Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

“SAYA akan berusaha untuk membantu memperkasakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030,” ujar Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim sejurus dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, ia penting bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi melalui pengguna pakaian (adoption) dan penghasilan lebih banyak inovasi teknologi tempatan.

Sehubungan itu beliau berjanji untuk memberikan khidmat terbaik sekali gus menunaikan amanah yang diberikan itu.

Sambil menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan diberikan bagi meneruskan tugas di MOSTI, Ahmad Amzad memberitahu, ada beberapa ‘roadmap’ yang sedang dibangunkan di bawah seliaannya termasuk ‘Roadmap For Advanced Material’ seperti komposit, ‘graphene’ dan teknologi nano yang perlu dijayakan.

“Covid-19 dijangka terus berada dalam kehidupan kita sebagai endemik. Kita kena terus pacu penggunaan ‘lowtouch technology’ yang dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan.


Ini akan terus diberi tumpuan oleh MOSTI,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Ahmad Amzad turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada Menteri MOSTI baharu, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan juga Khairy Jamaluddin yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan bagi menggantikan Dr. Adham.

“Dr.Adham merupakan sahabat saya dan pengalamannya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tentu diperlukan di MOSTI,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here