Category: Semasa

  • Kementerian Pendidikan perlu utamakan 3 perkara penting

    Kementerian Pendidikan perlu utamakan 3 perkara penting

    KEMENTERIAN Pendidikan seharusnya memberi keutamaan terhadap tiga perkara penting dalam masa 100 hari pertama di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

    Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, bagi perkara pertama, data dan sains mestilah menjadi hujah dalam membuat semua keputusan dasar pendidikan dan bukan lagi sekadar hujah politik.

    Menurut beliau, setiap keputusan mestilah disokong dengan data kajian dan pandangan pakar berwibawa.

    “Walaupun keputusan mungkin tidak popular tidak mengapa, asalkan keputusan tersebut dibolehkan diyakini, tepat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas pembentukan Kabinet baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

    Menyentuh tentang perkara kedua, Anuar menambah, Kementerian Pendidikan perlu melibatkan lebih ramai pakar pendidikan dan pakar kesihatan dalam sesi perbincangan dasar kementerian sebelum membuat keputusan.

    Beliau memberitahu, langkah itu bertujuan supaya pertimbangan lebih menyeluruh dan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terkesan dalam sektor pendidikan.

    Perkara ketiga, kata Anuar, Kementerian Pendidikan perlu melibatkan secara aktif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan khususnya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dalam sesi merumuskan keputusan KPM.

    Menurut beliau, dengan cara itu, rakyat dapat melihat usaha kebersamaan yang erat antara Kementerian Pendidikan dengan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.

    Anuar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Kanan Pendidikan.

    “Pelantikan ini adalah diperlukan dalam keadaan semasa bagi memastikan semua perancangan dan keputusan Kementerian Pendidikan yang telah dibuat sebelum ini dapat diteruskan dengan segera khususnya persediaan pembukaan sekolah pada 3 Oktober 2021.

    “Semoga semua perancangan Kementerian Pendidikan yang telah dirancang sebelum ini dapat digerakkan dengan segera demi kebaikan pendidikan anak-anak kita,” jelasnya.

  • Suresh, Wiro perbaharui rekod musim terbaik dalam aksi pertama

    Suresh, Wiro perbaharui rekod musim terbaik dalam aksi pertama

    DUA pemanah negara, S. Suresh dan Wir Julin berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaik musim ini pada aksi pertama mereka dalam pusingan penentuan ranking mereka di Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

    Suresh mengakhiri saingan bagi acara recurve lelaki terbuka di tangga ke-28 daripada 31 pemanah dalam saingan yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park.

    Suresh yang merupakan juara memanah dunia 2019, mencatat 579 mata bagi memadam rekod terdahulu iaitu 557 mata yang dicatatkan pada satu kejohanan di Republik Czech, bulan lalu.

    Sementara itu, Wiro yang beraksi dalam acara compound lelaki terbuka mencatat 673 mata bagi mengatasi rekodnya sebelum ini iaitu 646 mata juga dalam kejohanan sama di Republik Czech.

    Pemanah berusia 26 tahun itu menamatkan cabaran di tangga ke-26 daripada 36 peserta dan akan berentap dengan Bair Shigaev dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia pada pusingan kedua esok.

    Suresh juga dijadual berdepan rakan senegara Bair, iaitu Bato Tsydendorzhiev pada pusingan pertama, 3 September ini.

    Jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya memandangkan ini adalah penampilan pertama mereka di pentas Paralimpik.

    Bagaimanapun, Marzuki berpendapat kedudukan ranking bukanlah jaminan untuk merangkul pingat walaupun dalam masa yang sama mengakui cuaca dan angin kuat sedikit sebanyak menjejaskan prestasi dua pemanah negara itu.

    “Terdapat pemanah di Sukan Olimpik yang tersingkir awal walaupun mereka menampilkan persembahan baik dalam pusingan ini.

    “Saya harap atlet kita dapat menghasilkan panahan yang konsisten pada aksi kalah mati nanti,” katanya kepada Bernama.

  • Pematuhan SOP longgar punca Johor catat rekod tertinggi Covid-19

    Pematuhan SOP longgar punca Johor catat rekod tertinggi Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR mencatatkan 2,785 kes positif Covid-19 semalam iaitu tertinggi di negeri itu setakat ini akibat daripada kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, selain itu bilangan kontak rapat positif yang tinggi dilaporkan semalam iaitu sebanyak 1,228 kes menyumbang kepada pertambahan kes Covid-19.

    Beliau berkata, pertambahan kluster juga merupakan antara penyumbang utama Johor merekodkan bilangan kes tertinggi dengan kebanyakan kes dilaporkan di Johor Bahru iaitu sebanyak 1,288 kes diikuti Kluang (500) dan Kulai (206).

    Katanya, trend peningatan kes berlaku sejak bulan lalu dan dalam tempoh 14 hari yang lalu sahaja sebanyak 22,239 kes dilaporkan iaitu 17 peratus daripada kumulatif kes Covid-19 yang pernah dilaporkan di negeri ini (128,666).

    “Antara faktor penyumbang kenaikan kes ini adalah peningkatan kes di seluruh negara khususnya di negeri yang mempunyai liputan vaksin yang rendah. Penularan di antara negeri berlaku kerana terdapat pergerakan rentas negeri.

    “Peningkatan kluster merupakan penyumbang utama peningkatan kes. Semalam, terdapat 10 kluster baharu yang dilaporkan iaitu lima kluster industri, dua kluster komuniti dan tiga kluster Institusi melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Kluang.

    “Selain itu, kluster industri menyumbang sebanyak 72 peratus daripada kluster yang masih aktif melibatkan 12,201 kes Covid-19 yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Vidyananthan memberitahu, kluster komuniti juga semakin kerap dilaporkan yang menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kluster aktif semasa melibatkan sebanyak 246.

    Katanya, pengesanan kes tertunggak atau kes yang belum dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu menyumbang kepada kenaikan mendadak kes positif Covid-19.

    “Kelewatan berlaku ekoran maklumat yang diberikan tidak tepat dan tidak lengkap dan menyukarkan pencarian kes di dalam suasana kes yang tinggi.

    “Sebanyak 1,613 kes baharu yang dilaporkan adalah kes yang telah melebihi empat hari. Ini disebabkan kesukaran siasatan di lapangan ekoran peningkatan kes. Secara purata, kes Covid-19 harian adalah di antara 1,500 ke 1,700 sehari sejak dua minggu lalu,” ujarnya.

  • Permohonan Najib batal notis bankrap didengar 7 Disember

    Permohonan Najib batal notis bankrap didengar 7 Disember

    Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan notis kebankrapan terhadapnya kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi tahun lepas, akan didengar pada 7 Disember ini.

    Perkara itu dimaklumkan peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib, ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Ida Rahayu Sharif hari ini (Jumaat) yang turut disertai Peguam Hasil Siti Aisyah Yusoff dan Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

    “Tarikh sama ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi penggantungan prosiding kebankrapan sementara menunggu pelupusan kes rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan atau sementara menunggu rayuan penghutang penghakiman (Najib) di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) selesai sepenuhnya,” katanya.

    Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankarapan itu atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lepas adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah selain taktik konspirasi politik bertujuan untuk merosakkan kerjaya politiknya.

    Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lepas terhadap Najib selaku penghutang.

    Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

    Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan. – Bernama

  • MB Johor:Kabinet baharu mampu bantu PM depani cabaran Covid-19

    MB Johor:Kabinet baharu mampu bantu PM depani cabaran Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yakin barisan jemaah menteri yang dilantik hari ini mampu membantu Perdana Menteri membawa Malaysia mendepani pelbagai cabaran besar akibat pandemik Covid-19.

    Beliau yang mengucapkan tahniah dengan pembentukan Kabinet baharu itu berharap, agenda melawan pandemik bukan sahaja dapat diteruskan, malah mampu memberikan idea dan pendekatan baharu bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

    “Ekoran jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat, jemaah menteri tiada masa untuk berlengah dan harus terus menumpukan sepenuh usaha menangani pandemik Covid-19.

    “Rakyat kini tidak mahu mendengar pemimpin beretorik, sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik, pantas dan berkesan.

    Rakyat amat mementingkan hasil dan penilaian dibuat berdasarkan prestasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, menerusi penilaian 100 hari, prestasi dan gerak kerja semua menteri dapat dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

    Ini katanya, supaya usaha memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara mampu dilaksanakan dengan berkesan.

    “Saya yakin rakyat meletakkan harapan yang besar kepada barisan jemaah menteri yang baharu dilantik untuk membawa Malaysia menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.

  • Hadi ucap tahniah kepada lapan  pemimpin Pas

    Hadi ucap tahniah kepada lapan pemimpin Pas

    PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengucapkan tahniah kepada lapan pemimpin parti itu yang dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyampaikan ucapan tersebut melalui Facebook beliau.

    Tiga yang dilantik menteri penuh ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar – jawatan yang sama ketika beliau berkhidmat di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Naib Presiden Pas, Dr. Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

    Idris yang merupakan Ahli Dewan Negara merupakan muka baharu manakala Takiyuddin sebelum ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

    Sementara lima lagi dilantik timbalan menteri iaitu Datuk Ahmad Marzuk  sebagai Timbalan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).

    Dr.Nik Muhammad Zawawi Salleh (Timbalan Menteri 2 Pertanian dan Industri Makanan), Datuk Amzad Mohamed (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita,Keluarga dan Masyarakat).

    Sementara rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan berasa gembira dengan pelantikan pemimpin-pemimpin Pas itu dengan harapan mereka akan menjalankan tugas dengan cemerlang.

  • Terima kasih, jasa dan sumbangan mereka tetap dikenang

    Terima kasih, jasa dan sumbangan mereka tetap dikenang

    TIGA bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri di bawah pentadbiran terdahulu tidak dinamakan semula dalam barisan Kabinet yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Mereka ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Md Redzuan Md Yusof dan bekas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Tiga bekas timbalan menteri terbabit ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

    Dalam hantaran Facebook hari ini, Zulkifli memohon maaf kepada semua barisan agensi-agensi agama peringkat Persekutuan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekiranya beliau terkasar bahasa dahulu.

    “Doa saya moga negara yang kita cintai ini terus makmur, maju dan bangkit kembali pada era endemik COVID-19,” katanya.

    Sementara itu, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengucapkan tahniah kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

    “Tahniah juga kepada Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengambil alih tugasan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

    “Moga negara lebih maju dan jaya di bawah barisan Kabinet baharu diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub,” katanya dalam hantaran Facebook.

  • Kes baharu COVID-19 negara turun kepada 22,070 kes hari ini

    Kes baharu COVID-19 negara turun kepada 22,070 kes hari ini

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    Kes harian Covid-19 pada hari ini dilaporkan menurun kepada angka 22,070 kes berbanding 24,599 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes postitif kini sebanyak 1,662,913.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui pautan terbaharu di Twitternya memaklumkan, Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes harian baharu dengan 5,920 jangkitan biarpun menunjukkan penurunan berbanding 6,936 kes positif semalam

    Sabah dan Sarawak kekal melaporkan angka kes positif yang tinggi dengan masing-masing mencatatkan 3,010 kes dan 2,224 kes.

    Kuala Lumpur merekodkan 1,068 kes manakala Johor (1,089), Negeri Sembilan (338), Kedah (2,072), Perak (939), dan Pahang (610).

    Pulau Pinang pula merekodkan 1,829 kes, Melaka 589, Kelantan (1,051), Terengganu (488), Labuan (8), Putrajaya (39) dan Perlis (76).

  • Bunuh OKU:Anggota PGA, tukang kasut direman

    Bunuh OKU:Anggota PGA, tukang kasut direman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang tukang kasut direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki kurang upaya (OKU) di Kampung Jawa Semenggok, Batu 12, Kuching, semalam.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintandan Aidil Bolhassan berkata, Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Padawan menahan dua suspek tersebut yang datang menyerah diri di Balai Polis Batu 10 pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

    “Ini susulan laporan dibuat adik perempuan mangsa yang menyatakan abangnya meninggal dunia disyaki dipukul oleh individu tidak dikenali.

    “Tangkapan pertama merupakan seorang lelaki berumur awal 50-an bekerja sebagai tukang kasut, manakala tangkapan kedua membabitkan seorang anggota polis berpangkat koperal bertugas di PGA Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa yang menghidap penyakit bipolar bertindak agresif di tempat kejadian iaitu di kawasan belakang rumah jirannya di kampung berkenaan dan didatangi dua suspek tersebut yang cuba menenangkannya pada jam 4.30 petang.

    “Kedua-dua suspek kemudian membawa mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri balik ke rumah keluarga mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 6.35 petang di hospital.

    “Bedah siasat kan dilakukan oleh pihak hospital sebaik sahaja keputusan saringan Covid-19 diperoleh bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kesalahan Membunuh),” katanya.

  • Hishammuddin kembali jadi Menteri Pertahanan dalam kerajaan berbeza

    Hishammuddin kembali jadi Menteri Pertahanan dalam kerajaan berbeza

    DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini kembali semula menganggotai barisan Kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam kerajaan, kembali ke jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan – jawatan yang dipegangnya semasa era pentabiran Barisan Nasional (BN) pada 2013, di bawah pentadbiran perdana menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Hishammuddin, 60, sebelum ini memegang jawatan Menteri Kanan Luar (Kluster Keselamatan) semasa era pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas.

    Bendahari Agung BN itu yang pernah mempunyai firma guaman sendiri antara tahun 1989 hingga 1993, juga dikenali sebagai seorang pemimpin berperwatakan tenang ketika berhadapan krisis dan dalam mengatur hubungan diplomasi dengan pelbagai negara. 

    Hishammuddin, yang mengekalkan kerusi Parlimen Sembrong untuk empat penggal berturut-turut itu, menceburi bidang politik pada usia 28 tahun sebaik tamat pengajian dengan menyertai UMNO cawangan Sungai Mati, Johor pada tahun 1989.

    Beliau pernah menjadi Naib Presiden UMNO itu memulakan karier dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sejak 1995 apabila dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu kemudian dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1997, Menteri Belia dan Sukan (1999), Menteri Pelajaran (2004-2009) dan seterusnya Menteri Dalam Negeri pada 2009.

    Pada 2013,  beliau yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan turut memangku jawatan Menteri Pengangkutan, sebelum dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas yang bertanggungjawab memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada tahun 2014 berikutan pencerobohan di timur Sabah.

    Hishammuddin yang lahir pada 5 Ogos 1961 di Kuala Lumpur, mendirikan rumah tangga dengan Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah pada 1986 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nasha Alyssa, Farris Hussein, Kyra Arianna dan Fahd Hussein.

    Anak kepada Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn dan cucu kepada Pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar itu mendapat pendidikan awal di Sekolah St John’s Kuala Lumpur, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Cheltenham Boys College di United Kingdom. 

    Selepas tamat pengajian graduan Undang-undang dari University of Wales, United Kingdom dan London School of Economics, United Kingdom, beliau memulakan karier pertamanya sebagai peguam.