YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) yang telah berakhir kelmarin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia di UK kerana ia merupakan peluang penting bagi Seri Paduka mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat walau di mana mereka berada.
“Sesi pertemuan diaspora Malaysia di UK telah dibahagikan kepada dua, yang pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada 24 September dan kedua di The Shire, London pada 26 September.
“Sesi di The Shire, London turut melibatkan kehadiran rakyat Malaysia yang berada di luar ibu kota London, termasuk dari Liverpool, Manchester dan Wales.
“Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan di negara itu,” katanya.
Lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke UK itu bermula 17 hingga 26 September dan kemudiannya Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September.
Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Disember 2019 – Bernama
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan berlaku sebarang kebocoran data peribadi melalui laman sesawangnya melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
LHDN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberitahu, pihaknya hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut di samping pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman berkenaan perkara tersebut.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media yang mendakwa berlaku kebocoran 4 juta data peribadi rakyat Malaysia yang kini ditawarkan untuk pembelian Internet.
“Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.
“LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini,” menurut kenyataan itu.
LHDN berkata, pihaknya memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.
Perkara tersebut didedahkan oleh seorang pakar IT, Adnan Shukor melalui ciapannya yang mana beliau turut mendakwa data tersebut boleh dibeli pada harga RM35,000.
Adnan turut berkongsi sebuah tangkap layar yang menunjukkan jualan yang menawarkan empat juta data peribadi yang bocor daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Agensi percukaian negara itu adalah salah satu dari 10 agensi kerajaan yang turut termasuk dalam platform myIDENTITY di mana data dari JPN dikongsi.
POLIS Pulau Pinang menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas 4.59 kilogram heroin bernilai RM61,573 dalam serbuan di dua lokasi berbeza di negeri itu.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Pulau Pinang di tepi Jalan Tun Hussein On, Seberang Jaya dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ketika ditahan polis turut merampas dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 907 gram bersama-sama suspek.
Susulan penahanan suspek katanya, polis menyerbu tapak parkir di sebuah kondominium di Golden Triangle di Relau, Bayan Lepas dan menjumpai lapan bungkusan dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Chevrolet.
Ujar beliau, lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak lima bulan lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas tersebut boleh digunakan seramai 22,957 orang jika terlepas ke pasaran.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methapetamine selain suspek turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
BERMODALKAN air liur, satu sindiket yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya ‘mengikis’ wang seorang pembantu kedai dobi hingga menyebabkan mangsa menganggung kerugian berjumlah RM23,900.
Terdahulu, mangsa yang berusia 23 tahun pada mulanya menerima panggilan kononnya daripada LHDN Kedah yang kemudian memaklumkan namanya disalahguna untuk pendaftaran syarikat dan mendakwa turut mempunyai tunggakan cukai.
Timbalan Ketua Jabatan Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Deputi Superintendan Mohd. Ridzuan Nor Ihsan berkata, ahli sindiket kemudian menasihati mangsa supaya membuat laporan polis bagi mengelak namanya mempunyai rekod buruk.
“Sindiket kemudian menyambung talian kepada pihak ‘polis’ kononnya untuk memudahkan mangsa membuat laporan penafian berhubung pendaftaran syarikat atas namanya yang didapati tidak sah.
“Selain itu, mangsa juga turut diminta membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia oleh sindiket terbabit dengan alasan untuk perlindungan akaun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Ridzuan berkata, mangsa yang yang sudah masuk perangkap itu hanya menurut arahan sindiket yang meminta dia menyerahkan kata laluan, nombor kad ATM, Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan ID pengguna dengan alasan ia untuk siasatan.
“Mangsa bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila mendapati RM23,900 dalam akaun bank miliknya lesap dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai diminta berhati-hati sekiranya menerima panggilan mencurigakan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559/1599.
SEORANG guru besar direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1,568, dua tahun lalu.
Suspek pada penghujung tahun 2019 dikatakan memperakukan pembayaran bagi program Majlis Sukan Negara (MSN), majlis perpisahan dan majlis hari jadi di sekolah tempatnya bertugas, namun dipercayai majlis berkenaan tidak dilaksanakan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Port Dickson, dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Syed Farid Syed Ali.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim, manakala suspek diwakili peguam, T. Sailaja.
Suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, Seremban, kira-kira 1.30 tengah hari semalam, selepas hadir memberikan keterangan, menurut laporan Berita Harian.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail, mengesahkan penahanan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
PINTU masuk antarabangsa Malaysia-Singapura di Johor, dilihat sesuai untuk dibuka semula apabila negeri itu memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menzahirkan pandangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, kerajaan perlu memulakan rundingan dengan Singapura berhubung perkara itu kerana tempoh tersebut dianggap waktu terbaik.
Menurutnya, Johor yang beralih ke Fasa 2 Jumaat lalu sudah bersedia untuk pembukaan sempadan dan sekiranya semua garis panduan dipenuhi, perkara itu akan menjadi asas kukuh untuk membuka sempadan sepenuhnya.
“Ini ditambah dengan penyertaan kerajaan negeri secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, segala data yang diperoleh kerajaan Johor akan dapat membantu.
Penduduk B40 mendapat empat barang keperluan harian dengan harga RM10 menerusi Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang
“Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuat penilaian risiko pembukaan sempadan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang, hari ini.
Che Zakaria berkata, Singapura dan Malaysia terutama Johor mempunyai kepentingan untuk pembukaan sempadan itu kerana banyak pelaburan republik itu berada di negeri ini sementara ramai rakyat Johor bekerja, bersekolah dan menetap di Singapura.
Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan antara laluan darat antarabangsa paling sibuk telah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, negeri itu akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal bagi membincangkan pembukaan sempadan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.
Kerajaan negeri sebelum itu mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bagi pembukaan semula sempadan negeri itu dengan Singapura selepas dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor.
Antara perkara yang dipersetujui untuk dicadangkan dalam SOP pembukaan sempadan itu adalah untuk menguatkuasakan Pengaturan Perjalanan Harian (DCA) bagi membolehkan rakyat berulang-alik dengan lebih mudah.
Mengikut pengumuman pada awal November tahun lalu, inisiatif DCA iaitu skim rentas sempadan ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dicadangkan kepada kerajaan Pusat.
Melalui skim itu, DCA akan mewujudkan gelembung perjalanan yang kebenarannya akan dibuat pada setiap 10 hari selepas permohonan diterima dengan rakyat dari kedua-dua negara dapat berulang-alik merentasi sempadan pada setiap hari sama ada untuk pekerjaan atau tujuan pendidikan.
Namun, inisiatif itu terpaksa ditangguhkan ekoran kes positif Covid-19 di negara ini yang kembali mencanak tidak lama kemudian.
Malah, pada 1 Februari lalu, Singapura turut menggantung RGL dengan tiga negara termasuk Malaysia selepas kerajaan republik itu menyatakan perlu memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadan bagi menangani risiko kes import Covid-19.
SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya sendiri, tahun lalu.
Tertuduh berusia 61 tahun yang juga seorang buruh membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan kes, warga emas tersebut didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di laman sebuah rumah di Pasir Puteh pada pukul 2 petang, Jun 2020.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan rakan kepada bapa mangsa yang dikhuatiri boleh mengganggu kanak-kanak tersebut.
Namun, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan di mana tertuduh diminta melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap bulan.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 20 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga menjatuhkan hukuman.
Tertuduh tidak membayar jaminan seperti ditetapkan mahkamah.
KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) belum menerima permohonan rasmi berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga bagi menggantikan terowong dasar laut daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang setakat ini.
Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung cadangan tersebut buat masa ini.
Bagaimanapun jelasnya, sama seperti permohonan projek lain, cadangan pembinaan jambatan ketiga itu kelak perlu mematuhi syarat ditetapkan kementerian terbabit terutama daripada segi kajian awal untuk menentukan sama ada projek itu benar-benar diperlukan atau sebaliknya.
“Jika projek ini diperlukan, kajian juga perlu dibuat untuk melihat kesannya kepada masyarakat serta persekitaran selain kajian daripada segi kos efektif, kos manfaat, analisis dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan Persekutuan dan Perasmian Projek Naik Taraf Jambatan di Nibong Tebal, hari ini.
Fadillah mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini yang tidak menolak kemungkinan membina jambatan ketiga di negeri itu bagi menggantikan projek terowong dasar laut yang projeknya mencetuskan kontroversi ketika ini.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja, bukannya untuk jambatan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, daripada sudut peranan KKR, pihaknya akan memberi keutamaan terhadap aspek teknikal kebolehlaksaan projek jambatan ketiga tersebut sekiranya benar-benar mahu dilaksanakan khususnya dari sudut kesan kepada sosial dan persekitaran.
SEORANG lelaki yang juga pemandu lori penghantar barangan maut selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di jalan berhadapan stesen televisyen RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, di sini pagi tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 11.46 pagi itu mengorbankan nyawa pemandu lori, Muhammad Mustaqim Ismandi, 23, yang ditemukan rentung selepas kenderaan itu terbabas lalu terbakar di tempat kejadian.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori seberat lima tan milik sebuah syarikat penghantar barangan.
Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit terperangkap di dalam lori ketika pihak bomba tiba di lokasi.
Mangsa yang terperangkap dalam lori yang terbakar disahkan meninggal dunia.
“Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dalam lori tersebut, anggota bomba segera membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa.
“Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Seramai 10 anggota bomba dari BBP Larkin bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), unit bermotor bomba dan pacuan empat roda Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Kata Mohd. Suhaimi, pasukan keluaran operasi bertindak menggunakan satu aliran salur bantu bagi memadamkan kebakaran yang menyebabkan 70 peratus kemusnahan pada lori tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja pemadaman masih lagi dilakukan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, difahamkan mangsa yang memandu lori berkenaan berkonvoi dengan sebuah lagi lori sebelum kejadian berlaku.
Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak kon yang berada di atas jalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan.