Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

SEORANG lelaki di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan perkhidmatan seks, malah hilang RM13,300 ditipu sindiket yang menawarkan perkhidmatan itu menerusi ‘online’ semalam.

Pekerja swasta berumur 30-an itu menjadi mangsa selepas selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial, Line.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan wanita itu kemudiannya telah dihubungi oleh individu lain yang mengaku sebagai ejen menerusi aplikasi WeChat.

“Mangsa telah diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit virtual, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan untuk mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda, Butterworth.

“Mangsa turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Noorzainy, mangsa menyedari dia ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas dia membuat pembayaran tersebut.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here