Category: Semasa

  • Sesi persekolah bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan, Langkawi

    Sesi persekolah bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan, Langkawi

    SESI persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.

    Di Terengganu yang berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi di bawah gelembung pelancongan dengan mengikut ketetapan Fasa 4 PPN, pembukaan sekolah di kedua-dua lokasi itu melibatkan masing-masing 35,438 dan 2,159 pelajar dan murid.

    Ini termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), murid berkeperluan khas (MBK) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah.

    Sementara di Kelantan yang berada di Fasa 2 PPN, hanya calon STPM semester dua, murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid PPKI yang akan hadir ke sekolah.

    Esok pula, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula di Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan dengan kehadiran pelajar mengikut Fasa PPN negeri masing-masing.

    Dalam perkembangan lain, pelajar di kelas dan tingkatan tertentu di Johor hanya dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka pada 10 Oktober ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, tarikh tersebut berdasarkan tempoh selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa, di mana Johor beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu.

    Menurutnya, timbul kekeliruan apabila terdapat sesetengah ibu bapa murid dan pelajar di negeri ini menghubungi sekolah masing-masing bagi mendapatkan penjelasan.

  • 87.2 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    87.2 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan, sebanyak 20,418,495 individu atau 87.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah selesai menjalani suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Berdasarkan data KKM menerusi portal COVIDNOW, kira-kira 2.8 peratus lagi untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa.

    “Sebanyak 94.3 peratus atau 22,070,545 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala tiga peratus atau 92,949 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah selesai divaksinasi.

    “Sejumlah 211,517 dos telah diberikan semalam dengan 89,695 melibatkan dos pertama manakala 121,822 dos kedua, menjadikan jumlah pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,145,505 dos, ” menurut data itu, hari ini.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, 109 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan 33 daripada jumlah itu membabitkan kematian dilaporkan berlaku di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,565.

  • Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar – Radzi

    Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar – Radzi

    SESI persekolahan secara bersemuka melibatkan 47,000 pelajar dan murid di Terengganu, Kelantan serta di Pulau Langkawi, Kedah yang bermula hari ini berjalan lancar.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhannya pihak sekolah berjaya mematuhi tatacara dan garis panduan yang ditetapkan bagi menghindari penularan pandemik COVID-19 dengan baik, termasuk aspek pengudaraan bilik darjah yang telah ditekankan kementerian sebelum ini.

    “Hampir semua kelas pengudaraannya berada pada tahap optimum dan murid-murid serta guru memakai pelitup muka di dalam kelas.

    “Semua berjalan baik termasuklah penggiliran murid di dalam kelas seperti yang kita umumkan sebelum ini bahawa setiap kelas hanya separuh murid bersemuka dan separuh lagi belajar di rumah.

    “Ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik dan kesesakan sewaktu kemasukan dalam sekolah dan penyuraian sekolah juga diharapkan dapat dilakukan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun di Dungun, hari ini.

    Terdahulu, Radzi turut meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Agama Marang di Marang dan SMK Tengku Intan Zaharah di Dungun.

    Sementara itu, Radzi berkata, lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

    Beliau berkata secara umum pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima setakat ini berjalan dengan baik dan peningkatan jumlah penerima vaksin dalam kalangan golongan tersebut berlangsung dengan agak cepat dan tersusun.

    “Hampir kesemua murid Tingkatan Enam dan Tingkatan Lima telah divaksinkan. Sekarang ini sedang dilaksanakan secara berperingkat, ada yang dilaksanakan mengikut sekolah seperti SMK Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu) hari ini yang merupakan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) untuk dua buah sekolah,” katanya.

    Dalam perkembangan sama Radzi berkata, tindakan tidak membenarkan lebih kurang 2,000 guru yang enggan menerima vaksin untuk mengajar secara bersemuka, tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah mahupun di rumah.

    “Kita sudah teliti mereka di sekolah mana dan mata pelajaran apa yang mereka ajar, sebab itu bila saya sebut bahawa ada kemungkinan besar kena ditukar, ini tak bermaksud apabila ditukar ke sekolah lain dan (mereka boleh) ajar bersemuka. Tidak.

    “Ada hampir semua guru yang mengajar subjek yang sama enggan divaksinkan. Sebab itu kita buat ketetapan guru-guru ini perlu dibawa keluar sebab itu ada pertukaran sama ada dalam atau luar negeri untuk memastikan perjawatan yang ada itu tidak terjejas. Buat masa ini guru-guru ini diberi tugasan yang lain,” katanya. – BERNAMA

  • Piala Sudirman: Ahmad Faizal kecam kenyataan berbaur perkauman

    Piala Sudirman: Ahmad Faizal kecam kenyataan berbaur perkauman

    MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengecam kenyataan berbaur perkauman dilemparkan seorang pengguna media sosial terhadap seorang pemain perseorangan negara yang beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

    Beliau berkata, tindakan berkenaan tidak boleh diterima lebih-lebih lagi pemain itu berjuang sehabis baik bagi mengharumkan nama negara.

    “Keluarga Malaysia ini umpama setandan pisang, ada yang elok, ada yang buruk dan ada juga yang tak tahu guna bahasa yang baik dalam berkata-kata tentang sesuatu perkara.

    “Kita ini terdiri daripada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Jangan hina bangsa, kulit dan agama lebih-lebih lagi mereka yang berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menziarahi satu keluarga yang memerlukan rumah di Kampung Manjoi, Ipoh hari ini.

    Terdahulu, kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan itu malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Mengulas prestasi atlet badminton negara dalam kejohanan Piala Sudirman 2021, Ahmad Faizal berkata, beliau kagum dengan semangat yang dipamerkan para pemain hingga layak ke peringkat separuh akhir.

    “Mereka janji dengan kita untuk ke peringkat suku akhir tetapi berjaya ke separuh akhir hingga semua (rakyat) tidak tidur malam melihat mereka bermain. Apakan daya kita tersingkir (separuh akhir) namun bagi saya mereka telah mempamerkan semangat yang begitu menakjubkan,” katanya.

    Ahmad Faizal berkata beliau berharap pemain badminton negara akan layak ke peringkat akhir Piala Thomas yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 17 Okt ini di Aarhus, Denmark bersandarkan persembahan di Piala Sudirman.

    “Namun apa yang kita harapkan daripada pemain ialah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan segala keputusannya (Piala Thomas) kita akan terima,” katanya. – BERNAMA

  • Belajar hidup ikut acuan endemik – KJ

    Belajar hidup ikut acuan endemik – KJ

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, rangkaian aktiviti harian sebelum pandemik Covid-19 boleh dilaksanakan menerusi pendekatan berbeza, selari peralihan ke fasa endemik menjelang hujung bulan ini.

    Ini kerana, katanya kesihatan tubuh badan bukan sekadar tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya turut merangkumi mental dan rohani.

    Sehubungan itu, penerapan gaya hidup sihat dengan melakukan rangkaian aktiviti seperti sebelum pandemik mesti terus diamalkan, meskipun masyarakat terpaksa hidup bersama virus Covid-19 dalam tempoh panjang.

    Penganjuran walkaton secara maya ini sangat tepat dan kena pada waktunya, malah memberi gambaran aktiviti yang pernah dilakukan dalam keadaan biasa sebelum pandemik melanda masih boleh dilaksanakan menerusi pendekatan sedikit berbeza.

    “Ini juga yang diharapkan kerajaan apabila kita melangkah ke fasa endemik kelak iaitu menerapkan kehidupan seharian dengan norma baharu,” katanya pada ucaptama pelancaran Walkathon Amal 4, secara maya, hari ini.

    Memasuki tempoh lebih dua tahun, Khairy berkata, penekanan kementerian dan petugas barisan hadapan untuk membendung serta merangka pelan mitigasi Covid-19 tidak bermakna kes kesihatan lain dipinggirkan.

    Menyedari kepentingan itu, katanya, beberapa pendekatan strategik dibuat demi memastikan perkhidmatan kesihatan bagi kes bukan Covid-19 untuk manfaat masyarakat terus beroperasi seperti biasa.

    “Justeru, antara langkah kita lakukan ialah memanjangkan waktu operasi klinik pakar dan dewan bedah, mobilisasi pakar kementerian serta sektor swasta, selain usaha penyumberluaran.

    “Dalam mendepani tekanan keperluan perkhidmatan yang sangat tinggi, kementerian sangat mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, dalam memainkan beberapa peranan utama.

    “Ini merangkumi sudut advokasi dan galakkan kepada masyarakat untuk menerapkan gaya hidup sihat, tanpa mengira anda seorang survivor (bekas penghidap kanser) atau tidak,” katanya.

  • Klang bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara

    Klang bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara

    BANDAR Klang, Selangor berada di tangga teratas sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara, dengan kadar jenayah tertinggi dan tahap keselamatan paling rendah bagi tahun 2021.

    Kedudukan itu dinilai berdasarkan statistik terkini daripada Numbeo, yang merupakan pangkalan data global bersumberkan maklumat orang awam.

    Data itu dikumpul berasaskan maklumat orang ramai mengenai kadar jenayah, kualiti penjagaan kesihatan dan isu berkaitan dengan keselamatan setempat termasuklah kebimbangan kes kecurian, pecah rumah, kes curi kenderaan, vandalisme dan rasuah di setiap bandar utama setiap negara.

    Sumber: Numbeo

    Berdasarkan statistik tersebut, Klang menduduki tempat pertama dengan indeks jenayah 68.22 dan tahap keselamatan 31.78, manakala Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua dengan indeks jenayah 64.88 dan kadar keselamatan 35.12.

    Sementara itu, bandar dengan kadar jenayah terendah dan tahap keselamatan tertinggi adalah Chiang Mai, Thailand, dengan indeks jenayah 23.98 dan indeks keselamatan 76.02.

    Sumber: Numbeo

    Namun, jika dibandingkan dengan kadar jenayah dan keselamatan bandar-bandar lain di seluruh Asia, Klang masih berada di tangga ketiga, di bawah Kabul, Afghanistan dan Damsyik, Syria.

    Selain itu, lima bandar di Malaysia turut tersenarai dalam 96 bandar tidak selamat di seluruh Asia.

    Kedudukan 3: Klang, Selangor
    Kedudukan 7: Kuala Lumpur
    Kedudukan 15: Petaling Jaya, Selangor
    Kedudukan 16: Johor Bahru, Johor
    Kedudukan 32: Kuching, Sarawak
    Kedudukan 52: Pulau Pinang

    Sumber: Numbeo
  • Radzi puas hati persiapan sekolah

    Radzi puas hati persiapan sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan penyediaan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan pada hari pertama pembukaan sekolah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tahap pematuhan SOP sangat membanggakan susulan pengurusan sekolah mematuhi dan memenuhi garis panduan ditetapkan KPM.

    “Ya…saya amat berpuas hati. Hasil tinjauan dilakukan di beberapa sekolah semalam dan pagi ini, saya mendapati pengurusan sekolah mematuhi serta memenuhi garis panduan keselamatan kesihatan ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan hari pertama sesi persekolahan untuk Tingkatan Lima dan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab. Ghani dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din.

    Terdahulu, Radzi yang tiba di SMK Sultan Sulaiman kira-kira jam 7 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam bermesra dan memberi semangat kepada pelajar.

    Beliau turut melawat dan beramah mesra dengan petugas kesihatan serta guru yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di dewan SMK Sultan Sulaiman.

    Semalam, Radzi turut mengadakan tinjauan di 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu bagi melihat persiapan akhir sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

    Sekolah yang dilawati adalah SMK Kuala Telemong, SMK Hulu Terengganu; Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu; SMK Seri Berang; SMK Tengku Ampuan Intan; SMK Tun Indera, SMK Ajil, SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu; SM Sains Kuala Terengganu dan SMK Padang Midin Kuala Terengganu.

    Sementara itu, kenyataan JPNT memaklumkan, seramai 22,066 pelajar Tingkatan Enam dan Lima memulakan sesi persekolahan hari ini.

    Daripada jumlah itu, seramai 2,725 pelajar Tingkatan Enam terbabit dengan kaedah penggiliran.

  • Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia

    Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia

    BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkeples Embong meninggal dunia di kediamannya pagi ini.

    Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung.

    Untuk rekod, Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun dari April 2007 hingga Disember 2014.

    Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menzahirkan rasa dukacita dengan kehilangan Allahyarham yang disifatkan sebagai tokoh sukan tanah air .

    Dalam hantarannya menerusi Facebook, Shabery yang memegang jawatan berkenaan dari tahun 2009 hingga 2013 berkata, beliau kehilangan seorang rakan dan guru yang banyak mengajarnya mengenai dunia sukan.

    “Mendapat berita dukacita. DS (Datuk Seri) Zolkples Embong bekas KP (Ketua Pengarah) Majlis Sukan Negara sudah tiada lagi.

    “Saya kehilangan seorang kawan dan seorang guru yang banyak mengajar saya tentang dunia sukan. Banyak jasanya kepada pembangunan

  • Lebih 234.5 juta kes positif Covid-19 global

    Lebih 234.5 juta kes positif Covid-19 global

    JOHNS Hopkins University (JHU) memaklumkan,
    kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 234.5 juta berikutan lebih 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Data terbaharu JHU menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 43.6 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 33.7 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.4 juta kes.

    United Kingdom, Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Argentina catat angka melebihi 5 juta diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan menghampiri 4.2 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.5 juta kes, Malaysia lebih 2.2 juta kes, Thailand 1.6 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 99,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.79 juta.

    Berdasarkan data itu juga, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 700,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 597,000 kes, India lebih 448,000 kes, Mexico lebih 277,000 kes, sementara Rusia kini catat lebih 205,000 kematian.

    United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 93,000 kes ialah Jerman sementara Sepanyol melebihi 86,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 142,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 38,000 diikuti Malaysia dengan 26,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 16,000 angka korban.

  • 69 kampung Orang Asli di Pahang terima internet pada 2022

    69 kampung Orang Asli di Pahang terima internet pada 2022

    SEBANYAK 69 kampung orang asli seluruh Pahang dijangka memperoleh kemudahan khidmat internet pada penghujung Januari 2022.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff, jangkaan itu dibuat susulan kerja-kerja pelaksanaan projek internet jalur lebar satelit di kawasan penduduk orang asli yang sudah bermula minggu ini.

    Keputusan itu katanya, diperoleh selepas mesyuarat penyelarasan liputan internet kampung Orang Asli di Pahang bersama-sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Mohd Faisal Md. Nor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar yang dipengerusikannya pada Ogos lalu.

    “Jadi, pihak kita bersama-sama syarikat yang dilantik telah mengadakan lawatan kerja ke penempatan orang asli yang disasarkan dalam projek ini. Kita akan mulakan projek ini di kampung orang asli Terakit dan Rening di Hulu Telom, Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Beliau menjelaskan, projek yang dikenali sebagai akses tanpa wayar jalur lebar (BWA) adalah salah satu daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di bawah usaha kerajaan Pahang.

    Katanya, kerajaan Pahang mahu menyediakan perkhidmatan internet lebih baik di kawasan perkampungan Orang Asli terutamanya yang berada jauh di pedalaman.

    Tambahnya, ini bagi memastikan masyarakat orang asli di Pahang tidak terpinggir dalam arus kemajuan teknologi, komunikasi dan dapat bersama-sama menikmati kemudahan internet yang disediakan kerajaan dengan lebih berkesan.

    “Walau bagaimanapun, memandangkan kawasan penempatan Orang Asli yang disasarkan terletak jauh di pedalaman, pelaksanaan projek ini akan menggunakan teknologi satelit (VSAT) yang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

    “Tempoh sasaran siap projek ini dijangkakan selewat-lewatnya penghujung Januari tahun depan tertakluk kepada proses-proses pelaksanaan yang perlu dipatuhi.

    “Untuk makluman, pelaksanaan internet jalur lebar di perkampungan orang asli Pahang melalui dua peringkat iaitu menggunakan jalur lebar satelit dan pembinaan menara-menara telekomunkasi baharu,” katanya.

    Mohammad Fakhruddin berkata, terdapat lebih kurang 261 kampung orang asli di negeri ini dan 116 kampung telah diberi perhatian oleh kerajaan Pahang dan SKMM melalui pelbagai projek di bawah Jendela Fasa Satu (2020 hingga 2022).

    Ujarnya, ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan Pahang amat serius dan sedang berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan pencapaian internet di seluruh negeri ini termasuk di kampung orang asli.