Category: Semasa

  • Pesakit Covid-19 turun, HTAR pulang 80 mesin oksigen dipinjam

    Pesakit Covid-19 turun, HTAR pulang 80 mesin oksigen dipinjam

    KEMASUKAN pesakit Covid-19 yang semakin berkurangan membuatkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang memulangkan semula 80 unit mesin oksigen ‘concentrator’ yang dipinjam sebelum ini.

    Menerusi kenyataan Facebook, HTAR berkata, kesemua mesin itu dipulangkan semula kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0.

    Kata kenyataan itu, Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menyusun semula keperluan perlatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

    “Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman sebanyak 80 unit mesin oksigen concentrator kepada HTAR sepanjang tempoh bencana.

    “Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” katanya hari ini.

    Selasa lalu, Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di hospital tersebut berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lalu.

    Kata beliau, sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

    “Pesakit Covid-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat pukul 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. ‘Gelombang’ kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.

    “Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit Kategori 3 ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya.

  • Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri Kesembilan

    Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri Kesembilan

    Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, kira-kira pukul 2.20 petang.

    Ismail Sabri mengangkat sumpah pada pukul 2.28 petang.

    Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

    Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Ismail Sabri, 61, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

    Upacara itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Selain itu yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

    Turut hadir empat anak dan menantu Ismail Sabri iaitu Datin Nina Sabrina dan suaminya Datuk Jovian Mandagie, Gadaffi, Nashriq dan isterinya Aiman Shaheerah Faeiz, serta Iqbal.

    Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

  • Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    Kabinet Ismail Sabri diharap pacu negara ke arah lebih baik

    MOHD LAZIM ENDUT

    UMNO Kelantan berharap barisan Kabinet baharu yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

    Selain perhatian kepada aspek ekonomi dan kesihatan, tumpuan juga perlu diberikan kepada kebajikan rakyat.

    Sambil menyambut baik pelantikan tersebut, pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO Kelantan bersatu hati dalam memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

    “Kita sentiasa konsisten dengan prinsip dan pendirian kepatuhan kepada parti dan juga pucuk pimpinan.

    “Malah, kita mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan UMNO serta seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di atas keputusan sebulat suara bagi menyokong pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ahmad Jazlan, pada masa sama UMNO Kelantan juga berharap agar Ismail Sabri akan dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, penuh bertanggungjawab, amanah dan berintergriti.

    “Apa yang penting ialah agar beliau dapat memacu negara ke arah lebih baik termasuk dari segi ekonomi, kesihatan dan kebajikan rakyat,” jelas beliau.

  • Ismail Sabri sah bergelar Perdana Menteri ke-9

    Ismail Sabri sah bergelar Perdana Menteri ke-9

    AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 2.30 petang.

    Tidak sampai dua bulan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin nombor satu negara.

    Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

    Ismail Sabri, 61, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) itu dilihat layak menyandang jawatan berkenaan dengan kualiti kepimpinan dan pengalaman luas yang dimilikinya selama bergelar ahli politik dan pentadbiran kerajaan.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menganggotai barisan Jemaah Menteri sejak 2008 sehingga 2018, sebelum kembali semula pada Mac tahun lepas, selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Ismail Sabri diberi kepercayaan untuk memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi COVID-19 negara.

    Sepanjang lebih setahun menjalankan amanah tersebut, Ismail Sabri disifatkan tegas serta cukup prihatin dengan permasalahan rakyat selama pandemik melanda negara.

    Ia dibuktikan dengan memajukan isu-isu rakyat tersebut ke dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri seterusnya membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 7 Julai lepas dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

    Sebelum ini, Ismail Sabri pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008 hingga April 2009, sebelum beralih kepada tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada April 2009.

    Pada Mei 2013 hingga Julai 2015, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum berlakunya rombakan Kabinet yang menyaksikan beliau kemudiannya memegang tugas sebagai Menteri, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuklah ‘jihad memerangi orang tengah’, selain memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya golongan bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Ismail Sabri memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

    Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan dikurniakan tiga anak lelaki serta seorang anak perempuan.

    Beliau mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Temerloh pada 1993.

    Pada 1995 beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan (ketika itu) Datuk Sabaruddin Chik, sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan tiga tahun kemudiannya sebagai Ketua UMNO bahagian itu pada 2001.

    Pada Mac 2004, beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) bagi kerusi Parlimen Bera dan menewaskan Ab Wahab Ismail dari PAS dengan majoriti 4,470 undi, manakala PRU ke-12 pada Mac 2008 juga menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Aliman, juga dari PAS dengan majoriti 3,821 undi.

    Pada Ogos 2008, beliau memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan pada Mac 2009, beliau terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO penggal 2008/2011 sebelum sekali lagi pada penggal 2013/2016.

    PRU ke-13 pada Mei 2013 dan PRU ke-14 pada Mei 2018, pula menyaksikan beliau terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera dalam pertandingan tiga penjuru apabila menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR dan calon Bebas dalam kedua-dua pilihan raya itu.

    Pada Julai 2018, beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021 dan pada 2018 sehingga Mei 2019, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

    Pada Mac 2018 pula beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, dan kini beliau menjawat kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021.

  • CUEPACS harap PM struktur semula kementerian

    CUEPACS harap PM struktur semula kementerian

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) mengharapkan pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menstrukturkan semula setiap kementerian supaya fungsinya lebih tersusun dan terkoordinasi.

    Presidennya, Adnan Mat berkata, perkara ini amat penting agar setiap kementerian dapat memberi fokus kepada visi dan misi masing-masing dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

    Menurut beliau, setiap lantikan ketua setiausaha atau pegawai tertinggi perlulah dilantik berdasarkan hierarki kelayakan dan kebolehan tanpa dipengaruh faktor politik atau calon kegemaran menteri.

    “Perkara ini penting bagi memastikan jentera pentadbiran Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri dapat dibantu oleh pegawai kerajaan yang berkaliber, berintegriti dan berkebolehan sekali gus memastikan keberhasilan program kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Berhubung ikrar penjawat awam, Adnan berkata, CUEPACS bersifat neutral dan tidak meletakkan kepentingan politik dalam setiap tindakan yang diambil dan tekad mereka hanyalah berkhidmat untuk negara.

    Beliau memberitahu, oleh yang demikian, kesetiaan penjawat hanyalah kepada raja, negara dan kerajaan semasa.

    “Tidak kira apa pun yang berlaku dalam konteks perubahan pucuk kepimpinan kerajaan, tugas penjawat awam adalah memberikan perkhidmatan dan sokongan yang terbaik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berada pada tahap cemerlang kepada rakyat khususnya.

    “Penjawat awam adalah jentera kerajaan yang hanya melaksanakan tugasan melalui dasar-dasar semasa kerajaan secara profesional bagi memastikan ianya dapat dicapai dengan sebaik mungkin,” jelasnya.

    Adnan menambah, CUEPACS berharap mereka yang memimpin kerajaan sentiasa memahami akan ikatan ini agar para penjawat awam tidak didakwa menyebelahi mana-mana pihak ketika sesebuah kerajaan itu diperintah oleh individu atau parti tertentu.

    Menurut beliau, jika hal ini diterima dengan sikap terbuka dan profesional oleh kedua-dua pihak, maka kita akan dapat memastikan negara ini benar-benar telah menelusuri sistem demokrasi yang matang dan dapat memberi manfaat kepada semua pihak demi mewujudkan sebuah negara yang cemerlang pada masa hadapan.

    “Adalah besar harapan CUEPACS untuk melihat pelantikan Perdana Menteri dapat menamatkan kemelut politik yang melanda negara sebelum ini supaya semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik dapat bersama-sama dengan rakyat dan kerajaan memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

    Pada masa yang sama, Adnan berkata, CUEPACS menzahirkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Ismail Sabri di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    Beliau memberitahu, CUEPACS yakin Perdana Menteri mampu meneruskan kecemerlangan pentadbiran kerajaan dalam memastikan negara berada di landasan yang lebih baik dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan memperbaiki ekonomi rakyat.

    “Selaku kesatuan yang memayungi kira-kira 1.6 juta penjawat awam, CUEPACS akan memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menggembeleng seluruh warga perkhidmatan awam untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” jelasnya.

    Adnan berkata, penjawat awam akan sentiasa bersama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk terus memajukan negara ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan yang sangat berkesan dan berkualiti kepada rakyat dan negara.

    “Walaupun kerajaan bersilih ganti namun perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.

    “CUEPACS dan penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat dan negara bersandarkan teras taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” ujarnya.

  • GPS harap pembangkang lapang dada lantikan Ismail Sabri

    GPS harap pembangkang lapang dada lantikan Ismail Sabri

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berharap agar semua pihak termasuk pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua harus mengetepikan segala perbezaan ketika ini dan bersama-sama memberi tumpuan kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.

    “GPS percaya dengan kemampuan Ismail Sabri dan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negara menuju ke arah pemulihan seterusnya keluar daripada krisis yang sedang melanda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau mewakili GPS menjunjung kasih dan menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Alexander menambah, pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi amat tepat memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

    Malah, beliau memberitahu, keupayaan Ahli Parlimen Bera itu juga terbukti ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) yang mengendalikan isu-isu berkaitan COVID-19 secara langsung selama hampir 17 bulan.

    “Selain itu, beliau pernah menjawat beberapa jawatan menteri sejak 2008 lagi. Antara jawatan pernah disandangnya adalah Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    “Saya sendiri pernah bekerja bersama dengan Ismail Sabri ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai timbalannya dan secara peribadi saya amat mengagumi kepimpinan beliau,” jelasnya.

    Alexander berkata, Ismail Sabri juga sangat dekat serta mesra dengan masyarakat di semua peringkat di bandar dan luar bandar, termasuk penduduk di Sarawak.

    “Ismail Sabri pernah mengadakan lawatan ke Sarawak beberapa kali termasuk di Kapit pada 2010.

    “Ketika itu, saya melihat bagaimana beliau tidak kekok mendekati rakyat di Kapit dan kelihatan selesa bermalam serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sana, termasuk program kemasyarakatan yang diadakan di Dewan Suarah, Kapit,” katanya.

  • Biadab! Netizen kecam Twitter GE.RA hina Jalur Gemilang

    Biadab! Netizen kecam Twitter GE.RA hina Jalur Gemilang

    PERBUATAN biadab pemilik akaun Twitter GE.RA (@gerakmalaysia) memaparkan Jalur Gemilang dalam warna hitam dan putih dikecam oleh para netizen.

    Tindakan tidak patriotik itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagari Perdana Menteri kesembilan.

    Netizen kesal dengan tindakan biadab pemilik akaun Twitter berkenaan kerana mengubah warna asal Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning.

    Twitter GE.RA turut memaparkan ciapan yang berbunyi, “Tidak ada merdeka bulan ini.”

    Kebiadaban itu sememangnya tidak boleh diterima lebih-lebih lagi negara sedang meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan ketika ini.

    Rata-rata mereka mengecam akaun Twitter berkenaan kerana bersikap biadab mengaitkan Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan dengan isu politik.

    Berikut adalah antara reaksi kurang senang yang dinyatakan oleh para netizen dalam ruangan komen di bawah ciapan tersebut.

    “Sila berotak sebelum memberontak.”

    “Mana pergi adab kau. Bendera Malaysia tak ada kaitan dengan masalah politik.”

    “Aku pun anak muda, tapi kalau begini gaya anak muda yang kononnya nak memberikan nafas baru, baik tak payah. Boleh kritik kerajaan, tapi bendera negara jangan dibuat main. Jangan dipolitikkan Hari Kebangsaan. Dahsyat sebilangan anak muda. Jalur Gemilang pun nak di “cancel” kan.”

    “Jangan hina Jalur Gemilang. Nilainya sangat tinggi berbanding pemimpin atau parti politik. Bendera kita lambang kedaulatan negara.”

    “Delete la tweet ni. Very disrespectful. Ingat ya betapa ramainya yang berjuang dan terkorban untuk mencapai kemerdekaan. Kalau marah pada kerajaan, marah kerajaan sahaja. Tidak perlu rasanya menghitamputihkan warna bendera negara. Respect our Jalur Gemilang.”

    “Betul2, nak protes pun biar ada adab…bendera negara sendiri kot..”

    “Bro jalur gemilang tu bro. Penat atuk nenek moyang aku berperang nak dapatkan bendera itu. Senang senang je kau tukar colour. Ke atuk nenek moyang kau bukan orang Malaysia??”

    “Sebab PM tak kena tekak kau tak semestinya kau kena tukar warna Jalur Gemilang! Belum jadi pemerintah dah tunjuk perangai. Perangai serupa komunis! Entah2 nanti diterbalikkan pula Jalur Gemilang tu.”

    “Aku pun tak suka keadaan sekarang, politik sekarang.. Tapi jangan jadi bodoh hina bendera… Kalau rasa mampu duduk luar negara la… Begini ke cara nak tarik undi geng taksub sebelah kerajaan sekarang? Kalau ni caranya.. Maaf aku kata.. Payah nak menang la…”

  • Pelantikan Ismail Sabri redakan suhu politik negara

    Pelantikan Ismail Sabri redakan suhu politik negara

    MOHD LAZIM ENDUT

    PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan diharap mampu meredakan suhu politik negara.

    Justeru, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meminta semua pemimpin parti politik agar berganding bahu, bekerjasama dan bersatu hati bagi memulihkan semula negara.

    Apa yang penting katanya, buat masa sekarang semua barisan kepimpinan parti politik perlu memberi keutamaan kepada agenda memulihkan negara dari pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat.

    Menurut beliau, pelantikan Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri ke-9 itu seharusnya menamatkan apa juga spekulasi berhubung situasi politik negara.

    Katanya, kerajaan negeri Terengganu menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik di negara ini.

    “Kerajaan negeri juga menjunjung kasih atas perkenan baginda melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah bagi melaksanakan tanggungjawab yang mencabar ini.

    “Semoga Ismail Sabri diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan juga bijaksana.

    “Kita berharap dengan pelantikan tampuk kepimpinan baharu ini dapat memberi fokus terhadap agenda menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat,” ujar beliau.

  • Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    JUMLAH penumpang dalam kenderaan khusus bagi individu yang telah menerima dos vaksin lengkap di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini adalah mengikut kapasiti tempat duduk.

    Kelonggaran yang diumumkan kerajaan itu mula berkuat kuasa semalam bagi memudahkan pergerakan mereka yang telah melengkapkan vaksinasi.

    Namun, pada masa yang sama, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh dan individu mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan dan polis.

    Prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu turut memberikan panduan mengenai individu yang belum mendapat vaksin lengkap.

    “Hanya dua orang saja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

    “Selain itu, maksimum tiga orang saja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan,” kata MKN dalam infografik yang dikongsi di aplikasi Telegram, hari ini.

    Kelmarin, kerajaan mengumumkan kemudahan tambahan termasuk makan di dalam premis menjual makanan, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu bagi individu yang lengkap vaksinasi.

    Sementara itu, MKN menetapkan bilangan penumpang bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dengan penumpang mesti duduk di bahagian belakang.

    Bagi kenderaan yang membawa barangan termasuk rantaian ekonomi serta industri, kapasitinya bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan.

  • Pelantikan Ismail Sabri tamatkan isu keabsahan kerajaan baharu

    Pelantikan Ismail Sabri tamatkan isu keabsahan kerajaan baharu

    RIZQI ZABIDI

    Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan seharusnya menamatkan terus isu keabsahan kerajaan baharu yang dibakal dibentuk di negara ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua pihak diharap tidak lagi membangkitkan perkara itu.

    “Semua pihak diharap dapat menjalin permuafakatan jitu dengan penuh tanggungjawab untuk memberi tumpuan terhadap usaha membawa rakyat segera keluar dari krisis yang telah membelenggu kita selama hampir dua tahun.

    “Semoga pentadbiran baharu negara ini sentiasa beroleh petunjuk, rahmat dan keberkatan Allah SWT selain dihindari daripada musibah yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

    Pelantikan itu dibuat setelah baginda mendapat pengesahan daripada 114 Ahli Dewan Rakyat yang bersetuju untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera tersebut sebagai Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan kecekapan baginda menyelesaikan konflik politik dalam waktu singkat.

    “Kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri yang telah mendapat perkenan baginda untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    “Pengharagaan juga dirakamkan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sepanjang menerajui pentadbiran negara terutamanya melibatkan kerja keras serta komitmen beliau mengemudi kerajaan menangani Covid-19,” katanya.