YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) yang telah berakhir kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia di UK kerana ia merupakan peluang penting bagi Seri Paduka mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat walau di mana mereka berada.

“Sesi pertemuan diaspora Malaysia di UK telah dibahagikan kepada dua, yang pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada 24 September dan kedua di The Shire, London pada 26 September. 

“Sesi di The Shire, London turut melibatkan kehadiran rakyat Malaysia yang berada di luar ibu kota London, termasuk dari Liverpool, Manchester dan Wales.

“Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga  keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan di negara itu,” katanya. 

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke UK itu bermula 17 hingga 26 September dan kemudiannya Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September.

Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Disember 2019 – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here