Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yakin barisan jemaah menteri yang dilantik hari ini mampu membantu Perdana Menteri membawa Malaysia mendepani pelbagai cabaran besar akibat pandemik Covid-19.

Beliau yang mengucapkan tahniah dengan pembentukan Kabinet baharu itu berharap, agenda melawan pandemik bukan sahaja dapat diteruskan, malah mampu memberikan idea dan pendekatan baharu bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Ekoran jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat, jemaah menteri tiada masa untuk berlengah dan harus terus menumpukan sepenuh usaha menangani pandemik Covid-19.

“Rakyat kini tidak mahu mendengar pemimpin beretorik, sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik, pantas dan berkesan.

Rakyat amat mementingkan hasil dan penilaian dibuat berdasarkan prestasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, menerusi penilaian 100 hari, prestasi dan gerak kerja semua menteri dapat dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ini katanya, supaya usaha memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara mampu dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya yakin rakyat meletakkan harapan yang besar kepada barisan jemaah menteri yang baharu dilantik untuk membawa Malaysia menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here