Category: Semasa

  • Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

    Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    FENOMENA kepala air sekali lagi dilaporkan berlaku di Gunung Jerai pagi ini berikutan hujan lebat, bagaimanapun dilaporkan tidak membawa kesan buruk seperti 18 Ogos lalu.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

    “Keadaan setakat ini terkawal dengan saya sudah mengarahkan supaya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani melakukan pemantauan di lokasi berisiko setiap empat jam,” katanya.

    Sejak pagi tadi tular klip video memaparkan aliran deras yang berlaku di beberapa kawasan termasuk Titi Hayun hingga menyebabkan air sungai melimpah ke jalan raya.

    Sementara itu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditemui pemberita memaklumkan, aliran sungai yang semakin cetek berikutan tragedi pada 18 Ogos lalu dipercayai menjadi antara punca mengapa aliran sungai tersebut melimpah.

    “Laporan kaji cuaca memang meramalkan hujan lebat akan berlaku sebelum ini dan apabila ia terjadi, keadaan itu menyebabkan air terkumpul di atas Gunung Jerai. Apabila air itu turun dan menyebabkan arus deras, ia melimpah ke darat disebabkan sungai sudah menjadi cetek.

    ”Oleh itu saya mengharapkan penduduk di situ sentiasa berjaga-jaga serta mengikuti setiap arahan diberikan pihak berkuasa,” kata beliau dalam sidang akhbar di Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-Buahan Tempatan Bermusim di Padang Pulut, Sik hari ini.

    Tambahnya, anggota pasukan keselamatan juga sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.

  • Seks tak dapat, lelaki rugi pula RM13,300 ditipu sindiket ‘online’

    Seks tak dapat, lelaki rugi pula RM13,300 ditipu sindiket ‘online’

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan perkhidmatan seks, malah hilang RM13,300 ditipu sindiket yang menawarkan perkhidmatan itu menerusi ‘online’ semalam.

    Pekerja swasta berumur 30-an itu menjadi mangsa selepas selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial, Line.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan wanita itu kemudiannya telah dihubungi oleh individu lain yang mengaku sebagai ejen menerusi aplikasi WeChat.

    “Mangsa telah diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit virtual, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan untuk mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda, Butterworth.

    “Mangsa turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun menurut Noorzainy, mangsa menyedari dia ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas dia membuat pembayaran tersebut.

    Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Guru KAFA, pegawai masjid, jurunikah enggan ambil vaksin mungkin tak dibenar bertugas

    Guru KAFA, pegawai masjid, jurunikah enggan ambil vaksin mungkin tak dibenar bertugas

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah amat dukacita dengan tindakan dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang enggan mengambil suntikan vaksin.

    Dalam kenyataan hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah melalui laporan terperinci daripada Pengarah jabatan itu difahamkan seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

    ‘’Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian manakala sembilan  jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.

    ‘’ Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di Selangor,’’ titah baginda.

    Sultan Selangor bertitah, bagi golongan  yang memilih untuk tidak mahu divaksin, baginda amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

    ‘’Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian,’’ titah baginda.

    Sultan Selangor seterusnya bertitah, difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di negeri itu adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin.

    ‘’Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas, begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama,’’ titah baginda.

    Baginda  juga difahamkan bahawa terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan enggan divaksin.

    ‘’Ini juga boleh membahayakan para pelajar sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan di i Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib,’’ titah baginda.

    Sehubungan itu Sultan Selangor mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan vaksin adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini. 

    Titah baginda, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan. 

    ‘’Beta juga suka mengingatkan bahawa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan. Justeru, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

    ‘’ Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan akhbar yang Beta keluarkan,’’ titah baginda.

    Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan diri dan masyarakat. 

  • Kerajaan sediakan kediaman untuk golongan terkesan pandemik

    Kerajaan sediakan kediaman untuk golongan terkesan pandemik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN akan menyediakan kediaman bagi golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 pada kadar sewa paling minimum untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Menurut beliau, maklumat lanjut berhubung inisiatif bantuan kediaman untuk penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 itu akan diumumkan pada Isnin ini, yang merupakan antara fokus utama beliau apabila menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

    Tambah beliau, pandemik Covid-19 memberi impak besar pada sudut ekonomi rakyat hingga ada yang hilang pekerjaan, tidak mampu menampung perbelanjaan harian serta membayar sewa kediaman dan antara mereka ialah golongan penjaja, peniaga kecil dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

    Reezal Merican juga berkata, bukan sahaja kehilangan kerja malah hilang kediaman apabila tidak mampu bayar sewa.

  • Negeri Sembilan, Melaka beralih Fasa PPN Sabtu ini – PM

    Negeri Sembilan, Melaka beralih Fasa PPN Sabtu ini – PM

    NEGERI Sembilan dan Melaka masing-masing beralih kepada Fasa 3 dan Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Sabtu ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan oleh Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

    “Saya ingin memaklumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri berikut iaitu Melaka beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3.

    “Peralihan fasa bagi negeri-negeri di atas akan bermula pada 4 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau yakin Malaysia berada di landasan tepat ke arah pemulihan negara.

    Menurutnya, ini kerana, buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, hari ini kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0.

    “Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” katanya.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

    “Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” tambahnya.

  • Penggunaan katil ICU di tiga negeri melebihi 100 peratus

    ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SABAH, Kedah dan Perak merekodkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) melebihi 100 peratus.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mempunyai kapasiti 145 katil ICU dengan penggunaannya 126 peratus.

    “Jumlah katil bukan ICU di Sabah pula adalah 1,884 dengan penggunaannya 92 peratus manakala penggunaan katil di Kedah pula berada pada kadar 121 peratus berbanding kapasitinya, 104 katil ICU.

    “Kapasiti katil bukan ICU di Kedah adalah 1,165 dan penggunaannya menghampiri paras maksimum iaitu 94 peratus,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

    Bagi Kedah pula katanya, sebanyak 107 peratus penggunaan katil ICU direkodkan melebihi kapasiti 90 katil.

    Sementara itu beliau berkata, terdapat 1,054 katil bukan ICU di negeri itu dan penggunaan 94 peratus.

    Katanya, Selangor dan Kelantan turut melaporkan menggunakan katil ICU sebanyak 99 peratus dengan masing-masing kapasiti 350 dan 77 katil.

    “Tiada sebarang kes dilaporkan di ICU Perlis dengan kapasiti katilnya kekal 18 buah. Selain itu, Negeri Sembilan turut merekodkan penggunaan katil ICU yang rendah iaitu 43 peratus berbanding kapasitinya, 88 katil.

    “Penggunaan katil bukan ICU di negeri itu juga rendah iaitu 29 peratus dengan kapasiti 1,084 katil,” ujarnya.

  • Hishammuddin kembali ketuai usaha pengurusan pandemik di bawah MKN

    Hishammuddin kembali ketuai usaha pengurusan pandemik di bawah MKN

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husssein kembali mengetuai usaha berkaitan pengurusan pandemik termasuk Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Hishammuddin dalam satu kenyataan berkata, sidang khas MKN sebentar tadi mengesahkan beliau akan kembali mengetuai usaha itu yang pernah digalasnya beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, sebelum ini.

    “Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kepada saya adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa.

    “Saya percaya, ini merupakan kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif. Saya sentiasa berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan serta rakyat harus bersama-sama bersiap sedia bagi menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu dan hidup bersama Covid-19 sebagaimana dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam.

    Ujarnya, untuk menuju ke fasa endemik, adalah amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

    “Ini kerana situasi sekarang sudah berbeza dengan tahun lepas. Tahun ini kita sudah melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat yang mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga
    menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

    “Harapan saya, perancangan kita selepas ini akan boleh terus ditambahbaik. Saya juga berharap SOP seterusnya yang bakal diumumkan oleh Kerajaan kelak lebih bersifat menyeluruh, jangka masa panjang, mudah difahami serta paling penting dapat menjamin tiga tonggak utama iaitu, kesihatan, ekonomi
    dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

  • KPKT cadang mohon tambah pemperolehan vaksin

    KPKT cadang mohon tambah pemperolehan vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk menambah pemperolehan vaksin bagi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0)

    Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pertambahan itu bagi memenuhi keperluan di bawah kementeriannya.

    “Saya telah meminta pengurusan kanan kementerian untuk mengemukakan data lengkap agar boleh ‘match’ dengan peruntukan yang bakal dimohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, MOVAK 2.0 akan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah iaitu Johor, Sabah, Kelantan, Kedah dan Pahang serta Pulau Pinang.

    MOVAK 2.0 katanya, akan memastikan penjaja-penjaja divaksinkan kerana mereka adalah barisan hadapan ekonomi dan perlu memastikan keadaan selamat kepada pelanggan.

    Selain penjaja katanya, KPKT turut melihat keperluan vaksinasi terhadap pelanggannya yang lain iaitu penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

    “Saya kira kita boleh bawa dan gunakan model yang sama seperti digerakkan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk MOVAK 2.0 KPKT,” katanya.

    Reezal berkata, sebanyak 66,000 dos sudah diberikan kepada komuniti PPR di seluruh negara membabitkan 33,000 individu setakat semalam.

    Menurutnya, MOVAK 2.0 merupakan kesinambungan daripada program MOVAK yang dimulakan menteri sebelum ini, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    “Movac adalah satu inisiatif saya fikir amat baik dan perlu diteruskan. Saya akan berhubung dan mengemukakan permohonan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat untuk dapatkan peruntukan vaksin bagi tujuan tersebut,” ujarnya.

  • ATM dirikan hospital medan di lima negeri terjejas Covid-19

    ATM dirikan hospital medan di lima negeri terjejas Covid-19

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan mendirikan Hospital Medan di lima negeri yang dikenal pasti berdepan penularan jangkitan harian Covid-19 yang tinggi ketika ini.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima negeri berkenaan ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

    Menurutnya, usaha bagi mengurus dan meredakan situasi di kesemua negeri berkenaan sudah tentunya akan menjadi keutamaan ATM.

    “Saya telah menjelaskan semalam, antara perkara paling penting bagi ATM ketika ini ialah memenuhi agenda nasional terutama memerangi Covid-19.

    “ATM sememangnya mempunyai infrastruktur, aset serta kepakaran yang mencukupi dan sedia diatur gerak pada bila-bila masa.

    “Sehubungan dengan itu, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia untuk membantu pihak Kerajaan dengan mendirikan Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang akan dikenalpasti oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, pembinaan Hospital Medan itu bagi membantu memberikan rawatan ke atas pesakit-pesakit Covid-19 khususnya yang berada dalam keadaan tahap 3 ke atas.

    Ujarnya, beliau percaya, bantuan ATM itu akan dapat membantu berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri-negeri berkenaan.

    Selain itu katanya, ATM juga bersedia untuk membantu menyediakan tim vaksinasi ATM di negeri-negeri yang memerlukan khasnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai oleh pihak KKM,” katanya.

    “Ini selepas mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan semalam bahawa antara keutamaan sekarang ialah untuk meningkatkan bekalan dan mempercepatkan pemberian vaksin di lima negeri berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya bagi menjayakan usaha memerangi Covid-19 di negeri-negeri lain tidak terhad kepada lima negeri terbabit sahaja.

    “Ini termasuklah meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam seperti yang ditetapkan oleh Sidang Khas MKN hari ini.

    “ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” tambahnya.

  • Emas Muhammad Ziyad: Peraturan untuk dipatuhi, bukan dilanggar

    Emas Muhammad Ziyad: Peraturan untuk dipatuhi, bukan dilanggar

    HAMPIR mustahil untuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengubah keputusan acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan kejayaan gemilang jaguh kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli ‘dirompak’.

    Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berpendapat sukar bagi IPC untuk merombak keputusan tersebut, selain jawatankuasa itu perlu menghormati peraturan Olahraga Para Dunia (WPA).

    “Peraturan adalah peraturan. Peraturan dan undang-undang dibuat untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar,” katanya kepada Bernama.

    “Takkan mereka (IPC dan WPA) nak longgarkan peraturan hanya untuk menyelesaikan kes Malaysia, pada awalnya kenapa kita tidak mengikut peraturan ditetapkan,” tambah Zolkples yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.

    Beliau berkata berhubung pembatalan pingat emas dimenangi Muhammad Ziyad pada temasya berprestij itu, kontinjen negara dan juga rakyat Malaysia tidak seharusnya menyalahkan pasukan Ukraine, sedangkan mereka mempunyai hak untuk melakukan bantahan.

    “Keseluruhan kontinjen, daripada CDM (chef-de-mission) ke urus setia, pengurus pasukan dan jurulatih, mereka semua kena bertanggungjawab. Ini satu kecuaian bagi saya dan kecuaian yang tidak boleh diterima. Sepatutnya mereka menjaga atlet, Muhammad Ziyad tidak sepatutnya dipersalahkan,” katanya.

    Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

    Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

    Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

    Semalam, WPA menolak rayuan dikemukakan Malaysia berhubung keputusan itu, namun pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan susulan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA sejurus temasya berakhir.

    Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

    Difahamkan, ketika kejadian di Stadium Olimpik Tokyo, hujan turun selain keadaan kawasan sesak dengan atlet yang bertanding dalam acara lain menyaksikan Muhammad Ziyad bersama atlet dari Ecuador dan Australia terhalang untuk memasuki bilik menunggu dan didakwa lewat beberapa minit melaporkan diri.

    Sementara itu, Zolkples berharap insiden tersebut menjadi pengajaran paling berguna kepada setiap pegawai kontinjen negara supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan.

    “Tidak kira Paralimpik atau Olimpik, jadikan ini sebagai pengajaran supaya tidak ambil mudah perkara macam ini. Bukannya susah pun menjalankan tugas, pergi mengikut pasukan bukannya nak bersuka ria.

    “Ini bukan pertandingan peringkat sekolah atau Sukma (Sukan Malaysia). Ini Paralimpik temasya yang tertinggi, sepatutnya tidak boleh jadi (insiden) macam ini,” katanya.

    Beliau berkata sewaktu menggalas tugas selaku Ketua Kontinjen ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012, beliau mengarahkan pegawai pengiring untuk memastikan atlet berada di venue pertandingan dua jam awal sebelum acara bermula sebagai persediaan. – Bernama