Category: Semasa

  • Kempunan miliki rantai tangan lipan kait, rugi pula RM2,499

    Kempunan miliki rantai tangan lipan kait, rugi pula RM2,499

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    HANYA disebabkan terlalu berminat untuk memakai rantai tangan lipan kait dan gelang emas fesyen, seorang suri rumah akhirnya terjerat dengan satu sindiket penipuan menjual barangan yang tidak wujud.

    Malah, suri rumah berusia 42 tahun itu bukan sahaja kempunan untuk memiliki barangan kemas kegemarannya, malah mangsa turut mengalami kerugian RM2,499 ekoran ditipu dalam pembelian barangan pada awal bulan ini.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, dalam kejadian tersebut, mangsa yang tinggal di Kota Sri Ahmad Shah, Kuantan dikatakan memang berminat untuk membeli barangan kemas itu.

    Katanya, ia bermula sebaik sahaja mangsa melihat satu iklan penjualan emas lelong yang diiklankan menerusi laman sosial Instagram dengan nama kedai_emas.lelong916official.

    Justeru katanya, mangsa kemudian telah menghubungi nombor telefon yang tertera di media sosial tersebut untuk membeli rantai tangan lipan kait seberat 64.88 gram dan gelang emas fesyen seberat 17.48 gram dengan harga berjumlah RM2,499.

    “Setelah berbincang, mangsa menyatakan persetujuan untuk membeli dan telah membuat tiga transaksi bayaran ke dua akaun diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun kata Mohd Wazir, selepas membuat pembayaran, sehingga kini mangsa tidak menerima barangan kemas yang dibeli itu.

    “Ekoran itu, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kerana merasakan dirinya telah ditipu. Modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menawarkan penjualan emas tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” ujar beliau.

  • Penjawat awam direman rogol anak tiri

    Penjawat awam direman rogol anak tiri

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MAHKAMAH Majistret Kota Bharu hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari ke atas seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya, dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.

    Reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rusli Ahmad.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Guchil Bayam pada pukul 5.30 petang semalam.

    Menurut beliau, penahanan itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat mangsa berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak dia berusia 11 tahun sehingga kejadian terakhir pada 8 pagi kelmarin.

    “Mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada ibu saudaranya sebelum dia tampil membuat laporan polis bersama ibu kandungnya.

    “Mangsa dikatakan tinggal bersama ibu dan bapa tirinya sejak tahun 2014 dan dia mendakwa kejadian berlaku semasa ibunya tiada di rumah di mana suspek akan masuk ke dalam bilik tidurnya,” katanya.

    Menurut Abdul Rahim, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku sejak dia berusia 11 tahun, tetapi mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut dengan ugutan suspek,” katanya di Kota Bharu ketika dihubungi media hari ini.

    Katanya, mangsa telag dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ada kesan kejadian baru dan lama pada kemaluan mangsa.

    Ujarnya, hasil siasatan awal, suspek mengaku merogol anak tirinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

  • Polis, kastam serbu gudang simpanan minuman keras, mercun seludup

    Polis, kastam serbu gudang simpanan minuman keras, mercun seludup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melakukan serbuan di sebuah gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup diserbu dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan, Penampang hari ini.

    Menerusi operasi pada pukul 3.05 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama-sama JKDM Sabah berjaya merampas minuman keras dan mercun bernilai lebih RM500,000.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pihaknya menemukan 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama dalam gudang tersebut.

    “Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas tafsiran cukai RM502,316.

    “Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dilakukan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

    Mohd. Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Haris berkata, operasi yang dijalankan bersama JKDM Sabah itu adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini.

    “Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan barangan tanpa cukai.

    “Sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah dilaksanakan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya direkodkan dalam tempoh dua bulan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang.

  • 19,733 kes baharu Covid-19, Sarawak hatrik kes tertinggi, Pulau Pinang 2,474 kes

    19,733 kes baharu Covid-19, Sarawak hatrik kes tertinggi, Pulau Pinang 2,474 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini naik buat hari kedua berturut-turut minggu ini apabila merekodkan sebanyak 19,733 kes hari ini berbanding 18,547 jangkitan semalam.

    Kenaikan 1,186 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,900,467 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak buat tiga hari berturut-turut merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan sebanyak 3,100 kes baharu berbanding 3,200 kes semalam.

    Walaupun Selangor mengekalkan kes harian jangkitan pada paras 2,000 kes, namun kes positif harian menunjukkan trend kenaikan apabila mencatatkan 2,989 kes berbanding 2,407 kes semalam untuk berada di tempat kedua.

    Pulau Pinang pula mencatatkan kenaikan kes mendadak iaitu 2,474 kes berbanding 1,776 kes semalam untuk berada di tempat ketiga diikuti Sabah dengan 2,067 kes.

    Terengganu dan Perlis masing-masing turut mencatatkan peningkatan jangkitan iaitu 904 kes dan 74 kes berbanding 645 kes dan 20 kes semalam.

    Johor bagaimanapun mencatatkan sedikit penurunan kes iaitu 1,867 kes diikuti Kedah (1,564 kes), Kelantan (1,471 kes) dan Perak (1,319 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tujuh jangkitan dan Putrajaya 29.

  • JSJN rampas syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina

    JSJN rampas syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor menahan empat suspek yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah ditahan bersama-sama 7.14 kilogram syabu dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak pada 30 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan pukul 1 petang itu dijalankan oleh pasukan daripada JSJN Kontinjen Selangor.

    “Pihak polis berjaya merampas satu beg kanvas berwarna biru yang di dalamnya mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna hijau berisi bahan kristal disyaki syabu.

    “Dianggarkan berat keseluruhan berjumlah 7.14 kilogram dengan nilai rampasan RM245,000. Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 14,000 penagih sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, ujian saringan air kencing ke atas empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

    “Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Kesemua suspek direman sembilan hari bermula 31 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

  • 18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

    18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam Op Benteng menerusi beberapa tangkapan di kawasan Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Kota Tinggi dari malam tadi hingga pagi ini.

    Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (TDM) dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 9 malam selepas mengesan pergerakan bot mencurigakan di Teluk Ramunia.

    “Mereka dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sebelum pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) dihantar ke lokasi bagi membuat pengintipan. Hasil serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 3 PATI sedang bersembunyi dalam hutan di lokasi berkenaan.

    Antara PATI yang berjaya ditahan dalam tiga tangkapan membabitkan semuanya warga Indonesia

    “Pada masa yang sama agensi yang bekerjasama dalam Op Benteng iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menangkap 13 PATI bersama-sama sebuah bot di kawasan pantai sekitar Teluk Ramunia.

    “Mereka kemudian dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada pasukan untuk siasatan dan proses dokumentasi lanjut,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, menerusi operasi sama pukul 8 pagi ini, dua lagi PATI ditangkap sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran.

    SWASLA mengersan PATI sebelum pasukan QRF dihantar ke lokasi bagi menangkap PATI sedang bersembunyi dalam hutan di Teluk Ramunia

    Jelas kenyataan itu, seramai 18 PATI tersebut yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga wanita merupakan PATI warga Indonesia berusia 22 hingga 43 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

    “Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,356 melibatkan mata wang Indonesia IDR 1,610,500.00 (RM460), 10 buah telefon bimbit dan barangan kemas,” tambah kenyataan itu.

    Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan

    kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas di Johor Bahru.

    “Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” jelas kenyataan itu lagi.

  • Farmasi jual kit ujian kendiri tidak ikut harga ditetapkan

    Farmasi jual kit ujian kendiri tidak ikut harga ditetapkan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HANYA satu daripada 180 farmasi yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, didapati menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga siling ditetapkan kerajaan sejak 5 September lalu.

    Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, farmasi tersebut yang terletak di daerah Kubang Pasu bagaimanapun diberi tempoh seminggu untuk membuat pelarasan harga seperti ditetapkan kerajaan.

    Katanya, pengusaha farmasi tersebut diminta berbincang untuk mendapatkan rebat dari pihak pembekal kerana mendakwa kit kendiri yang dijual, merupakan stok lama yang diperolehi dengan harga mahal.

    “Lain-lain farmasi didapati mematuhi harga siling ditetapkan. Malah ada juga yang menjual pada harga lebih rendah.

    “Rata-rata pengusaha farmasi mendakwa jualan kit kendiri itu sangat menggalakkan sejak harga siling ditetapkan hingga ada yang berjaya menjual sebanyak 500 unit sehari. Itu sudah tentu sesuatu yang baik untuk semua orang menjalankan ujian Covid-10 sendiri, dengan cara lebih selamat,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengetuai sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di farmasi-farmasi yang beroperasi di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.

    Tambahnya, rata-rata pengusaha farmasi itu memaklumkan mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan dengan pelbagai pilihan jenama turut ditawarkan kepada pengguna.

    “Setakat ini kita berpuas hati dengan pematuhan pengusaha farmasi. Begitu pun selepas ini, pemantauan akan diteruskan lagi di beberapa lokasi bagi memastikan pengguna dapat memiliki kit tersebut pada harga ditetapkan.

    “Jika ada penjual yang berdegil, mereka boleh dikenakan penalti sebanyak RM100,000, penjara tak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun hingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

    “Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

  • Mohon bantuan JKM secara dalam talian – Rina

    Mohon bantuan JKM secara dalam talian – Rina

    ORANG ramai digalakkan mengemukakan permohonan bantuan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara dalam talian khasnya semasa penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu dapat mengurangkan kehadiran pemohon ke pejabat JKM daerah terutama di zon merah dan berisiko tinggi.

    Menurutnya, JKM menyediakan sebanyak 11 jenis bantuan khusus untuk golongan memerlukan.

    “Setakat Julai tahun ini, JKM sudah mengagihkan bantuan kepada penerima berjumlah RM1.5 bilion di seluruh negara,” katanya hari ini.

    Antara bantuan disediakan JKM ialah, bantuan kanak-kanak (BKK), Bantuan Warga Emas (BWE); Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU); Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB); Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dan Bantuan Am (BA) (Negeri dan Persekutuan).

    Selain itu, terdapat juga Bantuan Latihan Perantis (BLP); Bantuan Anak Pelihara (BAP); Geran Pelancaran (GP) (One-Off); Tabung Bantuan Segera (TBS)(One-Off) dan Bantuan Alat Tiruan/Sokongan (BAT) (One-Off).

    Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Bantuan Jabatan Kebajikan di laman sesawang http://ebantuanjkm.jkm.gov.my.

    Mengulas lanjut, Rina berkata, Sabah merupakan negeri penerima bantuan tertinggi JKM iaitu RM174 juta yang diikuti Johor (RM 152 juta); Sarawak (RM 143 juta); Kelantan (RM 127 juta) dan Selangor (RM126 juta).

    Permohonan tahun ini ujarnya dijangka meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM1.8 bilion.

    “Peningkatan ini disebabkan ramai dalam kalangan M40 yang memohon kerana hilang pekerjaan, sumber pendapatan dan memerlukan bantuan,” katanya.

  • GAPAN yakin Idrus beri pandangan berdasarkan tafsiran undang-undang

    GAPAN yakin Idrus beri pandangan berdasarkan tafsiran undang-undang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENDIRIAN Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah dibuat berdasarkan tafsiran undang-undang.

    Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri (GAPAN), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, beliau mengenali cara kerja Idrus yang sentiasa berpandukan kepada undang-undang dan bukannya orang yang mahu bermain politik.

    Katanya, setiap perkara berbangkit daripada segi undang-undang boleh diinterpretasi oleh sesiapa sahaja ahli undang-undang mengikut selera dan agenda tersendiri tetapi apa jua yang dinyatakan hendaklah menghormati kedudukan Peguam Negara yang lebih tinggi daripada pihak lain.

    Oleh itu, GAPAN menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan Peguam Negara atau jabatan itu dipolitikkan kerana Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang utama kerajaan seperti yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

    ““Idrus berpengalaman luas dalam undang-undang, setiap perkara yang dibangkitkan diteliti dengan halus dari sudut undang-undang, secara peribadi saya taruh kepercayaan bahawa apa jua nasihat diberi beliau untuk tangani suasana tidak menentu ini.

    “Peranan beliau sangat besar dan hendaklah diberi penghormatan tinggi, beliau berkewajipan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana menteri dalam apa-apa perkara yang bersifat undang-undang yang dirujuk kepadanya,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat hari ini.

    Justeru, Syed Hussien turut meminta semua parti politik di negara ini agar melakukan gencatan politik dengan serta-merta yang bertujuan memberikan ruang untuk kerajaan dipilih baru-baru ini memberi tumpuan penuh dalam sektor pemulihan kesihatan dan ekonomi.

    “Kita perlu memberi ruang untuk kerajaan fokus kepada dua sektor itu supaya perancangan yang dibuat berbulan-bulan sebelum ini tidak terjejas hanya kerana permainan politik beberapa pihak,” katanya.

    Sementara itu, sebagai mengelak perkara yang berbangkit seperti itu pada masa hadapan, Syed Hussien mencadangkan agar jawatan Peguam Negara dilantik oleh Parlimen.

    “Bagi memastikan isu seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang adalah dicadangkan supaya pelantikan jawatan Peguam Negara hendaklah dilantik oleh Parlimen berbanding sekarang dilantik Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

  • Maqis rampas 1,000 ekor lipan hidup

    Maqis rampas 1,000 ekor lipan hidup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan lebih kurang 1,000 ekor lipan hidup di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru kelmarin.

    Menurut Maqis Johor dalam satu kenyataan, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis menemukan lipan hidup itu pada jam 1 petang yang dianggarkan bernilai RM1,750 dan cuba dibawa masuk tanpa permit import sah oleh seorang penumpang feri dari Batam, Indonesia.

    “Kesemua lipan hidup yang dibawa masuk itu disimpan dalam bungkusan bertujuan untuk dijadikan makanan untuk ikan. Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut.

    Lipan disembunyikan dalam bungkusan untuk dibawa masuk namun berjaya dikesan pihak Maqis

    “Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini,” menurut satu kenyataan, hari ini.

    Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak MAQIS menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” tambah kenyataan itu.