demokratik.

    “Masalahnya di sini tidak ramai yang melihatnya dari sudut undang-undang dan di Malaysia setiap masalah dilihat melalui spektrum politik dan bukan masalah undang-undang dan itulah sebabnya kita berada dalam kekacauan ini,” kata Fahri kepada The Malaysian Insight.

    Peguam itu berkata tindakan terbaik yang boleh diambil ialah mengadakan pilihan raya umum, namun itu pasti mustahil kerana pandemik Covid-19.

    Katanya ketika rakyat Malaysia mahu perkara ini diselesaikan segera, membuat kompromi seperti itu akan mempengaruhi bagaimana keputusan dibuat pada masa hadapan.

    “Kita terus menanggung masalah teknikal kerana mahukan kompromi dan penyelesaian yang mudah. Adakah ia menyelesaikan masalah? Tidak. Ini makin merumitkan keadaan.

    “Kami tidak melihatnya secara sistematik dan sah mengenai cara menyelesaikan masalah ini.”

    Ahli sains politik Wing Chin Huat juga membidas cadangan untuk Agong menubuhkan kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata peranan Agong ialah untuk memilih calon dengan sokongan majoriti dan bukan yang baginda rasakan pemimpin terbaik.

    “Jangan gunakan alasan lapuk kerana keadaan luar biasa memerlukan langkah yang luar biasa.

    “Apabila anda dapat melanggar peraturan kali ini kerana keadaan ini cukup luar biasa, lain kali juga orang lain dapat melanggar peraturan untuk keadaan lain yang mereka anggap luar biasa juga.

    “Integriti tidak mematuhi peraturan hanya jika sesuai dengan kita,” katanya dalam satu kenyataan

  • ‘’Johor tak terlibat keputusan jejas Perlembagaan’’ – TMJ

    ‘’Johor tak terlibat keputusan jejas Perlembagaan’’ – TMJ

    TENGKU Mahkota Johor melalui Instastory secara terbuka menegaskan, apa-apa pun keputusan yang akan menjejaskan Perlembagaan, Kedaulatan Institusi Diraja dan Kesejahteraan rakyat, Johor tidak akan terlibat.

    ‘’Keutamaan adalah kestabilan negara dan kehidupan rakyat dan bukan kepentingan peribadi,’’ titah baginda.

    Walaupun tiada apa-apa penjelasan diberikan namun ramai mengaitkan kemelut politik yang berlaku kini.

    Tambahan pula  hantaran itu dibuat beberapa jam sebelum Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas berhubung pencalonan Perdana Menteri baharu.

    Sementara itu,   Sultan Johor, Sultan Ismail Sultan Iskandar melalui akaun Facebook memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abi Hurairah RA bermaksud;

    ‘’Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia diberi amanah dia telah mengkhianati.’’

    Sementara itu

  • IGM: Bencana geologi boleh dielakkan melalui kajian terperinci

    IGM: Bencana geologi boleh dielakkan melalui kajian terperinci

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BENCANA geologi dan juga bencana berkaitan geologi sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya sekiranya kajian yang terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurangan risiko bencana.

    Menurut Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM), Abdul Rasid Jaapar, bencana kepala air yang melanda Geopark Kebangsaan Gunung Jerai, Kedah kelmarin merupakan satu contoh bencana geologi yang boleh dielakkan denga mengadakan kajian yang sedemikian.

    Beliau selanjutnya berkata, walaupun ramai pihak mengatakan hujan yang ekstrem dikatakan antara punca pencetus kejadian namun, punca penyebab sebenar kejadian masih lagi memerlukan kajian yang terperinci.

    “Oleh itu, IGM menyarankan satu kajian bencana geologi secara menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran dengan diterajui oleh ahli geologi dapat dilakukan terhadap Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.

    “Kajian juga disyorkan bersifat transdisciplinary dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi di masa hadapan,” kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Abdul Rasid turut mengingatkan, sementara laporan kajian dikeluarkan oleh pasukan penyiasat tersebut, ahli-ahli geologi supaya dinasihatkan tidak terlalu ghairah mengeluarkan pandangan berbentuk spekulatif dan provokasi tanpa berdasarkan data, bukti-bukti sains dan fakta yang lengkap terutamanya data cerapan lapangan.

  • Abu Sayyaf rancang culik pemilik ladang

    Abu Sayyaf rancang culik pemilik ladang

    Dua anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) mati ditembak pasukan keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit di Pulau Timbang, kira-kira 6 kilometer dari sini awal pagi tadi, yang merancang untuk menculik pemilik ladang itu untuk mendapatkan wang tebusan (KFR).

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata rancangan mereka itu digagalkan apabila ia didedahkan oleh seorang ketua kumpulan kecil ASG Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lepas, ketika siasatan dilakukan.

    “Operasi ini dilancarkan selepas Bencio mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan dua anggota yang ditembak itu untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau (Kinabatangan) untuk mendapatkan wang tebusan.

    “Tindakan itu bagi memberi dana kepada kumpulan di markas timur Sulu di Kompleks Bud Bawis, Panamao, Sulu, Selatan Filipina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Hazani berkata dua anggota militan yang maut itu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berumur antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati kira-kira 5 pagi dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di ladang berkenaan.

    Sepucuk pistol A Colt .45, yang biasa digunakan di Filipina dan sebilah parang ditemukan bersama pengganas yang maut itu, katanya.

    Beliau berkata operasi itu adalah susulan daripada serbuan di ladang terbabit dua hari sebelumnya (18 Ogos), yang membawa kepada tangkapan 11 lelaki, tujuh daripadanya disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota ASG.

    “Pada serbuan itu, dipercayai beberapa lelaki telah melarikan diri dan usaha mengesan mereka disambung semula keesokannya (19 Ogos),” katanya.

    Hazani berkata operasi itu dijalankan dengan bantuan antaranya pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tentera Malaysia.

    Tanpa mendedahkan maklumat lebih lanjut, beliau berkata polis mempunyai maklumat risikan mengenai lokasi saki-baki anggota ASG yang mungkin bersembunyi di negeri ini yang menurut kumpulan itu, mereka percaya Sabah adalah ‘safe haven’ (tempat perlindungan yang selamat) untuk mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

    “Saya menegaskan bahawa Sabah bukan ‘safe haven’ untuk ASG. Saya mahu membuang persepsi itu. Kami (polis) tidak akan berhenti mengesan mereka,” katanya.

    Hazani turut mengingatkan majikan termasuk pemilik ladang kelapa sawit dan pengurus pembinaan, untuk memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen yang sah bagi mengelakkan mengambil pengganas sebagai pekerja.- BERNAMA

  • Warga emas didakwa kelar, bunuh isteri

    Warga emas didakwa kelar, bunuh isteri

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG warga emas, Lim Hon Koi, didakwa atas pertuduhan mengelar leher dan membunuh isterinya di Taman Desa Cahaya di Gopeng, Ipoh, minggu lalu.

    Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini kerana tertuduh, 72, menerima rawatan radang usus.

    Warga emas itu didakwa mengelar leher isterinya, Chan Moy, 74, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu telah menyebabkan kematiannya.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik tingkat bawah sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng antara pukul 8 malam pada 8 Ogos hingga 7.30 pagi 9 Ogos lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dari Mahkamah Majistret Kampar namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Nur Faizah kemudiannya menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, laporan kimia dan toksikologi.

  • Johor capai kadar vaksinasi 100 peratus dua bulan lagi

    Johor capai kadar vaksinasi 100 peratus dua bulan lagi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN negeri yakin mampu mencapai kadar vaksinasi 100 peratus bagi dua dos lengkap dalam masa dua bulan ini.

    Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yakin kerana keupayaan pemberian suntikan sehingga 78,500 dos vaksin sehari ketika ini.

    Menurutnya, langkah itu sekali gus akan membolehkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri ini dapat ditingkatkan.

    “Hingga Rabu Johor telah mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa sebanyak 63.6 peratus untuk satu dos manakala 32.1 peratus dua dos.

    “Insya-ALLAH, kita mengunjurkan dapat mencapai kadar vaksinasi 100 peratus bagi satu dos pada pertengahan September dan 100 peratus bagi dua dos pada Oktober ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasminya, malam tadi.

    Semalam Hasni mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan pengurusan kawalan pandemik Covid-19.

    Hasni berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha sehingga mampu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

    “Justeru, saya menyeru semua rakyat Johor dapat terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kita berjaya memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

    Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan, Johor mencatatkan jumlah vaksinasi tertinggi berbanding negeri lain.

    Walaupun begitu kata Tunku Mahkota Johor, kadar vaksinasi di negeri ini masih rendah disebabkan populasi penduduknya yang tingggi.

    “Saya percaya kadar vaksinasi kita akan meningkat dalam masa yang terdekat. Saya akan terus pantau dan ‘push’ kerajaan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter miliknya pada Khamis.

    Menurut statistik dalam laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Johor hanya mencatatkan kadar 27.8 peratus, setakat kelmarin iaitu antara kadar terendah di antara 14 negeri.

  • Ditipu ‘pegawai LHDN, polis’, Pekebun durian rugi RM20,000

    Ditipu ‘pegawai LHDN, polis’, Pekebun durian rugi RM20,000

    SEORANG pekebun durian di Raub, Pahang mengalami kerugian RM20,000 apabila ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rabu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berasal dari Raub dihubungi oleh suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai LHDN Alor Setar, Kedah untuk pengesahan maklumat peribadi.

    “Panggilan kemudian disambung kepada seorang ‘pegawai polis’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar untuk semakan berhubung kes tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

    “Mangsa diarah menjelaskan tunggakan cukai berjumlah RM17,000 bagi mengelak tindakan mahkamah,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, mangsa yang bimbang akan dikenakan tindakan akur dan membuat bayaran pada hari yang sama dengan jumlah keseluruhan RM20,000 menerusi pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki.

    “Selepas membuat bayaran, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal apabila nombor telefon yang digunakan telah ditamatkan.

    “Mangsa yang mula curiga telah membuat semakan di Pejabat LHDN Cawangan Raub dan mendapati tiada cukai tertunggak direkodkan atas namanya,” katanya.

    Beliau menambah, setelah mengesyaki dirinya ditipu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub, semalam untuk tindakan lanjut.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • UMNO, Pas perlu gerak, aktifkan semula MN

    UMNO, Pas perlu gerak, aktifkan semula MN

    Oleh Wartawan WartaRakyat

    UMNO dan Pas perlu mengerakkan dan mengaktif semula Muafakat Nasional (MN) di peringkat akar umbi bagi memastikan aktiviti-aktiviti kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu tidak terjejas dalam apa jua keadaan.

    Veteran politik UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, MN perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti secara bersama di peringkat nasional, negeri sehingga ke akar umbi dengan mendekati rakyat untuk membuktikan MN dapat memperkukuhkan perpaduan ummah.

    Malah tambah beliau, sempena mengambil semangat ulang tahun ke-64 kemerdekaan negara juga, MN perlu menganjurkan satu aktiviti yang berorientasikan untuk keselamatan, kesejahteraan, kebahagian, kemakmuran dan kesatuan rakyat. 

    “MN sudah pasti dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah dengan bersatu dan mengenepikan perbezaan fahaman politik demi kelima-lima orientasi yang disebutkan itu.

    “Umum telah maklum MN merupakan sebuah gagasan kerjasama UMNO dan Pas dan telah memeterai Piagam Muafakat Nasional semasa Perhimpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

    “Sehubungan itu, MN tidak harus sekadar menjadi retorik politik sebaliknya harus menterjemahkan Piagam Muafakat Nasional untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti dan membuktikan komitmen memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara kedua parti yang terbesar orang-orang Melayu sebagai persiapan menghadapi PRU-15,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu, Mohd. Yussof berkata, ketika MN digagaskan, ramai rakyat Malaysia ingin melihat perpaduan ummah yang boleh dijadikan panduan dalam politik baharu di Malaysia.

    Namun jelasnya, setelah penyertaan kedua-dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), MN dilihat tidak lagi aggresif seperti sebelumnya.

    “Adalah menjadi harapan saya dan orang-orang Melayu di peringkat bawahan semoga penyertaan kedua-dua parti itu dalam PN tidak membantut matlamat dan hal tuju MN kearah kejayaan dan perpaduan ummah untuk kemajuan dan kestabilan negara tercinta ini,” katanya.