Category: Semasa

  • Dakwaan remaja mati akibat vaksin, polis rakam 6 keterangan

    Dakwaan remaja mati akibat vaksin, polis rakam 6 keterangan

    SEKURANG-KURANGNYA enam individu sudah dirakam keterangan berhubung dakwaan kononnya dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima imunisasi vaksin Covid-19

    Polis mengesahkan perkembangan terkini siasatan kes video yang tular sejak seminggu lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan aktivis wanita berusia 39 tahun terbabit sudah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Selangor, semalam.

    Selain itu, pihak lain yang turut dipanggil bagi dirakam percakapan iaitu pengarah kesihatan daerah Ulu Kinta, pengetua sekolah berkenaan dan pegawai perubatan yang merawat pelajar yang terbabit.

    Bahkan, keluarga pelajar serta beberapa saksi yang berada di tempat kejadian sewaktu suspek membuat kenyataan sebagaimana dalam video tular berkenaan turut dirakam percakapan.

    Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid

    Beliau berkata, siasatan kes terbabit akan disegerakan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan selanjutnya.

    “Mungkin kita akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas suspek (di mahkamah). Suspek juga mengaku ada membuat kenyataan seperti dalam video tular berkenaan yang mana sangat jelas kenyataan yang diberikannya itu tidak benar.

    “Kenyataan suspek berkenaan dibimbangi dapat menggusarkan ramai lalu takut untuk menerima vaksin padahal kenyataan itu langsung tidak tepat memandangkan dua pelajar terbabit meninggal dunia sebelum divaksin,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena hari pertama sesi persekolahan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), di Sekolah Menengah St Micheal, di Ipoh, hari ini.

    Katanya lagi, siasatan mendapati sewaktu membuat dakwaan terbabit, suspek berada di Putrajaya iaitu pada 28 September lalu.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

    Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar SMK Tasek Damai terbabit, disahkan sebelum Program Imunisasi Covi1- Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu.

  • 20.51 juta populasi dewasa lengkap divaksin – KKM

    20.51 juta populasi dewasa lengkap divaksin – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan menerusi portal COVIDNOW, seramai 20.51 juta individu atau 87.6 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Sebanyak 94.3 peratus atau 22.08 juta daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

    Bagi populasi keseluruhan, seramai 20.62 juta individu atau 63.1 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

    Pada masa sama, 72.9 peratus atau 23.83 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Selain itu, seramai 108,826 atau 3.5 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin. Terdapat pertambahan 206,574 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah lebih 44.35 juta dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Pengasuh ditahan kes dera kanak-kanak autisme

    Pengasuh ditahan kes dera kanak-kanak autisme

    SEORANG pengasuh wanita ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, Selangor, semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu, pihak polis telah menerima satu laporan daripada bapa kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun berkenaan pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa dipercayai didera pada 1 Oktober lepas antara 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya mengambil anaknya, selain menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata.

    Beliau berkata, seorang cikgu di pusat asuhan berkenaan memaklumkan kepada bapa kanak-kanak itu terdapat kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa dan mendakwa mangsa menghantukkan kepala di meja atas alasan tidak mahu makan.

    “Bapa mangsa kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup tempat kejadian selain mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan,” katanya ketika dihubungi.

    Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan lanjut mendapati wanita warga asing berumur 51 tahun itu merupakan pengurus di premis berkenaan turut menggajikan tiga pekerja warga tempatan yang juga berada di tempat kejadian.

    “Wanita itu mempunyai tujuh pelajar termasuk mangsa yang kesemuanya OKU autisme. Hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan dikendalikan suspek telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal mendapati status lesen dimilikinya telah tamat tempoh,” katanya.

    Beliau berkata, pas lawatan wanita itu disyaki telah tamat tempoh dan dia direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh.

  • Mayat remaja lemas ketika mandi pantai ditemukan

    Mayat remaja lemas ketika mandi pantai ditemukan

    SEORANG remaja lelaki yang lemas ketika mandi bersama-sama abang tirinya di Pantai Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Sungai Pagar, Labuan, awal pagi ini.

    Mangsa, Al Saeif Manahan, 17, ditemukan pukul 5.50 pagi dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan, Lapor Sinar Harian.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua diteruskan selepas laporan diterima semalam.

    Katanya, hasil pencarian pihak bomba dan ahli keluarga berjaya menemui mangsa kedua.

    “Mangsa ditemui sekitar pukul 5.50 pagi dan identiti mangsa telah dikenal pasti oleh ibu mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi ditamat sepenuhnya pada pukul 7.29 pagi,” katanya.

  • Tiada keperluan terus buka PPV mega – Khairy

    Tiada keperluan terus buka PPV mega – Khairy

    TIADA keperluan untuk pusat pemberian vaksin (PPV) mega meneruskan operasi pemberian vaksin COVID-19 berikutan majoriti rakyat telah menerima vaksin lengkap, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata justeru, PPV yang mencapai liputan vaksinasi yang baik akan mula ditutup.

    “Bila kebanyakan penerima vaksin telah menerima vaksin, jadi kita tak perlu lagi ada PPV besar beroperasi kerana ini melibatkan kos dan sebagainya. Esok, saya akan bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenai beberapa PPV masih dibuka untuk yang tercicir dan warga asing.

    “Kita juga sedang berbincang dengan MOSTI untuk tutup PPV (yang sudah capai matlamat) secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas melawat hari terakhir operasi PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.

    Menurutnya, PPV WTC ditutup secara rasmi hari ini selepas 150 hari beroperasi, sejak 5 Mei lepas.

    Khairy berkata, beberapa PPV masih dibuka bagi program vaksinasi remaja, manakala klinik kerajaan dan swasta akan dijadikan PPV melibatkan dos ketiga dan dos penggalak.

    Mengenai laporan palsu atau ‘false alarm’ kesan sampingan vaksin dalam kalangan remaja, beliau berkata, tiada laporan berkaitan kesan sampingan serius diterima setakat ini.

    Pada 22 September lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan tiada sebarang laporan mengenai kesan sampingan serius dialami golongan remaja yang menerima suntikan itu.

  • Lupakan perbezaan, bersatu bangunkan Keluarga Malaysia

    Lupakan perbezaan, bersatu bangunkan Keluarga Malaysia

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melihat penyatuan rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga dengan mengetepikan perbezaan agama, kaum dan fahaman politik.

    Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia, kerjasama semua pihak amat diharapkan untuk membangunkan negara ini.

    “Saya mahu kita hidup seperti satu keluarga yang kita lupakan segala perbezaan yang ada, sama ada dari segi agama, kaum malah perbezaan fahaman politik pun perlu diketepikan, supaya semua rakyat bersama-sama berganding bahu membangunkan Malaysia ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

    Ismail Sabri berkata. perbezaan yang ada dalam kalangan masyarakat perlu diraikan serta tidak menjadi halangan untuk bersatu padu.

    Perdana Menteri berkata, semangat kerjasama itu turut ditonjolkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept lepas, demi kepentingan rakyat dan negara khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

    Beliau menyifatkan ia sebagai politik baharu Malaysia seperti mana amalan di negara maju yang lain, dengan kerajaan dan pembangkang berganding bahu membangunkan negara.

    “Jadi antara pembangkang dan kerajaan (kita) bersama-sama membina negara. Ya kita berlawan, tetapi waktu pilihan raya lima tahun sekali. Apabila rakyat sudah memberi mandat kerajaan ditubuhkan, kita kena bersama-sama membina negara ini.

    “Politiking sepatutnya dihentikan, kerana pembangkang juga boleh memberikan pandangan untuk ‘check and balance’, dan dalam masa yang sama mana yang baik kita akan ikut dan dengan itu kita boleh bersama-sama membangunkan negara,” katanya.

    Memorandum yang didedahkan kepada umum itu, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Ismail Sabri juga berkata menerusi MoU berkenaan, sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun akan tercapai, sekiranya mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak.

    “Insya-Allah lebih mudah untuk kita capai dan apa yang kita buat adalah untuk kepentingan rakyat, itu yang penting,” katanya.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu, di atas cadangan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang itu.

    Sementara itu, ditanya sama ada beliau ada meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada dirinya sendiri dalam tempoh menjadi perdana menteri, Ismail Sabri berkata prestasinya ditentukan oleh rakyat.

    “Yang pertama rakyat ingin melihat bahawa isu COVID-19 diselesaikan dan yang kedua rakyat mahu lihat ekonomi dipulihkan, supaya mereka boleh menjalani penghidupan yang lebih baik daripada sewaktu pandemik atau mungkin sebelumnya,” katanya. – BERNAMA

  • Tiada kompromi jika ada ancaman di Laut China Selatan

    Tiada kompromi jika ada ancaman di Laut China Selatan

    MALAYSIA tidak akan berkompromi dengan mana-mana negara sekiranya terdapat ancaman di Laut China Selatan, demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkannya beberapa kali dalam perjumpaan bersama wakil-wakil negara dan forum antarabangsa semasa memegang portfolio Menteri Pertahanan.

    “Kita katakan kita tidak akan berkompromi dari segi kedaulatan kita,” katanya.

    Ismail Sabri berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

    Menyentuh dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara, iaitu antara sembilan fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata keselamatan merupakan isu yang amat penting kerana pembangunan negara akan terbantut sekiranya berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak selamat.

    “Sememangnya kerajaan menumpukan perhatian kepada keselamatan dan pertahanan sejak dari dahulu.

    “Bajet kita pun tahun lepas bertambah berbanding dengan yang lepas-lepas kerana kedaulatan negara tak boleh dikompromi dengan sesiapa sekali pun,” katanya.

    Ismail Sabri turut menyifatkan Op Benteng, yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia dan dibantu 11 agensi lain, sebagai berjaya dalam menyekat kemasukan pendatang tanpa izin yang mungkin membawa virus COVID-19 ke negara ini.

    Beliau berkata usaha itu diperkukuh dengan penambahan 19 pos kawalan sempadan serta pembinaan kem baharu terutama di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

  • Masa untuk rentas negeri semakin hampir – Ismail Sabri

    Masa untuk rentas negeri semakin hampir – Ismail Sabri

    AKTIVITI rentas negeri yang ditunggu-tunggu oleh rakyat kini sudah semakin hampir untuk dibenarkan susulan peningkatan kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau amat memahami keluh-kesah rakyat yang ingin pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan khabar gembira itu akan diumumkannya sebaik kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

    “Saya percaya ramai yang nak balik kampung…sesetengah itu dah setahun lebih tak tengok ibu bapa mereka, sesetengah (ada yang) ibu bapa tak sihat. Saya tahu, arwah mak saya dahulu kalau saya tak balik setiap minggu atau dua minggu sekali, dia akan menangis apabila telefon saya.

    “Ramai yang saya percaya mempunyai situasi seperti yang saya pernah hadapi dahulu. Kita faham tetapi kerana masalah kesihatan, kita sekat pergerakan kita tetapi saya dah kata kita tak akan sekat pergerakan rakyat selama-lamanya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

    rentas negeri Ismail Sabri Yaakob

    Beliau percaya masa untuk merentas negeri sudah semakin hampir memandangkan kadar peratusan populasi dewasa yang telah menerima vaksin semakin meningkat dan telah mencecah lebih 86 peratus.

    Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan menaikkan daripada 80 peratus kepada 90 peratus kadar vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri diberikan bertujuan untuk memastikan tiada negeri yang ketinggalan sebaik ia diumumkan.

    “Saya cuma nak jelaskan dahulu kata 80 peratus boleh merentas negeri kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus. Ini sebab kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak lagi negeri-negeri yang peratusnya masih kecil.

    “Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka. Jadi sebab itulah kita tunggu 90 peratus kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80 peratus lebih. Jadi sebaik sahaja 90 peratus, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bertujuan membendung penularan COVID-19, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang menerima impak paling besar.

    “Ia bergantung kepada rentas negeri…selagi rentas negeri tidak dibenarkan, selagi itu pelancongan tidak boleh dimulakan, dari segi sektor pelancongan tak boleh dibuka,” katanya.

    Mengenai MyTravelPass, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membenarkan rakyat untuk ke luar negara tanpa perlu memohon pas berkenaan sebaik program vaksinasi negara mencapai kadar 90 peratus.

    “Dahulu kita buat sekatan penerbangan kerana kita tak benarkan rakyat kita melancong ke luar negara sebab itu kita tapis siapa yang nak keluar negara, tapi atas urusan perniagaan kita benarkan dan untuk pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran atau memasuki universiti pengajian tinggi swasta di luar negara memang kita benarkan tanpa MyTravelPass.

    “Tetapi untuk pelancongan masih kita tak benarkan. Untuk suami berjumpa isteri memang kita benarkan tetapi perlu membuat permohonan…saya nak sebut apabila 90 peratus program vaksinasi telah tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat kita ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass lagi,” katanya. – BERNAMA

  • Komen berbaur perkauman keterlaluan, tidak wajar – BAM

    Komen berbaur perkauman keterlaluan, tidak wajar – BAM

    PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menganggap komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain perseorangan wanita negara S Kisona, ketika menentang Jepun pada perlawanan separuh akhir Piala Sudirman semalam, merupakan sesuatu yang keterlaluan.

    BAM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sebagai badan induk badminton negara, mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan berbaur perkauman atau diskriminasi dan mengecam kenyataan yang telah dikeluarkan itu, selain akan sentiasa menyokong semua pemain negara.

    “Kenyataan seperti itu adalah sesuatu yang tidak wajar, dan kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk tindakan yang tidak masuk akal itu.

    “BAM akan terus berjuang menghapuskan unsur perkauman dalam sukan, terutamanya dalam badminton. Kami akan terus menyokong kesemua inisiatif yang menyokong pembangunan negara yang progresif dan inklusif,” menurut BAM dalam kenyataan tersebut.

    Satu kenyataan berbaur perkauman terhadap Kisona yang kini menduduki tangga ke-53 dunia itu tersebar di media sosial, ketika pemain itu berhadapan pemain nombor lima dunia Akane Yamaguchi, pada perlawanan kedua semalam.

    Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun, dengan Kisona dengan mudah ditewaskan Yamaguchi 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit.

    Walaupun terkeluar daripada kejohanan berlangsung di Vantaa, Finland itu, pasukan muda negara telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan BAM, iaitu layak ke suku akhir.

    Malaysia akan meneruskan cabaran mereka pada Piala Thomas dan Piala Uber 2021, yang dijadualkan bermula 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark.

    Piala Thomas menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada, manakala bagi Piala Uber dalam Kumpulan D bersama China, Denmark dan Kanada. – BERNAMA

  • Reezal Merican tersinggung kecaman perkauman terhadap Kisona

    Reezal Merican tersinggung kecaman perkauman terhadap Kisona

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tersinggung dengan komen seorang netizen yang berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona.

    Menurut beliau, Keluarga Malaysia tidak berkompromi terhadap kenyataan yang tidak sensitif dan berunsur diskriminasi terhadap Kisona itu, lebih-lebih lagi dalam bidang sukan yang menyatukan seluruh rakyat.

    “Marah, memang saya marah. Kecewa, memang saya kecewa,” luahnya dalam hantaran Facebook milik beliau, malam ini.

    Kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Reezal Merican berkata, perjuangan atlet-atlet negara di pentas dunia bukan kecil dan mereka semua membawa nama Malaysia.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa menang atau kalah adalah perkara lumrah dalam pertandingan.

    “Sokongan kita jangan sesekali bermusim. Hanya memuji apabila merangkul pingat. Terus mengeji apabila kecundang,” katanya.

    Reezal Merical menambah, beliau berpeluang memperkenalkan dasar ‘Sukan Selamat’ sebagai sebahagian daripada Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030 semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

    “Harap ia akan dilaksanakan dan diterapkan dalam sukan arus perdana di Malaysia di semua peringkat,” jelasnya.