Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SEPULUH kenderaan hangus dalam kejadian kebakaran membabitkan lapan bengkel di Jalan Tanjung Api-Padang Lalang, Kuantan, awal pagi tadi.

Turut terbakar dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, ialah sebuah kenderaan mewah dan jentolak.

Pemilik bengkel kenderaan berat, Sarjit Singh, 74, memberitahu, dia terus bergegas ke bengkelnya sebaik sahaja dihubungi rakannya pada pukul 6 pagi mengenai kejadian tersebut.

Katanya, setiba di lokasi, dia melihat anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran membabitkan  lapan deretan bengkel di situ.

“Ketika itu api kelihatan sudah marak dan saya tidak dibenarkan mendekatinya kerana bomba sedang bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja memadam api.

“Saya difahamkan, api dilihat bermula dari sebuah jentolak yang rosak terletak di hadapan bengkel, namun saya sedikit hairan kerana jentera itu tiada bateri atau sistem elektrik yang boleh menjadi punca kebakaran,” katanya di lokasi kejadian.

Seorang pekerja bengkel kereta, Osman Mohd. Yatim, 45, memberitahu, sebanyak 10 buah kenderaan milik pelanggan di bengkel tempatnya bekerja musnah dalam kejadian itu.

Menurutnya, semua kenderaan di dalam dua premis disewa majikannya itu hangus terbakar termasuk sebuah kereta mewah yang berada di dalamnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi panggilan 999 pada pukul 5.06 pagi.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, tiga jentera bersama 28 anggota termasuk pegawai dari Balai JBPM Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng terus bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Ketika kejadian, terdapat enam pekerja warga asing yang tinggal di bangunan tersebut, namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

“Kebakaran ini telah memusnahkan 85 peratus bangunan berkenaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here