Category: Semasa

  • Ahmad Amzad mahu bantu perkasa Dasar Sains, Teknologi, Inovasi 2020-2030

    Ahmad Amzad mahu bantu perkasa Dasar Sains, Teknologi, Inovasi 2020-2030

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    “SAYA akan berusaha untuk membantu memperkasakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030,” ujar Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim sejurus dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob hari ini.

    Menurut Ahmad Amzad, ia penting bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi melalui pengguna pakaian (adoption) dan penghasilan lebih banyak inovasi teknologi tempatan.

    Sehubungan itu beliau berjanji untuk memberikan khidmat terbaik sekali gus menunaikan amanah yang diberikan itu.

    Sambil menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan diberikan bagi meneruskan tugas di MOSTI, Ahmad Amzad memberitahu, ada beberapa ‘roadmap’ yang sedang dibangunkan di bawah seliaannya termasuk ‘Roadmap For Advanced Material’ seperti komposit, ‘graphene’ dan teknologi nano yang perlu dijayakan.

    “Covid-19 dijangka terus berada dalam kehidupan kita sebagai endemik. Kita kena terus pacu penggunaan ‘lowtouch technology’ yang dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan.


    Ini akan terus diberi tumpuan oleh MOSTI,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.

    Ahmad Amzad turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada Menteri MOSTI baharu, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan juga Khairy Jamaluddin yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan bagi menggantikan Dr. Adham.

    “Dr.Adham merupakan sahabat saya dan pengalamannya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tentu diperlukan di MOSTI,” ujar beliau.

  • 5 muka baharu tekad beri perkhidmatan terbaik

    5 muka baharu tekad beri perkhidmatan terbaik

    KABINET yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut dianggotai lima muka baharu.

    Mereka yang kali pertama dilantik ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

    Idris yang juga Naib Presiden PAS tidak menjangka akan dilantik menyandang portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

    Beliau bertekad akan melaksanakan tugas dengan baik atas kepercayaan diberikan serta meneruskan usaha dan kecemerlangan dilakukan Dr Zulkifli sebelum ini.

    “Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan akan memberi kerjasama serta akan jumpa agensi di bawah kementerian.

    “Mohon doakan saya dapat melakukan tugas dengan integriti dan mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan tugas,” katanya.

    Seorang lagi muka baharu iaitu Ahmad Faizal berkata, pengalaman panjang beliau bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara.

    Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, Kementerian Belia dan Sukan mempunyai peranan penting untuk memperkukuh naratif Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

    “Saya yakin, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kita bangkit semula.

    “Memahami hasrat Perdana Menteri untuk barisan kabinet segera melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, saya meletakkan diri saya dalam keadaan bersedia dan akan patuh kepada arahan-arahan yang akan diberikan beliau dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menyatakan komitmennya untuk melakukan yang terbaik selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.

    Beliau berjanji akan memanfaatkan sepenuhnya kudrat yang ada padanya untuk melaksanakan tugas baharu yang diamanahkan itu.

    “Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan amanah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II. Insya-Allah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara.

    “Terima kasih juga kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan pimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Sabah dan seluruh rakyat di Parlimen Kimanis di atas dorongan dan doa.

    “Doakan saya diberi kekuatan dan hidayah dalam melaksanakan tugas ini. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Jalaluddin pula akan menggunakan pengalaman sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan dan Pengerusi UDA Holdings Berhad untuk membantunya menjalankan tugas yang baharu.

    “Tidak janggal atau kekok untuk menjalankan tugas menjaga Wilayah Persekutuan berikutan pengalaman yang dimiliki sebelum ini.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi dan akan menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu.

    Nik Muhammad Zawawi pula mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan beliau.

    “Mudah-mudahan Allah akan memberikan kekuatan dan hidayah-Nya untuk saya memikul amanah ini,” kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dalam hantaran Facebook.

  • TMJ adakan pertemuan dengan guru di Johor yang tolak vaksin

    TMJ adakan pertemuan dengan guru di Johor yang tolak vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan guru di negeri ini yang menolak untuk mengambil vaksin di di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, hari ini.

    Tunku Mahkota Johor mendengar ulasan mengenai isu-isu yang mereka sedang hadapi.

    “Daripada 779 guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

    “Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

    “Sebilangan guru telah kini bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Menerusi perjumpaan itu Tunku Ismail berkongsi maklumat mengenai program vaksinasi dan situasi terkini pandemik Covid-19 di Johor.

    “Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa ketengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik,” ujar Tunku Mahkota Johor.

    Tunku Ismail berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

    Turut hadir dalam pertemuan itu Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

  • Keyakinan terhadap ringgit dijangka pulih

    Keyakinan terhadap ringgit dijangka pulih

    KEYAKINAN terhadap ringgit dijangka pulih, melangkah ke hadapan, didorong oleh sentimen yang semakin baik berikutan peningkatan kadar vaksinasi.

    Ketua ekonomi IQI Juwai Shan Saeed berkata, unjuran itu berdasarkan beberapa sebab antaranya harga minyak lebih tinggi akan mengukuhkan ringgit, angka eksport dan perdagangan yang positif, nilai ambang kadar vaksinasi mencapai sasaran 80 peratus pada pertengahan Oktober dan mata wang Amerika Syarikat (AS) yang melemah.

    “Pada pendapat saya, prospek ringgit kekal stabil dan keyakinan terhadap unit tempatan akan kembali pulih.

    “Kami di Juwai IQI mempertahankan pendirian kami terhadap prospek ringgit yang diberikan pada awal tahun ini, ringgit akan berada antara 3.67 hingga 4.10 berbanding dolar AS untuk tahun 2021,” katanya kepada Bernama.

    Shan berkata, empat hari lepas, dolar US telah menyusut sekitar 0.6 peratus berbanding mata wang utama lain disebabkan oleh dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang tidak menentu manakala kadar inflasi akan kekal kukuh di ekonomi AS.

    “Sebaliknya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan struktur ringgit walaupun terdapat kelemahan dalam makroekonomi global, ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti global, pasaran bon di negara maju serta keadaan geopolitik serantau yang tidak menentu.

    “BNM telah mengekalkan pendirian seimbang dalam prospek dasar monetarinya, ia mencerminkan keyakinan bank pusat,” katanya.

    Menurut Shan, bank pusat itu telah meningkatkan rizab pertukaran asing kepada US$111 bilion untuk melindungi daripada turun naik kadar pertukaran ketika Malaysia menghadapi waktu yang sukar.

    “Langkah ini telah mendatangkan hasil pada 17 bulan lepas. BNM memainkan peranan penting dalam pengurusan makroekonomi untuk memanfaatkan sistem monetari,” katanya.

    Shan berkata, BNM menggunakan langkah taktikal dan strategik untuk dalam penggunaan monetari yang berhemat seiring dengan penawaran dan permintaan dalam pasaran untuk membantu pasaran kewangan.

    Beliau berkata, BNM telah terbukti berjaya dalam memastikan kestabilan harga, kestabilan pasaran dan kestabilan pertumbuhan.

    “Dua instrumen dasar utama iaitu pelbagai dasar fiskal dan monetari akan terus memainkan peranan penting mereka dalam kerangka dasar ekonomi.

    “Gabungan tersebut sangat penting dalam waktu mencabar ketika ini dan merupakan faktor penting bagi meningkatkan keyakinan dalam prospek ekonomi,” katanya. – Bernama

  • Kedah yakin Kabinet mampu tangan Covid-19 secara cekap, efisien

    Kedah yakin Kabinet mampu tangan Covid-19 secara cekap, efisien

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta barisan Kabinet diumumkannya hari ini, untuk menangani masalah berkaitan Covid-19 dengan cekap dan efisien.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pelantikan jemaah menteri dan timbalan menteri yang dibuat secara seimbang.

    Selain itu katanya, pelantikan itu juga dilihat menepati kepakaran serta pengalaman kesemua yang terlibat.

    “Kerajaan negeri mengalu-alukan pelantikan jemaah menteri yang baharu diumumkan. Tahniah dan selamat berkhidmat diucapkan kepada semua yang dilantik.

    “Memahami bahawa situasi semasa adalah sukar dan sarat dengan cabaran, kita mengharapkan agar barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ ini dapat bekerja bersungguh-sungguh seterusnya mencapai sasaran seperti ditetapkan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, keutamaan harus diberikan untuk segera membawa negara ini keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu.

    “Dalam masa sama, kita juga mengharapkan agar hubungan erat kerajaan negeri dengan Putrajaya, dapat dimantapkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Saya akan terus jaga kepentingan pengguna-Rosol

    Saya akan terus jaga kepentingan pengguna-Rosol

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berikrar untuk meneruskan usaha bagi menjaga hak dan kepentingan 32 juta pengguna di negara ini.

    Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Saberi Yaakob kerana melantik semula beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosol berjanji peluang tersebut akan dimanfaat sebaik mungkin.

    “Sudah pasti saya akan terus berusaha untuk terus memacu pemulihan dan pertumbuhan sektor perdagangan dalam negeri yang terjejas ekoran kesan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

    “Terima kasih Datuk Sri Ismail Sabri atas kepercayaan dan keyakinan diberikan kepada saya untuk kembali meneruskan khidmat di KPDNHEP.

    “Insya-Allah, sama-sama kita menggembleng usaha dan tenaga supaya semua akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada hari ini.

    Menurut Rosol, kepercayaan yang diberikan itu membolehkan beliau dapat meneruskan pelbagai perancangan yang sudah dirangka sebelum ini untuk dimanfaatkan rakyat.

    Pada masa sama, Rosol turut merakamkan penghargaan buat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai Timbalan Menteri KPDNHEP sebelum ini dan di bawah Perdana Menteri baharu.

    “Jawatan ini bukan kebanggaan tetapi ia merupakan tanggungjawab untuk agama bangsa dan negara,” jelas beliau.

  • Bagai sirih pulang ke gagang, kata Noh Omar

    Bagai sirih pulang ke gagang, kata Noh Omar

    TAN Sri Noh Omar menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai sirih pulang ke gagang.

    Ahli Parlimen Tanjong Karang itu pernah memegang portfolio yang sama semasa era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima.

    Selain itu, antara portfolio yang dipegang beliau dahulu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Timbalan Menteri Pendidikan I dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

    “Alhamdulillah, saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

    “Pelantikan ini ibarat sirih pulang ke gagang kerana saya pernah memegang jawatan yang sama ketika pemerintahan Tun Pak Lah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Beliau turut menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan terutama sekali ketika ramai usahawan terkesan dengan kejatuhan ekonomi akibat wabak Covid-19.

    “Pelantikan ini juga adalah kesinambungan kepada tugas saya selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam membantu usahawan bumiputera.

    “Terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong saya dari dulu. Insya-Allah amanah ini akan saya tunaikan selaras dengan kehendak Perdana Menter supaya memfokuskan kepada agenda membantu rakyat,” jelasnya.

    Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau perlu bekerja lebih keras kerana dua menteri sebelum beliau telah meletakkan penanda aras yang tinggi.

    Ahli Parlimen Arau itu memberitahu, adalah menjadi satu cabaran baginya untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Tan Sri Annuar Musa.

    “Saya melihat kedua-duanya telah melakukan yang terbaik untuk penduduk Wilayah Persekutuan.

    “Memandangkan mereka telah menetapkan standard yang tinggi, saya akan berusaha untuk mencapai sekurang-kurangnya standard yang sama dengan mereka,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

    Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

  • Awang Hashim janji terus perkasa agenda pengurusan sumber manusia

    Awang Hashim janji terus perkasa agenda pengurusan sumber manusia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menzahirkan rasa syukur selain berterima kasih terhadap kepercayaan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kembali melantiknya sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

    Menurut Awang, lantikan di kementerian sama itu memberi lebih ruang dan peluang kepadanya untuk meneruskan agenda memperkasa pengurusan sumber manusia negara terutamanya berkaitan isu kebajikan pekerja dan hak majikan.

    “Kami akan teruskan semua usaha yang sudah dilakukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

    “Saya berjanji akan sentiasa menyokong segala usaha kerajaan dalam memulihkan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di Pendang, Kedah, hari ini.

    Beliau dalam pada itu turut berjanji untuk memberi komitmen penuh dan bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan amanah yang disifatkan sebagai cukup besar.

    “Selari dengan hasrat Perdana Menteri, keluarga Malaysia akan menjadi pendekatan malar segar dalam pentadbiran kerajaan baharu ini melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat lebih efisien.

    “Semoga Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada kita semua untuk berjuang bersama-sama rakyat dalam misi keluar daripada pandemik Covid-19, sekali gus memulihkan ekonomi negara,” katanya.

  • Guru sekolah agama didakwa pukul pelajar OKU

    Guru sekolah agama didakwa pukul pelajar OKU

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh hari ini mendakwa seorang guru agama di sebuah madrasah, di Telok Mas, Melaka atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Haslam dituduh memukul bahagian badan, tangan dan kaki Muhammad Sawfi Razali, 21, menggunakan sebatang penyapu sehingga mendatangkan kecederaan.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Bahagia, Pulau Gadong, Melaka pukul jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.

    Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 326 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari, mencadangkan jaminan RM8,000.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

    Hakim Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Beberapa kepala, anggota manusia dalam peti sejuk bekas pemain bola

    Beberapa kepala, anggota manusia dalam peti sejuk bekas pemain bola

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEBERAPA kepala dan anggota badan manusia ditemukan dalam peti sejuk di rumah bekas pemain bola sepak Ghana, Richard Gyamfi, di kawasan Perbandaran Sunyani, Ahad lalu.

    Susulan itu polis menahan Richard, 28, yang kini bertugas sebagai pengulas bola sepak.

    Penemuan beberapa kepala dan anggota badan siap dipotong termasuk salah satunya milik remaja berusia 13 tahun, menggamparkan negara itu.

    Rahsia itu terbongkar selepas bapa remaja itu, Thomas Agyei datang ke rumah Gyamfi untuk mencari anak lelakinya Louis Agyemang Junior.

    Remaja berkenaan disyaki ke rumah suspek dari taman berhampiran, lapor Kanyi Daily.

    Gyamfi memberitahu Agyei dia tidak pernah melihat Louis dan menafikan ada kaitan dengan kehilangan remaja itu.

    Bagaimanapun, seorang rakan Agyei memberitahu melihat Gyamfi membawa Louis masuk ke dalam rumah.

    Bagi mendapatkan kepastian, Agyei ditemani rakannya masuk ke rumah Gyamfi dan mereka pada mulanya tidak menemui apa-apa yang luar biasa.

    Tidak berpuas hati, Agyei dan rakannya terus menggeledah ruang dalam rumah sebelum menemukan bilik dengan pintu terkunci.

    Agyei mendesak Gyamfi membukanya namun lelaki itu enggan berbuat demikian dengan alasan kunci pintu bilik berkenaan hilang.

    Berang dengan jawapan itu, Agyei dan rakannya menendang pintu berkenaan sebelum menemukan mayat anaknya tanpa kepala di lantai.

    Polis segera dipanggil ke tempat kejadian yang kemudian menemui dua lagi kepala dan beberapa bahagian tubuh manusia dalam peti sejuk.

    Identiti mangsa lain belum didedahkan.

    Pengarah Hal Ehwal Awam Perkhidmatan Polis Ghana, Alexander Kwaku Obeng memberitahu media tempatan bahawa mayat mangsa dibawa ke bilik forensik hospital Perkhidmatan Polis Ghana di Accra untuk dibedah siasat.

    “Sementara menunggu hasil bedah siasat, keluarga mangsa, penduduk setempat dan pegawai polis terbabit dalam kes itu dirujuk ke pakar psikiatri bagi mendapatkan sokongan.

    “Siasatan dijalankan dan suspek ditahan untuk disoal siasat,” katanya.