MALAYSIA terus mencatatkan penurunan kes harian Covid-19 apabila merekodkan 14,345 kes bagi tempoh 24 jam lalu berbanding 14,954 kes yang direkodkan pada hari sebelumnya.
Jumlah tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik itu melanda negara ini adalah sebanyak 2,112,175 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Sarawak masih melaporkan kes harian tertinggi dengan sebanyak 3,611 kes dilaporkan, diikuti Johor (1,598) dan Selangor (1,365).
Dalam pada itu beberapa lagi negeri lain mencatatkan kes di bawah angka 1,000 antaranya Pahang (779), Melaka (162), Terengganu (804), dan Kedah (967).
SERAMAI 2,300 penghuni Penjara Marang, menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini.
Program vaksinasi yang diadakan selama tiga hari bermula pukul 9 pagi di mana seramai 1,000 penghuni menerima vaksin jenis CanSino pada hari pertama.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut seramai 300 penghuni dikecualikan daripada divaksin pada program berkenaan.
“Mereka yang dikecualikan menerima suntikan vaksin buat sementara waktu kerana beberapa faktor seperti tidak menepati syarat ditetapkan termasuk masalah kesihatan dan sedang dikuarantin.
Bagaimanapun katanya, baki 300 penghuni yang tidak menerima suntikan vaksin itu akan berbuat demikian selepas mereka menepati syarat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Penjara Marang, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab. Rahman dan Pegawai Daerah Marang Lizan Che Mat.
Menurut Dr. Kasemani, kesemua penghuni diberikan suntikan vaksin dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19 di dalam penjara.
“Orang Kena Tuduh (OKT) termasuk penghuni penjara dan Orang Asli akan diberikan suntikan Covid-19 jenis Cansino.
“Sehingga ini terdapat sebanyak 364 kes positif di Penjara Marang sejak penularan Covid-19 di negeri ini.
“Jangkitan ini berpunca daripada pergerakan kakitangan dan penghuni sendiri walaupun sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di penjara ketat,” ujar beliau.
SEORANG pemandu maut akibat tersepit selepas lori yang dipandu merempuh belakang lori lain dalam satu kemalangan di Kilometer 225.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, malam semalam.
Kemalangan berlaku pada pukul 11.40 malam dan mangsa, Bin Shou Chang, 32, beralamat di Taman Putri, Kulai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, dalam kejadian itu, pemandu sebuah lagi lori, S. Santhiran, 49, dan kelindan, S. Segar, 45 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dikatakan berlaku ketika kedua-dua buah lori tersebut dalam perjalanan dari arah sama menghala ke Kuantan.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh bahagian belakang lori dipandu Santhiran yang berada di lorong kiri.
“Ekoran rempuhan tersebut menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SATU sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 10 hingga 16 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 27 hingga 57 tahun.
“Kita menahan empat lelaki dan seorang wanita warga asing, serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan.
“Dalam serbuan itu, kita merampas dadah jenis kokain seberat 4.87 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM50 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.
Pihaknya turut merampas sebanyak 174 guni serbuk ‘ephedrine’ dianggarkan berat 5.4 tan yang disyaki digunakan untuk membuat dadah jenis MDMA dan syabu dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan di sini.
“Kita turut menyita wang tunai, kenderaan dan jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.22,” jelasnya.
Beliau berkata, berdasarkan risikan, sindiket dadah tersebut bukan sahaja menjual untuk pasaran tempatan, malah diseludup ke Qatar dan Hong Kong.
“Kita percaya mereka aktif menjalankan kegiatan itu lebih enam bulan lalu. Mereka ada pembeli dalam negara dan luar negara.
“Kita juga sedang menyiasat kokain ini datang dari negara mana, sama ada dari Columbia, Amerika Syarikat, Mexico atau negara lain,” katanya.
Tambah beliau, saringan awal urin mendapati hanya seorang lelaki warga asing positif dadah jenis kanabis.
“Kesemua individu tersebut ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.
SERAMAI 5,887 pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di sekolah-sekolah di dalam kem Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara dijangka diberikan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebagai permulaan, 255 pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini, manakala baki 675 lagi dijangka menerima suntikan mereka pada Khamis ini.
Vaksinasi bagi pelajar di empat lagi sekolah menengah di dalam kem ATM iaitu Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak dan SMK Kem Terendak di Melaka, SMK Pangkalan TLDM, Lumut (Perak) serta SMK Tanjung Pengelih (Johor) akan dilaksanakan secara berperingkat di pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.
“Pemberian vaksin kepada pelajar sekolah rendah (SK) pula melibatkan 330 orang pelajar di SK Kem Kementah dan SK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur juga dijangka dilakukan pada Khamis ini.
“Sementara itu, PICK Remaja untuk pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur akan dilaksanakan sebaik sahaja kesemua 504 pelajar kembali melaporkan diri pada 27 Sept ini,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin selepas meninjau Program Vaksinasi Back To School di SMK Desa Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
PICK Remaja yang bermula secara serentak di seluruh negara hari ini menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun divaksin untuk memastikan rakyat terus dilindungi dari wabak COVID-19 dan membentuk imuniti kelompok yang lebih kukuh.
Ditanya mengenai pendekatan yang bakal diambil Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya terdapat ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka divaksin, Radzi berkata kementerian belum membuat sebarang ketetapan buat masa ini, sebaliknya ia bergantung kepada perkembangan PICK Remaja.
“PICK Remaja baharu kick-off (bermula) hari ini dan sebelum kita buat ketetapan, kita lihat dahulu apakah penerimaan ibu bapa serta keadaan program ini… dalam satu tempoh kita akan perincikan keputusan terbaik,” katanya.- BERNAMA
HASRAT dua pelancong wanita bercuti ke Langkawi terbantut selepas diarahkan polis berpatah balik ke Kuala Perlis yang mendapati suntikan dos vaksin Covid-19 mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.
Dalam kejadian di Terminal Feri Kuah, Langkawi pada pukul 12 tengah hari semalam, kedua-dua wanita berusia 32 dan 35 tahun itu didapati melakukan kesalahan terbabit semasa pemeriksaan polis ke atas semua penumpang.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka dilaporkan bersama-sama menaiki feri penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis untuk bercuti ke Langkawi.
Katanya, pemeriksaan anggota polis bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati kedua-dua wanita berkenaan menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Namun pemeriksaan lanjut mendapati, tempoh matang suntikan dos kedua diterima mereka belum genap 14 hari atau kurang tiga hari seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Shariman berkata, kedua-dua wanita itu kemudiannya dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi tujuan pengesahan status vaksin mereka.
“Berikutan itu, kedua-duanya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada pukul 2 petang semalam,” ujar beliau.
Pada soalan mengenai projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang masuk hari kelima hari ini, Shariman memberitahu, pihaknya belum mengeluarkan sebarang kompaun ke atas pelancong kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga hari ini.
Namun beliau menegaskan, semua pelancong yang ingin masuk dan ketika berada di Langkawi dinasihatkan agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak tindakan diambil.
BEBERAPA syarikat berkaitan kerajaan GLC di Kedah bakal melalui proses penstrukturan semula dengan kadar yang segera dan serius bagi memastikan mereka dapat kembali memainkan peranan asal untuk menjana pendapatan buat negeri itu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini kebanyakan GLC itu terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan negeri ketika mereka sepatutnya berusaha membawa wang dari luar untuk masuk ke negeri ini.
Justeru katanya, penstrukturan semula itu dijangka tidak hanya akan melibatkan Ahli Lembaga Pengarah malah mereka yang berada di pihak pengurusan.
“Saya sudah kenal pasti GLC-GLC yang akan terlibat dalam penstrukturan semula itu nanti. Dah lama GLC tidak menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri.
“GLC tidak boleh dihuni orang yang bermentaliti sebagai pekerja kerajaan kerana mereka adalah ahli perniagaan. Matlamat perniagaan adalah meraih untung dan mereka tidak boleh menganggap kerajaan akan terus menolong kalau syarikat tak raih keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14, hari ini.
Dalam titah baginda, Sultan Sallehuddin menyeru agar semua GLC di Kedah dapat ditransformasikan melalui penstrukturan semula yang lebih konstruktif dan telus.
Muhammad Sanusi menambah, bermula tahun depan, semua GLC di negeri ini diharap dapat kembali mencatatkan keuntungan buat negeri.
Dalam pada itu katanya, Kedah dijangka akan menerima sebanyak 1.4 juta dos vaksin pada bulan ini bagi menampung keperluan untuk memvaksin lebih ramai populasi dewasa yang layak.
“Sehubungan itu saya mengajak kalangan rakyat yang masih belum divaksin untuk tampil di mana-mana PPV secara ‘walk in’ bagi mendapatkan suntikan masing-masing.
“Sebelum ini mungkin ramai yang ‘walk in’ tetapi vaksin tak cukup. Jadi apabila bekalan sudah mencukupi kini, kita harap semua pihak mengambil kesempatan itu untuk mendapatkan perlindungan,” katanya.
PELBAGAI jenis dadah seberat 1,765 kilogram (kg) dan 3,717 liter dianggarkan bernilai RM28.91 juta akan dilupuskan polis setelah kes berkaitan berjaya diselesaikan termasuk membawa pesalah ke muka pengadilan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua dadah yang dilupuskan itu merupakan barang rampasan bagi 17,535 kes yang direkodkan antara tahun 2000 sehingga tahun lalu.
“Pada tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 877.4kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta melibatkan 3,844 kes yang selesai.
“Hari ini, JSJN Johor sekali lagi akan melupuskan pelbagai jenis dadah sebanyak 1.765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Antara dadah yang dirampas dan dimusnahkan sebelum dihantar ke Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan
Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin sebanyak 191.3kg, kanabis (84.7kg), ketamin (24.5kg), methamphetamine (92.3kg) dan methylenedioxy methamphetamine (48.3kg) selain pelbagai jenis dadah lain seberat 1.32 tan serta 3,717 liter.
Ayob Khan berkata, semua dadah dirampas akan dilupus dan dimusnahkan mengikut prosedur pelupusan barang kes yang ditetapkan serta akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah pelupusan secara insinerator.
Dalam pada itu, katanya, Polis Johor merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dalam usaha membanteras jenayah dadah apabila menahan seramai 18,837 orang tangkapan pada tahun lalu sekali gus menjadi kontinjen tertinggi.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 8,390 kes adalah bagi kesalahan memiliki dan membekal dadah selain tangkapan yang dibuat turut melibatkan 15 sindiket yang berjaya ditumpas pada tahun lalu.
“Untuk tahun lepas kita telah buat tangkapan membabitkan seramai 18,837 yang mana jumlah tertinggi antara kontinjen. Daripada jumlah itu, bagi kesalahan memiliki dan membekal adalah sebanyak 8,390.
“Tahun ini pula tangkapan setakat ini sahaja adalah 9,506 individu dan daripada jumlah itu 5,016 adalah bagi kesalahan memiliki dan membekal dadah.
“Jadi, kita lihat daripada peratusan kes yang dituduh juga telah meningkat. Pada tahun ini setakat September, sebanyak 70 peratus kes sudah dituduh di mahkamah membabitkan 16 buah sindiket,” katanya.
Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin, kanabis, ketamin, methamphetamine dan methylenedioxy methamphetamine selain pelbagai jenis dadah lain
Ayob Khan berkata, peratus kes yang dituduh itu mencatatkan peningkatan berbanding 51 peratus pada tahun lalu.
Katanya, statistik ini menunjukkan kesungguhan Kontinjen Johor dalam memerangi jenayah dadah hingga memastikan suspek dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kes dadah ini melibatkan tempoh masa yang panjang, bukan tangkap hari ini dan esok sudah boleh dituduh. Untuk menyelesaikan kes ini, mungkin makan masa bertahun-tahun,” katanya.
Sejak Januari lalu, sebanyak 10.91 tan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM352 juta telah dirampas. – SB
FASA peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept ini dan sehingga awal November menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 19 Mei lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di nombor 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut, katanya. – BERNAMA
SEORANG cucu yang tidak berputus asa memujuk neneknya berusia 101 tahun membuatkan hasil apabila setuju menerima suntikan vaksin.
Choong Yat Han dari Buntong hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Meru Valley Resort, Ipoh, hari ini dengan berkerusi roda ditemani anak lelakinya untuk menerima suntikan vaksin jenis Pfizer dalam keadaan dipantau rapi petugas kesihatan.
Nenek kepada 30 cucu itu mengakui tidak mahu menerima suntikan kerana menganggap usianya yang sudah lanjut dan tidak lagi memerlukan sebarang rawatan.
Bagaimanapun katanya, anak dan cucunya tidak mengalah dan terus memujuknya untuk mengambil suntikan imunisasi berkenaan demi keselamatan semua ahli keluarga.
“Ambil vaksin sebab takut penyakit (Covid-19). Anak kata kalau tak ambil vaksin nanti dapat sakit, semua orang dalam rumah pun boleh dapat penyakit.
“Lagi (jika tidak vaksin) tak boleh keluar jalan, makan di restoran pun tak boleh. Sekarang sudah cucuk, hati pun sudah rasa senang, malah cucuk tadi pun tak sakit, sikit-sikit sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita.
Anak lelakinya, Chan Ho Han, 72, berkata, sejak April lalu mereka sekeluarga memujuk dan meyakinkan warga emas itu memandangkan ibunya berkeras enggan divaksin.
“Mula-mula memang dia tak nak, tetapi lama-lama dia bersetuju lepas saya cakap penyakit sekarang sudah makin teruk dan hanya orang yang sudah divaksin boleh keluar rumah dan makan di restoran.
“Apabila dia setuju divaksin, saya terus buat pendaftaran di MySejahtera dan tak sampai beberapa hari dia (ibu) sudah dipanggil untuk janji temu hari ini,” katanya.
Menurutnya, meskipun ibunya sudah berusia lebih satu abad, namun keadaannya masih sihat tanpa sebarang penyakit serius, malah penglihatan, pendengaran dan ingatannya juga masih baik.
“Mak sangat menjaga pemakanan, paling penting setiap hari mesti makan nasi, mungkin sebab itu dia masih sihat sampai sekarang,” katanya.