Oleh Abu Ubaidillah Rahman

KERAJAAN negeri yakin mampu mencapai kadar vaksinasi 100 peratus bagi dua dos lengkap dalam masa dua bulan ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yakin kerana keupayaan pemberian suntikan sehingga 78,500 dos vaksin sehari ketika ini.

Menurutnya, langkah itu sekali gus akan membolehkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri ini dapat ditingkatkan.

“Hingga Rabu Johor telah mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa sebanyak 63.6 peratus untuk satu dos manakala 32.1 peratus dua dos.

“Insya-ALLAH, kita mengunjurkan dapat mencapai kadar vaksinasi 100 peratus bagi satu dos pada pertengahan September dan 100 peratus bagi dua dos pada Oktober ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasminya, malam tadi.

Semalam Hasni mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan pengurusan kawalan pandemik Covid-19.

Hasni berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha sehingga mampu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Justeru, saya menyeru semua rakyat Johor dapat terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kita berjaya memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan, Johor mencatatkan jumlah vaksinasi tertinggi berbanding negeri lain.

Walaupun begitu kata Tunku Mahkota Johor, kadar vaksinasi di negeri ini masih rendah disebabkan populasi penduduknya yang tingggi.

“Saya percaya kadar vaksinasi kita akan meningkat dalam masa yang terdekat. Saya akan terus pantau dan ‘push’ kerajaan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter miliknya pada Khamis.

Menurut statistik dalam laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Johor hanya mencatatkan kadar 27.8 peratus, setakat kelmarin iaitu antara kadar terendah di antara 14 negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here