Category: Semasa

  • Lebih 1,600 penduduk terjejas banjir kilat

    Lebih 1,600 penduduk terjejas banjir kilat

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI kira-kira 1,600 penduduk di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru terkesan setelah kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami antaranya Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Laut di Skudai serta Jalan Permatang dan Jalan Denai Utama di Kempas.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, pihaknya menerima maklumat tentang banjir kilat kira-kira 6.50 pagi melibatkan beberapa lokasi berasingan.

    Menurutnya, banjir kilat itu berlaku berpunca hujan lebat yang turun kira-kira pukul 6 pagi dan berlarutan lebih dua jam.

    Katanya, susulan panggilan kecemasan diterima, beberapa pasukan bomba dari balai berhampiran digerakkan ke lokasi untuk tujuan pemantauan bagi memastikan tidak ada yang terperangkap dan tugas pemindahan sekiranya memerlukan.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima, banjir kilat menjejaskan lebih 1,600 penduduk, namun begitu kesemua lokasi tersebut tiada operasi pemindahan penduduk yang dilaksanakan. Paras air juga mula menunjukkan penurunan,” katanya hari ini.

    Sementara itu, beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan kawasan-kawasan di pusat bandar Johor Bahru turut terkesan ekoran banjir kilat.

    Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan tengah hari ini, paras air di kawasan terlibat telah surut.

  • Pemandu lori rentung pesan jangan ratapi pemergian

    Pemandu lori rentung pesan jangan ratapi pemergian

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERUBAHAN ketara Muhammad Mustaqim Ismadi ke arah yang lebih baik disedari ahli keluarganya sejak akhir-akhir ini sebelum pemandu lori syarikat logistik dan penghantaran bungkusan itu maut akibat kemalangan di Jalan Tasik Utara-Larkin, kelmarin.

    Ibunya, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata, perubahan anak sulungnya itu bukan hanya disedari ahli keluarga tetapi penduduk setempat dan rakan-rakan di tempat kerjanya.

    Malah, arwah juga pernah berpesan kepada ibunya agar jangan menangisi pemergian orang, tetapi sebaliknya mendoakan mereka setelah kehilangan ibu saudaranya akibat Covid-19, empat bulan lalu.

    “Kakak saya meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum ini, ketika saya sedang bersedih, Mustaqim nasihatkan agar jangan menangis sebaliknya sedekah doa.

    “Kerana katanya itu adalah perkara yang lebih baik untuk dilakukan berbanding hanya meratapi pemergian orang tersayang,” katanya di sini hari ini.

    Muhammad Mustaqim

    Selasa lalu, lori dipandu Muhammad Mustaqim terbabas melanggar pokok sebelum terbakar kerana dipercayai mengelak kon yang berada di atas jalan.

    Akibat kemalangan itu, mangsa yang mula berkhidmat dengan syarikat tersebut pada April lalu tersepit dan disahkan rentung setelah kenderaan itu terbakar.

    Terdahulu, keluarga mangsa menerima skim Faedah Orang Tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen bulanan RM1,333.50.

    Faedah disampaikan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang dan turut dihadiri Ahli Majlis Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

    Dalam pada itu, Maglita mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang bertindak pantas mengeluarkan anaknya daripada kebakaran tersebut.

    “Terima kasih kepada anggota bomba kerana tindakan pantas mereka memadamkan api, sekurang-kurangnya mayat tidak terlalu teruk terbakar,” ujarnya.

  • Demi mantapkan pemulihan ekonomi, nilai semula peranan GLC,GLIC – Muhyiddin

    Demi mantapkan pemulihan ekonomi, nilai semula peranan GLC,GLIC – Muhyiddin

    PERANAN syarikat-syarikat berkaitan kerajaan – GLC dan GLIC – perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

    Ketika menegaskan perkara itu Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

    ‘’Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara. Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.

    ‘’Kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

    ‘’Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan,’’ katanya.

    Beliau berkata,  penting dalam usaha untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan.

  • Pemuda maut motosikal ditunggang rempuh kereta dipandu wanita

    Pemuda maut motosikal ditunggang rempuh kereta dipandu wanita

    TINDAKAN seorang pemandu wanita yang dipercayai cuba membelok keretanya untuk pulang ke rumah secara tiba-tiba, menyebabkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki gagal mengelak lalu dirempuhnya dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kampung Relong, petang semalam.

    Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Che Muhammad Fikri Che Hussin, 21, dari Kampung Kemuning Berchang, disahkan meninggal dunia di hospital akibat cedera parah di kepala dan kaki.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor, berdasarkan siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Lipis untuk pulang ke rumahnya di Kampung Relong.

    Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta tersebut telah membelok ke kanan jalan secara tiba-tiba menghala ke arah Merapoh untuk pulang ke rumahnya.

    “Ekoran itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama secara tiba-tiba telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Menurut Azli, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal itu pula cedera parah dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuala Lipis pada pukul 7 malam tadi.

  • 1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas

    1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas

    SEBANYAK 1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth Pulau Pinang petang semalam selepas didapati cuba dibawa masuk tanpa permit import sah.

    Produk yang dimuatkan di dalam 1,800 pek seberat masing-masing satu kilogram itu dirampas ketika pemeriksaan rutin anggota jabatan berkenaam di tapak pemeriksaan Gudang Zon Bebas DAD pada pukul 5.40 petang.

    Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan mendapati keseluruhan makanan haiwan tersebut yang cuba dibawa masuk menggunakan sebuah kontena tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

    Antara makanan haiwan dari Itali yang dirampas kerana tiada permit import yang sah

    “Sehubungan itu, produk makanan haiwan bernilai RM10,557.85 tersebut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, perbuatan mengimport dagangan tanpa permit import Maqis yang sah adalah kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].

    Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” tambahnya.

  • Jangkitan bawah 18 tahun meningkat kepada lebih 400,000 setakat ini-Khairy

    Jangkitan bawah 18 tahun meningkat kepada lebih 400,000 setakat ini-Khairy

    JANGKITAN Covid-19 membabitkan golongan bawah 18 tahun meningkat lebih 400,000 tahun ini berbanding 12,000 tahun lalu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil langkah-langkah perlu bagi melindungi kumpulan berkenaan termasuk memulakan suntikan vaksin kepada golongan remaja antara umur 12 hingga 17 tahun.

    “Daripada jumlah itu (400,000), 252,569 membabitkan murid sekolah dan 42,831 kes adalah kenak-kanak prasekolah. Malah lebih membimbangkan, sebanyak 62 kes kematian dicatatkan.

    “Dalam hal ini, tanggungjawab kita bersama untuk terus memastikan anak-anak kita terhindar daripada Covid-19 dengan memastikan persekitaran yang selamat buat mereka, termasuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan perlindungan yang sewajarnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena webinar anjuran Kementerian Kesihatan bertajuk, ‘Hidup Bersama-Sama Virus COVID-19: Kanak-Kanak dan Remaja’ secara dalam talian, hari ini.

    Khairy berkata, ketika ini, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja sudah menerima dos pertama mereka.

    “Walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk Covid-19, tetapi ia belum cukup. Pembudayaan amalan normal baharu masih perlu terus dipraktikkan bagi memastikan kita dan anak-anak dapat menjauhkan diri daripada risiko jangkitan.

    “Antara langkah yang perlu kita amal kepada anak-anak merangkumi pemakaian pelitup muka sepanjang masa, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal.

    “Selain itu, terapkan etika batuk dan bersin dengan betul. Tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif. Memastikan pengudaraan yang baik di sekolah. Melaksanakan nyahcemar di sekolah serta melakukan saringan di pintu masuk sekolah,” katanya.

  • RM314 juta dibelanjakan setakat 30 Ogos menerusi PICK-Dr. Adham

    RM314 juta dibelanjakan setakat 30 Ogos menerusi PICK-Dr. Adham

    KERAJAAN membelanjakan RM314 juta untuk menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 30 Ogos lalu.

    Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, perbelanjaan tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM1 bilion yang diperuntukkan bagi program imunisasi negara.

    “Perbelanjaan tersebut meliputi kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV); pemantapan rangkaian integrasi data dan sistem proses pemberian vaksin; serta meningkatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin di setiap kawasan Parlimen.

    “Bagi kos pengoperasian, ia meliputi empat perkara iaitu perbelanjaan sewaan dan utiliti, perbelanjaan bagi pembersihan dan sanitasi, perbelanjaan bagi perkakasan dan alatan pakai habis serta perbelanjaan kebajikan petugas PPV.

    “Kerajaan telah mempertimbangkan dua perkara penting iaitu saguhati sukarelawan dan anggota keselamatan yang bertugas serta perbelanjaan makan dan minum petugas,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan lebih terperinci kos program vaksinasi yang telah dijalankan.

  • Maqis rampas daging wagyu dari Australia

    Maqis rampas daging wagyu dari Australia

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas daging lembu wagyu bernilai RM35,981 dari Australia di kawasan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

    Maqis Selangor menerusi kenyataan memberitahu, daging wagyu seberat 256.70 kilogram (kg) itu dikesan ketika pemeriksaan dijalankan pada jam 12 tengah hari.

    Jelas Maqis Selangor, daging wagyu tersebut dirampas kerana tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

    “Kesalahan mengimport dagangan hasilan haiwan tanpa mempunyai permit import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

    “Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti, kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita,” demikian menurut kenyataan itu.

  • Lima lagi PPS baharu dibuka di kedah

    Lima lagi PPS baharu dibuka di kedah

    LIMA lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 15 PPS terdapat di Kedah yang menempatkan 264 mangsa banjir daripada 99 keluarga setakat 8 pagi ini.

    Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS itu melibatkan empat di daerah Baling manakala selebihnya di Sik.

    “Empat PPS di Baling ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Surau Barakah Tembak B dan Kampung Padang Kupang manakala satu PPS lagi dibuka di SK Sik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Saifuddin berkata sebanyak 12 PPS beroperasi di Baling keseluruhannya yang menempatkan 235 mangsa daripada 89 keluarga manakala di Sik pula melibatkan 19 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di SK Gulau dan SK Sik.

    “Jumlah mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 10 orang daripada enam keluarga yang berada di SK Bukit Tampoi,” katanya.

    Lapan PPS lain yang masih aktif di Baling ialah SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung, Dewan Banggol Derom dan Maktab Mahmud Baling. – Bernama

  • Kenaikan bayaran pencen perlu kajian mendalam – Abd. Latiff

    Kenaikan bayaran pencen perlu kajian mendalam – Abd. Latiff

    KENAIKAN jumlah bayaran pencen bagi membantu pesara yang berhadapan masalah ekonomi ekoran COVID-19 perlu kajian yang lebih mendalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

    Ini menurutnya, memandangkan tidak kira sama ada ketika pandemik atau tidak, setiap pesara kini menerima kenaikan bayaran pencen sebanyak dua peratus setiap tahun sejak 1 Jan 2013.

    Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang mahu tahu sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan B40 selaras kenaikan kos sara hidup dan ramai yang kehilangan sumber pendapatan di kala pandemik ini. 

    Abd. Latiff berkata, satu kajian kini sedang disiapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantu pesara yang menerima bayaran pencen di bawah pendapatan garis kemiskinan yang kini ditetapkan pada kadar RM2,208 sebulan bagi menambah baik situasi ekonomi mereka.

    “Ini satu perkara sedang difikirkan, JPA dah buat kajian dan akan dibentang kepada perdana menteri sebelum dibuat memorandum Jemaah Menteri,” katanya. – Bernama