Category: Semasa

  • Pembukaan Hospital Sri Aman dipercepatkan-Khairy

    Pembukaan Hospital Sri Aman dipercepatkan-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman, Kuching, selari dengan permintaan kerajaan negeri Sarawak yang memohon agar perkara itu disegerakan.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan itu akan dapat menampung keperluan fasiliti perubatan yang dihadapi Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

    Malah, katanya ia secara tidak langsung akan mengurangkan beban ditampung HUS dalam menguruskan pesakit Covid-19 dan pesakit lain yang memerlukan perhatian pakar.

    “Kita (KKM) telah menerima permintaan daripada kerajaan negeri untuk membuka Hospital Sri Aman secepat mungkin.

    “Kita sedang melihat bagaimana kita hendak mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman. Ini kerana apabila hospital dibuka ia akan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh HUS di Kuching,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini.

    Untuk rekod, Hospital Sri Aman yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini menelan belanja sejumlah RM192 juta melibatkan dua fasa pembinaan.

    Hospital ini bakal menempatkan 108 katil dan dilengkapi peralatan perubatan pakar yang akan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat.

  • Kes baharu Covid-19 turun lagi kepada 13,104

    Kes baharu Covid-19 turun lagi kepada 13,104

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES Covid-19 di Malaysia mencatatkan penurunan iaitu 13,104 kes hari ini berbanding 13,899 kes, semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui ciapan dalam laman Twitternya memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara kini ialah 2,198,235 kes.

    Pecahan kes mengikut negeri adalah seperti berikut:

    Sarawak – 2,943 (199,089)

    Selangor – 1,558 (672,150)

    Johor – 1,455 (190,770)

    Kelantan – 1,206 (110,880)

    Sabah – 1,078 (194,264)

  • MEDAC sasar bantu lebih 192,000 usahawan terjejas akibat Covid-19

    MEDAC sasar bantu lebih 192,000 usahawan terjejas akibat Covid-19

    KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan untuk membantu seramai 192,541 usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam masa terdekat.

    Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata bantuan itu adalah dengan cara mempermudahkan usahawan tersebut mendapatkan pinjaman yang disediakan oleh pelbagai agensi di kementerian berkenaan.

    “Kita akan berusaha untuk membantu semua usahawan daripada usahawan informal (peniaga kecil tidak berdaftar dan tiada syarikat) yang mungkin memerlukan pinjaman sekitar RM5,000, usahawan mikro yang mungkin memerlukan pinjaman RM10,000 atau RM20,000 sampailah ke usahawan industri kecil dan sederhana yang mungkin memerlukan pinjaman sehingga RM500,000.

    “Sebelum ini Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mahu semua menteri untuk mempunyai KPI yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari. Jadi sasaran untuk membantu lebih 192,000 usahawan ini adalah KPI saya,” katanya dalam sidang media selepas program penyerahan sumbangan kepada usahawan dan keluarga terjejas banjir pada 18 Ogos lepas di Yan hari ini.

    Katanya, agensi yang menawarkan pinjaman di bawah MEDAC juga telah diminta untuk tidak terlalu bergantung kepada rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dalam menentukan kelayakan usahawan yang memohon pinjaman.

    Dalam pada itu, Noh berkata pihaknya juga sedang menyusun semula semua 11 agensi di bawah MEDAC yang menyediakan kemudahan pinjaman agar peranan setiap agensi tersebut dapat dioptimumkan dan lebih fokus kepada golongan sasar.

    “Semua agensi ini menawarkan kemudahan pinjaman dan ada had pinjaman tersendiri…ini yang sedang kita susun supaya agihan ataupun pembahagian pinjaman ini dapat diselaraskan supaya tidak mengelirukan rakyat dan benar-benar dapat melahirkan ‘bangsa usahawan’,” katanya.

    Terdahulu pada majlis tersebut, Noh menyampaikan sumbangan daripada Bank Rakyat berjumlah RM168,000 kepada 168 usahawan di daerah ini yang terjejas banjir ekoran fenomena kepala air pada 18 Ogos lepas.

    Selain itu, bank berkenaan juga menyumbang sejumlah RM40,000 untuk diagihkan kepada 200 keluarga di daerah ini yang terkesan akibat bencana itu. – BERNAMA

  • Perjelas dakwaan terowong dasar laut diganti jambatan

    Perjelas dakwaan terowong dasar laut diganti jambatan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang didesak menjelaskan mengenai status sebenar projek terowong dasar laut yang kini didakwa akan digantikan dengan jambatan yang merentasi Selat Pulau Pinang.

    Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, dakwaan itu menimbulkan persoalan khususnya berkenaan tanah milik penduduk Pulau Pinang yang telah digunakan untuk membayar kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut sebelum ini.

    Ujar beliau, sekiranya benar terowong dasar laut itu akan digantikan dengan jambatan, maka bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil semula tanah yang telah diberikan kepada konsortium sebagai pembayaran kajian kebolehlaksanaan projek tersebut yang kini telah dimajukan dan dibina kondominium mewah.

    “Selepas hampir 10 tahun berlalu, mengapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru memberitahu penduduk Pulau Pinang yang mana pembinaan jambatan lebih sesuai daripada membina terowong dasar laut?

    “Sedangkan kerajaan negeri telahpun membelanjakan RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Dalam masa sama ujar Toh Keong, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menjelaskan mengapa konsortium yang bertanggungjawab dalam projek terowong dasar laut itu mencadangkan kepada untuk mengantikannya dengan jambatan sepanjang lima kilometer.

    Malah katanya, difahamkan kos untuk membina jambatan merentasi Selat Pulau Pinang itu adalah RM3 bilion iaitu hanya separuh daripada kos RM6.3 bilion untuk membina terowong dasar laut.

    “Dengan perkembangan terkini isu projek terowong itu, ramai berpendapat projek terbabit sebenarnya tidak wujud dan kerajaan negeri perlu menjawab perkara ini terutama mengenai persoalan bagaimana wang yang telah dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan dapat dituntut semula bagi pihak rakyat Pulau Pinang,” katanya.

  • Bayaran BPR Fasa 3 dikredit mulai Selasa – PM

    Bayaran BPR Fasa 3 dikredit mulai Selasa – PM

    PEMBAYARAN Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembayaran itu yang akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR dijangka selesai pada 30 Sept. 

    “Bayaran Fasa 3 dan rayuan BPR ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata untuk Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima.

    Bayaran dibuat mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak, katanya.

    Ismail Sabri menjelaskan pembayaran Fasa 3 adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima oleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

    Perdana menteri berkata kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela.

    Katanya antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak pada Oktober hingga Disember 2021.

    “Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

    “Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga PSSS dijangka beroperasi tahun depan

    Tiga PSSS dijangka beroperasi tahun depan

    SEBANYAK tiga Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang ditubuhkan sebagai inisiatif untuk menangani isu berkaitan keganasan rumah tangga serta masalah sosial, dijadualkan mula beroperasi pada suku pertama 2022.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata PSSS berkenaan melibatkan Kelantan, Selangor dan Johor dengan peruntukan RM21 juta bagi kos penyelenggaraan kompleks atau bangunan milik agensi kerajaan terlibat bagi tujuan penubuhan pusat itu.

    Beliau berkata peruntukan tersebut turut membabitkan pewujudan PSSS Mobile (pusat sokongan bergerak) di Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya yang akan menumpukan kawasan padat penduduk seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan ia dijangka mula memberi perkhidmatan pada bulan depan.

    “PSSS ini merupakan salah satu inisiatif KPWKM untuk menangani isu keganasan rumah tangga dan isu berkaitan masalah sosial dengan pusat ini akan turut menempatka unit bimbingan dan kaunseling.

    “PSSS ini juga menyediakan penempatan sementara bagi mangsa-mangsa yang memerlukan penempatan. Selain itu, kita juga dapat bantu mereka secara bersemuka dan juga intervensi serta perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga serta lain-lain bentuk bantuan kebajikan bagi jangka masa panjang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak penubuhan PSSS dan majlis penyerahan kunci daripada Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud sebagai simbolik pembangunan pusat berkenaan di Kuarters Kampung Kastam di Rantau Panjang, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri KPWKM merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha KPWKM Dr Maziah Che Yusof.

    Mengulas lanjut, Rina berkata beberapa kakitangan KPWKM juga akan ditempatkan di setiap PSSS bagi menjadikan pusat itu sebagai satu kompleks untuk kementerian berkenaan sekali gus dapat mendekatkan KPWKM dengan masyarakat setempat.

    Menjelaskan pengambilalihan Kuarters Kampung Kastam, beliau berkata ini merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kos serta mempercepatkan penubuhan PSSS berbanding membangunkannya di bangunan baharu.

    “PSSS di Kuarters Kampung Kastam ini adalah pertama di Kelantan. Sementara bagi Selangor dan Johor masih lagi dalam proses untuk mengenal pasti kawasan dan lokasi. 

    “Tempat alihan ini melibatkan Kompleks Kerajaan dan tanah milik kerajaan, jadi KPWKM guna pakainya,” katanya. – Bernama

  • Ujian lesen memandu tertunggak dijangka selesai penghujung Disember – JPJ

    Ujian lesen memandu tertunggak dijangka selesai penghujung Disember – JPJ

    ISU ujian lesen memandu tertunggak melibatkan 462,124 calon bagi semua jenis kelas kenderaan di seluruh negara dijangka selesai selewat-lewat penghujung Disember depan.

    Justeru kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Perancangan dan Operasi, Aedy Fadly Ramly, bagi menangani isu tersebut, pihaknya akan menambah sehingga 20 peratus bilangan penguji di semua 232 institut memandu (IM) seluruh negara.

    Menurut beliau, setakat ini terdapat seramai 530 bilangan penguji dan akan ditambah 10 hingga 20 peratus lagi bagi melancarkan proses ujian calon tertunggak itu.

    “Senarai calon setiap negeri telah dihantar ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya bagi mengenalpasti bilangan penguji tambahan yang akan dihantar bersesuaian dengan kuota calon yang ada di Institut memandu terbabit,” katanya pada sidang media selepas melawat Institut Memandu Bitara, di Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini

    Turut hadir ialah Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

    Selain itu, Aedy Fadly turut menyarankan agar setiap Institut Memandu memberi keutamaan kepada calon tertunggak yang disebabkan proses tergendala ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Sementara itu, beliau memberitahu, JPJ akan terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua Institut Memandu secara berkala mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

    Setakat ini katanya, hasil pemantauan dibuat khususnya di Terengganu, mendapati kebanyakan Institut Memandu beroperasi mengikut SOP ditetapkan.

    “Pemantauan adalah untuk mengesan kes melibatkan penerimaan calon bukan warganegara, tidak mengemaskini senarai Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM), pemasangan cermin gelap kenderaan serta gagal menyediakan senarai kenderaan ujian dan senarai petugas pada hari ujian,” jelas beliau.

  • Harta pegawai kanan SPRM berjumlah RM1.6 juta disita

    Harta pegawai kanan SPRM berjumlah RM1.6 juta disita

    SEBUAH rumah, beberapa kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM1.6 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.

    Sinar Harian hari ini melaporkan, penyitaan tersebut melibatkan sebuah rumah, dua buah kereta jenis Mercedes dan Honda Type R dan dua motosikal jenis Ducati.

    “Penyitaan dilakukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan agensi berkenaan bersama dua lagi pegawai berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan,” kata sumber, semalam.

    Dalam pada itu, satu kenyataan akhbar akan dibuat oleh pihak SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat

    Khamis lalu, PDRM mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan SPRM pada Selasa, untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api serta peluru.

    Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu.

    Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bremula Selasa sehingga Ahad ini.

  • Gaya hidup sihat,makanan seimbang rahsia Bahrum kini berusia 100 tahun

    Gaya hidup sihat,makanan seimbang rahsia Bahrum kini berusia 100 tahun

    AMALAN gaya hidup sihat seperti bersenam serta pemakanan yang seimbang sejak diusia muda adalah rahsia bekas guru, Bahrum Basar, kekal gagah walaupun usianya kini genap satu abad.

    Bahrum yang menyambut hari lahirnya ke-100 semalam masih melakukan rutin harian yang sama seperti berjalan kaki pada setiap pagi dengan ditemani salah seorang anaknya bagi mengekalkan kesihatan serta kecerdasan fizikal dan mentalnya.

    Antara amalan lain adalah pemakanan yang menurut beliau, hanya makan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja serta tiada sebarang pantang larang, sebaliknya hanya membanyakkan memakan sayur dan buah-buahan.

    “Dalam ilmu perantauan saya pegang, makan di waktu lapar dan minum waktu haus. Kita tahu sukat (sukatan) berapa banyak yang mahu (perlu) makan dan minum,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman anaknya di Damansara Heights di sini, semalam.

    Jika kebiasaannya golongan seusianya dilihat sudah uzur dan tidak lagi dapat membaca atau menulis, namun berbeza pula dengan Bahrum yang masih berupaya melakukan aktiviti itu, malah mahir menggunakan teknologi seperti komputer riba bagi mendapatkan bahan bacaan.

    Katanya setiap pagi beliau akan membaca surat khabar elektronik untuk mengikuti perkembangan semasa tempatan dan global, di samping mengekalkan kecerdasan minda.

    Pada usia mudanya anak kelahiran Kerling, Selangor ini banyak merantau di seluruh pelosok negara dan melalui pelbagai zaman termasuk ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada era 40-an, malah pernah mengajar di sebuah sekolah Jepun di ibu kota.

    Mengimbas kembali perjalanan hidup, Bahrum yang mendirikan rumah tangga dengan arwah isterinya Rasinah Nazar pada 8 April 1951 telah dikurniakan 11 cahaya mata, dan kini mejadi datuk kepada 28 cucu serta 25 cicit.

    Sebelum menimang anak keenam, beliau membuat keputusan untuk menetap di kampung isterinya di Lenggeng, Negeri Sembilan pada tahun 1961 dan mengusahakan pertanian seperti kebun dan sawah padi.

    Ditanya mengenai pengambilan vaksin COVID-19, penulis buku autobiografi ‘Gedung Cinta Kunci Setia’ secara peribadi amat berlapang dada untuk menerima suntikan, selaras dengan usaha kerajaan untuk membendung dan melindungi orang ramai daripada dijangkiti wabak itu.

    “Saya sudah ambil vaksin, lepas saya ambil vaksin saya rasa yakin untuk keluar rumah dan jalani rutin harian… kalau itu kebaikan (ambil vaksin), jangan takut,” katanya yang telah melengkapkan vaksinasi baru-baru ini.

  • Sarawak negeri pertama beri dos penggalak

    Sarawak negeri pertama beri dos penggalak

    SUNTIKAN penggalak bagi vaksin COVID-19 akan mula diberikan pada bulan depan kepada penduduk Sarawak yang sudah menerima dua dos suntikan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan ini Sarawak akan menjadi negeri terawal yang akan diberi suntikan penggalak kepada penduduknya.

    Pada peringkat awal kata beliau, dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi yang serius.

    “Kita dapati golongan ini yang mengalami gejala-gejala serius yang memerlukan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemungkinan meninggal dunia.

    “Kita akan mulakan Oktober ini sebaik sahaja garis panduan klinikal untuk dos penggalak siap,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani.

    Semalam Sarawak merupakan antara negeri terawal yang bakal melengkapkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila 89.3 peratus daripada populasi dewasanya telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

    Bagaimanapun Khairy tidak menolak kemungkinan dos penggalak itu akan diberikan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat di masa akan datang.

    “Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang berusia bawah 60 tahun dan sihat boleh nanti diberikan dos penggalak tetapi fokus kita pada ketika ini adalah golongan berisiko tinggi yang lebih cenderung dimasukkan ke ICU dan meninggal,” katanya.

    Beliau menjelaskan, di negara-negara lain juga mengamalkan perkara yang sama iaitu dos penggalak diberikan kepada warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi yang serius.

    Khairy berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat sendiri meluluskan suntikan dos penggalak kepada individu yang berusia 65 tahun ke atas.

    “Kita gunakan sumber yang ada pada ketika ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan dulu berbanding individu lain,” katanya.