Category: Semasa

  • 81.9 % populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    81.9 % populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 19,156,694 individu atau 81.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, seramai 23,703 individu atau 0.8 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

     Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 326,612 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 132,562 dos pertama dan 194,050 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,573,883 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 116 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (23 Sept), menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,681.

    Bagaimanapun, daripada 116 kematian baharu itu, 92 kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (23 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 29 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA 

  • Pegawai kanan SPRM ditahan miliki dadah, senjata api, peluru

    Pegawai kanan SPRM ditahan miliki dadah, senjata api, peluru

    SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat dengan kes kehilangan wang bernilai AS$6 juta dolar (kira-kira RM25 juta) ditahan polis, kelmarin.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek ditahan bagi tujuan siasatan berhubung kesalahan memiliki dadah, senjata api dan peluru.

    Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka berikutan tangkapan itu iaitu mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Terdahulu, Abd Jalil dilaporkan berkata, polis akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh suruhanjaya itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang terbabit.

    Polis juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    Sebelum ini, tular laporan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

    Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

    SPRM Isnin lalu mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

  • Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    SEORANG wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram 1MDB.

    Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini pesara itu memberitahu bahawa dia menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari ibu pejabat polis di Negeri Sembilan yang memaklumkan kononnya kad banknya telah digunakan oleh individu bernama Jimmy Wong dalam kes jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai berpangkat Inspektor yang mengatakan wanita itu perlu membuat pindahan RM10,000 kepada Jabatan Audit Negara jika ingin menyelesaikan kes berkenaan.

    “Kerana panik, wanita itu pergi ke sebuah bank di Jalan Kampung Datu dekat sini sekitar 12.30 tengah hari dan membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu memindahkan RM4,950 bagi transaksi pertama dan jumlah yang sama dalam transaksi kedua, kemudian disusuli dengan RM100 bagi transaksi ketiga ke sebuah akaun milik lelaki bernama Shamsudin Abu Hassan. 

    “Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas pulang ke rumah, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya.- BERNAMA

  • Makmal proses dadah di kondo mewah diserbu, lapan ditahan

    Makmal proses dadah di kondo mewah diserbu, lapan ditahan

    SEBUAH kondominium mewah yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin diserbu polis menerusi Ops Eltanin di  Mont Kiara di sini, Isnin lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata empat lelaki berusia 21 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 8 malam itu dan pihaknya merampas heroin seberat 11.95 kilogram dianggarkan bernilai RM160,130, kafien seberat 25 kilogram (RM8,500) dan peralatan memproses dadah.

    Beliau berkata hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya membuat serbuan susulan di sebuah sebuah kuil di Jalan Ipoh dekat sini dan sebuah stor ternakan anjing di Kampung Baru Subang, Shah Alam serta menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 43 tahun. 

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak dua bulan lepas sekitar Lembah Klang dan dengan penahanan ini, kita berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang menjadikan kondominium  mewah sebagai tempat menjalankan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Turut dirampas dalam dua serbuan tersebut ialah empat kenderaan iaitu Proton Myvi, Proton Perdana, Nissan Navara dan Toyota Harrier.

    Sahar berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang dtahan, dua didapati positif dadah jenis THC manakala enam lagi negatif dadah. 

    Katanya, enam daripada suspek yang ditahan mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. 

    Kesemua mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari bermula 21 hingga 26 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

    Sementara itu, Sahar berkata seorang pelajar warga asing dari sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam ditahan kerana disyaki memiliki cecair dadah jenis kanabis dianggarkan seberat 200.62 gram di Jalan Alamanda 2, Presint 1 Putrajaya dekat sini Selasa lepas. 

    Beliau berkata, pelajar lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada 6.35 petang dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif  dadah jenis THC.

    “Siasatan awal mendapati cecair kanabis ini digunakan dengan cara mengisi cecair tersebut di dalam rokok elektronik (vape) dan ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakan-rakan rapat suspek. Urusan jual beli dijalankan melalui media sosial dan cecair ini boleh memberi kesan yang mengkhayalkan seperti penggunaan dadah jenis ganja,” katanya. 

    Katanya, suspek direman 14 hari sehingga 5 Okt dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.- BERNAMA

  • Dua kes kencing tikus, satu rotavirus di Negeri Sembilan

    Dua kes kencing tikus, satu rotavirus di Negeri Sembilan

    JABATAN Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan bahawa terdapat dua kes Leptospirosis (kencing tikus) dan satu kes Rotavirus dilaporkan dengan pesakit kes berkenaan ditempatkan di Hospital Tuanku Jaa’far (HTJ), di sini untuk rawatan.

    Pengarah JKNNS Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata tiga pesakit itu dimasukkan ke HTJ selepas mengalami gejala demam, muntah dan cirit birit kerana mempunyai sejarah mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah minggu lepas.

    “Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan masih menunggu keputusan ujian pengesahan Leptospirosis, penilaian risiko dan sampel persekitaran di kawasan berkenaan yang diambil pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah sebelum tindakan susulan dilakukan.

    “Sehubungan itu, jika sesiapa mempunyai sejarah perjalanan ke Ulu Bendul dan mempunyai gejala, boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Baru-baru ini, tular dalam aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat individu yang dijangkiti kencing tikus dan Rotavirus selepas mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah pada minggu lepas.

    Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) berkata kolam mandi Ulu Bendul ditutup sementara berkuat kuasa Jumaat lepas sehingga Ahad ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilakukan.

    “Penutupan itu dilakukan susulan dipercayai berlakunya penularan Rotavirus dan Leptospirosis di lokasi berkenaan. Ia ditutup sementara selepas disyorkan JKNNS supaya pihak berkenaan dapat melakukan siasatan dan analisa kes,” katanya.- BERNAMA

  • 3 lokaliti sekitar Pahang, Sabah bawah PKPD

    3 lokaliti sekitar Pahang, Sabah bawah PKPD

    TIGA lokaliti di Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 25 September sehingga 8 Oktober ini.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Pahang melibatkan Kampung Telimau, Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands dan PASDEC Damansara, Kuantan.

    “Satu kawasan di Sabah adalah di Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Terengganu esok.

    Rodzi berkata, ia membabitkan satu lokaliti di Pahang iaitu Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai, Lipis.

    “Lima lagi lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau; Sekolah Henry Gurney, Keningau; Taman Sungai Labuk, Beluran serta Kampung Timug, Matunggong, Kudat.

    “Selain itu, tujuh kawasan ditamatkan PKPD di Paka, Terengganu adalah di Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas,” jelasnya.

  • Kerajaan laksana NJCSP perkasa tenaga kerja Malaysia

    Kerajaan laksana NJCSP perkasa tenaga kerja Malaysia

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

    Perdana Menteri berkata, NJCSP akan disokong oleh lima petugas khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara.

    Beliau berkata, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu:
    *Meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik
    *Memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri
    *Memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa
    *Memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan
    *Memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden
    *Mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

    “Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung mesyuarat NEC kali ketiga yang diadakan semalam.

    Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, antara cadangan NJCSP adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program dan peluang yang ditawarkan.

    Ujar beliau, ini bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

    Menurutnya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.

    “Mesyuarat (NEC) juga bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

    “Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,” katanya.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada PERKESO.

    Beliau menambah, bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.

  • Sasaran 500,000 peluang pekerjaan bakal dicapai – PM

    Sasaran 500,000 peluang pekerjaan bakal dicapai – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan tahun ini bakal dicapai setelah lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan setakat bulan ini.

    Perdana Menteri berkata, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam dimaklumkan bahawa, pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September lalu.

    Ismail Sabri yang juga Pengerusi NEC berkata, kejayaan menempatkan pekerja itu adalah melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September ini.

    “Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    NEC ditubuhkan Mac lalu semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran.

    NEC merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar, strategi dan pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.

    Ia dianggotai oleh 12 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 12 wakil dari sektor swasta dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

    Ismail Sabri selain itu berkata, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

    “Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” tambahnya.

  • Dr. Marzuki dedah bagaimana Muhyiddin urus negara ketika Covid-19

    Dr. Marzuki dedah bagaimana Muhyiddin urus negara ketika Covid-19

    MUKADIMMAH :

    Berikut adalah wawancara portal ikatan.my dengan DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD. Beliau adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan.

    Dalam wawancara tersebut, Dr.Marzuki yang mengenali Muhyiddin ketika belajar di universiti menceritakan secara terbuka bagaimana bekas Perdana Menteri itu menguruskan negara yang berada dalam suasana cukup genting dan mencabar berikutan pandemik Covid-19.

    Banyak yang Dr.Marzuki dedahkan dalam wawancara tersebut bagi membolehkan orang ramai memahami apa sebenarnya dilakukan oleh Muhyiddin ketika serangan wabak itu.Berikut petikan wawancara tersebut;

    Mungkin Datuk dapat berkongsi sedikit dengan pembaca tentang bagaimana pada awalnya Datuk terlibat hingga dilantik menjadi KSU Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).

    DR.MARZUKI : Saya mula mengenali TSMY ketika zaman saya belajar di universiti lagi. Saya berkhidmat sebagai pelatih (intern) di sebuah pusat penyelidikan ketika itu sekitar tahun 1995-96.

    Pada masa itu TSMY adalah Menteri Belia dan Sukan dan saya melakukan penyelidikan dalam membantu menyediakan penulisan, kertas cadangan dan sebagainya. Selepas itu, ketika TSMY dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada tahun 2009, saya ditawarkan untuk bekhidmat sebagai Pegawai Khas kepada TPM.

    Pada masa itu saya mengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan saya dipinjamkan ke Pejabat TPM. Kemudian selepas PRU Ke- 13, TSMY minta  saya untuk melihat politik lebih sedikit. Jadi, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan.

    Semasa menjadi pegawai khas, tugas Datuk khususnya apa?

    DR.MARZUKI: Saya buat research (penyelidikan) mengenai dasar dan saya banyak membantu dalam hal-hal berkaitan pendidikan dan isu-isu sosial, NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan lain-lain. Kementerian Pendidikan pada masa itu membuat kajian berkenaan dengan Education Blueprint 2013-2025.

    Saya bertindak sebagai Liaison Officer (Pegawai Seranta) antara Pejabat TPM dan Kementerian Pendidikan pada masa itu. Kemudian selepas TSMY berada di dalam pembangkang, iaitu selepas beliau dipecat daripada Kabinet, saya balik mengajar di UIA dan saya terus membantu beliau.

    Selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum Ke-14 dan TSMY dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, saya kembali berkhidmat dengan beliau sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas (PTTK).

    Tugas saya adalah untuk melihat hal-hal berkaitan dasar dan hal ehwal parlimen. Setelah TSMY dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, saya diberi tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) Kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri sehingga beliau meletak jawatan pada 16 Ogos yang lalu.

    Ketika menjawat jawatan PM, bagaimana Datuk melihat karakter dan usaha TSMY apabila mengambilalih kerajaan sejak bulan Februari dan bulan Mac terus kita hadapi serangan Covid 19.

    DR.MARZUKI :  Saya memerhati dari segi kerja-kerja yang dibuat. Beliau fokus kepada tugas. Bila ada tanggungjawab, TSMY betul-betul melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau.

    Kalau ikutkan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, saya ingat dalam tempoh seminggu dua sahaja kita terus berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 dan saya lihat bagaimana kita tiada masa untuk honeymoon (bulan madu). Biasanya ada honeymoon period. (Kita) tiada. Kita terus buat kerja.

    Saya masih ingat lagi pada masa itu Tan Sri Muhyiddin berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan lockdown (kawalan pergerakan).

    Walaupun ada pelbagai pandangan tetapi beliau melihat bahawa pada masa itu, itulah cara yang paling sesuai diambil. Kita masih belum tahu the behavior of the virus (tindak-tanduk virus) di seluruh dunia. Ini suatu virus yang baru.

    Beliau buat keputusan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat. Ini soal nyawa dan telah ada orang-orang yang dijangkiti. Dalam mengawal virus ini daripada menular, banyak negara telah melaksanakan lockdown. Jadi itu satu keputusan berat yang diambil kerana ia melibatkan kesan terhadap kehidupan rakyat terutama sekali dari segi ekonomi.

    Jadi, kerana itu TSMY pada ketika itu nekad untuk melaksanakan lockdown. Mulanya untuk tempoh dua minggu, kemudian disambung dua minggu lagi dan ditambah lagi. Dalam membuat keputusan lockdown, beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Kena fikir dari segi kehidupan rakyat. Kerana itu diumumkan banyak pakej-pakej rangsangan ekonomi.

    Kalau kita tutup sahaja sektor-sektor ekonomi, tidak benarkan orang pergi bekerja tetapi tidak disediakan bantuan, mungkin dalam seminggu boleh tahan lagi. Tetapi masuk dua minggu tiada pendapatan, tiada simpanan. Kerana kebanyakan orang kita tidak menyimpan wang.

    Data menunjukkan mungkin kalau dia tidak bekerja, dia boleh bertahan paling lama sebulan. Selepas itu dia tidak boleh bertahan lagi dan terpaksa meminjam duit untuk beli makanan. Jadi, TSMY pada ketika itu meminta Menteri Kewangan supaya cari duit bagaimana hendak memberikan bantuan-bantuan ini.

    Akhirnya sepanjang kita berhadapan dengan pandemik ini, bukan setakat kita melaksanakan kawalan-kawalan pergerakan tetapi juga bantuan-bantuan diberi. Hampir setiap golongan masyarakat terima bantuan daripada sejumlah RM 530 billion pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan.

    Ini saya fikir satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah negara. Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit.

    Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ ada duit yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat. Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan. Bila ekonomi telah dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar.

    Tetapi yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat. Kita lihat dalam tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan.

    Ramai yang terkesan. Saya baru balik dari Langkawi untuk melihat sektor pelancongan yang baru dibuka. Itupun wisdom (kebijaksaan) juga kerana kita tengok sektor pelancongan ini adalah antara sektor yang paling teruk terjejas. Orang tidak boleh melancong kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak boleh bergerak ke sana sini.

    Jadi hotel, homestay (inap desa), pengusaha kenderaan pelancongan dan lain-lain banyak yang terjejas. Saya lihat data di Langkawi sahaja kerajaan membelanjakan lebih RM140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup. Kalau ditutup dan tiada maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak. Jadi mereka terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan.

    Ini kadang-kadang kita terlepas pandang. Jumlah subsidi upah yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung keseluruhan tetapi meringankan beban. Saya lihat ada yang tidak dapat terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP dilaksanakan dan mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan.

    Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita. Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat. Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN, PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain.

    Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita.

    Dalam masa kritikal itu, bagaimana beliau (TSMY) mengurus kabinet, ada tak perbezaan pandangan tentang aspek perlaksanaan SOP?

    DR.MARZUKI:  Ada banyak pandangan yang berbeza-beza. Saya hendak menceritakan lebih sedikit tentang Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tentang bidang kuasa MKN.

    Dalam Mesyuarat Sidang Khas MKN, beliau (TSMY) akan mendengar pandangan semua pihak dan akhir sekali akan membuat keputusan. Itu yang lama bermesyuarat sampai dua tiga jam. Nak tutup kilang ke, tak nak tutup kilang ke. Perbahasan tentang hal itu sahaja saya ingat mengambil masa yang lama.

    Banyak keputusan dibuat secara kolektif kerana kesan keputusan itu amat besar kepada rakyat dan negara. Maksud kolektif ini, TSMY tidak membuat keputusan secara bersendirian. Bukan beliau fikir hendak buat, beliau buat. Tidak. Setiap keputusan mesti dibuat di dalam mesyuarat.

    Saya boleh bagi contoh, Mesyuarat Sidang Khas MKN mengenai Covid19. Keputusan-keputusan mengenai SOP misalnya, itu semua dibuat di dalam Sidang Khas MKN. Diteliti dahulu di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang merangkumi pelbagai Kementerian dan agensi. Diperhalusi dan kemudiannya dibawa ke dalam Sidang khas MKN untuk diputuskan.

    Sidang Khas MKN bermesyuarat di peringkat awal dahulu tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini kerana kita tidak mahu nanti ada senggang masa yang lama antara setiap mesyuarat. Bila ada keputusan-keputusan penting yang perlu dibuat segera, ia boleh dibahas dan diputuskan dalam mesyuarat.

    Pada peringkat awal dahulu Sidang Khas MKN hanya melibatkan Menteri-Menteri Persekutuan dan pegawai-pegawai kanan di peringkat persekutuan. Tetapi TSMY memikirkan MKN ini ada struktur di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah. Jadi tidak memadai Menteri-Menteri persekutuan sahaja yang terlibat kerana setiap keputusan yang dibuat mesti dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.

    Di peringkat negeri yang menjadi pengerusinya ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Jadi TSMY memikirkan perlu juga dijemput mereka ini hadir bersama-sama tidak kira samada negeri itu di bawah Perikatan Nasional atau pembangkang (Pakatan Harapan). Beliau kata jemput. Jadi sampai ke akhirnya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri-negeri pembangkang pun terlibat sama dalam membuat keputusan.

    Selangor misalnya yang menjadi pusat penularan Covid19 paling kritikal di Lembah Kelang. Banyak keputusan dibuat melibatkan MB Selangor yang hadir bersama dalam setiap mesyuarat. Sehinggalah akhirnya dibuat satu keputusan untuk mempercepatkan proses vaksinisasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Greater Klang Valley. Ditubuhkan Special Task Force for Greater Klang Valley (Pasukan Petugas Khas Lembah Klang) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. Itu dari segi tindakan kesihatan untuk menangani Covid-19.

    Dari segi vaksin, YB Khairy Jamaludin pada masa itu melancarkan Operation Surge Capacity (Operasi Peningkatan Kapasiti) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Kita lihat hari ini Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mencapai herd immunity (imuniti kelompok) paling cepat. Sekarang ini sudah mencapai lebih 100 peratus  sasaran imunisasi populasi dewasa.

    Ini adalah wisdom keputusan-keputusan yang dibuat secara kolektif. Bila buat keputusan, everybody must be collectively responsible for the decision made by the council (setiap orang mesti bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat oleh majlis secara kolektif). Jadi tidak boleh kata, ah… saya memutuskan benda lain. Tidak. You are part of the decision making process (kamu sebahagian daripada proses pembuatan keputusan). Dia mesti ambil tanggungjawab. Itu keputusan bersama.

    Yang kedua, kita dapat lihat kombinasi dari segi pelaksanaan keputusan yang dibuat. Ia dilaksanakan segera di peringkat negeri dan turun ke daerah-daerah. Ini yang dikatakan pengurusan Covid-19  melibatkan whole of government dan whole of society (keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat). Ia tidak hanya melibatkan Kementerian Kesihatan sahaja, ataupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sahaja, Polis sahaja. Tidak.

    Semua kementerian terlibat. Kementerian Pertanian misalnya mesti memastikan bekalan makanan cukup. Bila orang tidak bekerja, kita buat pengecualian untuk sektor pertanian. Kalau orang tidak pergi bertani nanti tiada siapa hendak membekalkan makanan, sayuran, ikan dan lain-lain yang melibatkan the whole supply chain (keseluruhan rantaian bekalan).

    Menyentuh mengenai supply chain ini saya hendak sebut juga mengenai isu kilang. Ini perdebatan besar. Berjam-jam berfikir, berbincang, berbahas dalam mesyuarat MKN. Nak tutup ke nak buka? Kalau buka berapa banyak kapasiti nak buka. 50 peratus ke, 80 peratus ke, nak tutup semua ke, tutup sebahagian ke. Macam-macam kita kena fikirkan kerana kesannya besar.

    Satu dari segi supply chain. Kalau kilang-kilang makanan tidak beroperasi semasa tempoh PKP, saya ingat kita nak cari susu, beras dan bahan makanan di semua pasaraya pun susah. Ini akan menimbulkan satu lagi krisis iaitu shortage in food supply (kekurangan bekalan makanan). Ini kita tidak boleh biarkan berlaku. Oleh kerana itu, kita kategorikan kilang yang boleh beroperasi antaranya kilang memproses makanan dan mana kilang yang kita boleh tutup dulu sementara.

    Penutupan kilang tidak boleh dibuat untuk tempoh yang lama. Ini kerana ia melibatkan global supply chain (rantaian bekalan global). Banyak kilang di negara kita yang membekalkan komponen ke negara-negara luar dan ini melibatkan pelaburan yang jumlahnya berbilion ringgit.

    Apabila mereka menghadapi masalah (kerana kilang ditutup), ibu pejabat syarikat-syarikat ini Amerika Syarikat contohnya menghantar bantahan kepada kita untuk tarik balik pelaburan. Kalau berbilion nilai pelaburan yang ditarik dari negara kita apa kesannya? Kesannya bukan kepada syarikat itu sahaja. Syarikat itu mungkin boleh melabur semula di negara lain. (Mereka) tiada kesan sangat.

    Tetapi kesannya amat besar kepada rakyat kita yang bekerja di kilang-kilang ini. Ada yang jadi engineer (jurutera), supervisor (penyelia), technician (juruteknik) dan lain-lain. Jadi, banyak kesan yang perlu kita fikirkan.

    Saya menerima banyak memorandum yang dihantar kepada TSMY oleh persatuan-persatuan pengilang dan sebagainya dan mereka meminta supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat. Jadi, kerajaan bawa balik perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat MKN.

    Bukan bila kita buat keputusan dan ada respon, kita biarkan. Tidak. Kita bincangkan balik dalam mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Teknikal, dibawa semula ke Sidang Khas MKN dan Perdana Menteri buat keputusan setelah meneliti pandangan yang pelbagai.

    Kita lihat dalam masyarakat kita pun ada yang kata tutup, ada yang kata buka. Macam-macam. Tetapi sebagai pemimpin, TSMY mesti buat keputusan. Tidak boleh dibiarkan tiada keputusan. Bila dibuat keputusan pula ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju. Yang tidak bersetuju akan kata ini kerajaan gagal. Yang setuju diam-diam.

    Saya pun perhati juga dalam media sosial. Dia bersetuju tetapi dia diam. Yang tidak bersetuju expressed their anger (menyerlahkan kemarahan mereka). Jadi nampak macam semua tidak betul dan gagal.

    Tetapi, I think on hindsight (saya fikir dengan pengalaman yang lalu), strategi  kita di peringkat awal ialah membuat kawalan pergerakan. Tetapi pada masa yang sama kita tahu bahawa kita tidak dapat mengawal pergerakan rakyat selama-lamanya. We must have an exit plan (kita mesti ada jalan keluar) dari masalah pandemik. Exit plan ini telah dirancang lebih awal.

    Kerana itu kita ada Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita sudah letakkan fasa-fasa peralihan, nilai ambang dan sebagainya. Tengok dari segi kapasiti katil hospital, tengok dari segi jumlah kes harian, death rate (kadar kematian), immunisation rate (kadar imunisasi) dan lain-lain. Kerana itu, hari ini kita telah dapat lihat hasil daripada strategi kita mempercepatkan proses vaksinasi.

    Awalnya kita menjangkakan sasaran vaksinasi 80 peratus populasi dewasa akan dicapai pada suku pertama tahun hadapan. Tetapi oleh kerana kita lihat bahawa masalah ini menjadi semakin teruk, dengan kes meningkat dengan begitu banyak, kerajaan memutuskan supaya kita mempercepatkan proses vaksinasi.

    Jadi hendak mempercepatkan proses vaksinasi ini ada dua aspek. Pertama, kita kena pastikan bekalan yang mencukupi. Kerana bekalan ini bukan kita beli hari ini sejuta, esok sampai sejuta. Kita beli sekitar 80 juta dos vaksin dengan jadual penghantaran yang telah ditetapkan. Dalam 3 bulan ke hadapan, 6 bulan ke hadapan baru sampai.

    Jadi, kerana itu TSMY sebagai PM pada ketika itu membuat keputusan. Pertamanya, pada peringkat awal ada COVAX Facility di bawah United Nation (UN) yang membekalkan vaksin. Kalau kita ingat di peringkat awal dahulu vaksin tiada lagi. Tetapi fasiliti ini telah memulakan usaha untuk mengeluarkan vaksin dan negara kita mesti bayar dahulu wang pendahuluan untuk buat tempahan. Vaksin tiada lagi tetapi bayaran pendahuluan mesti dibuat.

    Kalau kita tengok dari segi kebiasaannya, kita tiadak buat perkara seperti itu. Kita hendak beli barang, barang itu mesti ada dahulu, baru kita beli. Tetapi kalau kita tunggu barang itu ada dahulu baru hendak beli, sedangkan barang itu adalah hot item (barang laris), dan kita lambat membuat pesanan, penghantarannya boleh tertangguh sehingga empat, lima atau enam bulan. Akan berlaku keadaan di mana kita sepatutnya sudah boleh mulakan program vaksinasi tetapi kita tidak boleh mula lagi sebab vaksin tidak sampai.

    Jadi, TSMY buat keputusan untuk bayar wang pendahuluan RM400 juta walaupun vaksin belum ada. Tawakkal. Kenapa? Kerana ini soal hendak menjaga nyawa rakyat. Jadi, Pfizer kita beli, Sinovac kita beli, Sinopharm kita beli. Whatever available (apa yang tersedia) kita tempah, kita beli.

    Keduanya, dalam proses ini kadang-kadang jadual penghantaran terganggu. Sedangkan kita ada jadual vaksinasi sehingga bulan berapa kita mesti capai sasaran 200 ribu suntikan sebulan, 500 ribu suntikan sebulan dan sebagainya. Kalau bekalan vaksin tidak sampai kita hendak cucuk macam mana? Pusat Pemberian Vaksin ada, kakitangan ada, tetapi vaksin tidak ada.

    Jadi perkara ini dibincang dalam Kabinet. Kadang-kadang dibawa Kertas Jemaah Menteri untuk memohon kelulusan bagi pembelian vaksin tambahan. Tengok mana yang ada. Pfizer lambat sampai, Sinovac ada, beli Sinovac. Ini untuk memastikan supaya jadual vaksinasi tidak terganggu. Jadi kerana itu, daripada asalnya kita hendak mencapai sasaran herd immunity (imuniti kelompok) pada suku pertama tahun hadapan, kini kita boleh capai lebih awal.

    Sektor-sektor ekonomi boleh dibuka lebih awal. Sektor pelancongan misalnya, dibuat keputusan dahulu supaya dipercepatkan proses vaksinasi di pulau-pulau pelancongan. Di Langkawi dipercepatkan. Jadi orang Langkawi dapat vaksin lebih awal. Begtu juga di Pulau Redang, Pulau Pangkor, Pulau Perhentian, supaya sampai suatu ketika kita boleh buka sektor pelancongan, orang boleh pergi melancong dengan selamat.

    Semalam (16 Sept ) Pulau Langkawi telah dibuka kepada pelancong. Saya diberitahu ketibaan pelancong sekitar 5,000 orang. Hotel dan kedai sudah mula dibuka walaupun belum mencapai 100 peratus. Dijangkakan sehingga bulan Disember tahun ini, 400 ribu pelancong akan tiba di Langkawi sahaja. Ini bermakna kehidupan rakyat sudah mula bertambah baik dan InshaAllah kegiatan ekonomi akan bertambah rancak,

    Penduduk setempat pun berasa lebih yakin untuk menerima pelancong kerana mereka telah dapat double dose (vaksin lengkap). Mereka boleh berniaga, bawa teksi dan bekerja. Pelancong yang datang pun mesti buat ujian saringan Covid-19. Kalau negatif boleh pergi. Kalau positif, mesti kuarantin.

    Kita lihat proses vaksinasi di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Hasilnya, sektor-sektor ekonomi, keagamaan dan lain-lain sudah boleh dibuka. Dulu masjid pun kita tidak boleh pergi. Sekarang sudah dibuka walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad. Sekolah pun akan dibuka dan sekarang ini sedang dilaksanakan vaksinasi bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang akan bersekolah.

  • Kaji guna sistem sensor semasa ujian memandu

    Kaji guna sistem sensor semasa ujian memandu

    KEMENTERIAN Pengangkutan sedang menjalankan melaksanakan kajian berhubung penggunaan sistem sensor bagi ujian memandu di negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penggunaan teknologi sistem sensor berkenaan berupaya menambah baik proses pembelajaran selain meningkatkan integriti ujian yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Sebagai contoh, kenderaan yang digunakan individu untuk mengambil ujian JPJ bukan sahaja dilengkapi kamera keselamatan bagi tujuan rakaman, malah kita meletakkan sensor pada kenderaan terbabit.

    “Tiang parkir juga akan dipasang kamera dan sensor bagi menangani isu integriti yang banyak dipersoalkan ramai pihak dan mengaitkannya dengan rasuah,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran) yang meminta penjelasan mengenai inisiatif penggunaan teknologi internet atau kecerdasan buatan (AI) dalam Industri Latihan Pemanduan (ILP).

    Menjawab soalan asal Zakaria mengenai usaha dilakukan kementerian dalam menangani masalah dihadapi ILP akibat pandemik COVID-19, Ka Siong berkata, institut memandu di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu.

    Menurut beliau, kebenaran pembukaan ILP itu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Di samping itu, lanjutan Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh melebihi dua tahun bermula 13 Januari lalu juga dilanjutkan sehingga tahun hadapan iaitu 30 Jun 2022.

    “Tempoh lanjutan dibenarkan untuk membantu mereka yang tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen dan menduduki ujian memandu akibat penutupan pengoperasian Institut Memandu yang dianggarkan lebih kurang 462,000 calon yang dikatakan ‘backlog’ ini,” jelasnya.

    Beliau berkata, lanjutan tempoh itu akan membolehkan pihak institut memandu mengaturkan ujian untuk semua calon dengan JPJ serta dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.