Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah ditahan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek, 22, dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

Jelas beliau, suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek berusia 22 tahun dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

“Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

“Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

Menurutnya, mangsa ketika ini berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here