Category: Semasa

  • Lelaki ditangkap dalam keadaan bogel selepas kelar ibu bapanya

    Lelaki ditangkap dalam keadaan bogel selepas kelar ibu bapanya

    PASANGAN warga emas maut dipercayai dikelar anak lelaki mereka di kampung Kemahang Hulu, Benta, Lipis, tengah malam tadi.

    Penduduk kampung menemukan mayat Mohammad Maasai, 68, dan isterinya, Zailan Zainudin, 64, selepas menahan anak pasangan tersebut yang dalam keadaan bogel dan berlumuran darah kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 31 tahun itu menggunakan senjata golok untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.

    “Pihak polis menerima laporan pukul 11.55 malam tadi dan hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika suspek dan mangsa berbual di ruang tamu rumah mereka.

    “Suspek dipercayai bertindak mengambil golok dari biliknya dan menetak leher mangsa ekoran berlaku perselisihan mengenai ilmu agama dan hal ketuhanan.

    “Ibu mangsa yang cuba menghalang tindakan suspek turut menjadi mangsa apabila ditikam dan ditetak pada bahagian leher dan badan.

    “Penduduk kampung yang bergegas ke rumah terbabit selepas menahan suspek mendapati mayat bapa suspek ditemui terbaring dan berlumuran darah dalam rumah, manakala mayat ibu suspek pula ditemui berhampiran pagar rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Difahamkan lelaki berkenaan dipercayai mengamalkan ajaran ilmu sesat.

  • Guru degil divaksin akan tetap dipindahkan

    Guru degil divaksin akan tetap dipindahkan

    KEMENTERIAN Pendidikan tetap dengan keputusan untuk memindahkan mana-mana guru yang degil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

    Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mah Hang Soon menegaskan, tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan bersemuka tidak terganggu.

    “Guru yang enggan divaksin tanpa mendapat pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan dan menyebabkan gangguan kepada operasi sekolah akan dipindahkan.

    “Tindakan untuk memindahkan guru terpaksa dilaksanakan untuk pastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid tidak tergugat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, langkah yang diambil kementeriannya itu juga selari dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan semua penjawat awam mengambil suntikan vaksin COVID-19.

    Sebelum ini dilaporkan, kira-kira 2,500 guru di seluruh negara enggan divaksinasi.

  • Hishammuddin akui ada aset pertahanan lewat dibekalkan

    Hishammuddin akui ada aset pertahanan lewat dibekalkan

    KERAJAAN boleh menuntut ganti rugi terdapat aset pertahanan yang lewat dibekalkan oleh kontraktor dilantik.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak menafikan kelewatan itu namun akan diatasi sebaik mungkin.

    “Terdapat prosedur terhadap aset pertahanan yang lewat untuk disampaikan.

    “Ada prosedur yang perlu dilakukan jika berlaku kelewatan tetapi pada masa sama tidak menjejaskan perancangan kita,” katanya ketika penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang ingin mengetahui aset yang ditempah tidak sampai kepada Kementerian Pertahanan dan menyarankan satu audit dibuat bagi mengetahui kontraktor yang dilantik tidak dapat menyampaikan tempahan itu.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin menambah, pihaknya tidak teragak-agak untuk memastikan ketelusan dan keadilan kepada kelewatan aset-aset terbabit dapat direalisasikan.

    Pada penggulungan sama, Hishammuddin turut memberitahu, projek sakit atau lama perlu diselesaikan.

  • Jumlah positif Covid-19, 8,817 kes hari ini

    Jumlah positif Covid-19, 8,817 kes hari ini

    KES baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu naik sedikit kepada 8,817 kes berbanding 8,075 semalam

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 2,294,457 kes.

    Lima negeri catat kes tertinggi iaitu Sarawak (1,361) diikuti Selangor (1,348), Kelantan (1,063), Johor (886) dan Sabah (805)
    .

  • Langgar SOP: Kerajaan kutip RM72.72 juta kompaun tempoh 18 bulan-Khairy

    Langgar SOP: Kerajaan kutip RM72.72 juta kompaun tempoh 18 bulan-Khairy

    KERAJAAN mengutip RM72.72 juta hasil kompaun akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sejak tahun lalu hingga 31 Ogos lalu.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, jumlah bilangan dan nilai kompaun melanggar SOP yang telah dikeluarkan sejak 2020 hingga kini ialah 181,704 kompaun dikeluarkan.

    Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bertarikh 4 Oktober 2021.

    Khairy berkata demikian sebagai menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu bilangan dan nilai kompaun melanggar SOP yang telah dikeluarkan sejak 2020 hingga kini dan jumlah nilai kutipan kompaun yang diterima.

    Kerajaan sebelum ini mengumumkan individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan boleh mendapatkan potongan 50 peratus, jika membayarnya dalam masa tujuh hari.

    Pada masa sama, mereka yang membayar kompaun dalam masa 14 hari juga akan diberi diskaun 25 peratus.

  • Kemelut politik semakin ‘panas’, DUN Melaka bubar petang ini?

    Kemelut politik semakin ‘panas’, DUN Melaka bubar petang ini?

    APAKAH Dewan Undangan Negeri Melaka akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN)?

    Itulah persoalan yang timbul apabila Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dijangka membuat pengumuman hasil perbincangan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dengan beberapa pihak berkaitan kemelut politik negeri itu.

    Difahamkan Mohd Ali sudah membuat keputusan hasil perbincangan itu dan ia akan diumumkan pukul 3 petang ini.

    Beberapa sumber ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan DUN Melaka akan dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan hilang kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). Tindakan mereka telah menyebabkan Kerajaan UMNO di Melaka tumbang.

    Jika benar berlaku pembubaran DUN, ia tidak mengejutkan kerana kalaupun Pakatan Harapan (PH) memiliki majoriti , ia amat tipis dan tiada jaminan pergolakan politik tidak berlaku lagi.

    PH dikatakan mahu mencalonkan Idris sebagai Ketua Menteri jika mereka dibenarkan menubuhkan Kerajaan Negeri. Selain itu difahamkan sejak semalam, semua jentera UMNO dan BN di Melaka telah diminta bersiap sedia bagi menghadapi PRN.

    Kalau PRN diadakan ia ‘meranapkan’ impian Idris yang berpendapat, PRN tidak perlu dilaksanakan memandangkan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

    Bercakap kepada Berita Harian, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pemimpin PH perlu diberi peluang untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

    ‘’Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melak mundur, sudah tentulah kita majikan negeri kita ini,’’ katanya.

    Apapun sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi petang ini sama ada dilakukan oleh Ab.Rauf, Sulaiman atau Setiausaha Kerajaan Negeri.

  • Pemaju hartanah ada kaitan projek terowong dasar laut maut terjatuh kondominium

    Pemaju hartanah ada kaitan projek terowong dasar laut maut terjatuh kondominium

    SEORANG pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek kontroversi terowong dasar laut ditemui maut akibat terjatuh di sebuah kondominium di Jalan Kelawai, hari ini.

    Mangsa yang berusia 53 tahun itu dipercayai mati di tempat kejadian, namun sehingga kini tidak ada maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian terbabit.

    “Buat masa ini saya hanya boleh sahkan memang ada kes individu mati jatuh bangunan di Jalan Kelawai dan mangsa mati ditempat kejadian. Kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Dalam pada itu, difahamkan mangsa juga merupakan seorang saksi dalam perbincaraan kes rasuah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut yang sedang berjalan di mahkamah ketika ini.

  • KPM pastikan Dasar Bahasa Kebangsaan difahami

    KPM pastikan Dasar Bahasa Kebangsaan difahami

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bertanggungjawab melaksana pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak memahami Dasar Bahasa Kebangsaan, terutamanya bagi seluruh warga sektor pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM berperanan penting dalam memastikan bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, selaras dengan ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

    “Dalam hal ini, Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 dirangka dengan jelas dan terperinci, agar semua pihak dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika merasmikan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Pendidikan 2021 secara dalam talian, hari ini.

    Mengambil contoh Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, Radzi berkata, peranan guru bahasa Melayu amat penting dalam memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu, dalam diri generasi baharu.

    Beliau turut menjelaskan tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, sebaliknya ia perlu digalas oleh setiap individu dalam masyarakat termasuk warga KPM.

    Beliau berkata, bahasa merupakan wadah utama yang dapat mengeratkan perpaduan masyarakat dalam konteks Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, di mana persefahaman dan keharmonian dapat dibentuk apabila berkomunikasi menggunakan bahasa sama.

    Bercakap mengenai sambutan DBK, Radzi yakin inisiatif yang dilaksanakan dalam DBK akan dapat menyemarakkan rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

    DBK merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diperkenalkan pada 1999, dan tema tahun ini adalah ‘Bahasa Wadah Penyatuan Bangsa’. – BERNAMA

  • 88 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    88 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW memaklumkan, seramai 20,603,249 individu atau 88 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

    KKM memberitahu, angka tersebut setakat semalam dan perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa kini hanya tinggal kira-kira 2.2 peratus.

    “Sebanyak 94.4 peratus atau 22,098,764 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    “Setakat semalam juga, sebanyak 114,124 atau 3.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

    “Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 221,812 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 126,433 dos pertama dan 95,379 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,573, 891 dos,” demikian menurut data tersebut.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, dua kes kematian harian akibat Covid-19 dilaporkan pada Isnin dengan kedua-duanya membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,759.

  • Bot karam: pembantu tekong masih tidak ditemui

    Bot karam: pembantu tekong masih tidak ditemui

    SELEPAS empat hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pembantu tekong bot yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang, Kuching, Sarawak, Sabtu lalu, masih menemui jalan buntu.

    Setakat pagi ini, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak, Laksamana Pertama, Zin Azman Md. Yunus berkata, operasi hari ketiga semalam mendapat bantuan aset udara daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis.

    Mereka melakukan pencarian melalui udara di sekitar perairan Pulau Satang.

    “Keadaan cuaca sedikit berangin dengan kelajuan antara 20 dan 30 kilometer sejam, dengan laut berombak setinggi 1 hingga 1.5 meter,” katanya, menurut laporan Bernama.

    Operasi SAR terbabit turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

    Menurut Zin, keluasan pencarian semalam merangkumi 795.31 batu nautika serta beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 80 orang.

    Dalam kejadian Sabtu lalu, sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang.

    Sembilan daripada mereka sudah ditemui selepas diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad).