Category: Semasa

  • Pekerja Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi

    Pekerja Indonesia maut dikisar jentera palong bijih besi

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pekerja lelaki warga Indonesia ditemui maut setelah dikisar jentera palong bijih besi dalam kejadian di Kampung Aring 5, Gua Musang, semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai Sakdan, 36, dipercayai terjatuh ke dalam jentera lombong bijih besi tersebut sebaik sahaja seorang rakannya cuba menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada pukul 8.40 pagi ketika mangsa melakukan pemeriksaan pada mesin lombong tersebut.

    Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan mangsa merupakan tugas biasanya setiap pagi bagi memastikan jentera berada dalam keadaan baik sebelum memulakan operasi.

    Beliau berkata, ketika mangsa berada di atas jentera palong lombong bijih itu, seorang rakannya pula berada di tempat suis mesin tidak jauh dari situ.

    “Setelah mangsa berpuas hati dengan keadaan mesin berkenaan, dia memberi arahan kepada rakannya supaya menghidupkan suis bagi memulakan operasi.

    “Namun, sebaik jentera dihidupkan, rakan mangsa turun ke bahagian bawah jentera dan ternampak mangsa berdiri di atas jentera yang bergetar dengan kuat,” katanya hari ini.

    Sik memberitahu, rakannya tidak sempat mematikan suis sebelum ternampak mangsa terjatuh ke dalam jentera tersebut.

    Menurut beliau, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12 tengah hari terus bergegas ke lokasi kejadian.

    Ujarnya, mangsa yang baru sahaja bekerja di lombong tersebut dua minggu lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.

    Beliau memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dirujuk kepada Kedutaan Indonesia bagi urusan selanjutnya.

  • Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah direman enam hari bermula semalam.

    Perintah reman hingga 29 September ini dikeluarkan ke atas suspek berusia 22 tahun bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika memaklumkan perkara itu turut memberitahu perkembangan keadaan mangsa.

    “Bayi masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pengasuh wanita tempatan disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan.

    Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Polis kemudiannya bertindak menahan suspek.

  • Covid-19:250 kematian semalam, Selangor tertinggi

    Covid-19:250 kematian semalam, Selangor tertinggi

    SEBANYAK 250 kematian akibat jangkitan Covid-19 dicatatkan di seluruh negara semalam sekali gus menjadikan kumulatif kematian wabak itu di Malaysia setakat semalam ialah sebanyak 24,931 kes.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes kematian di luar hospital (BID) dilaporkan.

    Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (24 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 91 kes kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan.

    Sementara itu, Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi dengan 65 kes diikuti Sabah (43), Johor (41), Pulau Pinang (20), Sarawak (16), Kelantan (14) dan Perak (14).

    Negeri lain merekodkan kematian di bawah paras 10 kes iaitu Pahang (9), Kedah (6), Terengganu (6), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (3) dan Perlis (3).

    Tiada kematian baru dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

  • 59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    SEBANYAK 19,336,889 orang atau 59.2 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sebanyak 22,599,346 orang atau 69.2 peratus dari populasi negara telah menerima sekurang-kurangnya satu daripada dua dos vaksin atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    Katanya, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 82.5 peratus telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin manakala 93.6 peratus lagi menerima satu dos atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    “Selain itu, sebanyak 22.1 peratus remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 0.8 peratus lagi lengkap divaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 41,847,256 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya, hari ini.

    Dalam pada itu, KKM berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 273,373 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 116,881 dos pertama diberikan manakala 156,492 lagi melibatkan dos kedua.

  • Agong, Raja Permaisuri berkenan lawat Suruhanjaya Tinggi M’sia di UK

    Agong, Raja Permaisuri berkenan lawat Suruhanjaya Tinggi M’sia di UK

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat  Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada Jumaat.

    Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 4.30 petang (waktu tempatan) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar dan isteri, Nor Aini Abd Rahman serta para kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

    Pada lawatan selama dua jam itu, Seri Paduka berdua telah berkenan menerima persembahan taklimat daripada Zakri.

    “Menzahirkan keperibadian tinggi baginda berdua, Seri Paduka berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti rakyat Malaysia di London pada Majlis Santapan Teh Diraja,” menurut Istana Negara menerusi kenyataan dalam laman Facebook hari ini.

    Lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan sesi bersama rakyat Malaysia di London itu adalah antara atur cara Lawatan Khas Seri Paduka berdua ke United Kingdom (UK) selama 10 hari bermula 17 Sept lepas.

    Menurut Istana Negara, hari ini, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford manakala Tunku Hajah Azizah dijadual berangkat melawat Victoria and Albert Museum di London.

    Dalam lawatan khas berkenaan, Yang di-Pertuan Agong turut dijadual berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

    Seri Paduka turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

    Carter juga pernah menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.

    Usai lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Dis 2019.- BERNAMA

  • PM bentang RMK-12 Isnin ini, kebajikan jadi keutamaan

    PM bentang RMK-12 Isnin ini, kebajikan jadi keutamaan

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat, Isnin ini.

    Ismail Sabri dijadual membentangkan RMK12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 itu pada 11.30 pagi selepas sesi soal jawab lisan.

    Berhadapan pandemik COVID-19 di penghujung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lepas kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang pada Isnin ini.

    Bersesuaian tema Keluarga Malaysia, RMK12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan perlindungan sosial masyarakat yang merupakan penggerak ekonomi negara dengan projek-projek pembangunan akan turut lebih berpaksikan rakyat berbanding projek-projek mega baharu.

    Ini sepertimana dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini bahawa pandemik COVID-19 yang berpanjangan sejak awal tahun lepas telah mengubah corak perbelanjaan kerajaan dalam merangka masa depan negara yang kini lebih menumpukan kepada perkembangan pascapandemik bagi lima tahun akan datang. 

    Walaupun projek-projek mega baharu bukan lagi keutamaan, Mustapa berkata projek-projek mega sebelum ini yang sedang berjalan seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) Malaysia-Singapura akan terus dilaksanakan.

    Beliau berkata projek-projek baharu seperti pelabuhan dan lapangan terbang yang boleh membantu meningkatkan ekonomi negara sudah pasti akan dirancang kerajaan dalam belanjawan tahunan sebaik ekonomi negara kembali pulih yang dijangka pada 2023.

    Selain itu, sepertimana Rancangan Malaysia yang lain sejak mula diperkenal pada 1966, fokus kerajaan dijangka akan turut menjurus ke arah merapatkan jurang pembangunan antara negeri dengan lebih banyak perbelanjaan negara akan diagihkan bagi membangunkan negeri-negeri kurang maju.

    Sementara itu, menurut portal rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, RMK12 merupakan bahagian terakhir dalam Pelan Pemulihan Negara di bawah pendekatan 6R iaitu ‘reform‘ (resolve, resilient, restart, recovery, revitalise) yang akan membina asas kukuh dalam membentuk sebuah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi dengan pengagihan yang lebih saksama. 

    Ini sekali gus bagi membolehkan Keluarga Malaysia mengecapi kehidupan yang lebih bersatu padu, harmoni dan bermaruah dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian.

    Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, sesi perbahasan RMK12 akan bermula pada 28 Sept hingga 4 Okt, sebelum penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan. – BERNAMA

  • PKPD di lima lokaliti di Sabah, Pahang mulai Ahad

    PKPD di lima lokaliti di Sabah, Pahang mulai Ahad

    TIGA lokaliti di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 26 Sept hingga 9 Okt ini susulan penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan itu.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad menerusi kenyataannya di laman Facebook berkata di Sabah, ia melibatkan Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd di Batu 46, Tulid, Keningau.

    Beliau berkata di Pahang pula, ia membabitkan Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab serta perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom, Mukim Ulu Jelai, Lipis.

    Sementara itu PKPD di Pos Sinderut Mukim Ulu Jelai, Lipis serta Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan dari hingga 9 Okt.

    PKPD di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang; Kampung Ulu Groh, Kampar, Perak dan Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.- BERNAMA

  • Pengasuh hempas kepala bayi tujuh bulan ditahan

    Pengasuh hempas kepala bayi tujuh bulan ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah ditahan polis.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek, 22, dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Jelas beliau, suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek berusia 22 tahun dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    “Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Menurutnya, mangsa ketika ini berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal.

  • Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Oleh:RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

    Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.

    “Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.

    “Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.

    Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

    “Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.

    Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.

    “Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.

  • Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan berkenaan pelaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak.

    Jelas beliau, perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan datang.

    “Di sini saya ingin maklumkan bahawa ada perbezaan antara dos ketiga dengan dos penggalak,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, Putrajaya, hari ini.