Category: Semasa

  • Ketika UMNO beri tekanan, Pas beri kepercayaan penuh kepada Ismail Sabri

    Ketika UMNO beri tekanan, Pas beri kepercayaan penuh kepada Ismail Sabri

    KETIKA UMNO membuat pelbagai tuntutan dan desakan kepada kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pas hari ini memilih nada yang lebih lunak apabila menegaskan memberikan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri jemaah menteri untuk menjalankan tugas masing-masing.

    Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekarang adalah masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik, bukan masa untuk politiking yang tidak berkesudahan sehingga merencatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara  secara menyeluruh.

    Beliau berkata, Pas menyambut baik dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri dan pembentukan Jemaah Menteri yang baharu diumumkan, bagi meneruskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

    ‘’Pas  memberikan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dan menjalankan tugas masing-masing, dengan budaya kerja berprestasi tinggi berorientasikan keberhasilan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Pas mengajak semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah negara secara bersama.

    Kenyataan Abdul Hadi dilihat jauh lebih lembut berbanding kenyataan Presiden Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi.

    Ahmad Zahid dalam kenyataan memaklumkan beberapa ketetapan yang dibuat pada mesyuarat itu yang dilihat ada antaranya  seolah-olah memberi tekanan kepada Ismail Sabri.

    Antaranya, menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi peguam negara, kehakiman dan keselamatan.

  • Lembah Klang, Labuan, Sarawak capai imuniti kelompok

    Lembah Klang, Labuan, Sarawak capai imuniti kelompok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEMBAH Klang, Labuan dan Sarawak masing-masing merekodkan lebih 80 peratus populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter, memaklumkan Labuan mencatatkan 63,750 orang atau 93.1 peratus daripada populasi dewasa lengkap dua dos vaksin.

    Sementara itu seramai 69,613 penduduk dewasa Labuan termasuk penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Lembah Klang pula merekodkan 5,468,893 orang atau 88.7 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin, manakala seramai 6,808,020 lagi termasuk bukan warganegara serta pemastautin sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Kadar vaksinasi Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

    Sarawak pula mencatatkan 1,765,851 orang atau 86.4 peratus daripada populasi dewasa negeri itu lengkap dua dos vaksin, manakala seramai 1,844,333 atau 90.3 peratus menerima dos pertama.

    Ketika ini, Negeri Sembilan merekodkan 76.4 peratus atau seramai 622,081 orang menerima dua dos, sementara penerima dos pertamanya seramai 762,161 orang atau 93.4 peratus.

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok COVID-19.

  • Ahmad Sarji meninggal dunia, KSN ucap takziah

    Ahmad Sarji meninggal dunia, KSN ucap takziah

    BEKAS Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi.

    Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga Ahmad Sarji dalam satu kenyataan hari ini.

    “Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

    Allahyarham merupakan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan bekas Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996.

    Sementara itu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Sarji yang meninggal dunia di sebuah hospital awal pagi ini.

    “Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” kata Mohd Zuki melalui satu hantaran di laman rasmi Facebooknya.

  • JDT juara Liga Super bagi kali kelapan

    JDT juara Liga Super bagi kali kelapan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini menjadi milik mereka selepas menjinakkan skuad Tok Gajah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

    Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat lapan musim berturut-turut sejak memenanginya pada 2014.

    Jaringan hatrik Bergson Da Silva pada babak pertama itu melengkapkan malam gemilang buat skuad kendalian Benjamin Mora itu.

    Bergson membuka jaringan pada minit kelapan apabila menghukum kesilapan pemain lawan dengan merampas hantaran ke belakang Zazrir Naim dan memperdaya tiga pertahanan sebelum meledak rembatan deras menewaskan penjaga gol, Daniel Wafiuddin Sa’dun.

    Pada minit ke-41, Safiq Rahim bijak mengumpan bola kepada Bergson yang bersahaja membuat sepakan lambung menewaskan penjaga gol.

    Tiga minit berselang, Bergson sekali lagi menjadi igauan ngeri buat Daniel Wafiuddin yang melengkapkan hatrik setelah bijak bermain satu dua dengan Gonzalo Cabrera sebelum melepaskan rembatan rendah pada minit ke-44.

    Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Dollah Salleh cuba bangkit pada perlawanan itu untuk sekurang-kurangnya memecahkan kebuntuan jaringan.

    Namun begitu, percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh Kenny Athiu dan Manuel Hidalgo gagal menewaskan penjaga gawang Farizal Marlias.

    Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke arah kubu lawan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

    Juara baharu Liga Super itu perlu mengharungi lagi perlawanan menentang Terengganu FC dan Kuala Lumpur FC pada 4 dan 12 September ini.

  • Pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi tingkatkan prestasi perdagangan Malaysia

    Pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi tingkatkan prestasi perdagangan Malaysia

    PEMBUKAAN semula lebih banyak sektor ekonomi dalam beberapa bulan akan datang dijangka akan menghasilkan prestasi yang lebih baik untuk perdagangan luar Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.

    Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penemuan kajian mengenai eksport terbaharu menunjukkan bahawa pemulihan permintaan luaran itu adalah tidak menentu.

    Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum pertumbuhannya pada bulan Julai 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 13 peratus tahun ke tahun kepada RM180.96 bilion.

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport meningkat lima peratus kepada RM97.32 bilion manakala import meningkat 24 peratus tahun ke tahun kepada RM83.64 bilion.

    Bagi bulan ke bulan, ia berkata import meningkat 0.5 peratus sementara perdagangan, eksport dan lebihan perdagangan masing-masing merosot 4.1 peratus, 7.7 peratus dan 38.5 peratus.

    “Kami dapat melihat bahawa pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan kepada industri berasaskan eksport susulan operasi yang terhad dibenarkan dalam tempoh ini.

    “Kadar vaksinasi sedang berjalan dengan baik dan lebih banyak sektor ekonomi telah dibuka semula, perdagangan luar dapat mampu mencatatkan prestasi lebih baik pada bulan-bulan mendatang,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Prof Emeritus Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berpendapat import telah meningkat apabila permintaan pengguna bertambah dan ada mungkin berlaku aktiviti simpanan stok oleh peniaga tempatan.

    Beliau berkata, kadar pertumbuhan perdagangan luar Malaysia untuk tempoh suku dan separuh pertama telah meningkat tetapi prestasi perdagangan berdasarkan tahap bulan ke bulan sangat membimbangkan.

    “Kita dapat melihat bahawa prestasi eksport Malaysia telah melonjak sehingga bulan April, seterusnya turun pada bulan Mei sebelum naik semula pada Jun namun merosot semula pada Julai.

    “Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi akan menentukan nilai perdagangan luar Malaysia pada masa depan,” katanya.– BERNAMA

  • 4.48 juta korban, 215 juta kes Covid-19 seluruh dunia

    4.48 juta korban, 215 juta kes Covid-19 seluruh dunia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KUMULATIF kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini berjumlah 215 juta dan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling terjejas.

    Menerusi data terbaharu Johns Hopkins University, AS mencatatkan 38.5 juta kes diikuti India (32.6 juta kes) dan Brazil (20.6 juta kes) manakala negara yang melebihi angka enam juta kes adalah Perancis, Rusia, United Kingdom dan Turki.

    Selain itu Argentina (lima juta kes) manakala Colombia dan Sepanyol masing-masing mencatatkan kes melebihi empat juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan lebih 4 juta kes.

    Ini diikuti dengan Filipina (1.9 juta) sementara Malaysia (1.66 juta kes) dan Thailand (1.1 juta kes) manakala Singapura (66,000 kes).

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.48 juta dengan AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 634,000 kes.

    Ini diikuti Brazil (577,000 kes), India (436,000 kes) dan Mexico (256,000 kes) sementara United Kingdom (132,000 kes) manakala Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 92,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol (83,000 kes), bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 130,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 32,000 diikuti Malaysia (15,000 kes) manakala Thailand (10,000 kes).

  • Bidang kuasa JHEAT beri pentauliahan mengajar agama Islam – MB

    Bidang kuasa JHEAT beri pentauliahan mengajar agama Islam – MB

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SETIAP keputusan mengenai pentauliahan mengajar berkaitan agama Islam kepada individu berstatus ahli politik di Terengganu diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

    Ini kerana, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad, pengurusan dan pentauliahan itu terletak di bawah bidang kuasa JHEAT di mana setiap permohonan dibuat mestilah melalui pelbagai ujian ditetapkan.

    Menurut beliau, setiap permohonan akan dinilai JHEAT dan saya percaya ia ada justifikasi-justifikasi tersendiri sama ada menentukan boleh atau tidak atau ada syarat-syarat lain.

    “Justeru, langkah terbaik ialah menyerahkan perkara itu kepada pejabat JHEAT untuk buat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Tok Dir, Kuala Terengganu, semalam.

    Dr. Ahmad Samsuri memberitahu demikian bagi mengulas mengenai keputusan Selangor yang mengambil tindakan tidak memberi tauliah mengajar agama Islam kepada individu berstatus ahli politik di negeri tersebut.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang lalu, selepas mendapat perkenan Ahli Dewan Diraja Selangor dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor (Mesyuarat Diraja Selangor Bilangan 15) yang bersidang 4 Mac 2019. – SB

  • Lapan bengkel musnah, 10 kenderaan hangus

    Lapan bengkel musnah, 10 kenderaan hangus

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEPULUH kenderaan hangus dalam kejadian kebakaran membabitkan lapan bengkel di Jalan Tanjung Api-Padang Lalang, Kuantan, awal pagi tadi.

    Turut terbakar dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, ialah sebuah kenderaan mewah dan jentolak.

    Pemilik bengkel kenderaan berat, Sarjit Singh, 74, memberitahu, dia terus bergegas ke bengkelnya sebaik sahaja dihubungi rakannya pada pukul 6 pagi mengenai kejadian tersebut.

    Katanya, setiba di lokasi, dia melihat anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran membabitkan  lapan deretan bengkel di situ.

    “Ketika itu api kelihatan sudah marak dan saya tidak dibenarkan mendekatinya kerana bomba sedang bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja memadam api.

    “Saya difahamkan, api dilihat bermula dari sebuah jentolak yang rosak terletak di hadapan bengkel, namun saya sedikit hairan kerana jentera itu tiada bateri atau sistem elektrik yang boleh menjadi punca kebakaran,” katanya di lokasi kejadian.

    Seorang pekerja bengkel kereta, Osman Mohd. Yatim, 45, memberitahu, sebanyak 10 buah kenderaan milik pelanggan di bengkel tempatnya bekerja musnah dalam kejadian itu.

    Menurutnya, semua kenderaan di dalam dua premis disewa majikannya itu hangus terbakar termasuk sebuah kereta mewah yang berada di dalamnya.

    Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi panggilan 999 pada pukul 5.06 pagi.

    Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, tiga jentera bersama 28 anggota termasuk pegawai dari Balai JBPM Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng terus bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

    “Ketika kejadian, terdapat enam pekerja warga asing yang tinggal di bangunan tersebut, namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

    “Kebakaran ini telah memusnahkan 85 peratus bangunan berkenaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Dua lokaliti di Sabah, tiga di Kelantan dikenakan PKPD

    Dua lokaliti di Sabah, tiga di Kelantan dikenakan PKPD

    DUA lokaliti di Sabah dan tiga lokaliti di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 11 September depan, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad.

    Beliau berkata, PKPD di Sabah melibatkan Kampung Debut di Ranau dan Kampung Tindai Kolopis di Penampang.

    “Tiga lokaliti di Kelantan pula ialah dua di Mukim Pasir Mas iaitu Kampung Bayu Lalang dan Kampung Banggol Kemian (sebahagian kampung sahaja) dan satu lokaliti di Mukim Gual Periok iaitu Kampung Repek (sebahagian kampung sahaja),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, PKPD di dua lokaliti di Sabah iaitu Kampung Brunei, Membakut di Beufort dan Kampung Manggaris 2 di Kota Marudu yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 11 September ini, namun PKPD di 11 lokaliti lagi di negeri itu ditamatkan esok seperti dijadualkan.

    Lokaliti itu adalah Kampung Siasai Dundau di Kota Belud; Rumah Kongsi Tapak Bina Prima, Lumat di Beaufort; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak di Tawau; Kampung Sembulan Tengah & Lama di Kota Kinabalu; Kampung Rancangan Kalabakan di Kalabakan; Lorong Mat Salleh Batu 2, Jalan Apas di Tawau; Kampung Contoh di Putatan; Kampung Darau, Menggatal di Kota Kinabalu; Kampung Pulutan dan Kampung Mansiang di Menggatal, serta tapak bina Hyatt Centric.

    Rodzi berkata, PKPD di Jalan Blue Valley-Lojing, Cameron Highlands di Pahang turut ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

    “PKPD di Kampung Lela Jasa, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai di Kelantan dan Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu di Sabah juga ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadual,” katanya. – Bernama

  • Pengguna media sosial kecam pelantikan Noraini

    Pengguna media sosial kecam pelantikan Noraini

    MAJORITI pengguna media sosial hari ini mengecam pelantikan semula Noraini Ahmad  sebagai menteri pengajian tinggi walaupun meletakkan jawatan pada awal Ogos sebagai usaha untuk memaksa bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, ia susulan ciapan Ahli Parlimen Parit Sulong itu di Twitter yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sekali lagi ke jawatan tersebut.

    “Haish, portfolio lama yang sama, hasilnya nanti tentu sama,” tulis Bryan Foo di Twitter.

    Sebaik sahaja Ismail mengumumkan barisan Kabinetnya, Noraini tadi memuat naik status berterima kasih kepada perdana menteri.

    Beliau turut berikrar akan menjalankan tugas sebaiknya berpandukan pendekatan keluarga Malaysia.

    Malahan terdapat pengguna media sosial yang menggesa ketua Wanita UMNO itu meletakkan jawatan.

    “Amanah dulu awak rasa dah pikul sehabis baik?” ciap pemilik akaun Twitter Kakak Mongka.

    “Letak jawatan saja YB,” kata pengguna media Twitter Lennon.

    Termasuk ada beberapa warga maya mendesak beliau segera mengurangkan kos yuran pengajian serta mempercepat pemberian vaksin kepada pelajar dan petugas institut pengajian tinggi (IPT).

    “Tolonglah usahakan yuran kami untuk dikurangkan, kakitangan IPT, siswa dan siswi divaksin sebelum membenarkan pembelajaran bersemuka dibuat untuk semester depan.

    “Saya risau dengan tahap kesihatan mental para pelajar dan pensyarah,” kata pengguna media sosial Shfarin.

    Pada 6 Ogos, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

    Noraini sebelum ini pernah dikritik hebat kerana menganjurkan pertandingan TikTok.

    Ini termasuk memuat naik video TikTok selama 45 saat  yang menampilkan dirinya tahun lalu.