Category: Semasa

  • Wanita Thailand ditahan susulan penemuan senapang angin buatan sendiri

    Wanita Thailand ditahan susulan penemuan senapang angin buatan sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan seorang wanita warganegara Thailand bagi membantu siasatan berhubung penemuan selaras senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di Kampung Janggus, Mukim Hosba dekat Kubang Pasu, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan, penahanan wanita berusia 40 tahun itu dibuat kira-kira pukul 1 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang membuat pemeriksaan di rumah disewanya.

    Hasil siasatan awal katanya, senjata tersebut yang menjadikan guli sebagai peluru didakwa digunakan hanya untuk memburu serta menembak haiwan.

    “Walaupun hanya menggunakan guli, namun senjata ini tetap berbahaya dan mampu mendatangkan kecederaan serius. Memiliki senjata sebegini adalah sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

    “Wanita itu mendakwa senjata tersebut dibuat sendiri dan merupakan milik teman lelakinya. Oleh itu, kami kini giat memburu teman lelaki wanita tersebut yang juga warganegara Thailand berusia 40-an bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, siasatan mendapati dokumen perjalanan wanita itu juga sudah luput dengan dia didapati mula memasuki negara ini sejak 2001.

    “Disebabkan itu kes ini turut disiasat mengikut 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 selain Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

    “Wanita itu direman selama empat hari bermula semalam hingga 15 September bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Lelaki dituduh hina raja, agama

    Lelaki dituduh hina raja, agama

    SEORANG lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, gara-gara membuat hantaran menghina institusi raja dan agama di laman sosial Facebook.

    Bagaimanapun tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mengikut pertuduhan, Prajiv didapati secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menganiayai orang lain, yang telah dibaca di laman profil Facebook ‘Bantal Busuk’ dan kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Dis 2019.

    Prjajiv didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000.

    Namun peguam Tan Chow Teng yang mewakili Prajiv merayu agar sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu dikenakan jaminan RM3,000 kerana beliau menghidapi kanser tiroid, kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) selain masih menjaga kedua-dua orang tuanya, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

    Hakim Maziah Joary kemudian membenarkan Prajiv diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 17 Jan 2022.- BERNAMA

  • Sultan Mizan titah Kerajaan Terengganu tumpu strategi pulih ekonomi

    Sultan Mizan titah Kerajaan Terengganu tumpu strategi pulih ekonomi

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu diminta merangka beberapa strategi paling berkesan dan komprehensif bagi membantu memulihkan ekonomi negeri yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

    Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, ia penting kerana berdasarkan Indeks Pelopor (IP) pada April lalu, prestasi ekonomi negara dijangka menggalakkan sekiranya kes Covid-19 menurun sejajar dengan pengukuhan permintaan global apabila kelonggaran ekonomi dilaksanakan beberapa negara.

    Justeru, baginda berharap kerajaan negeri dapat memberikan fokus terhadap perbelanjaan ke arah pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri dalam belanjawan akan datang.

    Selain itu titah baginda, projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan keperluan jangka masa panjang.

    “Semua perbelanjaan secara ‘one off’ perlu diteliti semula berdasarkan kedudukan dan komitmen kewangan semasa kerajaan negeri,” titah baginda.

    Sultan Mizan bertitah demikian dalam perutusan khas sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini

    Titah tersebut dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di hadapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

    Dalam pada itu baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri membantu usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) kerana sektor berkenaan antara yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Menurut baginda, ramai peniaga pasar tani, pasar malam, pengusaha restoran dan lain-lain kehilangan punca pendapatan, terpaksa gulung tikar dan menganggur akibat tiada kewangan untuk terus bertahan.

    “Oleh itu, beta menyarankan kerajaan negeri dapat membantu golongan ini daripada pelbagai sudut seperti bantuan sokongan kewangan, kemudahan premis perniagaan dan lain-lain agar mereka terus bertahan untuk menjalankan perniagaan,” titah baginda.

    Sementara itu, Sultan Terengganu juga berharap pengurusan pemberian vaksin Covid-19 dapat diselaraskan sebaik mungkin bagi membantu negeri ini mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini atau sebelum Monsun Timur Laut.

    Baginda turut menyeru rakyat negeri ini supaya meningkatkan usaha mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, kaunter pendaftaran vaksin di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

    “Diharapkan kadar pendaftaran bagi mendapatkan vaksin dan kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan secepat mungkin dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19 ini,” titah baginda.

  • Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM3,500 ke atas dua lelaki yang mengaku salah menampal poster dan mengedar risalah syarikat pinjaman wang tanpa lesen, minggu lalu.

    Tertuduh, Woon Wan Pau, 46 dan Tan Hai Liang, 37, pada masa sama diperintahkan Majistret, Mahyun Yusof menjalani hukuman penjara lapan bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

    Bagaimanapun kedua-duanya membayar denda terbabit.

    Mengikut fakta kes, Wan Pau dan Hai Liang didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan mengedar risalah dan menampal poster berkaitan pinjaman kewangan.

    Perbuatan itu dipercayai dilakukan di kawasan Bandar Sri Sendayan kira-kir pukul 3.30 petang, 7 September lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Polis Negeri Sembilan pada minggu lalu menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (along) di negeri ini dalam tiga serbuan berasingan.

    Dua tertuduh yang didakwa antara suspek yang ditahan selepas dikesan mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Sri Sendayan.

  • Lonjakan FDI diluluskan beri isyarat keyakinan pelabur asing – Azmin

    Lonjakan FDI diluluskan beri isyarat keyakinan pelabur asing – Azmin

    LONJAKAN bagi pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2021 yang menokok 223.1 peratus tahun ke tahun memaparkan isyarat keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan negara yang stabil dan kondusif.

    Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata prestasi kukuh dan mengagumkan itu adalah petanda baik kepada laluan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.

    “Prestasi luar biasa ini turut memaparkan bahawa strategi Malaysia untuk menempatkan negara sebagai destinasi pelaburan menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, khususnya bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, dalam tempoh ini, FDI memacu prestasi kukuh dan bertenaga sektor pembuatan, mencatatkan RM58.2 bilion pelaburan diluluskan.

    Sementara itu, sumber domestik menyumbang lebihan pelaburan diluluskan dalam sektor ini iaitu RM8.7 bilion.

    Daripada segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, meraih lonjakan besar berjumlah 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

    Beliau berkata pelaburan itu tercapai di tengah-tengah landskap ekonomi global yang amat mencabar, melibatkan 2,111 projek dan dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

    “Dengan memanfaatkan kemajuan yang positif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, disokong keupayaan dan kebolehan kita dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan bersedia menggunakan teknologi maju untuk nilai tambah industri,” katanya.

    Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), beliau berkata, Malaysia melaksanakan lebih banyak projek berintensif modal secara konsisten selain projek-projek yang menyokong agenda pembangunan negara, selaras dengan matlamat Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

    Mohamed Azmin berkata, ini dicerminkan oleh peningkatan jumlah projek berintensif modal yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

    Menurutnya, selain itu wujud keutamaan untuk mencipta peluang pekerjaan pelbagai kemahiran kepada rakyat.

    Dalam hal ini, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 367 projek pembuatan diluluskan yang bernilai RM66.9 bilion dalam separuh pertama 2021 akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai jawatan, sekali gus memacu laluan ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

    “Ini merangkumi 1,367 jawatan dalam pengurusan dan 4,031 bagi profesional teknikal seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik, mekanik, kimia dan bidang-bidang lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan.

    “Projek pembuatan diluluskan turut memerlukan 4,144 pekerja mahir,” katanya.

    Sementara itu, pelaburan domestik menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan.

    Dari sudut strategik NIA, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melaksanakan pelaburan berkualiti tinggi pada masa akan datang untuk mewujudkan nilai kepada negara dan rakyat.

    Katanya langkah itu bukan sahaja untuk mengekalkan pekerjaan, malah mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi.

    “Kami komited ke arah menempatkan Malaysia sebagai rakan unggul bagi pelabur di rantau ini, menambah baik ekonomi kita yang kompleks dan merangsang pertumbuhan jangka panjang di Malaysia menerusi aliran pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu dan kompleks,” kata Mohamed Azmin. – Bernama

  • Titah Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14

    Titah Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14

    SEGALA pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Yang Berkuasa memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

    1. Alhamdulillah, bersyukur Beta ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kekuasaan-Nya jua telah mengizinkan berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada hari yang penuh bermakna ini.
    2. Istiadat pada pagi yang mulia ini berlangsung dalam suasana negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19. Namun, Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat ini jelas membuktikan bahawa amalan Demokrasi Berparlimen masih lagi subur berakar di negara yang tercinta ini.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Pada 16 Ogos yang lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan Beta, negara telah sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia.
    2. Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin, Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 dan barisan Ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir.
    3. Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.
    4. Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang AhliAhli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
    5. Menerusi surat-surat akuan tersebut, Beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera.
    6. Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.
    7. Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat Beta keluar daripada ancaman pandemik ini.
    2. Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Beta percaya Kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.
    3. Melangkah ke hadapan, Beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan Kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.
    4. Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi “biduk lalu, kiambang bertaut”. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.
    5. Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah “Keluarga Malaysia” sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.
    Agong Parlimen
    Gambar: Facebook Istana Negara

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.
    2. Beta amat menghargai segala usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat. Manakala, peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2. Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia.
    3. Pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta. Kini, hampir 75% pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan.
    4. Di sebalik kejayaan ini, Beta menyeru supaya kita jangan cepat terleka dan berpuas hati. Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu. Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.
    5. Menyedari hakikat tersebut, strategi “whole-of-society effort” perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan. Beta mengalu-alukan usaha Kerajaan dalam memperkasa “Agenda Nasional Malaysia Sihat” dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.
    6. Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
    7. Dalam kita menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini, khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.
    8. Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi.
    9. Kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baharu dapat dikawal. Pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.
    Azhar Azizan Harun
    Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion. Di samping itu, belanjawan bagi tahun 2021 adalah belanjawan terbesar dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.
    2. Beta menyambut baik komitmen Kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing, khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan.
    3. Daripada keseluruhan RM107 bilion pelaburan yang diluluskan, Kerajaan telah memperoleh hampir RM40 bilion nilai pelaburan dari tiga misi perdagangan dan pelaburan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2021.
    4. Selain itu, jumlah dagangan negara telah mencapai RM1 trilion dalam tempoh 6 bulan pertama pada tahun ini. Pencapaian pelaburan negara bagi kesemua sektor ekonomi juga telah meningkat hampir 70%.
    5. Ini jelas memberi imej yang sangat positif bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang amat kompetitif, mesra perniagaan dan merupakan lokasi menarik bagi pelaburan antarabangsa dan domestik.
    6. Beta juga bersyukur kerana Keluaran Dalam Negeri Kasar pada suku kedua tahun ini telah berkembang sebanyak 16.1%. Secara keseluruhan, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai (well-diversified), telah berjaya menunjukkan trend pemulihan ekonomi.
    7. Pemulihan tersebut telah turut didorong oleh langkah yang diperkenalkan termasuk bantuan tunai kepada rakyat serta pakej sokongan bagi kelangsungan perniagaan.
    8. Untuk separuh tahun kedua 2021, Kerajaan telah memberi bantuan tunai kepada 10 juta penerima dari golongan B40 dan M40, termasuk Bantuan Khas COVID-19 yang bernilai RM10 bilion. Bagi perniagaan di bawah Pakej PEMULIH, Geran Khas PRIHATIN bernilai RM1,000 akan dibayar kepada lebih 1 juta perusahaan kecil sederhana mikro.
    9. Demi kelangsungan perniagaan, PEMULIH juga telah menyediakan subsidi upah sehingga 4 bulan tambahan bernilai hampir RM4 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lebih 200,000 majikan.
    10. Meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, Beta berkeyakinan ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur.
    11. Oleh yang demikian, Kerajaan hendaklah sewajarnya mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.
    12. Selain itu, perbelanjaan yang sewajarnya perlu turut disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.
    13. Untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan tersebut, Kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan yang mulia ini bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 serta had statutori hutang Kerajaan.
    14. Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan kecil sederhana mikro.
    15. Perusahaan ini juga perlu diberi galakan untuk mengurus perniagaan secara digital demi untuk menjamin akses pasaran yang lebih luas. Selain itu, bidang-bidang pertumbuhan ekonomi baharu perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global.
    16. Sementara itu, inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian, industri makanan, pelancongan dan mineral perlu dipercepatkan pelaksanaannya. Sektor-sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara.
    17. Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2016 hingga 2020. Dalam sesi Parlimen ini Kerajaan akan membentang pula Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025. Rancangan ini bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang bagi merealisasi semangat “Keluarga Malaysia” dan mencapai matlamat “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.
    18. Dasar jangka sederhana dan panjang akan turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu kesihatan, keselamatan, kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan, di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
    19. Beta berkeyakinan pembangunan negara dan taraf hidup rakyat akan terus meningkat serta jurang pembangunan antara wilayah dan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak akan dapat dirapatkan.
    Agong Parlimen
    Gambar: Facebook Istana Negara

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Sesungguhnya, Beta amat prihatin dengan nasib rakyat Beta yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah-langkah tertentu oleh Kerajaan dalam usaha untuk membendung pandemik COVID-19.
    2. Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan semua agensi Kerajaan yang berkaitan untuk bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang telah diumumkan.
    3. Program Jaringan Keselamatan Sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan Usahawan Anak Muda Kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan.
    4. Pada masa yang sama, Program Pembangunan Luar Bandar hendaklah terus ditingkat dan diperkasakan. Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuk 198,015 orang penduduk Orang Asli. Kerajaan hendaklah menentukan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas yang meliputi infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
    5. Inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka.
    6. Kerajaan juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik. Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian Kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.
    7. Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi. Di samping itu, ianya boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing.
    8. Walau apa jua cabaran yang dihadapi, bidang pendidikan tidak boleh dilupakan sama sekali. Pendidikan yang mencakupi pelbagai bidang ilmu hendaklah sentiasa diterokai terutamanya pendidikan sains dan teknologi. Akses pendidikan yang lebih inklusif perlu diberikan perhatian bagi melahirkan anak watan yang mampu menghasilkan pelbagai inovasi berimpak tinggi.
    9. Manakala pendidikan akhlak dan kerohanian turut wajar diberi tumpuan demi untuk membendung pelbagai agenda negatif dan menyimpang dari tatasusila masyarakat.
    10. Pendidikan pasca-pandemik COVID-19 memerlukan rancangan jangka masa panjang yang mampan dan telus serta bersifat holistik dan komprehensif. Formula pelan pendidikan pasca-pandemik yang tuntas memerlukan penglibatan dan kerjasama dari semua pemegang taruh merentasi politik, ideologi dan kepakaran.
    11. Aspek pertahanan dan keselamatan termasuk keselamatan siber turut berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat Beta. Agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap pertahanan dan keselamatan negara hendaklah sentiasa bersiap siaga pada sebilang masa dan terus meningkatkan keupayaan masing-masing. Sebarang bentuk tindakan yang cuba mencabar kedaulatan negara hendaklah segera ditangani agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman lagi berdaulat.
    12. Beta turut menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh Kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima dari pada negara-negara lain.
    13. Justeru, Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, Republik Rakyat China dan Emiriah Arab Bersatu atas sumbangan vaksin tersebut.
    14. Beta juga menyambut baik langkah Kerajaan dalam menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti. Menerusi amalan ini sebuah sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berintegriti, telus dan cekap akan menjadi kenyataan. Oleh yang demikian, adalah amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk terus didokong bagi mencapai aspirasi rakyat Beta untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegriti.
    Agong
    Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    1. Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana negara bertuah ini telah dilimpahkan rahmat keamanan dan keharmonian yang berkekalan. Hasilnya rakyat Beta dari berbilang bangsa, budaya dan agama dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan bekerja bersama-sama untuk kemajuan negara. Beta menyeru agar sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.
    2. Bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan tidak lama lagi, Beta menyeru kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Beta untuk menghayati sejarah kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia agar kita akan sentiasa berdiri tegap dan kukuh di atas asas patriotisme dan semangat cintakan negara yang tinggi.
    3. Pada kesempatan ini Beta ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang telah berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia.
    4. Beta juga amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani.
    5. Dalam negara berhadapan saat getir mengharungi pandemik COVID-19, petugas barisan hadapan negara khususnya perkhidmatan kesihatan terus berusaha keras mencurah khidmat bakti tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sebuah landskap tempoh pandemik yang panjang.
    6. Justeru, marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya.
    Agong Anwar Ibrahim
    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berangkat ke Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    1. Setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi. Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat Beta yang telah kehilangan sumber rezeki.
    2. Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
    3. Nasihat Beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
    4. Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita. Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.
    5. Izinkan Beta untuk mengakhiri titah ini menerusi 3 buah rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas Beta buat Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

    Dari Segamat ke Kota Tinggi;
    Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
    Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti;
    Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

    Kalau memandang langit yang tinggi;
    Jangan lupa rumput di bawah;
    Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
    Martabatkan negara kembali bermaruah.

    Rempah halia digaul diuli;
    Buat ramuan nasi kebuli;
    Sumpah setia ketaatan diberi;
    Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

  • Pekerja maut tersepit ketika bersih jentera ‘spin chiller’

    Pekerja maut tersepit ketika bersih jentera ‘spin chiller’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pekerja am maut dipercayai akibat tersepit pada jentera ‘spin chiller’ di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam, Batu Pahat pada Sabtu lalu.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi semasa lelaki warga tempatan berusia 40 tahun itu menjalankan kerja-kerja pembersihan jentera kilang.

    “Hasil siasatan awal yang dijalankan pihak JKKP mendapati mangsa yang bekerja sebagai pekerja am bagi kilang tersebut bersama-sama dua rakan sekerjanya ditugaskan untuk menjalankan kerja pembersihan jentera kilang.

    “Tiada operasi pengeluaran dijalankan pada hari kejadian. Ketika mangsa menjalankan kerja pembersihan pada jentera ‘spin chiller’ berseorangan, mangsa terjatuh ke dalam ruang jentera itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Husdin berkata, mangsa dihimpit ‘screw conveyor spin chiller’ sebelum operasi jentera dimatikan rakan sekerja selepas melihat kaki mangsa terkapai kapai dari dalam jentera.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir melakukan pemeriksaan.

    Susulan itu katanya, JKKP Johor telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, JKKP telah mengeluarkan notis larangan kepada majikan atas kegagalan untuk memastikan jentera berkenaan.

    “‘Chiller’ dikendalikan dengan selamat dan kegagalan untuk mengadakan sistem kerja selamat khususnya sistem lockout/tagout (Loto) bagi kerja pembersihan jentera.

    “Majikan juga diarahkan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja pembersihan jentera termasuklah mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko,” katanya.

    Jelasnya, ini termasuk latihan diperlukan pekerja yang terdedah dengan risiko ketika membersih jentera tersebut.

    “Jabatan juga mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan segera bagi menjalankan siasatan dalaman. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Jabatan bagi melengkapkan hasil siasatan,” katanya.

  • Heroin base, pil kuda bernilai RM1.4 juta dirampas

    Heroin base, pil kuda bernilai RM1.4 juta dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah merampas sebanyak 40 ketulan mampat dadah jenis heroin base seberat lebih 15 kilogram, Jumaat lalu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan ke selatan tanah air.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan tersebut dilakukan setelah pihaknya menahan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun di Jalan Kampung Changhai, Changlun kira-kira pukul 11 pagi.

    Katanya, selain 40 ketulan mampat heroin base tersebut, pihaknya turut menemukan sebanyak 114 pil kuda berwarna merah dan hijau seberat 12 gram pada bonet kereta itu.

    “Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM1.4 juta. Susulan penahanan itu, pihak kami terus melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Mukim Temin kira-kira tiga jam kemudian, dan menahan seorang pemandu lori berusia 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sama.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah jenis heroin base itu yang sudah diproses dianggarkan boleh menjadi bekalan untuk kira-kira 900,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

    Tambahnya, pihaknya dalam masa sama turut menyita sebuah kenderaan empat roda jenis Mitusbishi Storm, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang.

    “Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini. Selain itu, kita juga berusaha mengenal pasti laluan digunakan bagi membawa masuk dadah ini,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 September lalu hingga 17 September depan bagi membantu siasatan.

    “Ujian urin dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine namun kedua-duanya didapati tidak memiliki rekod jenayah.

    “Setakat ini kami masih menyiasat sama ada dadah itu dibawa masuk melalui laluan haram atau laluan sah ke negara ini. Siasatan juga tertumpu kepada usaha untuk mengenal pasti rangkaian sindiket tersebut,” katanya.

    Selain dadah tersebut, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya turut menyita sebuah kenderaan empat roda jenis Mitusbishi Storm, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang.

    “Kedua-dua suspek didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau namun ujian urin dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    “Kes kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Harga ayam: KPDNHEP tidak bercadang memperkenalkan kawalan harga tambahan

    Harga ayam: KPDNHEP tidak bercadang memperkenalkan kawalan harga tambahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, bagaimanapun, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memunipulasi harga di semua peringkat rantaian.

    Jelasnya, pemantauan harga runcit pada 10 September 2021 mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat Nasional adalah pada paras RM8.83/kg.

    Di Semenanjung pula katanya, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78/kg dan julat harga jualan adalah antara RM5.99/kg hingga RM11.00/kg.

    Berdasarkan pemerhatian pihak kementerian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9.00/kg terdiri daripada pasar basah/awam.

    “Harga paling tinggi adalah RM11.00/kg dijual di Pasar Besar Raub, Pahang. Di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33/kg.

    “Harga paling tinggi adalah RM11.80/kg dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala harga paling rendah adalah RM10.90/kg dijual di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Di Sarawak pula katanya, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56/kg.

    Harga paling tinggi adalah RM9.80/kg dijual di Central Market, Sarikei manakana harga paling rendah adalah RM7.50/kg dijual di Everwin Supermarket Mukah.

    Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP akan mengambil pendekatan baharu bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam di pasaran.

    Pendekatan baharu itu katanya, membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus (engagement) bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.

    Katanya, pendekatan itu bertujuan membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah di samping memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.

    “Adalah diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.

    “Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan/atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat.

    “KPDNHEP akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan seperti harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran dapat diminimakan dan terurus,” katanya.

    KPDNHEP akan terus bertindak melalui pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan seperti OPS PASAR (Ayam), OPS CATUT 8.0 (Pengeluar/Penternak/ Pengilang dan Pemborong Ayam), OPS PASAR 2021 (Telur Ayam) dan OPS RANTAI (Makanan atau Dedak Ayam) di bawah Akta KawalanHarga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) yang telah menghasilkan 208 notis bertulis kepada peniaga, lima item dikesan mencatut dan dua kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut dibawah S.14 (1), AKHAP 2011 dan satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 (5), AKHAP 2011.

  • Berjaya tangani krisis Covid-19, bakti Muhyiddin dihargai

    Berjaya tangani krisis Covid-19, bakti Muhyiddin dihargai

    DALAM titah diraja ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet di bawah pentadbirannya dahulu.

    Seri Paduka bertitah demikian sebagai tanda menghargai usaha Muhyiddin dan barisan Kabinetnya yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.

    Sememangnya Muhyiddin menggalas tugas dan tanggungjawab yang amat berat sepanjang menyandang jawatan Perdana Menteri mulai 1 Mac 2020 sehingga 21 Ogos lalu.

    Beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan ketika negara dan rakyat berdepan situasi yang tidak menentu dan suram ekoran krisis pandemik Covid-19 yang meletus di seluruh dunia.

    Lebih-lebih lagi, pentadbiran kerajaan sebelum itu di bawah Pakatan Harapan (PH) gagal mengambil langkah konkrit bagi mengekang penularan Covid-19 di peringkat awal.

    Segala-galanya berubah dengan drastik sebaik sahaja Muhyiddin mengepalai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mana pelbagai langkah dan inisiatif dilaksanakan secara sistematik dan bersepadu untuk menangani kesan pandemik.

    Jentera pentadbiran kerajaan diperkemaskan dengan pembentukan kluster-kluster yang diketuai menteri kanan bagi memastikan sektor keselamatan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan berjalan lancar semasa krisis.

    Nasib rakyat yang terkesan juga terbela melalui pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Geran Khas Prihatin (GHP), Program Subsidi Upah, Program Bakul Makanan dan banyak lagi program seumpamanya.

    Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PN) telah berjaya mengawal penularan Covid-19.

    Kejayaan pentadbiran Muhyiddin yang paling memberangsangkan adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan 73.4 peratus populasi dewasa dan 52.5 peratus penduduk Malaysia telah melengkapkan vaksinasi semalam.

    Kepantasan program vaksinasi di bawah pentadbiran Muhyiddin menerima pujian dari negara-negara luar malah isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching pernah menyamakan kadar vaksinasi di negara ini dengan Amerika Syarikat (AS).

    Ketika itu, lebih 500,000 dos vaksin diberikan dalam masa sehari di bawah PICK.

    Malah, kepantasan program vaksinasi di negara ini turut disentuh oleh Seri Paduka dalam titah diraja hari ini.

    Sehubungan itu, tuduhan pihak tertentu kononnya pentadbiran Muhyiddin gagal adalah tidak berasas sama sekali.

    Sebaliknya, beliau telah meletakkan penanda aras yang tinggi dalam usaha memerangi Covid-19 di negara ini.

    Prestasi cemerlang negara dalam menangani pandemik di bawah kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pasti dapat diteruskan melalui peranan Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

    Rakyat juga amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh Muhyiddin selama ini dan bakti yang dicurahkan beliau pasti dikenang sampai bila-bila.